أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 13 Julai 2017

Syawal DiRai Syarat Kemenangan DiPenuhi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Anbiya’ : اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُّعْرِضُونَ ﴿١﴾ Maksudnya : Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Kini 2 minggu kita berada di bulan Syawal di mana suasana hari raya masih hangat dirasai. Ini bererti telah 2 minggu kita telah meninggalkan bulan Ramadhan di mana sebulan Ramadan yang dilalui ibarat suatu perjalanan tarbiah dan rohaniah yang sewajarnya memberi kesan terhadap diri. Berpuasa secara zahir dan dihubungkan dengan batin bakal membawa keinsafan kepada diri bahawa kelahiran kita asalnya fitrah ibarat kain putih yang tercerna dengan pengalaman hidup yang pelbagai lalu wujud keinginan kembali semula ke fitrah. Manusia pada asasnya memiliki dua sifat iaitu nasiyya atau lupa dan ghaflah atau lalai seperti yang disebutkan oleh al-Quran. Kelupaan dan kelalaian perlukan peringatan. Melakukan puasa yang dibuat berulang-ulang ibarat peringatan Allah kepada kita supaya kita menjadi lebih manusiawi dalam niat dan amalan Oleh itu antara doa yang diajarkan oleh nabi s.a.w agar kita dihindari daripada perkara yang buruk selepas memiliki suatu kebaikan اللّهُمّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الحَوْرِ بَعْدَ الكَوْرِ – رواه ابن ماجه Maksudnya : Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu dari kembali (kepada keburukan termasuk kekufuran) setelah (mendapatkan) tambahan (kebaikan terutama keimanan). Ulama’ menyatakan maksud hadis ini seperti kembali kepada kekufuran selepas keimanan, maksiat selepas tunduk ibadat, kurang amalan selepas berjaya menambahnya, keburukan selepas mendapat kebaikan. Oleh itu kita doakan semoga kita berjaya menjadi hamba Allah yang kekal beribadat serta menjauhi maksiat bukan sahaja pada bulan Ramadhan malah pada 11 bulan selepasnya. Kita mohon perlindungan daripada Allah daripada menjadi hamba Ramadhan iaitu kuat beribadat dan menjauhi dosa maksiat, memusuhi syaitan, mengawal hawa nafsu hanya pada bulan Ramadhan sahaja sedangkan pada bulan yang lain kita tidak menghirau suruhan dan larangan Allah. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 9-10 surah As-Syamsu : قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠﴾ Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9)Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) Antara usaha kita dalam memastikan tarbiah Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan ialah dengan kita terus bersemangat untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Kita terus jinak dengan solat berjemaah di masjid atau surau. Tidak lupa untu kita hidupkan bulan lain dengan puasa sunat. Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama membuktikan bahawa tarbiah Ramadhan lepas telah berjaya mengubah kita ke arah menjadi hamba Allah bukan setakat hamba Ramadhan yang hanya baik pada bukan Ramadhan sahaja manakala pada bulan lain kembali menjadi pengikut setia kepada hawa nafsu. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun. Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا - رواه البخاري. Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 104 surah An-Nisaa’ : وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّـهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا ﴿١٠٤﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketika menyentuh tentang peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana tentera Islam terpaksa berdepan dengan bala tentera musuh seramai 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan  tetapi pada peringkat kedua  tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah. Seterusnya Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya, kita sentiasa laungkan kalimah  وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera Islam seramai 3 ribu orang sahaja terpaksa berdepan dengan tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang di mana tiada pertempuran sengit yang berlaku sehinggalah Allah mendatangkan kemenangan kepada tentera Islam yang begitu patuh pada arahan Rasulullah s.a.w disamping kuat ikatan diri mereka dengan Allah melalui ribut pasir dan juga kacau bilau di kalangan musuh. Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 25 surah at-Taubah : لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّـهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ ﴿٢٥﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Peperangan yang berikutnya ialah Peperangan Hunain yang berlaku padabulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w  berjumlah 12 ribu orang. Pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaung suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif. Melalui ketiga-tiga peperangan ini kita dapati pelbagai pengajaran penting yang mesti diambil antaranya ialah bahawa proses menang dan kalah merupakan suatu ketentuan Allah bukannya datang secara kebetulan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran : وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِ‌بِّيُّونَ كَثِيرٌ‌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar. Allah telah menukilkan dalam al-Quran bagaimanakah sifat yang sepatutnya dimiliki oleh generasi kemenangan. Antara melalui ayat 146 surah Ali ‘Imran di mana 3 sifat utama golongan yang dianugerahkan kemenangan  oleh Allah ialah : [1] Mereka tidak patah dan lemah semangat menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi perjuangan di jalan Allah. [2] Mereka sentiasa gagah perkasa tidak lemah dari sudut jasad mahu pun jiwa mereka berhadapan dengan musuh. [3] Mereka sentiasa gagah tidak tunduk kepada musuh. Semoga kita termasuk dalam golongan ini untuk Berjaya di dunia dan akhirat. Ia bukan hanya disebut tetapi mesti dihayati dalam kehidupan. Ia bukan datang dengan mudah tetapi menuntut kepada usaha yang bersungguh dan istiqamah. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: