أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 24 Mac 2016

Miliki Sifat Ahli Syurga Hindari Sifat Ahli Neraka

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 97-99 surah al-A’raf: أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَ‌ىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَ‌ىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ‌ اللَّـهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ‌ اللَّـهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُ‌ونَ ﴿٩٩﴾ Maksudnya: Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?. Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?. Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. Peringatan demi peringatan daripada Allah kepada umat manusia terutama melalui musibah keadaan cuaca di mana pada tahun 2014 kita diuji dengan banjir besar di Pantai Timur Negara, tahun 2015 diuji dengan jerebu sehinga banyak negeri terpaksa diistihar darurat disamping gempa bumi di Sabah. Kini kita berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dikenal pasti telah mencapai paras ambang gelombang haba melebihi 35 darjah Celsius. Cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan strok haba akibat gangguan saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kepada kematian. Kita diminta minum air secukupnya dengan mengamalkan minum air masak sebanyak 8 gelas sehari. Kurangkan aktiviti luar sama ada kerana tujuan kerja atau bersukan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam Surah ar-Ruum ayat 41: ظَهَرَ‌ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ‌ وَالْبَحْرِ‌ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْ‌جِعُونَ Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Ketika berbicara tentang cuaca panas yang melampau ini maka mimbar Jumaat pada hari ini menyeru agar semua pihak bermula daripada pemimpin hingga rakyat di bawah supaya bersungguh-sungguh menjauhi dosa maksiat. Jagalah keselamatan alam daripada dimusnahkan sesuka hati. Kita tidak mahu menjadi manusia yang hanya melihat apa yang berlaku sekadar fenomena alam sebaliknya kita sebagai orang beriman meyakini bahawa setiap apa yang berlaku merupakan antara tanda kekuasaan Allah. Jika Allah boleh datangkan kepanasan maka Allah juga boleh mendatangkan suasana sejuk dan hujan. Oleh itu perbanyakkan istighfar, bertaubat kepada Allah, bersungguh dalam menjauhi dosa maksiat serta berdoa kepada Allah agar diangkat musibah ini dengan segera oleh Allah. Ingatlah kepada suatu peringatan nabi s.a.w antara sebab berlakunya cuaca panas dan kemarau sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar: ….وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا……. Maksudnya : …..Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. …….. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 13-14 surah as-Sajadah: وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَـٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١٣﴾ فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَا إِنَّا نَسِينَاكُمْ ۖ وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٤﴾ Maksudnya: Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)". (Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". Ketika menghadapi cuaca terlalu panas ini maka marilah cuba bayangkan bagaimana dahsyatnya kepanasan padang Mahsyar nanti dan api Neraka yang jauh lebih panas dan azab lagi. Oleh itu insaflah kita dengan sama-sama mempertingkatkan lagi kauntiti dan kualiti amal soleh kita disamping menjauhi dosa maksiat kerana Syurga ada ahlinya dan Neraka ada penghuninya. Ingatlah suatu peringatan nabi s.a.w dalam suatu khutbahnya : أَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلاثَةٌ: ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ, وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ, وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ, قَالَ: وَأَهْلُ النَّارِ خَمْسَةٌ: الضَّعِيفُ الَّذِي لا زَبْرَ لَهُ, الَّذِينَ هُمْ فِيكُمْ تَبَعًا لا يَبْتَغُونَ أَهْلاً وَلا مَالاً, وَالْخَائِنُ الَّذِي لا يَخْفَى لَهُ طَمَعٌ وَإِنْ دَقَّ إِلَّا خَانَهُ, وَرَجُلٌ لا يُصْبِحُ وَلا يُمْسِي إِلَّا وَهُوَ يُخَادِعُكَ عَنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ, وَذَكَرَ الْبُخْلَ أَوِ الْكَذِبَ, وَالشِّنْظِيرُ الْفَحَّاشُ). . أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ فِي الصَّحِيحِ( Maksudnya : Ahli Syurga ada 3 golongan iatu [1] Penguasa yang adil, bersedekah, dan berlaku jujur. [2] Orang muslim yang menaruh belas kasihan dan lemah lembut kepada setiap kerabat dekat. [3] Orang yang hidup dalam kekurangan harta benda dan banyak anaknya, akan tetapi ia selalu menjaga kesucian diri dari dosa. Sementara penghuni neraka itu ada 5 golongan: [1] Orang lemah yang tidak mempunyai amal kebajikan. [2] Orang yang ikut-ikutan, tidak mahu mencari nafkah, dan tidak peduli kepada keluarganya. [3] Pengkhianat yang tidak ada hal-hal sekecil apapun melainkan ia akan berkhianat terhadapnya. [4] Orang yang sentiasa berbuat perancangan untuk mengganggu keluarga dan harta orang lain. (Selain itu baginda s.a.w juga menuturkan kekikiran dan kedustaan sebagai penyebab seseorang masuk neraka0. [5] Orang yang bermulut kotor dan selalu berbuat keji. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 72 surah al-Ahzab : إِنَّا عَرَ‌ضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. Melalui khutbah nabi s.a.w itu kita dapati bagaimana antara perkara besar ialah menunaikan amanah dalam kehidupan kita terhadap diri sendiri, ahli keluarga, masyarakat dan Negara. Kejayaan menunaikan amanah akan membawa kita ke Syurga manakala pengkhianatan terhadap tanggungjawab akan membawa kepada kesengsaraan dalam Neraka yang dahsyat. Ingatlah kita ketika amanah yang merupakan pelaksanaan syariat dan hukum-hakam Allah di mana kejayaan melaksanakannya akan membawa kepada kebahagiaan sebaliknya sekiranya melanggar hukum Allah akan membawa kepada kemurkaan Allah dan NerakaNya telah menyebabkan langit, bumi dan gunung-ganang bergoncang ketakutan dan tidak sanggup memikul amanah ini Oleh itu rakyat terus merasa bimbang dengan kadar rasuah dan pecah amanah yang terus meningkat. Ketika penyimpan Tabung Haji diugut akan kehilangan giliran menunaikan ibadat haji sehingga 70 tahun jika yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka sedangkan pemimpin perlu menumpukan untuk menangani masalah salahguna wang Tabung Haji dan juga keperitan hidup rakyat yang tersepit dengan kenaikan kos sara hidup ketika pemimpin terus hidup mewah. Begitu juga isi rasuah dan penyelewengan dalam Kementerian Belia dan Sukan melibatkan lebih RM100 juta menambahkan senarai penyelewengan wang rakyat yang sedia ada. Ingatlah kita kepada suatu amaran nabi s.a.w bagaimana antara tanda qiamat bila disia-siakan amanah akibat diserahkannya kepada bukan ahlinya. Malah pakar pentadbiran barat turut mengakui bahawa orang amanah lebih selamat diberi tanggungjawab berbanding orang yang hanya bijak mengurus dan orang yang hanya memiliki kekuatan melaksanakan tugas tanpa sifat amanah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Mimbar Jumaat pada hari ini juga menyatakan kesedihan atas pengeboman yang berlaku di Turki dan terbaru di Belgium. Kita tidak mahu ia menambahkan lagi tuduhan bahawa ia dilakukan oleh umat Islam untuk memberi gambaran buruk kepada dunia bahawa Islam adalah agama pengganas. Kita juga mengambil peduli terhadap saudara seagama kita terutama di Syria, Iraq dan selainnya yang menderita akibat pepereangan. Begitu juga umat di Palestin merayu untuk kita mendoakan kejayaan mereka dalam memerdekakan bumi Palestin disamping bantuan material dan yang penting untuk bersatu memboikot barangan dan syarikat yang banyak membantu kezaliman dan kejahatan zionis Yahudi. Sebagai contoh mudah adakah kita sanggup makan McDonald’s, KFC, Pizza Hut, Coca cola jika kita tahu duit belian kita akan digunakan untuk menembak mati anak, ibu, ayah, isteri, adik beradik kita. Sepastinya kita semua akan menjawab kita tidak sanggup menjadi pembunuh tetapi adakah kita mampu laksanakannya dalam kehidupan seharian. Tepuk dada tanyalah iman kita Firman Allah dalam ayat 63 surah al-Ahzab: يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّـهِ ۚ وَمَا يُدْرِ‌يكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِ‌يبًا ﴿٦٣﴾ Maksudnya: Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: