أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 2 Februari 2023

Khutbah Jumaat : Islamphobia DiLawan Pembakar al-Quran DiKecam

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit. Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Begitu keberadaan kita pada bulan Rejab maka mengingatkan kita suatu peristiwa hitam yang terkesan hingga kini kepada dunia Islam iaitu pada tanggal 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H merupakan tarikh hitam dalam sejarah Islam dengan berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang menaungi umat Islam selama ini. Kini 99 tahun ia berlalu samada kita ambil peduli atau pun tidak menghiraukannya. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah : انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui Ketika menyoroti tentang Peperangan Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Golongan ke-[2] ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Manakala golongan yang ke-[3] yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini terus ada pada setiap zaman yang mesti kita jauhi daripada bersifat dengan sifat munafiq antaranya bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap suka berdusta dan bila diberi amanah sentiasa dikhianati. Musuh dalam selimut ini lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana mereka bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam. Ketika berdepan dengan musuh Islam yang menyerang kita dengan pelbagai cara samada dengan senjata atau serangan pemikiran maka kita wajib bersiap sedia sepanjang masa dengan aqidah yang kukuh melalui proses mendalami ilmu agama yang berterusan tanpa terhad di pusat pengajian khusus dan umur tertentu sahaja bahkan berlangsung sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Seterusnya bersihkan hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela dengan mengisinya dengan sifat mahmudah atau terpuji sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat yang menghampirkan kita dengan janji kemenangan dunia dan akhirat. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah : وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾ Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. Pertembungan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, hak dan batil terus berlangsung. Selepas serangan 11 September 201I musuh Islam memainkan senjata Islamofobia yang merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi terhadap Islam, penganutnya dan organisasi Muslim, khususnya yang berjuang untuk menegakkan semula politik Islam. Islamofobia sebagai rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya terkandung dalam sumber yang sebenar, iaitu Al-Quran, As-Sunnah, dan ijtihad kalangan ulama’ muktabar yang diyakini ilmu dan kefahamannya serta melaksanakan Islam yang sebenarnya bersifat keadilan sejagat. Islamofobia kini bersifat ideologi sesat terhadap Islam, sehinggalah mencetuskan kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat. Islamofobia juga termasuk persepsi yang dipengaruhi oleh media Barat yang tidak adil kepada Islam dengan mencetuskan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas sehingga Islam tidak lagi dikenali sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Media yang dikuasai oleh politik musuh Islam digunakan habis-habisan untuk menyebarkan fahaman yang salah terhadap hakikat yang sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan sejarah keemasannya yang mencipta tamadun dunia yang diciplak sebahagiannya oleh tamadun moden Barat kini tetapi berkonsepkan sekularisme Kristian yang tidak sama dengan Islam sebagai Ad-Din. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am : وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدْوًاۢ بِغَيْرِ عِلْمٍۗ كَذٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ اُمَّةٍ عَمَلَهُمْۖ ثُمَّ اِلٰى رَبِّهِمْ مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ. Maksudnya : “Dan janganlah kamu mencela sembahan yang mereka (orang kafir) sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka (Allah S.W.T) tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Tragedi agenda Islamofobia yang terbaru ialah perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di Stockholm, Sabtu lalu sebagai tindakan melampau serta terdesak kumpulan terpencil untuk mendapat perhatian. Tindakan biadapa dan tidak bertamadun itu sewajarnya dikutuk dan dikecam, bukan saja oleh negara umat Islam, malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian. Rekod pencapaian parti pimpinan Paludan, Stram Kurs dalam pilihan raya Sweden, selain pelbagai pendakwaan jenayah yang dihadapi beliau secara peribadi jelas menunjukkan Paludan hanyalah seorang pengacau yang tidak berupaya menyumbangkan apa-apa yang bermakna kepada masyarakat manusia dan Sweden. Naratif antimigrasi dan anti-Islam yang dibawa Paludan hanyalah alat mudah untuk memacu kerjaya politiknya yang tidak meningkat sehingga kini. Penggunaan hujah kebebasan bersuara untuk menghina agama dan kepercayaan orang lain ialah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Islam amat tegas dalam hal ini, termasuk menyekat umatnya bertindak menghina agama dan kepercayaan orang lain. Kita berharap kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku berkenaan sebagai langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gejala seumpamanya berleluasa, malah dibimbangi akan menjemput reaksi dan tindak balas yang memburukkan lagi keadaan. Apa-apa yang baik dan berguna akan kekal, sementara daki serta sisa akan terhapus juga. Dalam hal ini, politik serta naratif kebencian dan melampau yang dibawa Paludan termasuk dalam kategori daki dan sisa. Ia akan terhapus dengan sendirinya, Islam sebuah agama yang menganjurkan kedamaian. Islam melarang umatnya mencela sembahan agama lain walaupun ianya tidak benar di sisi Allah. Ini bagi mengelakkan timbulnya provokasi dan membangkitkan sensitiviti masyarakat yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan, permusuhan dan perpecahan. Namun saban tahun kita dapati terdapat golongan pelampau agama yang sengaja melakukan provokasi dan menimbulkan Islamofobia terhadap Islam sedangkan terbukti Islam yang sebenar tidaklah memusuhi masyarakat bukan-Islam bahkan Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk agama Islam. Firman Allah dalam ayat 61 surah al-Anfal : وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١﴾ Maksudnya : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: