أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Rabu, 4 Oktober 2023

Khutbah Jumaat : Pemimpin Zalim DiTentang Pemimpin Adil DiJulang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur : وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ Maksudnya : Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa memerintah negara (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka sebagai khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna untuk umat manusia. Untuk melaksanakan cara hidup ini, manusia memerlukan satu organisasi masyarakat yang tersusun, kokoh dan berwibawa berdasarkan kepada ajaran yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Lapisan organisasi masyarakat manusia yang tertinggi ialah kerajaan atau pemerintah. Ini kerana pemerintah mempunyai kuasa politik untuk memastikan semua kegiatan sosio-ekonomi dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan teratur berdasarkan kepada prinsip dan dasar yang telah ditentukan. Apabila anggota masyarakat mematuhi dan melaksanakan segala prinsip dan dasar yang ditetapkan oleh pemerintah, maka akan terwujud satu negara yang stabil, maju dan berjaya. Apabila pemerintah itu menentukan prinsip dan dasar yang dikehendaki oleh Islam, maka pemerintah tersebut dinamakan pemerintah atau kerajaan Islam atau dan negara yang dihasilkan adalah negara Islam. Kemuncak kepada kerajaan Islam ini ialah khalifah, Imam atau ketua negara. Dalam Al-Qur’an banyak dijumpai istilah-istilah kepemimpinan antara lain: Amir, Khalifah, Imamah dan lain-lain. Hal ini bererti Islam telah lebih dahulu mengetahui dan menetapkan asas-asas kepemimpinan jauh sebelum para ilmuan-ilmuan Barat membahasnya. Namun, berbagai teori yang digambarkan para ahli mengenai kepemimpinan sehingga membuat orang tidak memahami akan erti sebenarnya tentang kepemimpinan dalam Islam. Sehingga pemimpin masa kini, tak jarang telah lari dari erti kepemimpinan dalam Islam. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran: مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya Islam sangat memeperhatikan seni kepemimpinan. Islam adalah agama yang merangkumi bukan sahaja ibadat khusus, tetapi ia juga suatu sistem hidup yang merangkumi bidang-bidang lain seperti muamalat, sistem sosial dan sistem politik. Lantaran itu, konsep kepimpinan juga menjadi tajuk yang diperbincangkan oleh para ulama’, sejarawan dan ilmuwan-ilmuwan Islam dari dahulu hingga sekarang. Ia diperbincangkan di bawah tajuk ‘imamah’, ‘khalifah’ dan tajuk-tajuk lain seumpamanya. Islam menganggap setiap seorang Muslim yang mukallaf sebagai pemimpin. Sekurang-kurangnya mereka adalah pemimpin bagi diri mereka, dan keluarga mereka. Dengan sebab seseorang itu dianggap pemimpin bagi dirinya, beliau tidak boleh mencampakkan dirinya dalam kemusnahan atau dalam bahaya Keperluan kepada ketua atau pemimpin ini adalah jelas, iaitu untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini, terutama suruhan-suruhan yang berkaitan dengan tugas penguasa, juga untuk memberi pengarahan, menjaga kebajikan dan keselamatan mereka,mengatur penggunaan sumber, menjalankan usaha untuk kemuslahatan ramai, dan mengelak dari berlakunya pertelingkahan antara mereka Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan Kepimpinan saling bertukar ganti di mana ada berjaya menjalankan amanah kepimpinan sehingga membawa kebahagiaan rakyatnya dan ramai pula yang gagal menunaikan tanggungjjawab sehingga membawa penderitaan kepada rakyat dan negara. Antara punca kejatuhan seorang pemimpin ialah [1] Terlalu memuji pemimpin di mana terdapat rakyat dan pengikut yang mendekati, memuji dan memuja pemimpin mereka dengan niat supaya takut dimarah, dijatuhkan pangkat dan kedudukan dek takut periuk nasi mereka hilang begitu sahaja. Bagi pemimpin pula, apabila dipuja dan dipuji sentiasa, akan timbul rasa takjub menyebabkan mereka akan berbuat apa sahaja kerana walau dilakukan salah atau sebaliknya, mereka tetap akan berada dalam zon selesa. Melanggar janji di mana Allah SWT membenci orang yang berjanji dan berkata tetapi tidak mengotakannya. Jangan mudah menabur janji kerana mengimpikan kuasa. Takut nanti kuasa tersebut yang akan menjatuhkan kita. Berpadalah dalam berkata-kata! Ketidakadilan pemimpin di mana apabila memiliki kuasa, pemimpin boleh melakukan apa-apa yang mereka suka. Sukar untuk pemimpin melakukan apa yang mereka tidak suka terutamanya yang tidak digemari oleh para pengikut dan penyokong mereka. Keadaan ini menyebabkan kemungkinan akan berlaku ketidakadilan kepada orang lain. Ketidakadilan berlaku, malah kezaliman yang diperlaku. Dek memuaskan hawa nafsu diri, dek kuasa dan penerusan kekuasaan, mereka melakukan ketidakadilan seperti memberikan kedudukan dan pangkat walau tidak memenuhi syarat, pemberian anugerah dan sumbangan juga dipilih-pilih dengan mengutamakan mereka yang memberikan kepentingan kepadanya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 58 surah an-Nisaa’ : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ‎﴿٥٨﴾‏ Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Menurut nafsu Punca kejatuhan pemimpin yang ke-[4] menuruti hawa nafsu di mana pemimpin yang menuruti hawa nafsu akan menyebabkan hilang pertimbangan akal dan perbuatan mereka menjadi tidak rasional kerana kemewahan hidup. Pemimpin tidak boleh memperlakukan sesuka hati, bercakap tanpa iman kerana itu akhlak sebagai seorang pemimpin. Banyak mata yang melihat dan banyak hati yang perlu dijaga, nanti tangan-tangan merekalah yang menentukan jatuh bangun seorang pemimpin. Pemimpin perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah dalam berbicara dan berperilaku di hadapan masyarakat. [5] kejatuhan seseorang pemimpin kerana rakyat tidak menegur kesalahan pemimpin. Saidina Abu Bakar As-Siddiq radiallahuanhu sejurus sahaja dilantik sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW mengatakan dalam khutbahnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.” Saidina Abu Bakar telah menunjukkan bahawa sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada kesilapan. Jadi kesilapan tersebut mungkin tidak disedari dilakukan mungkin dalam keadaan sedar atau sebaliknya. Maka, rakyatlah yang menjadi penegur dan pengkritik. Maka pemimpin hendaklah bersedia untuk menerima kritikan dan teguran daripada rakyat. Setiap pemimpin wajib mencari sahabat setia yang tidak menyembunyikan kelemahannya dek menjaga hati dan air muka. Manakala rakyat mesti menjadi pengkritik atau penegur yang menegur pemimpin agar menegur dengan cara yang berhemah supaya cara dan kaedah teguran tidak menjatuhkan kredibiliti dan kewibawaan seseorang pemimpin. Pemimpin mempunyai tugasan besar. Pemimpin yang sedar akan tanggungjawab kepimpinan tidak akan menganggap jawatan dan kedudukan merupakan suatu kemuliaan, tetapi mereka perlu menganggapnya sebagai suatu bebanan besar yang akan disoal di akhirat kelak. Beringatlah wahai pemimpin! Di depan kamu adanya janji nikmat Syurga dan amaran seksaan api Neraka بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: