أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 11 Mei 2023

Khutbah Jumaat : Syawal Menyemai Jiwa Pemenang

الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 9 dan 10 surah as-Syamsi : قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). KIni lebih 2 minggu kita menyambut Syawal dan dalam masa yang sama meninggal Ramadhan yang penuh dengan pelbagai keistimewaannya. Hayatilah syair dari Ibnu Rajab Al-Hanbali : “ Hati orang-orang yang benar diselimuti kerinduan dan ratapan akibat derita dengan pemergian Ramadhan. Bagaimana mungkin seorang beriman tidak menitiskan air mata atas pemergian Ramadhan ketika dia sendiri tidak mengetahui apakah dirinya akan berjumpa kembali dengan bulan Ramadan tahun depan. Wahai Ramadan! Berbaik hatilah, air mata para pecintamu mengalir deras. Hati mereka koyak akibat derita pemergianmu. Berharap dengan tetap mengucapkan selamat tinggal padamu akan memadamkan api kerinduan yang terbakar. Berharap dengan meluangkan waktu bertaubat akan memperbaiki segala yang terkoyak dengan segera. Berharap yang tersingkirkan dari mereka yang puasanya diterima akan digabungkan bersama mereka. Berharap yang terpenjara dengan dosa-dosanya akan dibebaskan. Berharap yang sepantasnya dimasukkan ke neraka akan diampuni. Berharap kasih sayang Tuhan akan dilimpahkan kepada orang-orang yang berlumuran dosa. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Sempena berada pada bulan Syawal yang dinamakan bulan kemenangan maka pastikan kita suburkan dengan amal ibadat disamping menjauhi dosa maksiat. Renungi nasihat ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz rahimahuLlah Ta’ala kepada puterinya tentang hakikat hari raya yang sebenar: لَيْسَ الْعَيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الْجَدِيْدَ إِنَّمَا الْعَيْدُ لِمَنْ خَافَ يَوْمَ الْوَعِيْدِ “Hari raya itu bukan bagi orang yang memakai pakaian baru, akan tetapi hari raya bagi mereka yang takut terhadap hari pembalasan.” Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahuLlah mengingatkan: لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ تَجَمَّلَ بِاللِبَاسِ وَالرُكُوْبِ إِنَّمَا الْعِيْدُ لِمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُنُوْبُ “Dan bukanlah hari raya itu milik orang yang berhias dengan pakaian yang indah dan kendaraannya mewah, tetapi hari raya itu adalah milik orang yang telah diampunkan baginya dosa-dosanya.” لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الْجَدِيْدَ إِنَّمَا الْعِيْدُ لِمَنْ طَاعَاتُهُ تَزِيْدُ “Bukanlah hari raya itu milik orang yang berpakaian baru, akan tetapi (sebenar-benar) hari raya adalah milik orang yang ketaatannya bertambah.” Amat malang apabila sepanjang Ramadhan kita dapat menjauhi dosa maksiat mata, telinga, lidah, tangan dan pancaindera yang lain tetapi bila masuk Syawal kita diperkudakan oleh hawa nafsu untuk melakukan dosa. Lupakah kita tentang bahayanya dosa yang boleh membawa kepada kerugian dunia dan akhirat. Peringatan Nabi SAW : الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ – رواه مسلم Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ- رواه أحمد Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Rasulullah SAW melalui sabdanya: إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ ، فَإِنْ هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ صَقَلَتْ قَلْبَهُ ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ فَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} -رواه النسائي Maksudnya: Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-raan (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: {كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ} Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. Kata Abdullah ibn Mas’ud R.A: ‎إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ – رواه الترمذي Maksudnya: “Seorang Mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia berada di bawah gunung, dia takut gunung itu akan menghempapnya. Sedangkan orang fajir (derhaka), dia melihat dosa-dosanya seperti melihat lalat hinggap di hidungnya.” Ulama menyifatkan dosa ialah sesuatu yang ketagih umpama dadah atau arak. Sekali dicuba maka sukar untuk ditinggal. Dosa juga ibarat racun di mana ia memberi kesan kepada kehidupan kita mengikut kadar banyak atau sedikit dosa yang dilakukan. Oleh itu jangan kotori kemuliaan Syawal dengan dosa maksiat. Jangan sama sekali kita terpengaruh dengan bisikan syaitan yang menyuruh kita meninggal solat, puasa , bersedekah atau tmenutup aurat atas alasan tidak ikhlas. Sebalknya lakukan ibadat berterusan sehingga ikhlas. Kita tidak tahu bila kita akan mati dan bila kita yakin betul-betul boleh ikhlas dalam menunaikan amalan soleh. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran : إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ ‎﴿١٤٠﴾‏ Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim Ketika menyambut Syawal juga kita sepatutnya mengambil iktibar daripada Peperangan Uhud yang berlaku pada Syawal tahun 3 Hijrah. [1] bahawa janji Allah akan kemenangan itu cuma akan berlaku, sekiranya kita taat pada Allah ﷻ. Sebagaimana kita tahu, sahabat ra ada yang melakukan kesilapan pada Perang Uhud, di mana 50 orang pemanah meninggalkan Jabal Rama sebelum mendapat keizinan daripada Nabi ﷺ. Ini membuatkan tentera berkuda Khalid Al-Walid pada masa itu belum lagi memeluk Islam mengambil kesempatan untuk menyerang umat Islam daripada belakang. Sama pada kita pada hari, janji kemenangan dan kebahagiaan itu cuma diberikan setelah sekalian kita menunjukkan ketaatan kepada Allah. [2] bahawa dalam kekalahan itu terdapat ujian kepada sekalian umat Islam. Seandainya Allah ﷻ hanya memberikan kemenangan dan keuntungan setiap masa kepada semua manusia yang memeluk Islam, maka bagaimana dibezakan di antara mereka yang benar-benar ikhlas beriman, dengan mereka yang hanya beriman dan gembira di kala mendapat manfaat dan ingkar pada ketika diuji? Malahan, itu merupakan salah satu sifat munafik, beriman ketika untung dan kufur ketika mendapat ujian atau bala. Sedangkan mereka yang beriman kekal mengikhlaskan diri kepada Allah, dalam susah dan senang. Dalam kelapangan mereka bersyukur kepada Allah. Dalam diberikan nikmat, mereka faham itu semua adalah milik Allah, namun dipinjamkan atas sifat Belas Kasihan Allah. Dalam ujian, mereka memahami itu tandanya Allah ingin menghapuskan dosa. Dalam ditimpa bala, mereka memahami itu ertinya Allah ingin mereka membuktikan keikhlasan dan keimanan mereka kepada Allah yang tidak berbelah bahagi, tanpa mengira masa dan keadaan. [3] bahawa setiap ujian dan bala menimpa, mempunyai pengajaran yang sangat berharga untuk jangka masa panjang. Benar sahabat ra ada melakukan kesilapan pada Uhud, namun kesilapan itu dididik Allah dengan kekalahan, sehingga selepas daripada Uhud, tidak ada lagi para sahabat ra yang ingkar pada arahan Nabi ﷺ. Kerana itu kita perhatikan, peperangan Nabi ﷺ bersama para sahabat tidak lagi mengalami kekalahan setelah Perang Uhud. Kesilapan mereka ambil sebagai pengajaran dan dijadikan bekalan untuk lebih matang dan cekal beriman, kerana itu, mereka akhirnya menamatkan hidup mereka dengan keimanan yang teguh kepada Allah dan rasulNya, dan juga membawa pulang amal soleh yang hanya Allah tahu betapa besar dan berharga ketika bertemu denganNya. [4] bahawa proses menang dan kalah merupakan suatu ketentuan Allah bukannya datang secara kebetulan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”. Semoga syarat kemenangan Islam kita dapat penuhi untuk mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah dunia dan akhirat nanti بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: