أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Sabtu, 16 Ogos 2008

Pengajaran Peperangan Bani Mustaliq 6H

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 11 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar
Bulan Sya’aban yang sedang kita berada sekarang ini bukan sahaja menjadi bulan yang paling banyak nabi Muhammad s.a.w berpuasa sunat padanya malah turut mempunyai suatu malam yang dinamakan malam nisfu Sya’ban dimana kelebihannya dinyatakan melalui sebuah hadis isnadnya Hasan yang dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-’As daripada Nabi S.A.W telah bersabda maksudnya : Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya’ban, pemanggil akan memanggil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya. Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi. Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik. Disamping itu, bulan Sya’aban juga sarat dengan peristiwa yang besar yang pernah berlaku pada diri Rasulullah s.a.w dan para sahabat antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun Keenam Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Apa yang menariknya para sahabat telah memerdekakan tawanan perang yang memeluk Islam malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyyah sebagai isteri. Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian. Sebab itulah pada hari ini, kita membuat penentangan awal terhadap sebarang usaha dalam memburukkan Islam apatah lagi bergerak secara halus termasuk melalui forum anjuran Majlis Peguam yang mahu membuang peranan Mahkamah Syariah. Kita wajib memperkasakan peranan dan kuasa Mahkamah Syariah dan pelaksanaan perundangan Islam terutama setelah 51 tahun menyambut kemerdekaan negara sehingga keadilan Islam kembali terserlah.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Ketika menyoroti peperangan Bani Mustaliq ini juga kita dapati bagaimana sikap golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang turut serta dalam tentera Islam bertujuan membuat kacau dan menabur fitnah serta lebih berminat untuk mendapatkan hasil rampasan perang. Antaranya Abdullah bin Ubai begitu marah apabila mendengar berita tentang 2 tentera Islam dari kalangan Ansor dan Muhajirin yang kembali berbaik semula selepas berbalah lalu dia berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.
Mendengar kata-kata biadap yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir. Allah turut merakamkan peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :
يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ ۚ وَِللهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Maksudnya : Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Api fitnah tidak terhenti setakat peristiwa yang melibatkan golongan munafik itu malah suatu lagi peristiwa fitnah yang paling besar yang berlaku semasa perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang tertinggal daripada rombongan yang pulang ke Madinah kerana ingin mengambil sesuatu barang yang tercicir. Akhirnya Safwan bin al-Mu’tal yang ditugaskan untuk memeriksa kawasan yang ditinggalkan oleh tentera Islam bagi memastikan tiada barangan yang tertinggal telah menemui Siti Aisyah lalu membawanya sehingga bertemu semula dengan ahli rombongan yang lain di Nahru Zahirah. Tentera Islam yang melihat ketibaan mereka merasa terkejut dan Abdullah bin Ubai menggunakan peluang itu untuk menabur fitnah. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Penurunan wahyu ini telah menenangkan hati Rasulullah s.a.w, Siti Aisyah sendiri dan para sahabat terutama Sayyidina Abu Bakar.
Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang- yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam dahulu dan kini supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Antara pengajaran besar yang boleh diambil melalui peristiwa bersejarah ini ialah dalam mencari, mengisi dan mempertahankan kemenangan Islam maka kita terpaksa berdepan dengan musuh dalam selimut daripada golongan munafiq yang hanya mahu mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi bukannya ikhlas berjuang kerana Allah. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kesucian dan kemuliaan Islam dengan menyekat lebih awal sebarang cubaan dan usaha musuh melalui program penerangan dan juga dialog dengan golongan bukan Islam bagi menjelaskan kedudukan Islam yang sebenar. Pelaksanaan seluruh sistem Islam juga menjadi teras kejayaan utama dalam menerangkan secara lebih praktikal berkaitan keadilan dan keindahan Islam termasuk cara hidup dan bersosial berlandaskan akhlak nabi sehingga orang bukan Islam lebih yakin tentang kemampuan Islam dan umatnya. Perkara ini sukar direalisasikan sekiranya kesedaran dan semangat umat Islam sendiri begitu lemah dan diserang penyakit takut untuk mengagungkan cara hidup Islam yang mereka anuti. Pengajaran seterusnya ialah kita semua wajib menyelidik tentang sebarang berita yang sampai agar tidak tertipu dan menjadi agen yang turut menyuburkan berita fitnah yang merugikan kita di dunia dan akhirat. Betapa malangnya sekiranya umat Islam sendiri lebih suka hidup dalam suasana fitnah yang subur sehingga Islam dipandang serong oleh orang bukan Islam. Oleh itu, Islam daripada awal lagi menyekat sebarang unsur fitnah terutama yang melibatkan maruah manusia seperti tuduhan zina atau liwat dengan tindakan yang keras supaya budaya fitnah ini tidak membarah teruk dan maruah manusia terus terbela. Islam diperkasa umat bahagia, Islam dilaksana negara sentosa. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: