أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 4 Januari 2024

Khutbah Jumaat : Syarat Umat Gemilang DiPenuhi Kemerdekaan Palestin DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali Imran : وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿١٣٩﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman Kita umat Islam yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang layak untuk menerima tampuk kepemimpinan umat manusia. Oleh sebab itu, ada para pemikir Barat ada yang menyedari akan peranan ini. Mungkin di antara tulisan yang paling tepat dalam memberikan gambaran tentang unsur-unsur kekuatan Islam adalah tulisan, “Powell Schamtaz” dalam bukunya (Islam adalah kuasa dunia masa depan), yang bertujuan memberikan pencerahan dan peringatan kepada bangsanya sendiri terhadap unsur -unsur kekuatan Islam. Beliau menyatakan unsur kekuatan asasi yang dimiliki umat Islam adalah: [1] Kedudukan strategik yang dimiliki umat Islam di dunia. [2] Pertumbuhan manusia yang begitu pesat di kalangan umat Islam, yang menjadikan pertumbuhan mereka unggul berbanding orang lain. [3] Kekayaan sumber alam dan bahan mentah. Melalui sumber alam yang besar yang dimiliki umat Islam menyebabkan mereka mampu membangun kuasa industry yang terhebat di peringkat dunia. Islam adalah unsur kekuatan paling penting di tengah masyarakat Islam. Menurut “Schamtaz” adalah: “Demikianlah agama yang memiliki kekuatan bagaikan ‘sihir’ untuk menghimpunkan perbagai jenis manusia di bawah satu bendera setelah menghilangkan perbezaan bangsa dan keturunan dari jiwa mereka, memiliki tenaga ruh yang mampu mendorong orang beriman mempertahankan tanahairnya dan sumber kekayaannya sehingga sanggup mengorbankan apa jua yang dimiliki hatta nyawa mereka sendiri”. Dia juga berkata: “Sejarah akan berulang kembali, bermula dari daerah kuasa Islam dunia pertama diraih. Kuasa ini akan muncul apabila berpegang teguh pada Islam dan bersatunya pasukan tentera. Kuasa ini akan kukuh dan wujud apabila umat Islam menyedari bagaimana mengeluarkannya dan mengambil manfaat darinya, dan seterusnya mampu mengimbangi kuasa dunia lainnya”. Seorang lagi penulis Inggeris (Heller Block) berkata: “Sesuatu peradaban yang mana tonggak-tonggaknya terikat dengan ikatan yang kukuh, bahagian tepinya saling berpegangan dengan kuat dan membawa bersamanya ideologi seperti Islam, tidak sekadar sedang menunggu masa depan yang cerah saja namun juga akan menjadi bahaya bagi musuh-musuhnya. ” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, FIRMAN Allah SWT Surah al-Baqarah ayat 256: ﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦﴾ “Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar (Islam) daripada jalan yang sesat (kufur). Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada Taghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Perkara pertama yang wajib dipegang oleh umat Islam dalam mengembalikan semula kekuatan dan kegemilangan umat ialah kembali kepada aqidah Islam. Dibandingkan pegangan kepada ajaran Islam yang diimani laksana simpulan ikatan tali yang sangat kuat. Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai aqidah, yakni simpulan. Aqidah Islam berprinsipkan beriman kepada Allah SWT dan ketuhanan-Nya sahaja, di samping menerima ketetapan-Nya yang disampaikan oleh Rasul-Nya dan menolak segala yang lain daripada-Nya yang disebut taghut iaitu pelampau daripada sempadan Allah. Setiap ajaran Islam yang sempurna wajib diyakini dengan kepercayaan hati yang teguh dalam segala aspek, sama ada yang dinamakan urusan agama dalam istilah bahasa yang lain atau urusan kehidupan dunia yang tidak termasuk dalam takrif agama lain, namun ia tetap menjadi ajaran Islam. Begitu juga, sama ada perkara yang dinaskan secara nyata atau dasar yang umum, mahupun termasuk perkara yang tidak dinaskan yang hukumnya wajib, harus, halal dan haram. Semua perkara termasuklah perkara yang tidak dinaskan, terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna dan merupakan perkara yang diizinkan oleh Allah mengikut kemampuan manusia. Semua ajaran Islam yang sempurna itu wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan manusia, kelak pada Hari Kiamat ia akan dihisab Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Kewajipan yang kedua untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam ialah melaksanakan segala sistem Islam samada dalam ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Rasulullah SAW telah memberi amaran bahawa akan berlaku pada akhir zaman, ajaran Islam itu dirungkai satu demi satu, kerana terikut-ikut dengan hawa nafsu dan langkah syaitan. Sabda Rasulullah SAW: لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.- رواه أحمد وابن حبان Maksudnya : “Akan berlaku suatu keadaan apabila ajaran Islam yang disimpul dengan ikatan yang teguh akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu dirungkai, para penganutnya berpegang dengan simpulan yang masih ada. Pertama yang dirungkai ialah kuasa pelaksanaan hukum Islam (politik) dan yang terakhir dirungkai ialah pelaksanaan solat.” Kita menyaksikan hukum pemerintahan negara yang disebut al-Ahkam al-Sultaniyyah, Siyasah Syar‘iyyah atau Wilayat al-Faqih (politik) yang memberi kuasa kepada Islam memerintah dan mentadbir, menjadi perkara yang pertama sekali dirungkaikan, dan akhirnya ia akan dilupakan. Begitulah gambaran betapa besar dan pentingnya hukum ini sehinggakan ia dinaskan dalam al-Quran, sunnah amaliah Rasulullah SAW dan ijmak para sahabat RA selepas kewafatan Baginda SAW. Bahkan, hukum ini juga dipertahankan oleh semua kerajaan Islam yang tidak berani membatalkan kuasa Islam pada prinsipnya, walaupun mereka secara peribadinya melakukan maksiat. Hal ini demikian kerana, mereka berpegang kepada ketetapan Allah yang menjadi amanah besar kepada manusia. Imam al-Ghazali RH dalam kitab al-Iqtisad fi al-I‘tiqad menegaskan: الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ. “Agama itu asas, kuasa pemerintahan (politik) itu pengawas. Apa yang tidak ada asasnya akan runtuh; dan apa yang tidak ada pengawasnya akan hilang.” Sewaktu adanya kuasa pemerintahan Islam, apabila semua hukumnya dilaksanakan, umat Islam menjadi kuasa besar dunia yang dipandang hebat oleh musuh. Hal ini disebabkan keadilannya dan kedatangannya yang bersifat tidak menjajah, serta ilmunya yang memberi kebijaksanaan dan kekuatan. Islam dihormati kerana keadilannya, bukan kerana takut akan kezalimannya, sehingga umat Islam dan golongan bukan Islam berjaya diselamatkan daripada kezaliman tanpa paksaan beragama. Apabila kuasa Islam dijatuhkan dengan sebab kelemahan pemimpin dan para ulama’ dalam melaksanakan ajaran Islam yang sempurna dengan bertafaqquh memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama, umat Islam mengalami kelemahan. Akhirnya, tanah air umat Islam dijajah, kuasa politik Islam dihapuskan oleh penjajah, kemudiannya ajaran Islam yang berada di bawah bidang kuasanya dirungkai dan tidak diamalkan lagi. Malah, ia diganti dengan hukum-hukum ciptaan manusia yang dibawa oleh penjajah dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah. Penjajah yang menakluk kita telah mencabut kuasa Islam dan memaksa kita beramal dengan hukum Islam yang hanya berkait dengan aspek fardu ‘ain, melibatkan urusan peribadi, kekeluargaan dan akhlak sahaja. Ajaran Islam hanya boleh diamalkan dalam urusan ibadat, munakahat, undang-undang muamalat dan sedikit undang-undang jinayat. Bahkan, umat Islam hanya boleh bertindak di bawah hukum takzir dalam perkara yang melibatkan kesalahan akhlak peribadi dan keluarga, mengikut bidang kuasa yang dinamakan bidang kuasa syariah yang diletakkan sempadannya. Kuasa itu diberikan kepada raja-raja yang dirampas kuasanya sehingga hanya sekadar menjadi penaung kepada hukum Islam yang sedikit itu. Adapun hukum yang berkait dengan pentadbiran negara, sistem pendidikan yang sempurna, pentadbiran, ekonomi dan kemasyarakatan, pertahanan negara dan undang-undang jenayah yang menjaga keamanan secara mendidik dibatalkan dan diganti dengan undang-undang ciptaan manusia yang lemah dan zalim. Dalam perkara fardu kifayah yang melibatkan urusan kemasyarakatan, umat Islam hanya dibenarkan melaksanakan sembahyang jenazah sahaja. Adapun semua perkara yang besar bagi kemajuan sains dan teknologi dalam segala lapangan yang menjadi fardu kifayah, dianggap bukan lagi fardu kifayah, sebaliknya dianggap urusan dunia yang tidak ada kaitan dengan agama Islam. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran : إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾ Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri Sempena kita berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia maka marilah kita sama-sama menanam tekad dan azam dalam membuang sikap penting diri dan terlalu cinta kepada dunia di mana ini antara punca umat Islam berpecah dan gagal untuk kembali umat cemerlang. Ketika kita menyaksikan suasana getir dan bahaya yang sedang dihadapi oleh saudara seagama kita yang sedang mempertahankan tanah wakaf milik umat Islam di Palestin maka sewajibnya kita bersatu hati dan buang sifat cinta dunia sehingga tidak bersungguh dalam memberi bantuan, berdoa dan boikot barangan zionis Yahudi. Malah yang lebih malang ketika saudara kita di Palestin mati dibom oleh zionis Yahudi manakala kita yang di luar Palestin mati hati akibat dibom dengan hiburan melalaikan yang merupakan senjata halus zionis Yahudi. Bangkitlah dari lena, bangun dari tidur segera. Kita bimbang saudara di Palestin mendapat anugerah mati syahid berharga, kita mati hina akibat mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Islamlah nescata kita mulia dan selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: