أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 16 November 2023

Khutbah Jumaat : Contohi Nabi Muhammad s.a.w Menjadi Peniaga Hebat Jauhi Laknat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?” Kita masih berada pada bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada seluruh alam. Kelahiran nabi s.a.w telah merubah keadaan dunia yang selama ini berada dalam kelam kufur kepada terangnya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam, daripada akal dan nafsu serakah menjadi asas pertimbangan kepada tunduk patuh pada wahyu al-Quran. Sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam di mana cara penyampaian risalah Islam adalah untuk memberikan kelembutan dan perlindungan kepada alam sejagat bukannya membawa keresahan dan bencana. Antara rahmat kedatangan nabi Muhammad s.a.w kepada manusia ialah menukar cara hidup jahiliah seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup kepada meletakkan kaum wanita ditempat yang mulia, mengharamkan perempuan daripada berkahwin lebih daripada seorang suami bagi memastikan zuriat terjaga tidak seperti amalan jahiliah yang menisbahkan anak hasil perkahwinan dengan ramai lelaki mengikut rupa lelaki mana yang serupa dengan anak yang baru dilahirkan. Rahmat kepada haiwan contohnya wajib kita menggunakan alat yang tajam ketika menyembelih dan diharamkan membunuh binatang sesuka hati. Begitu juga rahmat kepada tumbuh-tumbuhan yang dilarang daripada dicabut, ditebang sesuka hati walau pun dalam peperangan. Akibat manusia rakus merosakkan hutan dengan menebang tumbuh-tumbuhan secara melampau antara penyebab yang membawa kepada kepanasan global yang semakin tinggi bukan sahaja membahayakan kesihatan malah mengancam nyawa Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 1-6 surah al-Muthaffifiin: وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ ‎﴿١﴾‏ الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ ‎﴿٢﴾‏ وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ ‎﴿٣﴾‏ أَلَا يَظُنُّ أُولَٰئِكَ أَنَّهُم مَّبْعُوثُونَ ‎﴿٤﴾‏ لِيَوْمٍ عَظِيمٍ ‎﴿٥﴾‏ يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ‎﴿٦﴾‏ Maksudnya : Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? Sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai khatamul Anbiya wal Mursalin yang membawa rahmat kepada seluruh alam maka syariat yang dibawa bukan hanya berlegar dalam hal masalah ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja malah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja menjadi contoh kepada pendakwah yang tabah dan hebat malah baginda s.a.w menjadi contoh sebagai ayah dan suami yang penyayang, ketua negara yang adil dan saksama. Begitu juga baginda s.a.w menjadi suri teladan yang terbaik dalam mengurus ekonomi. Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Oleh yang demikian, sesiapa yang menjalankan urusan perniagaan sama ada kecil atau besar tetapi masih di dalam lingkungan perniagaan, mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ – رواه الترمذي Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang mati syahid.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ، وَبَرَّ، وَصَدَقَ- رواه الترمذي Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” Peniaga yang berjaya dunia dan akhirat adalah yang mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak, yang juga disertai dengan sifat benar dan amanah. Sifat-sifat sedemikian adalah merupakan ciri-ciri yang akan menempatkan peniaga bersama-sama dengan para nabi dan rasul. Rasulullah SAW telah menghalang orang yang melakukan jual beli daripada bersumpah dan mengatakan sesuatu yang tidak benar. الْحَلِفُ مُنَفِّقَةٌ لِلسِّلْعَةِ مُمْحِقَةٌ لِلْبَرَكَةِ Maksudnya: “Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya” Di samping itu para peniaga hendaklah sentiasa bersedia memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Mereka perlu ingat bahawa tujuan perniagaan bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan semata-mata tetapi juga terselit konsep memberi kemudahan dan membantu pihak lain, khasnya pembeli. Bagi peniaga Muslim inilah peluang yang boleh direbut kerana sesiapa yang memberi hutang dan melanjutkan tempoh bayaran balik hutang tersebut, Allah SWT telah berjanji akan memberinya bayangan arasy di akhirat kelak. Ini menunjukkan peluang untuk mendapat keredhaan Allah SWT melalui perniagaan. Firman Allah dalam ayat 280 surah al-Baqarah : وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” Imam al-Maraghi menjelaskan ayat ini: “Sekiranya penghutang sedang mengalami kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Namun begitu, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT daripada menunda masa pembayaran mereka.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ Maksudnya: “Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.” Monopoli ialah membeli barangan yang disenaraikan sebagai makanan asasi daripada pasaran, apatah lagi jika dilakukan ketika barangan tersebut amat diperlukan oleh pengguna. Barangan tersebut dihimpun dan disorok dengan tujuan menaikkan harganya berlipat kali ganda dan kemudian dijual sedikit demi sedikit dengan mengeksploitasi keperluan orang ramai. Imam al-Nawawi mendefinisikan monopoli barang (al-ihtikar) sebagai: “Seseorang membeli makanan ketika harganya tinggi untuk dijualbelikan, tetapi dia tidak menjualnya pada waktu itu, malah disorokkannya agar dapat menjualkan barang dengan harga yang lebih tinggi.” Menurut Imam al-Syairazi, monopoli barang adalah: “Seseorang membeli barang pada waktu harganya tinggi dan menahannya bagi tujuan menaikkan harganya.” Manakala Imam al-Ghazali menyatakan bahawa monopoli barang adalah: “Penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikan.” Imam Al-Kasani menyatakan pengharaman monopoli barang adalah kerana dilihat kepada kemudaratan yang boleh berlaku kepada pihak masyarakat ramai . Jika orang ramai amat memerlukan makanan asasi tersebut atau keadaan menjadi dharurat, orang yang memonopoli tadi boleh dipaksa menjual barangan tersebut dengan harga yang munasabah. Jika dia ingkar, hakim boleh menjual barangan tersebut bagi pihaknya dan hasil jualan diserahkan kepadanya. Ini sebagai bukti bahawa Islam mengambil berat tentang hal kehidupan manusia agar sebarang bentuk penipuan dan penindasan dapat dihindarkan. Islam sentiasa memberi panduan kepada kita untuk membentuk masyarakat yang sentiasa dalam keharmonian, ketenangan dan selamat daripada sebarang bentuk kerisauan dan kebimbangan. Semoga negara kita ini sentiasa aman, harmoni, tenteram seterusnya dikurniakan keberkatan rezeki dan kemewahan yang akhirnya menatijahnya negara yang disebutkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat surah al-Baqarah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿٢٧٨﴾‏ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-quran dan sunnah tentang pengharamannya. Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya. Kewajipan kita bersama untuk mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya agar kita berjaya dunia akhirat. Kegagalan mematuhi syariat Islam menyebabkan kita hina didunia dan merana di akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: