أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 20 April 2023

Istiqamah Tarbiah Ramadhan Musibah Kematian Ulama

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Anbiya’ : اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُّعْرِضُونَ ﴿١﴾ Maksudnya : Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Hari ini kita berada pada hari terakhir bagi Ramadhan 1444H. Sebulan Ramadan yang dilalui ibarat suatu perjalanan tarbiah dan rohaniah yang sewajarnya memberi kesan terhadap diri. Berpuasa secara zahir dan dihubungkan dengan batin bakal membawa keinsafan kepada diri bahawa kelahiran kita asalnya fitrah ibarat kain putih yang tercerna dengan pengalaman hidup yang pelbagai lalu wujud keinginan kembali semula ke fitrah. Manusia pada asasnya memiliki dua sifat iaitu nasiyya atau lupa dan ghaflah atau lalai seperti yang disebutkan oleh al-Quran. Kelupaan dan kelalaian perlukan peringatan. Melakukan puasa yang dibuat berulang-ulang ibarat peringatan Allah kepada kita supaya kita menjadi lebih manusiawi dalam niat dan amalan Oleh itu antara doa yang diajarkan oleh nabi s.a.w agar kita dihindari daripada perkara yang buruk selepas memiliki suatu kebaikan اللّهُمّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الحَوْرِ بَعْدَ الكَوْرِ – رواه ابن ماجه Maksudnya : Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu dari kembali (kepada keburukan termasuk kekufuran) setelah (mendapatkan) tambahan (kebaikan terutama keimanan).  Ulama’ menyatakan maksud hadis ini seperti kembali kepada kekufuran selepas keimanan, maksiat selepas tunduk ibadat, kurang amalan selepas berjaya menambahnya, keburukan selepas mendapat kebaikan. Oleh itu kita doakan semoga kita berjaya menjadi hamba Allah yang kekal beribadat serta menjauhi maksiat bukan sahaja pada bulan Ramadhan malah pada 11 bulan selepasnya. Kita mohon perlindungan daripada Allah daripada menjadi hamba Ramadhan iaitu kuat beribadat dan menjauhi dosa maksiat, memusuhi syaitan, mengawal hawa nafsu hanya pada bulan Ramadhan sahaja sedangkan pada bulan yang lain kita tidak menghirau suruhan dan larangan Allah. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 9-10 surah As-Syamsu : قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠﴾ Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9)Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)  Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA pernah berkata: “Aduhai seandainya aku tahu siapakah yang diterima amalannya pastilah kami akan mengucapkan selamat kepadanya, dan siapa yang ditolak amalannya, kami akan bersedih kepadanya”. Para generasi salaf, 6 bulan pasca Ramadhan mereka gunakan untuk memohon kepada Allah agar seluruh amalan di bulan Ramadhan diterimanya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz, di saat berkhutbah di hadapan rakyatnya pada hari raya : “Wahai rakyat sekalian! Kalian telah berpuasa selama 30 hari, dan telah solat malam selama 30 hari. Sekarang tiba saatnya kalian keluar dari bulan Ramadhan untuk memohon pada Allah agar semuanya diterima”. Antara usaha kita dalam memastikan tarbiah Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan ialah dengan kita terus bersemangat untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Kita terus jinak dengan solat berjemaah di masjid atau surau. Tidak lupa untuk kita hidupkan bulan lain dengan puasa sunat termasuk merebut kelebihan puasa sunat enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun. Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah saw bersabda مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا - رواه البخاري. Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 4-6 surah at-Tiin : لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ ﴿٤﴾ ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ ﴿٥﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ ﴿٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,  Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus   Setiap diri insan yang beriman sentiasa mengambil berat tentang kuantiti dan kualiti amalan soleh mereka di mana timbul perasaan sentiasa berharap agar Allah maqbulkan disamping berasa takut jika amalan ditolak sehingga dia begitu bersungguh dan cermat dalam ibadat dan memohon keampunan. Ibnu Rajab Al-Hanbali RH menukil dalam kitabnya “Lathaa`ifu al-Ma’aarif” berkaitan 5 tanda yang menunjukkan bahawa amal atau ibadah mu’min diterima di bulan Ramadhan: [1] Memiliki persepsi atau pandangan yang benar berkaitan amalan yang dilakukan. Amal yang dilakukan di bulan Ramadhan tidak sampai membuatnya membezakannya dengan bulan yang lain.  Ungkapan ulama’ : “Sehina-hina kaum adalah yang mengenal hak-hak Allah hanya di bulan Ramadhan saja. Sesungguhnya orang soleh adalah yang beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun.” [2] Lahir sebagai hamba Allah bukan hamba Ramadhan iaitu beramal tidak bergantung pada bulan sebaliknya bergantung kepada Allah sepanjang masa [3] Melakukan ibadat secara istiqamah atau berkesinambungan. Kalau di bulan Ramadhan dia berpuasa, bersedekah, membaca Al-Qur`an dan qiamullail maka di bulan-bulan lain juga mengamalkannya secara berterusan. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ - رواه مسلم Maksudnya : Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit. [4] Diberi taufiq atau pertolongan oleh Allah untuk mengamalkan kebaikan setelah berlalu Ramadhan. Sebagian ulama berkata: “Pahala kebaikan adalah kebaikan yang dilakukan setelahnya. Sesiapa melakukan amal kebaikan kemudian diikuti dengan kebaikan berikutnya, maka itu sebagai tanda diterima amal kebaikan yang pertama. Sementara orang yang melakukan amal keburukan setelah kebaikan, itu sebagai tanda amalnya tidak diterima oleh Allah.” Ibnu Rajab RH berkata: “Sesiapa yang mengamalkan beberapa ketaatan dan menyelesaikannya, maka tanda amal itu diterima adalah ketika berlanjutan atau bersambung dengan ketaatan yang lain. Sedangkan tanda amal ditolak ketika diiringi maksiat setelah selesai melakukan sesuatu amal kebaikan”. [5] Tidak lupa bersyukur kepada Allah yang memudahkan dan memberinya taufiq untuk beramal soleh. Ketika Wahab bin Warad ditanya mengenai pahala amalan tertentu seperti towaf dan semacamnya, beliau menjawab: “Jangan bertanya tentang pahalanya, tapi bertanyalah: apa kamu sudah bersyukur kepada Allah yang telah memberi taufiq dan pertolongan untuk melakukan amal kebaikan tersebut.” Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا - رواه البخاري ومسلم Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”  Ramadhan tahun ini menyaksikan kita kehilangan beberapa orang Ulama yang boleh dianggap satu musibah terutama apabila kematian mereka berturut-turut pada waktu hampir sama dan ia digambarkan seolah-olah rantaian biji tasbih yang jatuh serta terungkai sekali gus. Peringatan daripada Nabi s.a.w bagaimana cara ilmu dicabut ialah dengan kematian ulama. Justeru, hendaklah kita pelajari ilmu dari para ulama dengan cara bertalaqqi sebelum mereka meninggalkan kita. Ini kerana, ilmu tidak boleh diwarisi seperti mana harta, sebaliknya perlu dipelajari dan ditekuni dengan bersungguh-sungguh. Kelebihan ulama dalam memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik daripada sebarang kejahilan kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh. Kematian ulama dianggap sebagai musibah yang besar kerana ulama adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat ini. Untuk melahirkan ulama yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal. Justeru, sedikit sahaja yang tergolong dalam golongan ulama rabbani yang berani menyatakan kebenaran dan berdakwah dengan penuh hikmah. Daripada Sayyidina Ali RA, berkata: إِذَا مَاتَ العَالِمُ ثُلِّمَ فِي اَلإِسْلَامِ ثُلْمَةٌ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ Maksudnya: “Apabila matinya seorang alim nescaya dipatahkan mercu tanda Islam yang tidak mungkin dapat ditampungnya oleh sesuatu hingga hari kiamat.” Daripada Sayyidina Umar RA, katanya: لَمَوْتُ أَلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ، أَهْوَنُ مِنْ مَوْتِ عَاقِلٍ Maksudnya: “Mati seribu orang ahli ibadat yang berqiamullail dan puasa sunat di siang hari lebih ringan daripada mati seorang yang berakal lagi alim.” Sulaiman Rahimahullah pula berkata: لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا بَقِيَ الأَوَّلُ حَتَّى يَتَعَلَّمَ الآخِرُ، فَإِذَا هَلَكَ الأَوَّلُ قَبْلَ أَنْ يَتَعَلَّمَ الآخِرُ هَلَكَ النَّاسُ Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia.” Ketika ditanya kepada Sa’id Bin Jubair Rahimahullah: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Apabila para ulama mereka meninggal dunia.” Daripada nas dan kenyataan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa ilmu, hikmah dan juga para ulama mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru apabila berlaku kematian ulama, maka sebenarnya cacatlah dunia ini dan umat manusia dengan terpadamnya pelita atau obor yang menyuluh kehidupan mereka. Semoga para ulama diberkati Allah dan ilmu mereka terlebih dahulu dapat diambil dan dikutip dari mulut mereka oleh generasi selepasnya agar kesinambungan ilmu bersilsilah tidak terputus بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: