أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Jumaat, 20 April 2018

Isra’ Mikraj Hebatkan Dakwah Tegakkan Daulah

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ : سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Mukjizat Isra’ Mikraj ini berlaku setelah tentangan terhadap dakwah Islam semakin memuncak di mana dakwah nabi mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Mekah sendiri ditambah dengan penolakan oleh masyarakat Taif. Ini dapat digambarkan dalam suatu doa nabi s.a.w اللّهُمّ إلَيْك أَشْكُو ضَعْفَ قُوّتِي ، وَقِلّةَ حِيلَتِي ، وَهَوَانِي عَلَى النّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ ! أَنْتَ رَبّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبّي ، إلَى مَنْ تَكِلُنِي ؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي ؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْتَهُ أَمْرِي ؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي ، وَلَكِنّ عَافِيَتَك هِيَ أَوْسَعُ لِي ، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَك ، أَوْ يَحِلّ عَلَيّ سُخْطُكَ، لَك الْعُتْبَى حَتّى تَرْضَى ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوّةَ إلّا بِك – رواه الطبراني Maksudnya : Ya Tuhanku, kepada Engkaulah aku mengadu kelemahan kekuatanku, dan sedikitnya daya upayaku dan tidak ada dayaku di hadapan manusia. Ya Tuhan yang Lebih Pengasih dari segala yang pengasih, Engkaulah Tuhan dari segala yang lemah dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah aku akan Engkau serahkan, kepada orang yang jauh yang membenciku, atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Jika Engkau tidak murka kepadaku, tidaklah aku peduli, tetapi kemaafan daripada Engkau adalah lebih lapang buatku. Aku berlindung dengan cahayaMu, Dikaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, atau terturun kemarahanMu, bagi Engkau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhanku. Walau pun tentangan yang begitu hebat namun kesabaran nabi s.a.w dan kasih sayang kepada umatnya begitu tinggi di mana ketika ditawarkan oleh malaikat penjaga bukit untuk menghempap bukit atas penduduk Taif namun ditolak oleh nabi s.a.w dengan sabdanya : أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا-رواه مسلم Maksudnya : Bahkan aku berharap semoga Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka (penduduk Taif) keturunan yang akan menyembah Allah semata-mata, tidak mempersekutuiNya dengan sesuatu apa pun Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran: قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ﴿٢٦﴾ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kesungguhan nabi Muhammad s.a.w dalam menyebarkan dakwah Islam tidak terhenti malah pergantungan diri dengan Allah semakin kuat sehingga berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit yang membuktikan Kekuasaan Allah. Peristiwa ini mengajar bahawa tiada kerajaan yang lebih kuat dan hebat mengatasi Kerajaan Allah. Tidak ada kerajaan yang kekal memerintah kecuali Kerajaan Allah. Oleh itu setiap kerajaan yang ada mesti tunduk patuh kepada Kerajaan Allah jika mahu selamat dan berjaya dunia dan akhirat. Usah sombong takabbur bila diberi amanah untuk memegang kuasa kerana ia boleh ditarik bila-bila masa oleh Allah. Jangan hilang rasa pergantungan diri kepada Allah setiap masa dan tempat supaya bantuan dan pertolongan daripada Allah sentiasa bersama kita Peristiwa Isra’ Mikraj juga merupakan suatu motivasi dalam membina keyakinan dan semangat yang lebih tinggi dalam diri nabi s.a.w dalam menyebarkan dakwah sehingga berlakunya peristiwa hijrah tidak lama selepas itu yang menyaksikan tertegaknya Daulah Islamiah di Madinah Munawwarah yang bukan sahaja Berjaya meruntuhkan jahiliah sekitar tanah arab malah akhirnya menumbang 2 kuasa besar pada masa itu iaitu Rom Kristian dan Parsi Majusi seterusnya menukar Empayar China Budha dan India Hindu di sebelah timur kepada Islam. Perjuangan Islam pasti berdepan dengan pelbagai ujian, cabaran, halangan sebelum menjulang kemenangan dengan syarat pergantungan dengan Allah dekat, cara untuk mencapai kemenangan bertepatan dengan syarak serta istiqamah dalam perjuangan tidak mudah rasa letih dan mudah putus asa. Antara halangan perjuangan Islam ialah : [1] Perang Saraf musuh Dalam usaha untuk melumpuhkan daya juang dengan memburukkan imej Islam, menghina system Islam dan sebagainya. [2] Peperangan dalam menghalang usaha yang menuntut para pejuang Islam untuk menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan kelangsungan dakwah Islam. [3] Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam di mana pendakwah sendiri jika tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amal ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga akan dijangkiti penyakit jahiliyah moden yang sedang merebak ke dalam masyarakat Islam. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 90 surah al-Maidah: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Imam Muslim dalam meriwayatkan suatu hadis sohih berkaitan peristiwa Isra Mikraj di mana setelah selesai solat 2 rakaat di Masjid Aqsa maka baginda ditunjuk 2 bekas berisi susu dan arak lalu nabi s.a.w memilih susu yang bererti fitrah atau Islam. Ini memberi pengajaran berharga kepada kita terutama dalam suasana hampir dengan Pilihanraya Umum ke-14 ini supaya setiap undi kita berasaskan panduan agama bukan mengikut hawa nafsu. Pemilihan yang tepat berdasarkan neraca agama pasti akan membawa Negara kepada keberkatan manakala sikap mengenepikan agama dalam memilih pemimpin akan membawa kerosakan dan penderitaan bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Sebagai umat Islam bermaruah maka sudah pasti kita akan berusaha dalam memastikan pilihanraya ini sebagai titik kebangkitan umat Islam yang akan mengubah Negara kepada pelaksanaan system Islam yang lebih baik dan bersungguh. Ketika desakan golongan anti-Islam dalam menghalalkan murtad, menghalalkan zina dan budaya songsang LGBT maka kita sebagai pengundi Islam yang beriman kepada Allah dan akhirat mesti memiliki keberanian dalam menghalang perkara tersebut daripada berlaku dalam Negara tercinta ini dengan memilih pemimpin yang mempunyai keberanian dan kesungguhan dalam melaksanakan system Islam dalam Negara Kita tidak mahu walau pun Negara kita dianugerahkan oleh Allah dengan bumi yang subur dan hasil mahsul termasuk minyak tetapi masih bergantung kepada cukai arak dan judi dengan cukai berbilion setahun sehingga terhutang budi dengan tauke arak dan judi yang menyukarkan untuk perlaksanaan system Islam yang menyeluruh. Kita malu jika minuman halal terpaksa diimport sedangkan arak boleh dieksport. Ayam, lembu dan kambing kena import sedangkan babi boleh dieksport ke luar Negara. Kita juga mesti bersungguh dalam memastikan system pengagihan kekayaan Negara dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat bukannya meneruskan cukai GST yang mengambil cukai daripada rakyat miskin untuk lebih mengayakan golongan yang telah kaya sehingga jurang antara miskin dan kaya semakin ketara. Rakyat miskin hanya merasa pemberian tahunan yang tidak seberapa sedangkan cukai yang mereka terpaksa bayar melalui GST adalah jauh lebih banyak daripada apa yang mereka kecapi. Kita juga perlu mengelak daripada memilih pemimpin rasuah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ : فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Kita pernah menyaksikan bagaimana kejayaan Salehuddin al-Ayyubi dalam memerdekakan Masjid Aqsa daripada tentera Salib dengan memastikan angkatan tenteranya daripada kalangan mereka yang menjaga solat malam. Maka kita pada hari ini wajib memastikan Negara kita merdeka daripada system yang bercanggah daripada Islam dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dengan melahirkan generasi yang sentiasa menjaga solat. Mari kita berusaha dalam memenuhkan ruang masjid dan surau dengan solat berjemaah dan majlis ilmu terutama dari kalangan anak-anak muda bagi memastikan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah semakin dekat dan hampir. Inilah sumber kekuatan kita di mana jika mencari dengan cara lain yang bercanggah dengan Islam maka selagi itulah kita dihinakan dengan kekalahan di dunia akhirat. Jagalah solat dalam menjana kemenangan. Jagalah solat dalam meraih kejayaan Kita juga wajib mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama yang sedang berdepan dengan perang saudara seperti di Syria, Yaman dan juga yang berdepan dengan pembunuhan etnik seperti Rohingya di Myanmar. Suburkan kasih sayang dan rasa kebersamaan kita dengan saudara segama yang lain sebagai lambang kesempurnaan iman. Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung, Takkan Islam hilang di dunia بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: