أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Rabu, 27 Mei 2009

Hati Rosak Punca Islam DiTolak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 258 surah al-Baqarah :
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim
Perbezaan antara hak dan batil begitu terang, percanggahan antara iman dan kufur begitu jelas, pertembungan antara Islam dan jahiliah begitu ketara. Pejuang Islam termasuk golongan nabi dan rasul sentiasa berdepan dengan musuh Islam yang menolak kebenaran walau pun pelbagai hujah dan dalil dikemukakan. Akibat hati yang rosak dipenuhi penyakit takabbur serta ditutup daripada menerima hidayah Allah maka kebenaran ditolak, kesesatan dipertahankan. Pada zaman nabi Ibrahim, ramai kalangan umatnya termasuk bapanya sendiri Azar menyembah berhala sehingga nabi Ibrahim begitu bersungguh-sungguh berhujah dengan mereka agar meninggalkan perbuatan syirik yang merugikan itu. Kekuatan hujah kebenaran Islam tidak mampu dilawan oleh golongan yang menentang Islam tetapi golongan yang kufur pada Allah akan menggunakan kekerasan walau pun mereka tahu mereka kalah dan bersalah. Begitulah nasib yang menimpa nabi Ibrahim yang dibakar dalam api oleh Namrud dan pengikutnya tetapi Allah tetap membantu nabiNya dan dakwah Islam. Kita pada ini yang berjuang Islam terus berdepan dengan pemimpin dan golongan yang tidak yakin dengan Islam. Mereka tidak menyembah berhala tetapi menyembah system ciptaan manusia dari pelbagai segi termasuk pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Apabila hujah golongan yang tidak yakin kepada system Islam ini dapat dipatahkan maka kekerasan digunakan termasuk ISA, ugutan, buang kerja dan sebagainya. Begitu juga dalam mempertahankan kuasa yang dimiliki maka pelbagai cara yang bercanggah dengan demokrasi apatah lagi Islam digunakan semaksima yang mungkin sehingga mandat rakyat dicabuli, undang-undang rimba disanjungi. Tidak pelik bila undang-undang Allah pun berani dilanggar apatah lagi undang-undang ciptaan manusia yang boleh dipermain sesuka hati

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam surah al-Ghafir ayat 23 - 24
ولقد أرسلنا موسى بئايـتنا وسلطن مبين إلى فرعون وهـمـن وقـرون فقالوا سـحر كذاب
Maksudnya : Sesungguhnya telah Kami utuskan nabi Musa dengan membawa keterangan Kami dan dalil yang nyata kepada Firaun, Haman dan Qarun lalu mereka berkata : “ Ini ahli sihir lagi pendusta”.
Perjuangan nabi Musa a.s pula menyaksikan bagaimana baginda terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah sehingga dia sanggup melawan Allah tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah berpunca daripada hati yang rosak bertindak memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu-padu yang akan menentangnya di kemudian hari. Menurut catatan Ibnu Kathir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki daripada kalangan bani Israel demi memastikan survival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan menggulingkannya. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Pemimpin jenis ini gemar mengapi-apikan isu perkauman bagi menjaga kepentingan diri sendiri serta menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah sistem demokrasi itu sendiri demi memastikan kuasa politiknya tidak tergugat. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 79 - 80 surah al-Qosas :
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
Maksudnya : Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar
Firaun dibantu oleh Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Firaun turut dibantu oleh Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal system pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, kongsi gelap dan sebagainya. Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Masad :
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ
Maksudnya : Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal
Perjuangan nabi Muhammad s.a.w sendiri terpaksa berdepan dengan manusia yang rosak hati termasuk bapa saudaranya sendiri Abu Lahab bersama isterinya. Walau pun merupakan antara ahli keluarga yang paling gembira ketika menyambut kelahiran nabi Muhammad s.a.w sehingga menyembelih banyak ekor unta dan memerdekakan hambanya Suwaibah namun apabila nabi mula menyatakan dakwah Islam maka Abu Lahab merupakan penentang utama kepada dakwah suci itu. Sehingga mati dia bersama isterinya sentiasa mencari jalan bagi menjauhkan umat manusia daripada menerima dakwah nabi. Kebanyakan hartanya digunakan bagi menentang perjuangan Islam. Oleh itu kita mesti menjauhkan diri daripada menjadi manusia yang rosak hati di mana hanya seronok menyebut tentang kemuliaan nabi Muhammad s.a.w tetapi menentang sunnah dan sistem Islam yang dibawanya. Islam tidak akan berjaya hanya sekadar menyebut tetapi wajib diikut
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 21 Mei 2009

Islam DiHina Umat Merana

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ...فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 77 surah al-Qosas :
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya : "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
Kini kita berada dipenghujung bulan Mei di mana pada bulan ini diadakan beberapa hari peringatan yang penting dalam kalendar masyarakat setempat mahu pun antarabangsa. Antaranya ialah Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei bagi mengenang jasa para pekerja yang mengerah segala usaha dan tenaga dalam memajukan pelbagai sektor yang membawa kepada kemajuan negara. Bila kita bercakap berkenaan dengan kerja maka Islam menggalakkan umatnya bekerja dengan mengikut lunas yang telah disyariatkan antaranya mestilah kerja itu adalah halal bukannya terlibat dengan perniagaan haram seperti arak, judi, riba dan sebagainya. Islam tidak melarang umatnya daripada bekerja dan mencari harta kekayaan asalkan menjaga batas syarak seperti menutup aurat, menjaga pergaulan antara pekerja lelaki dan perempuan, amanah dalam melaksanakan tugasan dengan menjauhi pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Kita tidak mahu umat Islam terkena racun yang disuntik oleh jarum yahudi yang menggalakkan pergaulan bebas antara pekerja yang menyebabkan berlakunya gangguan seks di tempat kerja. Islam juga mewajibkan manusia menjaga hak masing-masing samada hak majikan atau pekerja bawahan. Manusia mempunyai perasaan bukannya mesin yang boleh dilakukan sesuka hati sebagaimana ajaran kapitalisme yang menganggap pekerja adalah hamba majikan yang diikat dengan perjanjian sehingga masih ramai pekerja walau pun siang malam bekerja tetapi gaji yang diterima masih di bawah tahap kemiskinan sedangkan keuntungan yang dikaut oleh majikan begitu tinggi. Islam turut mengingatkan umatnya bahawa dalam mencari rezeki jangan melalaikan kita daripada mengingati Allah dan menambah bekalan akhirat kita. Jangan asyik mengejar dunia sehingga akhirat kita entah ke mana. Ingatlah suatu pesan nabi
قال الرسول  : لَوْ كَانَ ِلابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَ بْتَغَى ثَاِلثًا وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلا َّالتُّرَابُ وَ يَتُوْبُ اللهِ عَلَى مَنْ تَابَ
Maksudnya : Seandainya anak Sdam mempunyai 2 lembah harta tentu dia masih menginginkan lembah harta yang ketiga. Sedangkan yang sebenar memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah kuburnya dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat – HR imam Bukhari dan Muslim

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 14 surah Luqman :
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)
Bulan Mei juga disambut Hari Ibu walau pun ia merupakan amalan masyarakat barat yang semakin hilang perasaan hormat dan kasih pada ibu sehingga ramai ibu yang lebih rapat dengan kucing atau anjing belaan daripada anak-anak sendiri. Tidak salah untuk kita turut merai Hari Ibu asalkan jangan pada hari yang lain kita terus mengabaikan kebajikan terhadap ibu kita. Betapa ramai umat Islam sendiri pada hari ini yang kurang memberi perhatian sewajarnya terhadap ibu sedangkan ibu inilah yang berpenat lelah mengandung kita dalam kandungan selama 9 bulan seterusnya menyabung nyawa ketika melahirkan kita. Sikap mengejar kebendaan antara penyakit utama yang menyebabkan ramai ibu yang dipinggirkan. Sibuk dengan kerja, tidak ada masa luang dan pelbagai lagi alasan diberikan apabila ditanya berkenaan dengan kebajikan ibu. Ada yang rasa sudah cukup sekadar menghulurkan wang bulanan atau menyerahkan ibu untuk dijaga di rumah orang-orang tua. Apa yang malang apabila anak-anak ini tanpa rasa bersalah mengungkitkan segala pemberian mereka kepada ibu sedangkan mereka wajib sedar bahawa harga setitik air susu ibu tidak mampu dibayar dengan harta benda dunia. Ajaran yang diterima daripada kecil turut memberi kesan terhadap rasa tanggungjawab seorang anak terhadap ibunya. Jika pemikiran anak-anak tertanam bahawa wang adalah segalanya maka bagi mereka cukup sekadar wang sebagai tanda kasih pada ibu tanpa perlu lagi kepada perhatian dan kasih sayang. Betapa ramai ibu yang sanggup mati demi memastikan anaknya terus hidup sedangkan betapa ramai anak yang menginginkan ibunya lekas mati supaya tidak lagi menjadi bebanan hidupnya. Ingatlah Islam meletakkan ibu di tempat yang mulia. Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibu
عَنْ جَاهِمَة السُّلَمِيِّ جَاءَ إِلىَ رَسُوْلِ اللهِ  فَقَالَ : يَا رَسُوْلَ اللهِ أَرَدْتُ الغَزْوَ وَجِئْتُكَ أَسْتَشِيْرُكَ فَقَالَ : هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ, قَالَ: نَعَمْ, فَقَالَ : الزَمْهَا فَإِنَّ الجَنَّةَ عِنْدَ رِجْلَيْهَا
Maksudnya : Daripada Jahimah al-Sulami bahawa dia datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata : Wahai Rasulullah! Aku ingin berperang, dan aku datang untuk berbincang. Rasulullah bertanya : Adakah engkau mempunyai ibu?. Dia menjawab : Ya!. Rasulullah bersabda : Dampingilah dia sesungguhnya syurga terletak di kedua kaki ibu – HR al-Hakim

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 79 - 80 surah al-Qosas :
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
Maksudnya : Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar
Setiap 16 Mei disambut Hari Guru bagi mengenang jasa guru yang melahirkan manusia berjasa termasuk pemimpin negara. Pada hari ini kita bercakap berkenaan penderhakaan terhadap guru yang begitu ketara sehingga diperkatakan sekarang berkaitan mahu mengembalikan hukuman rotan di sekolah serta hukuman berat kepada Mat Rempit yang kebenyakannya remaja. Antara puncanya ialah dasar pendidikan negara yang lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi sesuai dengan peredaran zaman tanpa memberi penekanan kepada pendidikan agama sebagai perisai konkrit untuk berdepan dengan cabaran semasa. Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memilikii matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama. Indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya. Kita hidup dalam zaman fitnah di mana harta dipuja agama dihina, dunia dikejar akhirat ditinggal. Manusia lebih hormat kepada sesiapa yang mampu memberikannya kesenangan dunia daripada sayang kepada ulama’ yang menunjukkan jalan yang betul dalam mengurus dunia berasaskan agama serta bagaimana cara untuk meraih kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti.
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Munafiqun:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 14 Mei 2009

Islam DiTolak Penyakit Merebak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ...فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah :
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Setiap manusia inginkan ketenangan, kebahagiaan, belaian kasih sayang, keamanan dan kesejahteraan. Namun untuk mencapai matlamat yang baik ini memerlukan kepada kesungguhan dalam mencapainya dengan memenuhi syarat tertentu antaranya yang paling utama ialah tunduk kepada semua perintah Allah dan rasulNya dalam mengurus dunia berpaksikan agama dengan menjauhi hasutan hawa nafsu dan syaitan. Ia tidak dapat dicapai dengan mudah, tidak mampu diraih dengan senang malah perlu kepada pengorbanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan sistem yang telah digariskan oleh agama. Hanya undang-undangan dan sistem yang datangnya daripada Allah melalui rasulNya sahaja yang mempunyai kehebatan, keadilan, kesaksamaan serta jaminan pencegahan yang pasti tidak ragu-ragu lagi. Betapa malangnya apabila sikap ego dan sombong makhluk yang bernama manusia menolak peraturan Allah sehingga mereka bukan sahaja gagal menangani masalah malah menambahkan lagi penyakit dan bebanan yang sedia ada. Bila ubat mujarrab dibuang dan racun berbisa pula dijadikan ubatan maka manusia terus merana dan sengsara akibat kerosakan yang dibuat oleh mereka
Kita pada hari ini bercakap berkenaan rompakan, kecurian dan jenayah ragut yang tidak berkesudahan walau pun pelbagai hukuman digubal namun ia bukan sahaja tidak mengurangkan kes yang berlaku malah bertambah teruk dan kejam. Manusia ego dan bongkak tidak pernah mengaku kesalahan dan kegagalan undang-undang ciptaan manusia malah terus mencari beribu dalih untuk menghina hukum Islam. Manusia ego dan bongkak bila sanggup menolak hukum Allah maka tidak menjadi suatu perkara yang pelik untuk merosakkan sistem demokrasi yang dijulang selama ini. Jika perintah Allah pun dilanggar maka tidak pelik untuk merobek sistem ciptaan sendiri. Bila hak Allah pun dirampas apatah lagi hak rakyat jelata tanpa segan silu dicabuli. Akhirnya undang-undang rimba digunakan demi menjaga kuasa yang semakin hilang. Manusia rosak akhirnya lebih sesat daripada binatang yang tiada akal

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 173 surah al-Baqarah :
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kedegilan manusia juga menyaksikan bagaimana dunia semakin porak peranda dengan peperangan dan juga pelbagai penyakit merbahaya. Dunia yang belum bangkit lagi daripada masalah ekonomi yang menyaksikan kapitalis yang mendewa-dewakan amalan riba tersungkur menyembah tanah, kini dikejutkan pula dengan selsema babi di mana negara yang terlibat dengan kes jangkitan kini meningkat kepada 33 buah negara dengan anggaran keseluruhan sebanyak 5,915 kes yang disahkan dengan jumlah kematian iaitu 63 orang. Negara kita sendiri pernah dikejutkan dengan penyakit yang ada kaitan dengan babi ini apabila menularnya virus JE dan Nipah. Selsema babi ini menyebabkan merosotnya aktiviti pelancongan dan menyebabkan dunia menjadi kalut kerana bimbang penyakit ini menular. Semua ini membuka mata semua pihak terutama kita umat Islam bagaimana larangan Allah supaya tidak memakan daging babi ini banyak hikmatnya. Kita perlu menjaga makan minum kita agar tidak terbabit dengan bahan haram terutama dari unsur babi kerana kita pernah dihina dengan sosej yang diproses dengan usus babi, ayam dan daging diletak sekali dengan babi dan banyak lagi. Babi merupakan suatu binatang yang paling banyak membawa penyakit walau pun dipelihara dalam tempat yang canggih. Oleh itu kerajaan mesti mengawal pemeliharaan babi dan menghadkannya hanya untuk keperluan orang bukan Islam sahaja bukannya sehingga boleh dieksport. Cegah sebelum parah, sekat sebelum melarat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
قال الرسول  : فَيَكُوْنُ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ فِى أُمَّتِي حَكَمًا عَدْلاً وَإِمَامًا مُقْسِطاً يَدُقُّ الصَّلِيْبَ وَ يَذْبَحُ الخِنْزِيْرَ وَ يَضَعُ الجِزْيَةَ وَ يَتْرُكُ الصَّدَقَةَ
Maksudnya : … Maka Nabi Isa as akan menjadi pemerintah yang adil dan pemimpin yang lurus, mematahkan salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan meninggalkan zakat - HR Ibnu Majah
Bila kita menyebut bagaimana telah berlakunya pembunuhan babi secara besar-besaran di beberapa negara termasuk Mesir maka ia mengingatkan kita tentang antara tanda betapa hampirnya kiamat ialah pembunuhan babi oleh nabi Isa as antaranya sebagai tanda menolak dakwaan Kristian bahawa syariat yang dibawa oleh nabi Isa as sebelum ini menghalalkan babi. Malah kita pada hari ini tidak merasa pelik apabila mendengar bagaimana babi ini akan dibunuh kerana melihat kepada banyak penyakit yang dibawanya. Nabi Isa turut menghancurkan salib bagi menolak ajaran sesat Kristian yang mendakwa bahawa nabi Isa adalah anak Tuhan yang disalib oleh yahudi. Manakala Jizyah pula tidak lagi dikutip daripada orang kafir kerana mereka masuk Islam atau pun mati samada tercium nafas nabi Isa as atau dibunuh. Begitu juga zakat tidak lagi dipungut kerana tiada lagi orang yang berhak menerima zakat kerana hidup dalam keadaan aman sejahtera.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita merasa pelik apabila adanya usaha dalam menukar nama selsema babi kepada influenza A (H1N1). Penukaran nama ini tidak menyelesaikan masalah malah seolah menggalakkan lagi penternakan babi disamping tidak menakutkan orang ramai daripada memakan babi sebagaimana bila kes selsema burung dulu ramai orang takut untuk makan ayam dan spesisnya. Budaya tukar nama ini bukan cara terbaik dalam menangani masalah atau menghalalkan suatu hukum seperti tukar nama riba kepada interest, bunga atau faedah. Tukar nama rasuah kepada politik wang. Malah dalam suatu hadis disebut bagaimana arak ditukar nama untuk menghalalkannya
قال الرسول  : لَيَشْرَ بَنَّ نَاسٌ مِّنْ أُمَّتِي الخَمْرَ يُسَمُّوْنَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُؤُوْسِهِمْ بِالمَِعَازِفِ وَالمُغْنِيَّاتِ يَخْسِفُ اللهُ ِبهِمُ الأَرْضَ و َيَجْعَلُ مِنْهُمُ القِرَدَ ةَ وَ الخَنَازِيْرَ
Maksudnya : Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama lain. (Mereka meminum arak) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah akan merubah mereka menjadi kera dan babi - HR Ibnu Majah
Pada hari ini ramai manusia berubah sikap menjadi kera iaitu walaupun dianugerahkan banyak nikmat oleh Allah tetapi tidak disyukuri malah melawan sistem Allah dan derhaka kepadaNya tanpa rasa malu dan takut. Ramai merasa bangga bila dapat melompat seperti kera atas pentas hiburan dan menjadi mat rempit atas jalan raya yang menyusahkan orang ramai. Begitu juga ramai bersifat seperti babi yang tiada perasaan cemburu sehingga seorang lelaki yang hilang rasa cemburu tidak merasa apa-apa bila melihat isterinya bersama lelaki lain, dan seorang bapa tanpa rasa bertanggungjawab untuk melarang apabila melihat anak perempuannya bersama lelaki asing. Babi juga mempunyai tabiat makan yang begitu buruk dan kotor sehingga sanggup memuntahkan makanan dalam perut demi mengisi makanan yang baru disamping sanggup makan muntahnya sendiri. Begitulah manusia hari ini yang hidupnya tanpa arah tuju dan matlamat hidup hanya memikirkan makan dan hiburan melampau sahaja. Makan apa sahaja tanpa mengira halal dan haram ditambah dengan sanggup merampas, mencuri hak orang lain demi memenuhi perut sendiri. Pastikan kita dan masyarakat tidak bersikap buruk seperti itu dengan menjaga agama dan melaksanakannya dalam kehidupan seharian. Manusia menjulang agama pasti mulia di dunia sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Manakala manusia menentang agama pasti lebih hina daripada binatang yang melata
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 6 Mei 2009

Jihad Kendur Umat Mundur

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ...فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Kini kita berada pada pertengahan bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tidak lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Kita boleh faham daripada tindakan Rasulullah s.a.w ini bahawa tidak salah orang bukan Islam diberi peluang untuk membaca ayat al-Quran bukan untuk tujuan menghina tetapi untuk mengkaji keindahan al-Quran dan penyebaran dakwah Islam. Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara umat Islam bukan sahaja merasa malu dan takut untuk menyebarkan Islam malah bertindak biadap menghina sistem Islam disamping menampilkan imej yang buruk akibat pecah amanah dan rasuah dan skandal moral yang lain

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
ولا يصدنك عن ءايت الله بعد إذ أنزلت إليك وادع إلى ربك ولاتكونن من المشركين
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu daripada (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
Rasulullah s.a.w yang menerima berita tentang pengkhianatan terhadap utusannya itu lalu mengumpul 3000 orang tentera Islam dalam waktu yang singkat untuk keluar ke Mu’tah. Penghantaran tentera ini bukan atas misi membalas dendam sebaliknya Rasulullah s.a.w telah meletakkan tujuan utama ialah berdakwah dengan mengajak terlebih dahulu penduduk Mu’tah agar memeluk Islam dan jika mereka enggan serta terus berkeras untuk berperang barulah serangan boleh dimulakan. Tindakan tegas ini mengajar kita tentang betapa pentingnya umat Islam memilih pemimpin yang takutkan Allah bukannya pengecut dengan musuh barulah maruah dan nyawa umat Islam dapat dibela. Kita berasa sedih apabila pada hari ini bukan seorang umat Islam yang dibunuh terutama di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Filiphina dan selainnya namun tiada pemimpin negara umat Islam yang bangun membela sehingga musuh Islam lebih bermaharajalela dalam membaham dan meratah tubuh saudara seagama. Kebanyakan pemimpin negara umat Islam lebih memikirkan bagaimana mahu menambahkan kekayaan peribadi dan bagaimana mahu mengekalkan kuasa yang sedia ada bukannya untuk memperpejuang agama
Peperangan Mu’tah juga memberi pengajaran penting apabila Rasulullah s.a.w turut memberi arahan kepada tentera Islam agar tidak membunuh golongan kanak-kanak, wanita, orang tua serta tidak mengerat pohon-pohon dan tidak pula memusnahkan rumah kediaman penduduk. Inilah ia keadilan dan kemuliaan Islam yang menghormati hak kemanusiaan musuh terlebih dahulu bersama dengan usaha dakwah di mana peperangan hanya dijadikan tindakan terakhir apabila musuh terus berkeras untuk melawan walau pun telah diberi peluang untuk berdamai dan tunduk kepada keadilan Islam. Ini berbeza dengan tindakan kejam musuh Islam pada hari ini terutama pengganas dunia Amerika Syarikat dan zionis yahudi yang tidak pernah menghormati perjanjian Ganeva yang dipersetujui oleh mereka sendiri apabila bertindak kejam membunuh orang awam dan mengebom bangunan Hospital, sekolah, masjid dan sebagainya tanpa rasa salah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan Mu’tah juga menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti. Ujian pertama yang terpaksa mereka lalui apabila mendapat berita bahawa musuh telah pun bersiap sedia dengan angkatan tentera seramai 200 ribu orang sehingga ada tentera Islam mencadangkan agar mereka berundur terlebih dahulu bagi meminta bantuan tambahan dari Madinah. Dalam keadaan kelam kabut ini lalu Abdullah bin Rawahah bangun sambil memberi semangat kepada tentera Islam dengan katanya : “ Demi Allah! Adakah kita benci dengan sebab keluarnya kita ke Mu’tah iaitu untuk untuk memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan untuk beradu kekuatan tetapi datangnya kita ke sini adalah untuk Islam yang telah memuliakan kita. Oleh itu maralah kita ke medan peperangan kerana di sana 2 kebaikan pasti kita perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama dengan keredhaan Allah”.
Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana hanya 12 tentera Islam gugur syahid termasuk tiga panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w di mana kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Sayyidina Khalid ibnu Walid. Semangat jihad inilah yang digeruni oleh musuh Islam sehingga telah banyak usaha termasuk dalam merombak sukatan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir dan lain-lain supaya umat Islam mandul jihad dan tidak lagi bangkit menentang keganasan kuffar. Sekiranya terus ada pejuang Islam yang cintakan mati syahid bagi berdepan dengan tentera kuffar yang takut mati maka selagi itulah kuffar akan berdepan dengan tentangan sengit yang menakutkan. Umat Islam dimandulkan jihad mereka dengan kejahilan terhadap agama meraka sendiri, tenggelam dalam hiburan yang melalaikan, lemas dalam cinta dunia dan takutkan mati. Pemikiran umat Islam dipenuhi dengan cara hidup kuffar di mana ikutan mereka adalah artis, bintang sukan dan sebagainya. Bahan bacaan mereka adalah bahan hiburan yang merosakkan. Malah cara berpakaian bukan sahaja jauh daripada sunnah nabi malah bertentangan dengan syariat Islam seperti pemakaian gelang getah di kalangan remaja lelaki dengan pelbagai warna sedangkan ia adalah racun musuh di mana setiap warna melambangkan kumpulan anti Islam yang tertentu seperti gelang warna Putih untuk penyokong zina dan pengguguran anak, Merah untuk penganut Kristian yang menyokong McDonalds menyumbang kepada Amerika Syarikat bagi membantu zionis Yahudi, Oren untuk mendoakan usaha pendakyah Kristian, Kuning untuk memperingati Pope John Paul II, Hijau untuk menyokong ketenteraan Amerika, Warna Pelangi lambang merasa bangga menjadi ’say’ dan ’lesbian’ dan menyokong perkahwinan sejenis, Merah Putih lambang kebebasan bersuara termasuk menyokong penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w dan warna Biru Putih lambang menyokong zionis Yahudi menceroboh bumi Palestin. Pastikan masyarakat kita menjauhi cara pemakaian yang merosakkan ini
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
ياأيها الذين ءامنوا إن تطيعوا الذين كفروا يردوكم على أعقــبكم فتنقلبوا خــسرين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ