أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 22 Oktober 2009

Maksiat Diburu Bala DiTunggu

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1 – 6 surah al-Waqi’ah :
إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ إِذَا رُجَّتِ الْأَرْضُ رَجًّا وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا
Maksudnya : Apabila berlaku hari kiamat itu, Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran
Kita kini dapat menyaksikan bagaimana umur dunia kini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Bukit dan gunung yang dulu teguh berdiri kini mula hancur musnah. Tanah yang tetap terhampar kini bergegar dan runtuh yang menelan bangunan dan manusia. Angin pula bertukar menjadi ribut ganas yang memusnahkan harta dan meragut nyawa manusia. Laut bergelora begitu kuat sehingga memusnahkan daratan. Air hujan melimpahkan air yang begitu banyak sehingga berlakunya banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. Api yang dulu jadi kawan kini membakar hutan dan bangunan. Manakala manusia mula merusuh tidak tentu hala sehingga keamanan yang dikecapi selama ini mula hancur dan musnah. Kesemua peristiwa yang berlaku mestilah diambil pengajaran yang sepatutnya terutama dalam mengingatkan kita bagaimana dunia semakin dekat kepada hari qiamat. Keadaan pada hari ini sudah begitu teruk apatah lagi bila berlakunya qiamat nanti. Masa berlalu begitu pantas tanpa menunggu umat manusia samada telah bersedia untuk menuju akhirat atau terus terpedaya dengan tipuan dunia. Ingatlah kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Anas bin Malik katanya :
قال الرسول  : لاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَكُوْنُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالجُمْعَةِ وَتَكُوْنُ الجُمْعَةُ كَاليَوْمِ وَيَكُوْنُ اليَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَتَكُوْنُ السَّاعَةُ كَالضَّرْمَةِ بِالنَّارِ
Maksudnya : Tidak akan berlaku qiamat sehingga masa menjadi terlalu singkat. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seumpama seminggu, seminggu pula dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seolah-olah satu jam sahaja dan satu jam berlalu bagaikan satu percikan api sahaja

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan kepada kita bagaimana keadaan umat akhir zaman dengan qiamat terlalu dekat ibarat dua jari yang bersebelahan sahaja. Bila kita lihat apa yang berlalu disekeliling kita menunjukkan bahawa hampir kesemua alamat atau tanda-tanda qiamat yang diberitahu oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w telah pun berlaku antaranya sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:
قال الرسول  : مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ
Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki
Akibat buta agama dan lari daripada melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan seharian maka pelbagai jenayah dan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita. TV dan akhbar tidak sunyi daripada menyiarkan berita tentang rompakan, pembunuhan dan buang anak akibat penzinaan yang semakin parah. Walau pun sudah terlalu banyak peringatan Allah terutama yang terbaru selsema babi, ribut taufan Filiphina dan gempa bumi Indonesia namun pengajaran yang sepatutnya mengetuk hati manusia tidak digunakan. Manusia sentiasa mencari alasan bahawa itu semua adalah bencana alam contohnya gempa bumi berlaku kerana Indonesia berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’ sedangkan Malaysia berada di luar kawasan bahaya itu. Ingatlah bahawa ia tidak mustahil berlaku terutama berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak walau pun tidak sekuat dan sedahsyat negara lain. Jangan tunggu bala musibah menimpa atas batang hidung sendiri batu mahu insaf dan bertaubat kepada Allah. Takutlah kepada Allah sepanjang masa dan tempat bukannya takut kepada kepada penyakit dan bencana alam. Kita begitu sedih dan marah dengan kenyataan menghormati Ramadhan dan takut selsema babi menyebabkan sambutan kemerdekaan disambut sederhana tetapi bila konsert kumpulan hip hop Amerika pada 25 September lalu sempena ulangtahun ke 250 jenama arak Guiness Stout maka segalanya halal. Begitu juga halalnya konsert penyanyi kulit hitam yang terkenal dengan imej lucah dan rosak akhlak yang asalnya dijadualkan esok tetapi ditangguhkan bukannya diharamkan terus. Tiada lagi kedengaran suara yang menyatakan takut pada selsema babi dan sebagainya. Jika dibiarkan makhluk perosak ini bermaharajalela mempermainkan Allah maka tunggulah saat kehancuran. Pilihlah samada kita terus membiarkan maksiat dan menunggu bala yang dahsyat atau kita bangkit menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar dan mendapat keberkatan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 179 surah al-A’araf :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
Mimbar Jumaat pada hari ini tidak ketinggalan untuk mengajak kita untuk merenungi beberapa peristiwa pelik lain yang berlaku sekeliling kita seperti sejadah berdiri seolah-olah sedang solat di beberapa tempat di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang yang terus disiasat samada ia betul-betul terjadi atau pun bahan permainan budak nakal. Jika benar-benar berlaku maka ambillah iktibar bukannya dijadikan bahan khurafat seperti untuk menyedarkan umat Islam agar sentiasa menjaga solat terutama secara berjemaah. Kita mesti menangani masalah meninggal solat yang semakin parah dalam masyarakat kita pada hari ini terutama bila mendengar suatu kajian di mana 95 peratus pelajar sekolah menengah dan sekurangnya 60 peratus pelajar universiti tidak lengkap solat.
Kita juga tertarik dengan komen Majlis Mufti Rusia yang menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia 9 bulan di selatan Rusia merupakan amaran Allah kepada semua penduduk Islam di Rusia dan seluruh dunia agar mengikuti perintah Allah dengan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan membersihkan diri daripada dosa yang membolehkan kita mendapat keampunan dan keredhaan Allah. Jadilah kita sebagai hamba Allah yang sentiasa hidup hatinya iaitu diberitahu tentang pahala dan syurga maka berebut untuk mendapatkannya manakala bila disebut tentang bahaya dosa dan neraka maka gementar hati memikirkannya. Jangan sekali-kali kita menjadi manusia yang mati hati walau pun telah banyak peringatan yang didatangkan oleh Allah namun dia bukan sahaja tidak mengambil iktibar malah bertambah jahat melawan Allah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika menyoroti gempa bumi di Padang maka ambillah iktibar sewajarnya seperti ada dakwaan bahawa penduduk di sesetengah tempat di sana ada yang membayar nazar dengan menziarahi makam Syeikh Burhanudin setiap bulan Sofar, anak muda hidup cara barat dengan melakukan maksiat terang-terangan, ada sambutan perkahwinan yang dihidang arak sebagai tradisi, pesta Aidilfitri dengan maksiat di tepi pantai dan bulan Ramadhan yang turut dicemari maksiat. Kesemua penderhakaan ini memang mengundang bala Allah. Menyedari tentang betapa pentingnya tugas amar makruf nahi mungkar dalam membentuk sebuah negara yang aman dan diberkati Allah maka marilah kita sama-sama meningkat usaha ke arah memperkasa tugas yang mulia ini. Kita tidak mahu akibat mengabaikan tugas yang penting ini menyebabkan lebih banyak bangunan termasuk stadium, makmal sekolah, jalan bertingkat, masjid dan sebagainya runtuh bukan disebabkan gempa bumi sebaliknya akibat amalan rasuah dan pecah amanah dalam proses pembinaannya. Lahirkanlah dalam negara kita pemimpin yang amanah takutkan Allah bukannya pemimpin yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan menipu rakyat, Ulama’ akhirat yang menjadi penegur dalam memperbetulkan keadaan bukannya pengampu yang menambahkan lagi masalah sedia ada dan juga rakyat bawahan yang sentiasa cintakan cara hidup Islam. Ingatlah kepada amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Huzaifah :
قال الرسول:  لَتَأْمُرَنَّ بِالمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
Maksudnya: Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau jika tidak nescaya siksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar siksaan itu dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 15 Oktober 2009

Maksiat DiSisih Kemenangan DiRaih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 152 Surah Ali ‘Imran :
وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُمْ بِإِذْنِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا أَرَاكُمْ مَا تُحِبُّونَ ۚ مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ ۖ وَلَقَدْ عَفَا عَنْكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
Bulan Syawal buat sekian kalinya bakal meninggalkan kita di mana setiap kali berada dibulan Syawal maka ia mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah diikuti dengan Peperangan Ahzab atau Khandak yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah dan juga Peperangan Hunain yang berlaku pada tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan besar ini menyedarkan kita bagaimana api permusuhan kuffar terhadap Islam tidak pernah padam malah terus membara serta ia tidak mengenal tempat dan masa. Jika Rasulullah s.a.w bersama para pejuang Islam terpaksa berdepan dengan musuh yang nyata pada bulan Syawal sedangkan kita pada hari ini ramai yang kecundang dengan nafsu syahwat dan syaitan pada bulan Syawal yang diisi dengan program maksiat meminggirkan terus hasil tarbiah Ramadhan yang lalu. Betapa ruginya bila diri yang telah bersih kembali kotor dengan dosa. Betapa malangnya jiwa yang suci kembali dicemari oleh jijiknya maksiat

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Melalui ketiga-tiga peperangan ini kita dapati pelbagai pengajaran penting yang mesti diambil antaranya ialah bahawa proses menang dan kalah merupakan suatu ketentuan Allah bukannya datang secara kebetulan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”. Perjuangan Islam tidak dijanjikan dengan kemenangan yang mudah sebaliknya memerlukan kepada kesungguhan dan istiqamah. Kemenangan Islam tidak datang melayang sebaliknya menuntut kepada pengorbanan dan keikhlasan. Janji kejayaan daripada Allah tidak diperolehi dengan jalan yang senang sebaliknya menuntut kepada semangat kental dan kepatuhan. Bolehkah kita berjaya jika musuh Islam berusaha siang dan malam dalam menghancurkan kita sedangkan ramai umat Islam tenggelam dalam maksiat hampir keseluruhan masa. Bolehkan kita menang jika musuh Islam menggunakan seluruh kekuatan yang ada untuk merosakkan kita sedangkan umat Islam lebih senang berehat dan berhibur daripada memperjuangkan Islam. Mampukah kita mengalahkan musuh jika kita pun berperang untuk mengaut keuntungan dunia dan takut pada kematian sebagaimana musuh. Jangan banyak bertanya kepada Allah mengapa kita belum menang sebaliknya perbaikilah kelemahan yang masih ada dalam diri sendiri agar memenuhi syarat kemenangan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini juga maka kita mengucapkan takziah kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia. Kita juga wajib mengambil iktibar daripada peristiwa yang dahsyat ini untuk memperbaiki diri agar menjadi hamba yang taat setia kepada Allah bukannya golongan penderhaka. Bila kita mengkaji tentang Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 petang [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 petang [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya 1 Oktober jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi. Apabila kita selaraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 bersamaan Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 bersamaan Surah ke 17 ayat ke 58 ] dan [ Jam 8:52 bersamaan Surah ke 8 ayat ke 52 ]. Secara susunan dalam al-Quran maka surah ke 17 ialah surah al Israa' manakala surah ke 8 ialah surah al Anfaal .
Bila direnungi satu persatu ayat-ayat tersebut iaitu bermula dengan firman Allah dalam surah al -Israa’ ayat 16 :
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Maksudnya : “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
Diikuti dengan firman Allah dalam surah al -Israa’ ayat 58 :
وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا
Maksudnya : “Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).”
Manakala firman Allah dalam surah al -Anfaal ayat 52 :
كَدَأْبِ آلِ فِرْعَوْنَ ۙ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.
Ayat - ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Kita juga mesti ingat bahawa musibah yang datang jika ia dilalui dengan penuh kesabaran maka Allah datangkan pahala yang lebih besar serta pengampunan dosa dan kita juga doakan agar saudara yang meninggal dunia dalam musibah ini diberi oleh Allah dengan ganjaran yang baik. Ingatlah bahawa orang yang ditimpa musibah antara orang yang dikasihi oleh Allah jika ia mampu dihadapi dengan tabah kerana golongan yang paling banyak dan teruk dikenakan bala atau ujian oleh Allah ialah para nabi sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Mas’ab bin Sa’ad daripada ayahnya:
قُلْتُ : يَارَسُوْلَ اللهِ أَىُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاءً؟ قَالَ : الأنْبِيَاءُ ثُمَّ الأمْثَلُ فَالأمْثَلُ . يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِيْنِهِ فَإِنْ كَانَ فِى دِيْنِهِ صُلْباً اِشْتَدَّ بَلاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِى دِيْنِهِ رِقَّةً اُبْتُلِىَ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِ فَمَا يَبْرَحُ البَلاءُ بِالعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الأرْضِ وَمَاعَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ
Maksudnya : Aku bertanya : wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan manusia yang paling kuat ujiannya? Sabdanya : Para nabi kemudian seumpamanya maka sepertinya. Diuji seorang lelaki mengikut kadar agamanya, sekiranya agamanya kuat maka semakin kuat ujiannya dan jika agamanya lemah maka diuji mengikut kadar agamanya. Sentiasa berlangsung ujian ini sehingga ia berhenti, berjalan dia di atas muka bumi ini sedangkan tiada lagi dosa di atasnya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ahad, 11 Oktober 2009

Jauhi Maksiat Perolehi Berkat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu :
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman
Kita masih berada dalam bulan Syawal di mana suasana sambutan hari raya masih terasa bagi sesetengah tempat. Bulan Syawal sewajarnya dijadikan bulan muhasabah dalam menghitung diri kita dari segi kualiti dan kuantiti amal ibadat kita samada semakin bertambah serta cemerlang atau sebaliknya. Kehadiran Syawal yang datang selepas tarbiah Ramadhan biasanya menzahirkan pembahagian manusia samada hanya setakat menjadi hamba Ramadhan iaitu golongan yang hanya rajin beribadat dan berakhlak mulia pada bulan Ramadhan sedangkan setelah berlalunya Ramadhan kembali menjadi manusia yang derhaka kepada Allah. Golongan yang benar-benar berjaya hasil tarbiah Ramadhan ialah yang berjaya menjadi hamba Allah yang meneruskan tarbiah tersebut pada 11 bulan yang lain. Tanyalah diri kita sekiranya pada bulan Ramadhan yang lepas mampu berjemaah di masjid atau surau bagaimana sesudah Ramadhan. Jika Ramadhan yang lepas kita mampu solat sunat berpuluh malah beratus rakaat bagaimana sekarang. Jika Ramadhan yang lepas mampu khatam al-Quran bagaimana hari ini di mana berapa juzu’ atau helai yang telah dibaca. Jika Ramadhan yang lepas kita mampu berpuasa sebulan bagaimana hari ini adakah mampu mengerjakan puasa sunat sekurangya pusat sunat Syawal. Berubahlah ke arah yang terbaik terutama dalam menambah bekalan akhirat
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-A’araf :
وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar
Syawal juga merupakan bulan kemenangan yang mesti kita hayati syarat kemenangan sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutama ketika mencapai kemenangan gemilang dalam peperangan Ahzab yang bermaksud tentera bersekutu kuffar atau Khandak yang bererti parit yang digali dalam menyekat kemaraan musuh Islam. Begitu juga kemenangan dalam peperangan Hunain walaupun menerima kejutan serangan musuh pada peringkat pertama. Perjuangan Islam tidak dijanjikan dengan kemenangan yang senang sebaliknya menuntut kepada pengorbanan dalam berdepan dengan pelbagai halangan. Perjuangan Islam tidak dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah dalam berdepan dengan musuh yang bernafsu serakah. Oleh itu dalam menghadapi musuh maka kita kena kenal siapa musuh kita yang sebenar melalui ilmu yang bertunjangkan al-Quran dan hadis nabi bukannya berdasarkan hawa nafsu
Kita berasa sedih dan marah apabila ada golongan yang mengaku Islam tetapi bergerak menjadi lidah kepada musuh Islam seperti Isu sebat Kartika Sari Sukarno yang kembali bergolak dan menjadi tumpuan masyarakat selepas Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Persamaan Gender (JAG) yang turut disertai Sisters in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu, mendesak Kerajaan Persekutuan dan negeri memansuhkan undang-undang jenayah Syariah yang sekian lama berkuatkuasa di negara kita. Tindakan JAG itu mencemarkan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang Islam bukan baru diadakan dan ia wujud sejak empayar Kesultanan Melayu Melaka. Melaka bukan saja berperanan sebagai pusat penyebaran Islam, malah sistem pentadbirannya juga berteraskan Islam dengan melaksanakan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang berpaksikan Islam. Sekiranya umat Islam menerima cadangan pemansuhan JAG ini bermakna kita bakal kembali ke zaman sebelum kedatangan Islam. Ia juga akan menjadikan Malaysia seperti negara yang walaupun majoriti rakyatnya Islam, tetapi tidak mempunyai undang-undang yang boleh membendung kesalahan syariah, perilaku moral dan akhlak, sehingga masalah sosial semakin berleluasa dan meruncing. Golongan ini mesti dibanteras samada memanggil mereka untuk berbincang atau diambil tindakan sebagaimana ajaran sesat lain dengan dipaksa untuk ditarbiah dan diberi kefahaman tentang Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1 dan 2 surah al-Hajj:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
Maksudnya : Wahai umat manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari qiamat itu adalah suatu yang dahsyat. Hari itu kamu dapati goncangan itu menyebabkan lalai semua perempuan yang menyusui anak daripada anak yang disusuinya, gugurlah perempuan yang hamil dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk sedangkan mereka sebenarnya bukan mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat keras
Ketika berseronok menyambut kedatangan Syawal maka kita dapat saksikan bagaimana ribut beserta banjir besar yang melanda Filiphina yang turut dirasai di negeri kita bila banyak kampung yang terkena ribut yang memusnahkan harta benda. Kemudian berlaku pula gempa bumi di Indonesia di mana bila kita mendengar dan membaca pengalaman mangsa maka ini semua mengingatkan kita bagaimana usia dunia semakin uzur dan semakin dekat dengan berlakunya qiamat. Jika peristiwa yang meragut betapa banyak nyawa dan meranap harta benda inipun sudah dirasai dahsyat maka bayangkanlah bila bumi dan langit ini akan digulung dan dihancurkan bila berlakunya qiamat yang sebenar nanti. Ambillah pengajaran yang berguna daripada apa yang berlaku di hadapan mata. Akuilah bahawa ia adalah tanda kekuasaan Allah bukannya berselindung atas nama bencana alam sahaja. Insaflah diri, banyakkan bertaubat dan istighfar, jauhilah maksiat. Jangan tunggu bala ini berlaku atas batang tubuh kita baru mahu insaf maka semuanya sudah terlewat dan tiada guna lagi
Ingatlah bahawa bala Allah bila datang tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang kufur dan melakukan kemungkaran ataupun golongan beriman dan melaksana suruhan Allah. Manusia ini terbahagi kepada dua iaitu satu yang kufur dan satu lagi beriman. Bagi yang kufur, memang apa yang berlaku merupakan azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas daripada azab yang lebih dahsyat di akhirat nanti sebagaimana keadaan Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini. Bagi golongan beriman pula, ini adalah musibah yang mereka terima di dunia tetapi dijanjikan dengan pelepasan daripada azab di akhirat nanti dimana bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian maka musibah yang didatangkan sebagai kaffarah iaitu penghapusan dosa atas kesalahan yang dilakukan atau untuk menambahkan lagi keimanan kepada Allah. Jauhi maksiat untuk raih berkat, jauhi dosa untuk hindari bala
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 25 surah al-Anfal :
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan takutlah kamu kepada siksaan yang tidak diturunkan khusus terhadap orang-orang yang zalim di antara kamu sahaja. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya
Tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu Pertama mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.
Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.
Ketiga ialah orang soleh yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat atas kesabaran ketika menerima ujian Allah SWT di dunia
Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang bersyukur atas nikmat yang diberi dan bersabar atas bala musibah yang dihadapi
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ