أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Isnin, 2 Mac 2015

Islam DiNobat Perancangan Jahat Musuh DiSekat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah : وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾ Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah antaranya mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Pada hari ini suasana itu telah hilang terutama dengan kehilangan sistem khilafah setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniah Turki 1924 sehingga kesatuan umat Islam tidak mampu disatukan di bawah suatu pemerintahan. Umat Islam ibarat anak ayam yang kehilangan ibu tiada tempat mengadu sehingga musuh Islam dengan mudah melakukan keganasan dan kekejaman terhadap umat Islam tanpa ada sekatan dan halangan. Malah bila berlakunya sesuatu musibah di negara umat Islam seperti banjir besar, tsunami, gempa bumi dan sebagainya maka bantuan daripada negara umat Islam sendiri begitu lambat dan tidak selaras dengan baik. Ini membuka peluang kepada orang lain untuk menjuarai hal kebajikan dan lebih membimbangkan ia datang bersama dakyah kepada agama atau ideologi yang bertentangan dengan Islam. Malah kita biasa dengar bagaimana di hospital seolah adanya petugas khusus daripada agama lain yang akan mendekati pesakit yang sedang nazak sedangkan pesakit Islam hanya bergantung pada ahli keluarga terdekat yang ada untuk mengajar kalimah syahadah. Bagaimana jika tiada ahli keluarga terdekat yang berada disampingnya maka siapakah yang akan mengambil tanggungjawab besar ini. Sama-samalah kita berfikir dan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana penghujung kehidupan merupakan saat yang paling berharga supaya dapat meraih husnul khatimah Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan : وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَـٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا ﴿٣٠﴾ Maksudnya : Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". Kesesatan dan kebatilan yang bergerak dengan organisasi yang tersusun mampu mengalahkan kebenaran yang bergerak dengan terabur. Kita sedar bagaimana Islam dan umatnya akan terus berdepan dengan pelbagai perancangan dan serangan daripada musuh Islam sehingga hari Qiamat. Antara 10 Rancangan Kuffar dalam menghancurkan Islam dan umatnya ialah : [1] Menjauhkan umat Islam daripada Al-Qur’an sehingga ramai di kalangan umat Islam sendiri buta al-Quran apatah lagi untuk memahami seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian. Sebab itu selepas banjir besar baru-baru ini agak mudah untuk kita mengagihkan naskhah al-Quran kepada mangsa banjir tetapi untuk kita duduk sama-sama membaca dan memahami al-Quran agak susah. Oleh itu kita wajib kembali kepada al-Quran sebagaimana zaman kegemilangan Islam iaitu merasai betapa pentingnya al-Quran kepada kehidupan kita, menjiwai setiap ayat al-Quran di mana sebarang berita gembira dan ancaman azab mesti dirasakan ditujukan kepada kita bukan ianya hanya dijadikan bahan bacaan semata-mata atau merasakan bahawa kisah dalam al-Quran adalah kisah dahulu kala tiada kaitan dengan kita seterusnya kita berlumba-lumba untuk melaksanakan system al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan. Kita wajib mengembalikan fungsi dan peranan al-Quran seperti yang dilaksanakan oleh generasi kemenangan sebelum ini. Mereka boleh berjaya kerana al-Quran dijunjung sedangkan umat kini meletaknya dipunggung, mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan sedangkan umat kini jadikan sebagai barang hiasan, mereka bersungguh mengkaji al-Quran sedangkan umat kini banyak mencari alasan untuk lari daripadanya Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 71 surah at-Taubah : وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّـهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Rancangan musuh Islam yang saling berkait rapat iaitu yang ke-[2] Lenyapkan sistem pemerintahan Islam di mana Lornis Brown berkata : “ Apabila orang Islam bersatu di bawah empayar Arab, maka ia boleh menjadi satu malapetaka dan bahaya kepada dunia. Adapun jika mereka kekal dalam perpecahan, maka ketika itu mereka tiada nilai dan tidak memberikan kesan kepada sesiapa. Umat Arab dan umat Islam mestilah terus berpecah belah supaya mereka terus kekal tanpa kekuatan dan autoriti.” Akhirnya penderitaan umat Islam tiada tempat untuk mengadu dan tiada suatu kuasa pemerintahan Islam yang mampu menyekat keganasan yang berlaku Rancangan ke-[3] Lenyapkan kesatuan kaum Muslimin di mana dengan dasar pecah perintah maka umat Islam saling memandang bahawa isu umat Islam di Negara lain adalah masalah Negara dan bangsa masing-masing tiada kaitan dengan diri mereka seperti penderitaan umat Islam di Palestin, Iraq, Syria, Myanmar dan sebagainya. Tiada lagi ruh persaudaraan Islam akibat rasukan semangat assobiyah atau kebangsaan sempit. Sedangkan kita sentiasa diajar tentang persaudaraan Islam yang melangkaui bangsa, Negara, budaya, bahasa قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى - رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit Rancangan musuh yang ke-[4] Lemahkan bangsa Arab di mana Morro Byger menulis dalam bukunya Dunia Arab Masa Kini: “ sesungguhnya ketakutan kita terhadap umat Arab dan perhatian kita terhadap mereka bukanlah lahir daripada kewujudan petrol yang banyak pada mereka. Bahkan kerana sebab Islam. Wajiblah memerangi Islam bagi menghalang kesatuan Arab yang soleh yang boleh membawa kepada kekuatan mereka, kerana kekuatan Arab akan sentiasa beriringan dengan kekuatan Islam, kemuliaannya dan perkembangannya.” Rancangan ke-[5] Dirikan negara diktator di dunia Islam di mana W.K Smith seorang orientalis Amerika yang mahir dalam hal ehwal Pakistan: “ apabila orang Islam diberikan kebebasan di dunia Islam serta hidup dibawah system demokrasi , maka sesungguhnya Islam akan mendapat kemenangan di Negara-negara tersebut. Hanya dengan cara diktator sahaja yang boleh memisahkan antara umat Islam dan agamanya.” Kita dapat lihat bagaimana kejatuhan satu demi satu pemerintahan kuku besi oleh rakyat seperti di Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya tetapi musuh Islam segera bertindak memastikan penggantinya mesti daripada boneka bagi memastikan sebarang usaha dalam mengembalikan pemerintahan Islam dapat dikuburkan. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Rancangan musuh yang ke-[6] Hancurkan akhlak Muslim, fikiran , hubungan mereka dengan Allah dan bebaskan mereka mengikut hawa nafsu sebagaimana kata seorang pemimpin Tertinggi Imprealis: “ Arak dan nyanyian merupakan 2 unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.” Malah Karl Marx pengasas ideology sosialis ketika ditanya tentang pengganti kepada aqidah ketuhanan, beliau menjawab: “ penggantinya ialah teater iaitu panggung drama dan filem, maka palingkan mereka yang sibuk dengan amalan kerohanian ke arah pementasan drama.” Rancangan musuh yang ke-[7] Ragukan kaum Muslimin terhadap agamanya di mana sejarah pernah mencatatkan bagaimana perisik Portugal telah melakukan risikan di Andalusia terutama berkaitan aktiviti dan kecenderungan pemudanya lalu bila didapati pemudanya lebih menumpu kepada ilmu maka rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Islam ditangguh sehinggalah pemuda hanyut dalam hiburan dan perkara yang tidak berfaedah yang mewujudkan generasi muda yang lemah. Berdasarkan keadaan itu perisik Portugal berasakan itulah masa yang tepat untuk menyerang Andalusia. Akhirnya, Andalus yang dikuasai pemerintahan Islam selama 800 tahun jatuh ke tangan Portugal dalam tempoh tiga bulan sahaja. Rancangan musuh yang ke-[8] Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas sehingga zina dianggap suatu perkara biasa. Kita terlalu bimbang dengan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas mulai tahun 2016 jika ia tidak berteraskan Islam. Kita tidak mahu mengulangi kegagalan sebagaimana suatu kajian yang dijalankan di United Kingdom yang mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks. Ingatlah amaran nabi s.a.w قال الرسول : لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا ، فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ - رواه أحمد بسندحسن Maksudnya: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya Rancangan musuh yang ke-[9] Pisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan biarkan mereka hancur dengan barangan Barat. Manakala Rancangan musuh yang ke-[10] Singkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya di mana telah ramai pemimpin gerakan Islam dipenjara dan parti Islam diharamkan seperti di Algeria, Mesir dan sebagainya. Oleh itu sama-samalah bangkit dalam melawan dan menguburkan perancangan jahat musuh Islam ini. Jangan biarkan kita terus menjadi hamba abdi kepada musuh Islam dalam setiap perkara samada melalui serangan fizikal mahu pun mental. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan : فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: