أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 14 April 2022

Khutbah Jumaat : Ramadhan DiRai Al-Quran DiHayati Keberkatan DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat  3-6 surah ad-Dukhan : إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ﴿٤﴾ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ﴿٥﴾ رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya) Syukur kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat Ramadhan di mana kini telah 2 minggu kita sama-sama diberikan kesempatan untuk beramal pada bulan yang penuh keberkatan ini. Ramadhan dan al-Quran tidak dapat dipisahkan maka begitulah juga dengan diri kita jangan pisahkan daripada al-Quran. Kemuliaan Ramadhan berkait rapat dengan penurunan al-Quran maka begitulah hati kita bila sentiasa disirami dan dipenuhi dengan al-Quran akan membawa kepada kemuliaan diri dunia dan akhirat. Amat rugi apabila kita mampu membaca akhbar, majalah, whatsap, tonton tv, layari internet sedangkan sentiasa memberi seribu alasan untuk tidak membaca al-Quran. Betapa rugi kita mampu berbincang dan belajar ilmu dunia yang lain sedangkan sentiasa memberi pelbagai alasan untuk tidak belajar al-Quran dan memahami makna isi kandungannya. Betapa rugi manusia yang malu jika mampu menguasai Bahasa dunia yang lain terutama Bahasa Inggeris sedangkan dia tidak pernah malu kerana tidak pandai membaca al-Quran apatah lagi memahami maknanya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’: وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. Contohilah generasi kemenangan dari kalangan para sahabat nabi yang menjadi teladan bagi generasi berikutnya dalam menjadikan al-Quran sebagai jalan hidup mereka. Oleh sebab itu mereka mulia di sisi Allah kerana ketakwaan mereka, kedalaman ilmu mereka, amal soleh mereka, dan kecintaan mereka yang teramat besar terhadap Allah dan Rasul-Nya. Para sahabat hidup di bawah naungan al-Quran. Sehingga ayat-ayat suci itu mewarnai hidup dan kehidupan mereka, mewarnai hati dan tingkah laku mereka. Para sahabat tidak memandang al-Quran sebagai teori dan falsafah. Bahkan, mereka menjadikan al-Quran sebagai undang-undang kehidupan mereka dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, dalam hidup individu dan rumah tangga. Bahkan, al- Quran itu sesuai dengan semua keadaan dan suasana. Kita patut merasa bimbang apabila kegunaan al-Quran dalam masyarakat hanya disimpan di dalam rumah, tulisan khat digantung di dinding-dinding rumah sebagai perhiasan semata-mata. Bahkan terdapat kajian menunjukkan tahap kesedaran umat Islam di Malaysia terhadap al-Quran masih berada tahap sederhana. Satu pemantauan telah dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, mendapati bahawa ada dalam kalangan umat Islam di negara ini tidak mempunyai al-Quran walaupun senaskhah di rumah mereka. Para remaja pada hari ini ramai yang tidak tahu atau kurang mahir dalam membaca al-Quran kerana sikap mereka yang tidak memandang berat akan kepentingan al-Quran serta ketidakprihatinan ibu bapa dan masyarakat sekeliling . Masalah ini juga adalah berpunca dari sikap masyarakat yang terlalu memandang kepada pangkat serta mengambil berat mengenai hal-hal keduniaan Menurut suatu laporan kajian mendapati bahawa hanya 10% sahaja yang membaca al-Quran setiap hari dan sebanyak 63.1% yang membaca al-Quran jarang-jarang. Alasan mereka yang jarang-jarang membaca al-Quran adalah kerana malas, tidak ada masa dan alasan tidak pandai membaca al-Quran. Walaupun kebanyakan pelajar telah khatam al-Quran, namun dari segi tahap kelancaran masih di peringkat sederhana. Sebagaimana dapatan kajian mendapati masalah yang dihadapi oleh pelajar adalah pelajar kurang lancar membaca al-Quran, lemah dari segi makhraj huruf dan lemah menguasai hukum-hukum tajwid. Mereka tidak dapat menguasai al-Quran sejak di sekolah rendah lagi. Begitu juga kebanyakan umat Islam membaca al-Quran, tetapi mereka tidak memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran yang dibaca sehingga Kejahilan segelintir kita yang tidak memahami maksud di sebalik ayat al-Quran menjadikan matlamat membaca al-Quran itu pincang. Keadaan di mana individu melagukan ayat al-Quran secara mendayu sedangkan ayat menegaskan perintah Allah, sering berlaku dan menimbulkan kekeliruan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat  121 surah al-Baqarah : الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ‎﴿١٢١﴾ Maksudnya : Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.  Al-Quran dan Ramadhan saling berkait dan menjadi sumber bekalan. Al-Quran merupakan sebuah mukjizat dan Rahmatan Lil a'lamin kepada seluruh makhluknya. Manakala, bulan Ramadhan diturunkan padanya al-Quran serta menjadi sumber bekalan kekuatan kepada setiap orang Muslim. Manusia hanya perlu memanfaatkan keberadaan di Bulan Ramadhan dan berusaha memahami al-Quran dengan berinteraksi menggunakan kaedah yang di gariskan daripada al-Quran dan as-Sunnah bagi memberikan kesan kepada penghayatan al-Quran dalam kehidupan Menurut Imam Ghazali , merujuk ayat “sebagaimana sepatutnya” (haqqa tilawatih) membawa maksud, membaca perlu melibatkan lisan, akal, dan hati. Tugas lisan adalah membaca huruf per huruf secara tepat. Tugas akal adalah memahami makna dan kandungan. Manakala, tugas hati adalah mengambil pelajaran dan nasihat untuk kemudian dipatuhi dan ditaati. Kalimah Haqqa tilawatih menurut at-Tabari , Abdullah ibn Mas’ud menjelaskan dengan memabawa maksud tunduk dan patuh terhadap segala apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh-Nya, dan membacanya sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah serta tidak menyimpangkan-Nya, dan tidak mentakwilka-Nnya secara tidak patut. Manakala, Ibnu Abbas menafsirkan haqqa tilawatih, iaitu mengiringi apa yang dibaca dengan iringan yang beramal dengan-Nya Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 89 surah an-Nahlu : وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ ﴿٨٩﴾ Maksudnya : dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam Gunakanlah peluang berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran untuk kita semakin rapat dengan al-Quran bukan sahaja berlumba untuk membacanya tetapi mesti memahami seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan seharian agar kita berjaya dunia dan akhirat. Kita perlu runsing bila ditanya mengapa umat Islam di negara ini tidak mengamalkan mambaca al-Quran dalam kehidupan seharian lalu mereka akan memberikan alasan sibuk dengan pekerjaan. Manakala pelajar sekolah pula mengatakan bahawasanya mereka terlalu sibuk untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah yang perlu dihantar segera sehinga tidak sempat membaca al-Quran. Ibu bapa juga tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengajar al-Quran ekoran daripada kerja yang terlalu banyak hingga terbawa-bawa ke rumah. Anak-anak akan merasakan bahawa membaca al-Quran itu adalah perkara yang tidak penting dan boleh dipilih sama ada ingin membacanya mahupun tidak. Ibu bapa dalam konteks ini tidak mempamerkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam penghayatan al-Quran di rumah. Pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan yang besar dalam isu al-Quran ini. Rakan sebaya yang tidak pernah mengingatkan rakannya untuk membaca al-Quran merupakan rakan sebaya yang teruk dan tidak sepatunya dijadikan rakan ataupun tugas umat Islam sebagai seorang yang bertanggungjawab perlulah membimbing rakan sebaya yang terpesong jauh dari ajaran agama Islam. Jika ketua kumpulan dalam kalangan rakan sebaya itu dapat dipengaruhi untuk berubah dan sentiasa mengamalkan al-Quran, nescaya rakan-rakan mereka yang lain akan turut patuh dan mengikuti apa sahaja yang ketua mereka lakukan. Biarpun pada awalnya setiap individu dalam masyarakat membaca al-Quran secara paksaan, tetapi lama kelamaan paksaan tersebut akan menjadi relahati. Perubahan ini menuntut kepada cara interaksi dengan al-Quran yang baik. Hidupkan al-Quran dalam diri kita, anak isteri kita, masyarakat kita, negeri kita, negara kita nescaya kita akan berjaya dunia akhirat قال النبي : اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ – – رواه مسلم Maksudnya : Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat memohonkan syafa’at bagi orang yang membacanya (di dunia) بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 6 April 2022

Khutbah Jumaat : Ramadhan DiRai Aqidah DiJulang Tinggi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa Kini kita berada pada hari-hari terakhir bulan Sya’aban 1443H di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan 2 hari lagi. Terdapat 2 sikap orang dalam menyambut Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan ini iaitu [1] orang yang bergembira dan suka cita dalam menyambut bulan Ramadhan kerana ia bulan yang anugerahkan oleh Allah untuk menambah pahala dan bertaubat dari semua dosa. Ramadhan adalah bulan bonus dimana Allah melipatgandakan pahala amal kebaikan. Maka segala sesuatu persiapan terutama ilmu, fizikal, rohani, harta dipersiapkan untuk menyambut dan mengisi Ramadhan. Gembira di bulan ini terdapat janji Allah dengan membuka luas pintu Syurga dan dijauhkannya seseorang dari api neraka. Dan itu merupakan kemenangan yang membahagiakan. قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ فِيْهِ يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.- رواه أحمد Maksudnya: ” Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berert telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, مَا ملأَ آدمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطنٍ، بِحَسْبِ ابنِ آدمَ أُكُلاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فإِنْ كَانَ لا مَحالَةَ فَثلُثٌ لطَعَامِهِ، وثُلُثٌ لِشرابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ رواه الترمذي وقال: حديثٌ حسنٌ. Maksudnya: Tidaklah memenuhi bekas bagi Anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika ingin lebih dari itu, maka bahagilah satu pertiga perutnya untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk pernafasan. Manakala golongan ke-[2] menyambut Ramadhan dengan sikap yang dingin. Baginya, Ramadhan tidak ada beza dengan bulan-bulan lain. Orang seperti ini tidak mampu memanfaatkan Ramadhan untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dosa dan kesalahan tidak membuatnya risau dan gelisah hingga tak ada upaya maksima untuk menghapusnya dan menjadikan Ramadhan sebagai momentum untuk kembali kepada Allah. Bahkan, dia menyambut Ramadhan dengan kebencian kerana pada perasaannya Ramadhan menyekatnya daripada melakukan dosa dan kemaksiatan, sebagaimana yang dilakukannya di bulan-bulan lain. Hatinya tertutup dan penuh benci kepada kebaikan. Menyaksikan kaum Muslimin berlumba-lumba dalam kebaikan, mengisi hari-hari mereka dengan ibadah adalah pemandangan yang tidak disukainya. Syaitan telah menghembuskan kebencian dalam hatinya hingga Ramadhan bagai neraka baginya. Semoga kita dijauhkan dari sikap dan sifat ini. Sepatutnya Ramadhan dijadikan bulan menjaga kesihatan dengan mengurangkan makan tetapi dijadikan bulan pesta makanan. Sepatutnya Ramadhan dijadikan bulan berjimat cermat tetapi dijadikan bulan membazir sehingga sisa makanan yang dibuang pada Ramadhan meningkat berkali ganda Luqman Al-Hakim menasihati anaknya: “Wahai anakku! Apabila perutmu kekenyangan, akalmu akan tidur, hikmah akan bisu, anggota tidak mampu melakukan ibadah. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah : شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ ….. Maksudnya : Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadhan merupakan satu bulan mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan. Jangan sia-siakan kehadiran Ramadhan agar kelebihan yang dijanjikan oleh Allah dapat kita capai. Antaranya dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran serta tadabbur maknanya seterusnya menghayati dalam kehidupan seharian. Al-Quran dan puasa akan memberi syafaat kepada orang berpuasa dan membaca al-Quran pada hari akhirat kelak الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ ، قَالَ: «فَيُشَفَّعَانِ». Maksudnya: Puasa dan Al-Quran itu memberi syafaat bagi hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhan! Aku telah mencegahnya daripada makan dan kelazatan pada siang hari, maka syafaatkan aku baginya.” Al-Quran berkata: “Wahai Tuhan! Aku telah menegahnya tidur pada waktu malam, maka syafaatkan aku baginya.” Tuhan berkata: “Kedua-duanya disyafaatkan.” Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Sebagaimana kita berpuasa dari makanan dan minuman yang halal, kita juga wajib berpuasa dengan meninggalkan perkara yang haram. Kita bukan sahaja wajib meningggalkan makan minum bermula dari Subuh hingga Maghrib malah wajib juga menjauhi pancaindera kita iaitu tangan, kaki, mata, telinga, lidah daripada maksiat. Kerana inilah disyariatkan puasa. Sabda Rasulullah SAW: مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ به، فليسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ. – رواه البخاري Maksudnya: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya. Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah : لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ‎﴿٢٥٦﴾‏ Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Ketika kita umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadhan maka timbul isu panas apabila adanya usaha melalui mahkamah untuk memurtadkan 3 anak Loh Siew Hong yang sebelum ini telah memeluk Islam melalui bekas suaminya. Oleh itu mimbar Jumaat pada hari ini menyeru kepada semua ahli politik, cendekiawan, mufti, pendakwah, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bersatu dan senada dalam isu keselamatan aqidah anak-anak Loh Siew Hong. Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyerahkan tiga kanak-kanak itu kepada ibu kandungannya hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut untuk meninggalkan agama Islam. Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui. Justeru,Kita sebagai umat yang beriman dan bermaruah pada hari ini ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini. Seluruh umat Islam di negara ini wajib bersatu demi keselamatan aqidah mereka. Agama adalah nikmat paling bernilai yang wajib dijaga dan dipertahankan. Biar bermandi darah namun usaha murtadkan umat tetap disanggah. Biar nyawa melayang namun aqidah tetap dipertahankan. Jangan bermain api dengan umat Islam nanti buruk padahnya Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah : وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ‎﴿١٠٩﴾ Maksudnya: Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ