أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Isnin, 30 Jun 2008

2. ISLAM ANTARA CINTA DAN BENCI

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Islam merupakan agama fitrah yang bersesuaian dengan sifat kejadian manusia itu sendiri. Cuma sikap permusuhan dan terlalu mengikut kehendak hawa nafsu yang jahat menyebabkan adanya manusia yang melawan Islam. Pada hari ini kita dapat saksikan bagaimana Islam mula menjadi perhatian utama kepada umat manusia seluruh dunia samada mereka mencintai Islam atau membencinya. Rakyat negara barat sendiri mula celik mata berkenaan kehebatan dan keadilan Islam di mana jika sebelum ini di Kanada pernah bergema di dalam parlimennya suara cadangan agar dilaksanakan perundangan Islam terutama kepada warganegaranya yang beragama Islam. Pada awal tahun ini sekali lagi laungan agar pelaksanaan system perundangan Islam bergema di negara barat di mana kali ini ketua Paderi Kristian Protestan Amerika Syarikat pula yang menyuarakan perkara ini. Walaupun para pemimpin Amerika dan pengikutnya meminta agar saranan ini ditarik balik namun ketua paderi ini tetap bertegas dengan pandangannya. Begitu juga apabila kehangatan pemilihan presiden Amerika turut dikaitkan dengan Islam apabila salah seorang calonnya iaitu Obama dikatakan beragama Islam. Apabila dia menafikan bahawa dia bukan beragama Islam maka ada dakwaan bahawa keluarganya ada yang beragama Islam. Malah apa yang lebih hangat lagi apabila adanya dakwaan bahawa Obama pernah belajar di sebuah pondok di Indonesia berkaitan Islam. Rentetan beberapa peristiwa ini memberi pengajaran yang besar kepada umat Islam bagaimana Islam semakin ditekan semakin naik, semakin diperangi semakin mendapat tempat di hati manusia. Islam ibarat layang-layang semakin kuat ditongkah arus angin deras maka semakin tinggi ia melayang di udara. Adalah tidak menjadi suatu yang mustahil jika Islam akan memerintah negara-negara barat melalui kesedaran rakyat mereka sendiri yang bangun untuk melaksanakan sistem Islam dalam negara setelah melihat segala perundangan yang dilaksanakan sebelum ini gagal dalam membina diri manusia

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr :
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya
Musuh Islam yang sentiasa berusaha siang dan malam dalam memerangi Islam terus menerus cuba memesong ajaran Islam. Kita pernah dengar bagaimana adanya tuduhan liar bahawa al-Quran yang ada pada tangan kita pada hari ini atas resam Uthmani didakwa sebagai al-Quran baru yang direka oleh Sayyidina Uthman al-’Affan bukannya sebagaimana al-Quran pada zaman nabi. Sayyiidina Uthman dituduh telah mengumpul dan membakar al-Quran zaman nabi dan digantikan dengan al-Quran versinya sendiri. Ini semua adalah fitnah liar kerana al-Quran terus terpelihara sebagaimana contohnya bilangan ayat dan surah al-Quran pada zaman nabi dan Sayyidina Uthman adalah sama dan tidak berubah walau pun satu huruf. Begitu juga sekitar tahun 1996 di mana yahudi telah bertindak biadap menulis beberapa surah palsu tetapi tindakan jahat mereka disedari dan dapat ditolak dngan mudah. Jika pada tahun 2006 dunia dikejutkan dengan tindakan biadap oleh sebuah akhbar Denmark yang melakar karikatur yang menghina nabi Muhammad s.a.w maka pada tahun ini pula dunia Islam sekali lagi dunia Islam digemparkan dengan tindakan biadap seorang ahli parlimen Belanda yang mereka sebuah filem pendek bertajuk ”Fitna” yang mempunyai dua versi ditayangkan lebih kurang 17 minit yang memaparkan beberapa potong ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai konsep jihad dan peperangan dalam Islam yang disalahtafsirkan mengikut nafsu jahatnya di mana melalui filem ini digambarkan Islam menggalakkan keganasan. Umat Islam yang cintakan Islam bangkit menentang kebiapan ini termasuk memboikot barangan keluaran Belanda. Ini adalah tindakan dalam menyedarkan mereka yang bertindak biadap terhadap Islam supaya sedar mengenai kesalahan mereka serta memberi amaran keras bahawa umat Islam tidak akan membiarkan Islam dicaci dan dihina.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّواْ عَن سَبِيلِ اللهِ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini juga kita mengutuk tindakan kejam tentera Ethiopia (Habsyah) dalam tragedi penyembelihan 11 orang Ulama di Masjid Al-Hidayah, Mogadishu negara Somalia pada 21 April 2008 baru-baru ini . Begitu juga dengan kezaliman zionis yahudi di bumi Palestin yang saban hari membunuh umat Islam dan merampas bumi milik umat Islam. Sebab itulah bila timbulnya masalah keizinan terhadap 2 warga yahudi Israel yang akan datang bersama pasukan bolasepak Chelsea ke Malaysia atas alasan politik dan sukan tidak berkaitan maka badan-badan Islam bangun membantahnya memandangkan kepada kezaliman yang dilakukan oleh zionis yahudi kepada saudara kita di bumi Palestin. Peristiwa keganasan pihak tertentu atas arahan pimpinan negara terhadap umat Islam yang membantah kedatangan pasukan kriket Israel ke Malaysia sekitar tahun 1996 yang lalu sepatutnya memberi peringatan kepada pimpinan negara agar tidak mengulangi peristiwa yang sama. Sukan dan politik ada kaitan antara satu sama lain malah ia dijadikan suatu senjata yahudi dalam menguasai dunia.
Umat Islam perlu ingat kepada protokol yahudi ke-13 dalam menguasai dunia yang berbunyi : untuk menjauhkan orang ramai selain yahudi daripada mendapat maklumat baru tentang garis kerja yang zionis yahudi laksanakan maka kita akan melalaikan masyarakat dunia dengan pelbagai program permainan dan hiburan. Kita akan mengiklankan di dalam akhbar dan lainnya tentang seruan supaya mereka menceburi pelbagai kegiatan seperti aktiviti seni hiburan, sukan dan sebagainya. Dengan keseronokan yang baru ini maka pemikiran manusia akan lalai daripada memikirkan masalah perselisihan antara yahudi dengan mereka. Apabila sesuatu bangsa telah kehilangan sedikit demi sedikit nikmat berfikir maka mereka akan datang kepada yahudi kerana sebab yang satu iaitu yahudi akan menjadi anggota masyarakat yang bernilai dan lebih layak dalam mengemukakan pendapat dan buah fikiran yang baru kepada manusia. Melalui cara ini negara Israel akan diiktiraf oleh dunia dan seluruh dunia akan berkhidmat untuk yahudi

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah :
وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya : Dan sesiapa daripada kamu yang murtad daripada agamanya lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir maka gugurlah amalan-amalan mereka di dunia dan akhirat. Dan mereka menjadi ahli neraka yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya
Negara kita turut menyaksikan beberapa perkara berkaitan dengan Islam. Antaranya cadangan untuk mewajibkan muallaf yang baru memeluk Islam supaya mengistiharkan keislamannya di mana ia dibantah oleh kebanyakan saudara baru kerana ia boleh menyebabkan orang bukan Islam takut untuk memeluk Islam. Sebelum inipun muallaf bukan malu untuk menyatakan keislaman mereka sebaliknya takut kepada keselamatan mereka jika mengistiharkan keislaman mereka ketika mula-mula memeluk Islam. Sehubungan dengan cadangan ini timbul pula cadangan daripada sebuah parti bukan Islam supaya dihalalkan murtad di mana kita akan menentang cadangan jahat ini habis-habisan. Islam bukan agama yang boleh dipermainkan. Kita tetap mempertahankan kesucian dan kemuliaan Islam walau apa pun yang bakal dihadapi. Kita tidak akan membiarkan sama sekali Islam djadikan bahan persendaan. Islam tetap dijulang walau pun ia ditentang. Islam tetap berdiri gagah walau pun ada pihak yang cuba menyanggah. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 27 Jun 2008

Rasulullah DiJulang Jahiliah DiBuang


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w. Bangsa baginda adalah arab tetapi Islam yang dibawa dianuti oleh semua bangsa bukannya terbatas kepada bangsa arab sahaja. Tempat kelahiran baginda pula di Mekah namun dakwah Islam dirasai oleh umat seluruh pelusuk dunia tanpa terhad di sekitar bumi arab sahaja. Pada diri nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik. Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.



Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

قال الرسول e : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ

- متفق عليه

Maksudnya: Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia

Antara adab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada nabi ialah : [1] mentaati nabi dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia [2] Cinta kepada nabi dan menghormatinya lebih daripada segala yang lain [3] Cinta kepada orang yang dicintai oleh nabi dan benci kepada orang yang dibenci oleh nabi, redha dengan apa yang diredhai oleh nabi dan marah kepada apa yang dimarahi oleh nabi [4] Menjunjung tinggi nabi dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlak nabi [5] Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh nabi samada daripada urusan agama atau dunia [6] Menghidupkan sunnah nabi, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan nabi [7] Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam nabi dan dalam masjid nabawi bagi yang berkesempatan ke sana [8] Cinta kepada ulama’ dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana nabi cinta kepada golongan tersebut. Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab nabi benci dan memusuhi golongan ini



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Tanda kasih dan sayang kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w tidak cukup sekadar memuji sifat dan perjalanan hidupnya sahaja tetapi kita mesti melaksanakan segala ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kita juga wajib menjauhi segala tegahan yang disampaikan oleh nabi tanpa ada rasa ragu. Akhir-akhir ini kita dapati bagaimana media massa termasuk tv, radio, akhbar dan sebagainya cuba membangkitkan semangat kebangsaan atau perkauman sempit yang merbahaya terutama di negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Golongan yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa bangun menonjol diri kepada masyarakat dengan menyeru supaya kembali bersatu atas dasar bangsa demi memastikan kedaulatan bangsa terus dipertahankan. Golongan ini hanya bertempik menjaga kedaulatan bangsa setelah tersepit kerana kuasa mereka digoyah oleh rakyat yang bencikan kezaliman dan penindasan. Ketika berada dipuncak pemerintahan dengan kuasa begitu besar hasil sokongan rakyat maka kita dapati golongan ini tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab kepada bangsa dan agama membiarkan masalah murtad tanpa menghiraukan agar digubalkan suatu undang-undang berdasarkan Islam bagi menangani masalah yang menggugat agama ini. Golongan ini juga begitu rakus menarik bantuan kepada sekolah agama rakyat serta menuduh sebagai sarang pengganas sehingga banyak yang terpaksa ditutup, penafian biasiswa kepada pelajar dengan menukar kepada pinjaman riba yang membebankan, meruntuh masjid dan menyekat kebebasannya sedangkan dalam masa yang sama aktiviti maksiat dan hiburan melampau diberikan kebebasan yang sepenuhnya sehingga kerosakan akhlak rakyat bertambah melarat. Malah apa yang lebih malang apabila ketika berlangsungnya kempen pilihanraya baru-baru ini kita dapati adanya pihak tertentu yang menghina Islam dengan tindakan yang boleh merosakkan aqidah dengan menulis sepanduk “ Mampus Bersama Islam dan Hidup Melayu” , “ Pergi Jahannam Islam Hidup Melayu” dan seumpamanya. Inilah antara bahayanya bila berpegang kepada semangat kebangsaan yang sempit bila bangsa dianggap lebih berharga dan bernilai daripada agama sehingga golongan ini tanpa rasa bersalah sanggup menghina Islam. Kita mesti yakin bahawa mulianya sesuatu bangsa kerana berpegang kepada Islam dan hina serta mundurnya suatu bangsa kerana membuang Islam daripada kehidupan mereka. Ingatlah kita kepada kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur ketika beliau berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang berbunyi :

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ

Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan dengan sesuatu yang bukan apa yang telah dimuliakan kita dengannya iaitu Islam maka kita akan dihina oleh Allah.



Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Ketika menyambut Maulidurrasul ini kita sepatutnya ingat dan patuh kepada amaran keras nabi tentang bahayanya Assobiyah atau semangat kebangsaan sempit. Berjayanya Daulah Islamiah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w sehingga diteruskan oleh para Khulafa’ Rasyidin dan khalifah-khalifah Islam selepas itu sehingga menguasai dunia antaranya dengan menghapuskan semangat assobiyah yang merbahaya ini. Jatuhnya Khilafah Islamiah Turki sehingga umat Islam sampai hari ini berpecah tanpa tunduk pada suatu pemerintah antara puncanya ialah kejayaan yahudi dan Kristian membangkitkan semula semangat kebangsaan sempit sehingga orang arab terutamanya merasakan bahawa Khilafah Islamiah Turki untuk bangsa Turki bukannya untuk orang arab dan seluruh umat Islam sehingga mereka dengan semangat kebangsaan arab tanpa rasa bersalah menjatuhkan Khilafah Islamiah Turki. Kita sendiri pernah melalui peristiwa berdarah 13 Mei akibat perasaan perkauman yang sempit. Oleh itu kita jangan terpedaya dan tertipu dengan permainan golongan yang melaungkan semangat kebangsaan ini kerana mereka hanya mencari peluang untuk meraih simpati demi kepentingan peribadi bukannya untuk bangsa dan agama. Mereka ingin menutup penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, rasuah dan jenayah yang meningkat dengan laungan kebangsaan sempit. Ingatlah sebuah hadis daripada Jabir bin Mut’im

قال الرسول e : لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya : Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asobiyah, bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asobiyah dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati atas dasar asobiyah



Daripada Wa’iah bin al-Asqa’ katanya :

قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ الله! مَا العَصَبِيَّةُ؟ قَالَ : أَنْ تُعِيْنَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ

Maksudnya : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Apakah itu Asobiyah?. Lalu sabda baginda : Engkau menolong kaummu di atas dasar kezaliman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ