أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 1 Februari 2024

Khutbah Jumaat : Rejab DiRaikan, Islam DiJulang, Palestin DiMerdekakan

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah : إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa Kini kita sudah berada dalam bulan Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sesungguhnya ketibaan bulan Rejab sebagai petanda betapa kita semakin menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Seorang Ulama iaitu Abu Bakar al-Warraq RH berkata : “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.” Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Pada bulan ini, mereka akan menangguhkan peperangan, perjalanan dan perniagaan lantaran bulan ini perlu diberi fokus untuk membanyakkan amalan yang mulia. Selain itu, Ibn Kathir menukilkan pendapat Ibn Abbas R.A yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. Sebab itulah ramai di kalangan ulama salafussoleh yang selalu berpuasa sunat di bulan-bulan Haram seperti Sufyan al-Thauri. Beliau menyebutkan: “Bulan-bulan haram itu lebih aku sukai untuk berpuasa sunat padanya.” Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah : انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui Bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sayyidina Ali pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah: لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗوَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾ Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Hakikat peperangan dan kemenangan dalam Islam adalah jauh berbeza dengan misi dan cara peperangan yang dilakukan oleh manusia yang melanggar agama. Islam tidak membenar peperangan dengan tujuan untuk memaksa orang lain masuk Islam dengan secara paksa. Islam melarang berperang dengan tujuan agar suatu bangsa atau manusia berkuasa mahu menguasai bangsa atau manusia lemah yang lain. Manusia telah dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenal, bukan untuk saling berbunuhan, bukan untuk saling menguasai. Islam tidak menjadikan matlamat peperangan untuk mencari keuntungan material atau kebendaan. Oleh itu, Islam mengenepikan semua bentuk kemenangan yang di belakangnya tersembunyi kerakusan ekonomi seperti memperluas pasaran untuk memasarkan hasil pengeluaran pihak yang menang atau untuk mendapatkan bahan mentah Negara yang dijajah atau untuk menyedut hasil mahsul sumber alam, atau untuk mendapatkan tempat strategik untuk kepentingan pihak yang menang. Islam juga melarang peperangan untuk memperolehi kemegahan peribadi untuk raja dan para pemimpin atau untuk memuaskan nafsu untuk mencapai ketinggian pangkat dan kekuasaan. Memahami hakikat peperangan dan kemenangan Islam yang telah menyebarluaskan Islam adalah untuk menegakkan kalimat Allah. Peperangan dan kemenangan itu didahului oleh dakwah Islam. Peperangan baru terjadi sekiranya terdapat 2 keadaan yang memaksa iaitu: [1] Jika ada kekuatan kebendaan terutama ketenteraan musuh yang menghalang dakwah yang bersifat damai. [2] Apabila terjadi serangan terhadap kebebasan beragama dan godaan agar kaum Muslimin keluar dari agamanya, baik secara perseorangan atau secara berkelompok. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 13 surah Luqman: وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّـهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ﴿١٣﴾ Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar” Musuh Islam tidak pernah berhenti dalam menyesat dan merosakkan umat Islam dengan beberapa cara antaranya ialah : [1] Merosakkan sistem kekeluargaan terutama merosakkan 2 golongan iaitu wanita sebagai ibu supaya meninggalkan peranan sebagai pendidik dengan disibukkan dengan kerjaya dan perkara lain serta merosakkan remaja dengan ideology sesat seperti liberal, LGBT dan hanyut dalam hiburan melampau Suatu ungkapan syair arab : “Seorang ibu adalah umpama sebuah sekolah, jika kamu persiapkannya; kamu sebenarnya mempersiapkan sebuah generasi yang baik akhlak dan keturunannya”. [2] Merosakkan sistem pendidikan di mana kita begitu bimbang apabila falsafah pendidikan barat yang diakui gagal oleh pakar pendidikan barat sendiri iaitu hanya melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri dalam mengejar pangkat dan harta, tiada perasaan akibat jauh daripada panduan agama. Akhirnya bilangan sekolah dan university begitu banyak tetapi masalah kerosakan akhlak dan jenayah juga semakin banyak. Misalnya jenayah pelajar yang tercicir awal diperingkat sekolah menjadi pencuri kecil-kecilan manakala yang ada sijil Universiti menjadi perompak besar-besaran termasuk rasuah dan pecah amanah wang negara. Sistem yang melahirkan pelajar yang lebih mendewakan sistem yang bercanggah dengan agama serta memandang rendah dan hina kepada sistem Islam samada melibatkan ekonomi, politik, sosial dan sebagainya Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 10 surah as-Syuura : وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّـهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ ﴿١٠﴾ Maksudnya : Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali Racun musuh ke-[3] ialah menjauhkan masyarakat daripada ulamak dengan fitnah dan adu domba dilemparkan kepada alim ulamak kononnya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau dituduh sebagai penunggang agama. Sedangkan para ulamak berijtihad menggunakan Nas Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menunjukkan Islam sentiasa dinamik dalam menjaga kemaslahatan ummah dan kesucian akidah mengikut peredaran zaman. Agenda-agenda ini adalah sebahagian daripada modus operandi untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam agar paksi kekuatan mereka mula luntur. Justeru dalam menghadapi cabaran dan ancaman seumpama ini umat Islam perlulah terus mendalami ajaran Islam dengan mendekati para alim ulamak dan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan ideologi dan isme yang merosakkan. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 51 surah al-Maidah : ﴿۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١﴾ Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin; sebahagian mereka ialah pemimpin bagi sebahagian yang lain! Sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya, orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya, Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” Beradanya pada bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang peristiwa besar Isra’ dan Mikraj sepastinya tidak melupakan kita tentang kewajipan bersama dalam mempertahan dan memerdekakan Masjid Aqsa dan Palestin. Seluruh dunia kini dapat menyaksikan kumpulan Islam yang berjuang mengikut adab dan hukum Islam yang tidak melampau dalam berperang, kerana mereka menjadikan sasaran tentera sahaja yang diserang. Tindakan ini berbeza dengan Zionis dan negara sekutunya yang paling banyak dan paling canggih memiliki senjata, tetapi paling melampau dalam peperangan dengan menjadikan sasaran mereka ialah rakyat lemah yang tidak berperang, seperti kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, dan pesakit yang sedang dirawat, sehingga menggerakkan protes daripada rakyat yang berperikemanusiaan di seluruh pelosok dunia. Sehingga kini lebih 24 000 orang awam yang terkorban berbanding tidak ramai para mujahidin yang gugur syahid. Sebaliknya pihak musuh yang terbunuh makin ramai jumlahnya. Allah mendedahkan bahawa Zionis dan sekutunya yang tidak berakal dan penakut dalam peperangan, pasti akan menerima kekalahan pada akhirnya. Yakinlah kemenangan daripada Allah bila umat Islam melahirkan pemimpin dan tentera yang selamat daripada penyakit virus al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan benci kepada kematian. Islamlah nescaya kita menang dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: