أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 16 Julai 2009

Islam DiUtama Nasib Umat Terbela

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Kita kini berada pada minggu terakhir bulan Rejab yang pernah mencatatkan suatu perjalanan yang hebat ke atas batang tubuh Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Isra’ iaitu perjalanan malam dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjid al-Aqsa, Palestin seterusnya Mikraj dari situ ke Sidratul Muntaha. Kesannya yang masih boleh dilihat sampai hari ini antaranya batu tergantung yang mahu turut naik bersama nabi Muhammad s.a.w yang terletak dalam kubah emas hadapan Masjid Aqsa. Kesan yang paling besar Isra’ Mikraj ialah kewajipan solat 5 waktu itu sendiri yang merupakan sumber kekuatan utama umat Islam yang semakin hari semakin diabaikan sehingga umat Islam terkapai-kapai mencari kemuliaan dan kemuliaan hidup. Peristiwa bersejarah yang melangkaui akal pemikiran biasa manusia tetapi ianya boleh terjadi atas kehendak dan kuasa Allah turut meninggalkan banyak pengajaran berharga buat umat Islam antaranya tentang betapa penting dihidupkan peranan masjid yang semakin sepi daripada jemaah terutama anak muda serta terbatasnya program dalam memakmurkan masjiid samada kekurangan tenaga dalam menggerakkannya atau sekatan daripada pihak yang tidak suka dengan kesedaran rakyat tentang betapa sempurnanya system Islam dalam memberi kebahagiaan hidup kepada umat manusia di dunia dan akhirat. Tidak berjaya umat Islam yang hanya bangga kerana membina masjid yang banyak dan indah sahaja sedangkan usaha dalam menyuburkan peranan masjid diabaikan. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik :
قال الرسول  : لاتَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِى المَسَاجِدِ
Maksudnya: Tidak akan berlaku qiamat sehingga umatku hanya bermegah-megah dengan binaan masjid sahaja

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 107 surah al-Taubah :
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ ……
Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) kekufuran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. ……
Ketika berada dalam bulan Rejab juga mengingatkan kita tentang suatu peperangan besar yang berlaku pada 9 Hijrah iaitu Peperangan Tabuk yang turut menyaksikan bagaimana golongan munafik cuba memecahbelahkan umat Islam dengan membina masjid yang digelar oleh Allah sebagai Masjid Dhirar yang mempunyai 4 ciri utama iaitu Ciri pertama yang ada pada masjid Dhirar ialah mendatangkan kemudharatan terhadap ummah, kedua untuk mengkufurkan kaum muslimin, ketiga untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam dan keempat ia menjadi pusat intipan untuk memerangi Allah dan rasulNya. Pastikan masjid kita tidak mempunyai ciri-ciri yang merbahaya ini. Suburkan masjid kita, tambahkanlah ahli jemaah, perbanyakkanlah program yang bermanfaat
Sedarilah bagaimana masjid di kebanyakan negara yang lain sedang berdepan dengan keganasan musuh Islam. Belum reda pembunuhan kejam di Masjid Selatan Thailand kini kita dapat menyaksikan bagaimana adanya umat Islam Uighur, China ditembak di depan masjid secara rambang. 6 Julai sahaja menyaksikan hampir 200 umat Islam ditembak mati oleh polis China secara rambang, 800 cedera dan lebih seribu yang dipenjara. Perlu diketahui bagaimana umat Islam berbangsa Uighur telah dijajah semenjak 1949 sehingga dipaksa menganut fahaman komunis dengan meninggalkan Islam. Sesiapa yang didapati sembahyang akan dikupas kulit kepala, tapak kaki dan dicabut kaki dan kepala menggunakan trak, diseksa dalam penjara tanpa diberi mandi dan melihat cahaya matahari selama 1 - 2 tahun, dimasukkan bom dalam kemaluan perempuan. Kekejaman ini seolah mahu dimulakan kembali terhadap umat Islam sehingga umat Islam dilarang menunaikan haji bermula 2007, umat Islam bawah 18 tahun dilarang ke masjid dan ada masjid ditutup daripada solat Jumaat dan Fardhu atas alasan bimbang membangkitkan semangat untuk merusuh. Malangnya kekejaman China tidak diambil tindakan sewajanya oleh pemimpin negara umat Islam kecuali di Iran dan Turki adanya tunjuk perasaan dengan membakar barangan China dan sebagainya

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Kembali kita untuk menyentuh tentang pengajaran Isra’ Mikraj di mana nabi Muhammad s.a.w ketika bersama malaikat Jibril naik ke langit semasa telah menghidu bau yang begitu harum yang keluar daripada bau Masyitah iaitu penyikat rambut puteri Firaun yang telah direbus hidup-hidup dalam kawah yang menggelegak airnya bersama keluarga tercinta demi mempertahankan keimanannya. Begitu juga nabi diperlihatkan segolongan manusia yang menanam dan mengetamnya setiap hari tetapi tanaman itu kembali sebagaimana biasa dan kemudian diketam lagi begitulah seterusnya dimana ia merupakan kelebihan yang dianugerahkan kepada pejuang yang berjuang pada jalan Allah. Benarlah janji Allah sebagaimana dalam ayat 169 surah Ali ‘Imran :
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang gugur syahid pada jalan Allah itu telah mati. Bahkan mereka terus hidup di sisis Tuhan mereka dengan mendapat rezeki
Perjuangan Masyitah terus dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam yang takutkan Allah dan cintakan syahid. Dunia dikejutkan dengan pembunuhan kejam pada 1 JUlai lalu terhadap seorang ibu muda bernama Marwah Syarbini yang berasal dari Mesir di mana beliau yang sedang mengandung 3 bulan ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berbangsa Rusia dalam Mahkamah Jerman ketika membicarakan kes pemuda tersebut yang mengganggu dan menghina beliau semata-mata kerana bertudung. Apa yang lebih kejam apabila suaminya yang ingin membantu isterinya daripada ditikam, telah ditembak oleh pasukan keselamatan Jerman sehingga cedera parah dengan alasan tersilap tembak. Umat Islam diperlakukan lebih hina daripada binatang oleh musuh Islam. Namun sedihnya dunia cuba menyembunyikan pembunuhan kejam ini dan Marwah Syarbini disemadikan di Mesir dengan kehadiran umat Islam yang agak ramai walau pun tidak sehebat dunia meratap kehilangan Raja Pop Michael Jackson.

Sidang jumaat yang dikasihi Allah ,
Panggilan yang turut menganggu nabi Muhammad s.a.w ketika Isra’ Mikraj ialah panggilan yahudi dan Kristian. Oleh itu tidak hairanlah bagaimana usaha daripada kedua agama ini terutamanya dalam memurtadkan Islam terus berlangsung. Dunia dikejutkan dengan berita kematian Bertha atau nama Islamnya dulu Natrah yang pernah meninggalkan nostalgia berdarah pada tahun 1950 apabila dia dirampas daripada keluarga angkat dan suami tercinta seterusnya dimurtadkan oleh keluarga asal di Belanda. Kini bukan lagi anak angkat berbangsa Inggeris yang dimurtadkan tetapi anak orang Islam sendiri sebagaimana peristiwa pemurtadan secara terancang Aisyah Bukhari, Kartina Kamarudin dan ramai lagi, tidak terkecuali Lina Joy. Kita mengucap syabas dan tahniah kepada mahasiswa kita di Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana berjaya menangkap 9 penganut Kristian termasuk dua pelajar berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut. Mereka dilihat berada beberapa hari di beberapa kolej kediaman UPM dengan bergerak dari bilik ke bilik untuk menyampaikan ajaran mereka disamping menyebarkan risalah kepada warga kampus dan bergerak di tiga buah kolej iaitu Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh, dan Kolej Sebelas. Walau pun mereka telah dibebas dengan dakwaan tidak melakukan perkara tersebut namun kita mesti berhati-hati supaya golongan yang cuba melanggar Undang-undang negara yang melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim dapat disekat. Beringat sebelum kena, cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak.
Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:
وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: