أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 24 Februari 2011

Kepimpinan nabi Muhammad s.a.w DiPilih Kebahagiaan DiRaih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 2 surah Muhammad :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۙ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ
Maksudnya : Dan orang-orang beriman dan mengerjakan amalan soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka,Allah akan menghapuskan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka
Manusia akan sentiasa bercakap tentang insan yang paling istimewa dalam kehidupannya sehingga tidak jemu-jemu memujinya. Bila sahaja disebut nama orang yang disayangi maka dia merasa begitu semangat untuk membicara tentangnya. Begitulah keadaan kita sebagai umat Islam yang cintakan nabi Muhammad s.a.w sentiasa berasa seronok dan gembira untuk menyebut nabi baginda dan mengetahui sirah perjalanannya. Umat yang benar-benar cinta kepada Allah dan rasulNya akan berasa bangga untuk memberitahu kepada dunia tentang kehebatan nabi Muhammad s.a.w yang berjaya mengubah keadaan dunia daripada kelam kufur kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam. Kita akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang merendah-rendahkan nabi Muhammad s.a.w sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada rasul mulia ini. Nabi Muhammad s.a.w menjadi ikutan utama kita dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kerana baginda bukan sekadar memberitahu sebaliknya baginda melaksanakannya untuk mudah ditiru oleh kita semua. Kita wajib bersyukur kepada Allah yang mengutuskan nabi Muhammad sa.w yang begitu banyak berjasa kepada kita, jasa nabi bukan sebarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar. Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya : Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya
Nabi Muhammad s.a.w telah ditarbiah sejak dari kecil dengan kesusahan demi kesusahan disamping menjauhi amalan syirik dan merosakkan akhlak walau pun berada disekeliling masyarakat jahiliah. Sesuai dengan keadaan nabi Muhammad s.a.w yang pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu maka baginda begitu mengambil berat tentang anak yatim serta sentiasa menggalakkan umat Islam supaya mengasihi anak yati disamping begitu murka terhadap sesiapa yang menzalimi anak yatim. Begitu juga dengan kehidupan nabi Muhammad s.a.w yang menjauhi kehidupan mewah bertujuan mendidik umatnya agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama. Kemiskinan yang dilalui oleh nabi bukannya disebabkan baginda pemalas kerana betapa banyak harta baginda yang dikorbankan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Nabi Muhammad s.a.w banyak kali menolak tawaran kemewahan samada daripada musuh Islam mahu pun permintaan daripada malaikat bertujuan menjaga keikhlasan umat Islam supaya memeluk Islam kerana Allah bukannya untuk mengejar kemewahan. Banyak kisah yang dibentangkan kepada kita tentang kehidupan nabi Muhammad s.a.w yang susah namun kemiskinan nabi bukan membawa kepada kehinaan sebaliknya dilihat oleh pemimpin dunia sebagai suatu kehebatan dan pengorbanan yang begitu mulia dalam membela nasib manusia

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Antara kisah tentang nabi Muhammad s.a.w yang hidup jauh daripada kemewahan bertujuan mendidik umatnya agar tidak hanyut dengan nikmat dunia yang sementara serta banyak berkorban untuk Islam disamping menyuburkan sifat mengambil berat tentang penderitaan orang lain. Imam Bukhari meriwayat daripada saudara Ummul Mukminin Juwairiyah bt Harith semasa baginda wafat tidak meninggalkan walau pun satu dirham. Baginda juga tidak meninggalkan seorang hamba lelaki atau perempuan. Baginda sekadar meninggalkan seekor keldai, sehelai pakaian perang dan sebidang tanah kecil yang kemudiaannya disedekahkan.
Imam Ahmad riwayat daripada Abdullah bin Abbas tentang kisah Sayyidina Umar al-Khottab semasa beliau menziarahi nabi di mana kata Umar : Aku pun duduk dan aku lihat bekas tikar pada tubuh nabi Muhammad s.a.w. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung..lalu aku pun terus menangis. Nabi Muhammad s.a.w terus bertanya : Wahai Ibnu Khottab. Mengapa engkau menangis? Aku menjawab : mengapa tidak ya Rasulullah! Aku ternampak bekas tikar kasar ditubuhmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan Maharaja Rom dan Parsi yang hidup dalam kelazatan sedangkan engkau adalah nabi hidup seperti ini. Lalu nabi terus bersabda : Wahai Ibnu Khottab, apakah engkau tidak redha bahawa bagi kita adalah akhirat dan bagi mereka hanya dunia?
Imam Thobrani pula meriwayatkan daripada Sahl b Saad : Pada suatu hari nabi sakit dan pada masa itu baginda mempunyai wang emas sebanyak tujuh dinar lalu diberikannya kepada Siti Aisyah supaya diberikan kpd Sayyidina Ali untuk disedekahkan. Baginda kemudiannya pengsan beberapa kali dan setiap kali sedar baginda menyoal Siti Aisyah mengenai wangh emas itu sehingga akhirnya wang emas itu diserahkan kepada Sayyidina Ali lalu disedekahkan
Begitu juga Imam Tirmizi meriwayat daripada Siti Aisyah bahawa keluarga nabi Muhammad s.a.w tidak pernah kenyang memakan roti gandum dua hari berturut-turut sehingga baginda wafat
Imam Tirmizi meriwayat daripada Anas b Malik bahawa tidak pernah nabi Muhammad s.a.w makan di atas meja dan tidak pernah baginda makan roti halus iaitu daripada jenis tepung yang baik sehinggalah baginda wafat
Imam Tirmizi meriwayat daripada Siti Aisyah : Nabi menjahit sendiri kasut dan baju baginda yang koyak
Cara hidup dan pemerintahan nabi diteruskan oleh para sahabat dan pejuang Islam selepas mereka sehingga mereka bukan menjadi hamba yang hina sebaliknya berjaya menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi yang tenggelam dalam kemewahan dunia dan jauh daripada cahaya agama

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Ahzab :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata
Bila kita melihat peristiwa kejatuhan seorang demi seorang pemimpin dalam jarak masa yang begitu dekat bermula di Tunisia diikuti Mesir kini melarat ke Libya yang menyaksikan ribuan rakyat dibunuh kejam dan ada masjid yang ditembak disamping kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan pemimpin melalui jalanraya di Algeria, Bahrain, Yaman dan beberapa buah negara lagi akibat kegagalan pemimpin menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh dalam kepimpinan. Kebanyakan mereka jatuh akibat membina kekayaan atas penderitaan rakyat. Kita dapat perhati 3 jenis pemimpin biasanya memegang tampuk pemerintahan iaitu jenis pertama daripada kalangan orang kaya sebelum menjadi pemimpin dan terus kaya selepas dilantik menjadi pemimpin. Pemimpin jenis ini ada yang amanah dan ramai juga yang tidak jujur ketika melaksanakan amanah kepimpinan. Jenis kedua ialah pemimpin yang miskin sebelum menjadi pemimpin sebaliknya menjadi orang kaya baru selepas berada di atas takhta kepimpinan sesebuah negara. Pemimpin jenis inilah yang ramai menjadi pemimpin pada hari ini yang sedang dijatuhkan dengan cara yang hina oleh rakyat yang sudah tahan dengan kezalimannya. Manakala jenis ketiga pula ialah pemimpin yang kaya sebelum memimpin dan menjadi miskin selepas dilantik kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan dan amanah rakyat sehingga kekayaannya turut disumbangkan kepada rakyat. Pemimpin jenis ini semakin jarang dan payah untuk ditemui.
Manakala dari segi corak pemerintahan pula Ibnu Khaldun membahagikan kepimpinan kepada 3 jenis iaitu yang pertama pemimpin yang menggunakan hukum rimba iaitu yang kuat menguasai yang lemah. Yang kedua ialah pemimpin yang menggunakan sistem perundangan dan perlembagaan yang dicipta sendiri oleh manusia dengan mengenepikan hukuman Allah di mana kepimpinan jenis ini pada permulaannya memang baik dan mampu mentadbir dengan teratur. Tetapi lama kelamaan sistem yang diguna pakai mula dirobek satu persatu tanpa menghirau lagi erti kemanusiaan dan ketaatan kepada sistem yang dicipta itu. Akhirnya mereka mula menggunakan semula hukum rimba yang bertopengkan sistem perundangan yang dilaksana selama ini. Kepimpinan jenis ketiga ialah yang menggunakan sistem Islam berdasarkan wahyu Allah dalam mentadbir dunia demi mencapai kebahagian dunia akhirat. Inilah kepimpinan yang dirindui dan ditunggu-tunggu kedatangannya. Oleh itu, ikutlah panduan yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dalam memilih pemimpin agar kita bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِك الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 17 Februari 2011

Nabi Muhammad s.a.w DiIkuti Sistem Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 6 surah as-Soff:
وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُبِينٌ
Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
Kita masih berada dalam bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang juga pernah menyifatkan bahawa baginda adalah Ibnu az-Zabihain iaitu anak kepada dua bapa yang disembelih memandangkan nabi yang berketurunan Arab dari salsilah nabi Ismail di mana kita semua telah maklum bagaimana nabi Ismail a.s telah disembelih oleh ayahandanya nabi Ibrahim a.s kerana arahan wahyu melalui mimpi benar. Akhirnya Allah menggantikan nabi Ismail a.s dengan kibas dan terselamatlah baginda daripada mati disembelih. Kemudian bapa kedua yang hampir disembelih ialah bapa kandung nabi sendiri iaitu Abdullah bin Abdul Muttolib akibat Abdul Muttolib mahu menunaikan nazarnya sehingga akhirnya Abdullah ditukar dengan 100 ekor unta sebagai gantian. Berita kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman turut disebut dalam kitab Taurat dan Injil sehingga betapa ramai yahudi berpindah ke Madinah semata-mata mahu menunggu saat kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai bintang tersendiri yang terpancar terang pada hari kelahiran baginda. Begitulah dalam kitab Bible walau pun telah banyak diubah namun tidak mampu menyembunyikan kelahiran nabi Muhammad s.a.w dengan beberapa ciri antaranya kejayaan baginda membuka kota Mekah bersama 10 ribu umat Islam. Perkara yang sama tercatat dalam kita agama Hindu dan Budha. Itulah antara kehebatan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak termasuk mereka yang memusuhi nabi sedangkan bukti dan dalil begitu jelas terbentang

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ketika menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai cara dan program maka tanyalah diri kita samada kita benar-benar kenal dan cinta pada nabi Muhammad s.a.w atau hanya sebagai adat dan perayaan tahunan sahaja. Berapa banyak sunnah nabi yang telah kita berjaya laksanakan dalam kehidupan seharian atau hanya pandai menyebut dan mendengar sahaja walau pun puluhan tahun kita menyambut Maulidurrasul. Ingatlah kita tentang beberapa kisah yang menceritakan bagaimana hebatnya rasa kasih dan cinta para sahabat kepada nabi seperti diriwayatkan bagaimana beberapa hari Nabi SAW tidak terlihat oleh pembantunya, Tsauban. Ketika dia nampak Nabi SAW datang, maka Tsauban pun berkata: “Saya rindu kepadamu, wahai Rasulullah.” Kemudian Tsauban menangis, lalu Nabi SAW berkata kepadanya: “Apakah hanya ini engkau menangis?” Tsauban mengatakan: “Tidak, wahai Rasulullah, akan tetapi saya teringat tempat engkau di syurga sedangkan saya membayangkan tempat saya amatlah mengerikan.” Maka Nabi SAW berkata: “Wahai Tsauban, orang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya.” Begitulah hebatnya sahabat Nabi SAW yang menyatakan rasa cinta mereka terhadap Nabi SAW sangat tinggi.
Begitu juga jawapan Anas bin Malik terhadap pertanyaan Siti Fatimah anak perempuan nabi setelah beliau selesai mengebumikan jasad nabi yang mulia bahawa beliau seolah-olah hilang ingatan ketika menguruskan jenazah nabi di mana jika beliau berada dalam keadaan sedar nescaya beliau tidak akan sanggup menanam jasad nabi dengan tangannya. Begitu juga ada sahabat yang meminta agar matanya dibutakan supaya pandangannya yang terakhir di dunia ini ialah wajah nabi kerana itulah pandangan yang begitu besar nikmatnya berbanding nikmat Allah yang lain. Semoga sambutan Maulidurrasul yang kita buat tidak berlalu begitu sahaja dengan berlalunya sesuatu program sebaliknya semakin menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w seterusnya membangkitkan semangat untuk melaksanakan sunnah nabi ketika ramai yang membencinya kerana dijanjikan dengan pahala seratus orang mati syahid. Marilah kita doakan semoga nama kita ditulis sebagai umat yang cintakan nabi dan dibangkitkan bersama rasul agong di akhirat nanti. Kenalilah nabi Muhammad s.a.w secara lebih dekat untuk mencintainya, kajilah sirah kehidupan nabi untuk mencontohinya, nyatakan kepada dunia bahawa kita berasa bangga kerana cinta kepada nabi dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 92 surah Yunus :
فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ
Maksudnya: "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".
Nabi Muhammad s.a.w tidak sekali-kali bercakap mengikut hawa nafsu sebaliknya berdasarkan wahyu daripada Allah. Ketika menyoroti banyak hadis termasuk hadis tentang lalat yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Abu Hurairah di mana maksud sabda nabi : Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman salah seorang daripada kamu maka celuplah dan kemudian buanglah ia kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit. Kebenaran hadis ini dibuktikan oleh sains yang ratusan tahun membuat kajian sehingga mengakui bahawa lalat merupakan serangga yang mempunyai kuman yang begitu banyak namun larva lalat mampu menghasilkan ubat penawar untuk membunuh kuman-kuman.
Begitulah Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang sepastinya bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah badan Fir’aun yang diselamatkan daripada tenggelam dalam Laut Merah di mana setelah dibuat beberapa kajian termasuk oleh saintis Perancis atas arahan kerajaannya terbukti salah satu mumia di Mesir merupakan Fir’aun zaman nabi Musa a.s. Begitu juga denga hentakan tongkat nabi Musa diakui oleh ahli kaji bumi menyebabkan dunia senget sedikit dan bumi merekah sehingga air boleh mengalir ke tempat yang begitu jauh.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam dengan membawa seribu macam perubahan ke arah kebaikan seluruh makhluk yang melata antaranya mengubah cara pemerintahan yang zalim kepada keadilan Islam. Semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 dengan kejatuhan kota Istanbul.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh para sahabat dan pejuang Islam sebelum kita dalam merealisaikan janji kemenangan yang dijanjikan oleh nabi kerana mereka begitu cinta dan yakin kepada nabi. Sebaliknya pada hari ini betapa ramai umat Islam sendiri yang sudah tidak kenal siapakah nabi apatah lagi melaksanakan system Islam yang dibawa oleh nabi. Pejuang dulu berjuang dengan penuh yakin terhadap janji kemenangan daripada Allah dan rasulNya sedangkan kebanyakan umat Islam pada hari ini lebih ramai yang tertipu dengan janji manis sesama manusia sehingga sanggup mengenepikan janji benar dan amaran daripada Allah dan rasulNya. Akhirnya mereka hanyut dalam hiburan melampau dan janji manis yang jarang ditepati sehingga sanggup memilih pemimpin kaki rasuah, pecah amanah, kaki maksiat dan pelbagai kerosakan akhlak yang lain. Kemarahan rakyat tidak ke mana kerana hanyut dalam bunyian muzik yang mengasyikkan walau pun terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak dan barangan ditambah saman ekor yang zalim. Ketika pemimpin melaungkan supaya rakyat berjimat cermat sedangkan pemimpin banyak mana harta rakyat dibazirkan tetapi semua itu tidak dipeduli ibarat kata pepatah arab jahatnya pemimpin kerana majority rakyat jahat yang menyokongnya. Oleh itu kembalilah mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk memilih pemimpin. Islamlah nescara kita selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sabtu, 12 Februari 2011

Nabi Muhammad s.a.w DiContoh Jahiliah DiRoboh

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”
Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia menyebut-nyebut tentang kelahiran bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Aminah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman ketika kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada keadilan Islam. Kehebatan nabi Muhamamd s.a.w bukan sahaja diiktiraf oleh para sahabat malah turut diakui oleh musuh Islam sebagaimana ungkapan kata-kata daripada ‘Urwah bin Ath-Thaqafi yang ditugaskan untuk berunding dengan nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah : “Demi Allah! Aku pernah menemui raja-raja Rom, Farsi dan Habsyah. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat raja itu disanjung dengan membesarkannya seperti para sahabat nabi Muhammad melakukannya kepada nabi Muhammad. Demi Allah! Jika baginda mengeluarkan kahak nescaya ia akan jatuh ke atas tangan salah seorang daripada mereka lalu disapukan dikulit dan mukanya. Apabila baginda menyuruh sesuatu maka mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan suruhannya. Apabila baginda berwudhu’, mereka seperti mahu berperang kerana berebut-rebut untuk mengambil air wudhu’nya. Kalau baginda bercakap maka semuanya diam dan jika mereka bercakap akan direndahkan suara kerana menghormatinya. Mereka tidak merenung tajam kepadanya kerana menghormatinya. Baginda telah mengemukakan suatu rancangan yang baik untuk kamu wahai pemimpin Quraisy maka terimalah”. Begitu juga kehebatan para sahabat nabi yang bermati-matian mempertahankan nabi dan Islam sebagaimana diungkapkan oleh panglima Maharaja Rom bahawa kerajaan Rom pasti jatuh ditangan tentera Islam di mana mereka bukan manusia sebarangan iaitu ahli ibadat beribadat pada malam hari, tangkas seperti singa di medan perang di siang hari, sentiasa bersembahyang, berpuasa, tidak pernah meminum arak, tidak berzina malah andaikata anak pemimpin mereka sendiri yang mencuri nesaya dikerat tangannya. Setiap tentera Islam berlumba-lumba mati syahid sebelum saudaranya yang lain.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Sempena kedatangan bulan Maulidurrasul maka kita sepatutnya menggandakan lagi usaha dalam menonjolkan kehebatan nabi dan sistem Islam yang telah disampaikannya kepada kita. Tanamkan dalam diri umat Islam bahawa inilah contoh teladan yang sebenar untuk diikut terutama ketika semakin ramai umat Islam sendiri tidak lagi mengenal nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia hebat dan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan sesuai dengan pengutusannya untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Setiap kali kita menyebut bagaimana dahsyatnya zaman jahiliah di mana nafsu serakah menjadi ikutan sehingga anak perempuan ditanam hidup-hidup di samping seribu macam penindasan dan kesesatan yang lain. Namun begitu bila berdepan pula dengan jahiliah moden di mana ubat mujarrab iaitu al-Quran ada di depan mata tetapi racun diguna pakai sehingga bukan setakat anak perempuan yang dibunuh malah anak lelaki turut menjadi mangsa di samping pelbagai penyakit sosial yang lain terus merebak dan membarah.
Malah pada tahun ini bagaikan berlakunya pertembungan antara sambutan memuja Paderi Valentine yang berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi dengan sambutan memperingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w pada keesokan harinya. Ramai di kalangan umat Islam terutama golongan remaja lebih teruja untuk menyambut Hari Kekasih berbanding mencontohi nabi Muhammad s.a.w manusia Agong yang begitu kasih pada umatnya. Ingatlah bahawa kasih sayang wajib ada sepanjang masa bukan pada hari tertentu sahaja serta saluran untuk menyatakan kasih sayang mestilah bertepatan dengan syarak bukannya mengikut hawa nafsu apatah lagi meniru budaya agama lain. Manusia yang paling wajib kita kasih ialah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan ini kita menyeru agar umat Islam supaya mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said al-Khudri:
قال الرسول : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟
Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pengutusan nabi Muhammad s.a.w berjaya mengubah dunia kepada keadaan yang lebih baik yang bukan sahaja dirasai oleh umat Islam malah seluruh umat manusia serta makhluk Allah yang lain. Namun pada hari ini suasana gelap jahiliah kembali mencemari dunia termasuk di negara umat Islam sendiri akibat sistem Islam digantikan dengan sistem jahiliah. Contohnya cara pemakaian yang mendedah aurat lebih suka dipakai sama ada lelaki atau perempuan. Malah kaum perempuan lebih suka bertelanjang dengan memakai pakaian nipis dan singkat, ramai juga bertudung tetapi tubuhnya pula terdedah sana-sini, malah ada yang bertudung seperti paderi Perempuan dan juga fesyen bertudung tetapi menampak jelas bentuk rambut yang disanggul seperti bonggok unta yang dimurkai oleh nabi semakin digemari. Itu belum dikira orang lelaki yang memakai gelang, rantai leher, subang telinga dan pelbagai macam cara jahiliah yang dianggap kacak sedangkan hakikatnya lebih hodoh daripada binatang. Begitu hebatnya godaan syaitan dan jarum Yahudi yang menyerang cara pemakaian umat Islam. Inilah antara kesan dahsyat bila umat Islam tidak menjadikan nabi sebagai contoh teladan sebaliknya para artis, pemain sukan dan lain-lain sebagai ikutan. Malah ketika negara sedang menghadapi masalah penyakit tekanan jiwa yang begitu kronik maka sepatutnya cara Islam diguna pakai seperti nasihat Ibnu Mas’ud bila jiwa bercelaru maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Malangnya bila cara jahiliah seperti hiburan melampau, arak, dadah dijadikan ubat akhirnya bukan setakat tubuh yang binasa malah akal yang rosak musnah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika dunia menghadapi masalah kejatuhan ekonomi yang teruk akibat penindasan dan kezaliman sistem riba maka sistem ekonomi Islam terus diperangi daripada dilaksanakan kerana bakal melingkupkan penghisap darah kapitalis. Apa yang lebih memalukan apabila lebih 70 peratus orang bukan Islam lebih percaya dan menggunakan sistem perbankan Islam berbanding umat Islam sendiri. Begitu juga usaha untuk kembali menggunakan wang dinar dan perak terus dipandang serong oleh umat Islam sendiri patah lagi Yahudi sedangkan inilah antara jalan terbaik dalam mengembalikan keadilan ekonomi dunia.
Begitu juga bila dunia hari ini melihat satu demi satu pemimpin kuku besi dan zalim jatuh tersungkur seperti yang terbaru di Tunisia diikuti kebangkitan rakyat di Mesir, Yaman, Algeria dan banyak negara yang lain akibat pemimpin sedia ada gagal mencontohi keadilan yang ditunjukkan oleh nabi akibat menyisihkan Islam dalam sistem pemerintahan. Akhirnya rakyat yang ditindas begitu lama sanggup turun di jalanraya sehingga jatuhnya pemimpin dalam keadaan hina. Perubahan yang berlaku sentiasa diambil kesempatan terutama oleh pengganas utama dunia Amerika Syarikat dan Israel agar pemimpin yang baru terus menjadi kuda tunggangan mereka. Malah keadaan yang masih kabur di Mesir terutama selepas tentera mengambil alih kuasa dibimbangi diguna oleh musuh Islam untuk terus menjajah terutama Mesir yang begitu penting untuk kepentingan Israel. Oleh itu kita mestilah sentiasa merafakkan doa kepada Allah agar setiap perubahan dan pertukaran pemimpin akan menguntungkan Islam dan umatnya bukan meneruskan sistem jahiliah serta permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Semoga pemerintahan yang adil sebagaimana yang telah ditunjuk oleh nabi, para sahabat dan khalifah Islam sebelum ini kembali mewarnai dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 3 Februari 2011

Sistem Islam DiTegak Penindasan Jahiliah DiTolak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Kini kita mula menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w dalam suasana kelam jahiliah namun sesuai dengan pemilihannya sebagai nabi lagi rasul maka baginda terhindar daripada amalan tradisi masyarakat sekitarnya sama ada berbentuk penyembahan berhala, hiburan melampau, berfoya-foya dengan kemewahan dan tabiat buruk yang lain. Sebaliknya baginda yang diuji sejak dari kelahiran dengan kehilangan beberapa ahli keluarga terdekat yang mematangkan baginda ditambah dengan kerja-kerja harian yang secara tidak langsung mencungkil bakat kepimpinan dan manusia yang mampu berdikari sejak dari zaman remaja lagi. Oleh itu sempena berada pada bulan Maulidurrasul maka usaha dalam menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan dan contoh teladan dalam setiap aspek kehidupan perlu digandakan terutama ketika umat Islam sendiri terutama golongan remaja yang lebih seronok dan bangga menjadikan artis, pemain sukan sebagai contoh ikutan yang digilai. Jarum halus musuh Islam terutama Yahudi dan Kristian dalam menjauhkan umat Islam daripada mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w terus meresap dalam sanubari umat Islam yang kini berada dalam suasana jahiliah moden sehingga merasakan cara pemakaian, pemakanan, sosial, perundangan, pemerintahan yang diajar oleh nabi dianggap ketinggalan zaman dan sudah tidak sesuai pada masa kini. Musuh Islam tidak akan meruntuhkan masjid sebaliknya akan memperbanyakkan tempat dan program hiburan agar umat Islam menjauhi masjid. Musuh Islam tidak membakar al-Quran sebaliknya menyibukkan umat Islam dengan urusan dunia yang banyak dijadikan alasan tiada masa untuk belajar al-Quran apatah lagi memahami isi kandungan seterusnya melaksanakannya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran :
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Umat Islam dijadikan umat pilihan oleh Allah untuk dicontohi oleh orang lain sekiranya kita menunaikan segala kewajipan agama dengan sebaiknya. Sebaliknya pada hari ini umat Islam bagaikan tidak mampu menunjuk contoh yang terbaik kepada orang lain akibat menjauhi cara hidup Islam. Contohnya betapa ramai umat Islam yang tenggelam dalam hiburan melalaikan hingga terlibat dengan arak dan dadah atas alasan untuk mencari ketenangan. Inilah yang diperingatkan oleh Sayyidina Ali bahawa hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, ia akan merosakkan.
Akibat kegagalan umat Islam memberi contoh teladan yang baik malah ramai yang jahil tentang agamanya sendiri ditambah lagi usaha dakwah yang agak terbatas membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menghina syariat Islam. Usaha dalam merosakkan akhlak umat Islam oleh kerajaan sendiri melalui program maksiat terus bertambah sedangkan usaha dalam membina peribadi mulia semakin terpencil apatah lagi usaha dakwah kepada orang bukan Islam yang hidup sekitar kita sama ada sebagai rakan tempat kerja, jiran sebelah rumah, rakan niaga dan sebagainya. Bila kita renungi usaha dakwah nabi Muhammad s.a.w yang menghantar surat dan utusan kepada pemimpin-pemimpin negara dan qabilah untuk mengajak mereka kepada cahaya iman dan keadilan Islam maka pada hari ini jarang pemimpin umat Islam yang melakukannya malah apa yang lebih teruk bila pemimpin umat Islam dijadikan contoh kepada perkara yang buruk seperti rasuah, pecah amanah dan seribu macam kelakuan jahat yang lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Keindahan Islam didinding oleh keburukan akhlak yang ditonjolkan oleh umat Islam sendiri. Selagi umat Islam mencari sistem yang bercanggah dengan al-Quran selagi itulah kita dihina. Selagi umat Islam menjadikan contoh teladan pada manusia yang membenci cara hidup nabi selagi itulah kita tidak menemui ubat mujarab sebaliknya menelan racun berbisa. Bila timbul isu larangan azan atas alasan bertukar antara azan dan kuliah Subuh, mempertikai masalah berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan yang halal nikah ditambah dengan tulisan bekas Perdana Menteri Singapura yang menganggap Islam punca kegagalan menyatukan kaum di Singapura maka ia sepatutnya menyedar umat Islam tentang betapa bernilainya laungan azan yang mesti disahut dengan sama-sama datang ke masjid bukannya marah orang membantah azan sedangkan masih ramai umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak solat berjemaah malah meninggal terus solat fardhu. Jangan hanya marah kepada orang bukan Islam yang mempertikai larangan berjabat tangan sedangkan daripada pemimpin hingga rakyat di bawah bukan sahaja berjabat tangan malah bergaul bebas sehingga masalah sosial semakin parah. Malahan dakwaan sesat Lee Kuan Yew kita wajib jawab dengan tindakan yang membuktikan kepada dunia bahawa Islamlah merupakan satu-satunya agama yang berjaya menyatukan manusia yang berlainan bangsa, negara dan agama melaui syariatnya yang begitu hebat. Semua penghinaan ini juga sepatutnya membuka mata pemimpin dan kita semua bagaimana perlu menggandakan lagi usaha dalam menerangkan tentang Islam kepada orang bukan Islam. Jangan disebabkan kepentingan seperti bimbang jika orang bukan Islam semakin kenal Islam maka mereka akan benci kepada sekuler dan semangat kebangsaan sempit maka dakwah Islam tidak diperkasakan. Ambillah iktibar daripada kejatuhan Kerajaan Islam India walau pun ratusan tahun memerintah India namun antara punca jatuhnya kerajaan akibat khalifah mendengar hasutan menterinya agar tidak menjalankan dakwah kepada rakyat India yang beragama Hindu atas alasan jika mereka kekal kafir maka kutipan jizyah semakin banyak sedangkan jika rakyat India memeluk Islam menyebabkan wang zakat dan Baitul Mal habis dibelanjakan untuk diberikan kepada muallaf. Akhirnya apabila rakyat India terus kekal dengan Hindu yang menyebabkan mereka bangkit menjatuhkan kerajaan Islam. Oleh itu sebarlah Islam mengikut kemampuan kita dengan ilmu dan pelaksanaan. Ramaikan orang yang cintakan Islam dalam negara, kurangkan musuh yang bencikan Islam barulah kita mulia dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah :
إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 128-129 surah al-A’araf :
قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ قَالُوا أُوذِينَا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَأْتِيَنَا وَمِنْ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Maksudnya : (Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa". Mereka berkata: "Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab: "Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?"
Ketika menyoroti kejatuhan pemimpin kuku besi satu demi satu dalam masa terdekat bermula di Tunisia kini merebak ke Mesir dan membahang di Yaman maka kita ingat kepada kata-kata semangat nabi Musa a.s kepada bani Israel bahawa sekuat-kuat Firaun dengan pangkat menggunung, harta bertimbun, pengikut berduyun namun akan dijatuhkan akibat kesesatan dan kezaliman. Apa yang lebih penting ialah setiap keruntuhan jahiliah mestilah diganti dengan Islam bukannya sekadar menukar kepada jahiliah yang baru. Begitulah sunnatullah yang berlaku sehingga hari ini di mana pemimpin yang zalim dan menindas rakyat dengan cara yang hampir sama iaitu membina kekayaan keluarga atas penderitaan rakyat jelata, mengekalkan kuasa dengan penipuan termasuk pilihan raya yang menyebabkan mereka dijatuhkan dengan cara hina melalui kebangkitan rakyat di jalan raya. Kita panjatkan doa kepada Allah agar diselamatkan warga dan pelajar Malaysia di Mesir serta menukar pemimpin dan corak pemerintahan kepada Islam bukannya terus menjadi boneka kepada Amerika dan Yahudi Israel. Semoga kebangkitan ini memberi sinar kepada Islam dalam menghentikan keganasan dan penindasan termasuk petanda awal kejatuhan penjenayah dunia Amerika dan Yahudi Israel serta sekutu jahat musuh Islam yang lain. Allah telah menjanjikan kepimpinan dan pemerintahan kepada hambanya yang soleh bagi memastikan keamanan dunia yang diurus berasaskan agama. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ