أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 24 Februari 2011

Kepimpinan nabi Muhammad s.a.w DiPilih Kebahagiaan DiRaih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 2 surah Muhammad :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۙ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ
Maksudnya : Dan orang-orang beriman dan mengerjakan amalan soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka,Allah akan menghapuskan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka
Manusia akan sentiasa bercakap tentang insan yang paling istimewa dalam kehidupannya sehingga tidak jemu-jemu memujinya. Bila sahaja disebut nama orang yang disayangi maka dia merasa begitu semangat untuk membicara tentangnya. Begitulah keadaan kita sebagai umat Islam yang cintakan nabi Muhammad s.a.w sentiasa berasa seronok dan gembira untuk menyebut nabi baginda dan mengetahui sirah perjalanannya. Umat yang benar-benar cinta kepada Allah dan rasulNya akan berasa bangga untuk memberitahu kepada dunia tentang kehebatan nabi Muhammad s.a.w yang berjaya mengubah keadaan dunia daripada kelam kufur kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam. Kita akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang merendah-rendahkan nabi Muhammad s.a.w sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada rasul mulia ini. Nabi Muhammad s.a.w menjadi ikutan utama kita dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kerana baginda bukan sekadar memberitahu sebaliknya baginda melaksanakannya untuk mudah ditiru oleh kita semua. Kita wajib bersyukur kepada Allah yang mengutuskan nabi Muhammad sa.w yang begitu banyak berjasa kepada kita, jasa nabi bukan sebarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar. Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya : Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya
Nabi Muhammad s.a.w telah ditarbiah sejak dari kecil dengan kesusahan demi kesusahan disamping menjauhi amalan syirik dan merosakkan akhlak walau pun berada disekeliling masyarakat jahiliah. Sesuai dengan keadaan nabi Muhammad s.a.w yang pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu maka baginda begitu mengambil berat tentang anak yatim serta sentiasa menggalakkan umat Islam supaya mengasihi anak yati disamping begitu murka terhadap sesiapa yang menzalimi anak yatim. Begitu juga dengan kehidupan nabi Muhammad s.a.w yang menjauhi kehidupan mewah bertujuan mendidik umatnya agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama. Kemiskinan yang dilalui oleh nabi bukannya disebabkan baginda pemalas kerana betapa banyak harta baginda yang dikorbankan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Nabi Muhammad s.a.w banyak kali menolak tawaran kemewahan samada daripada musuh Islam mahu pun permintaan daripada malaikat bertujuan menjaga keikhlasan umat Islam supaya memeluk Islam kerana Allah bukannya untuk mengejar kemewahan. Banyak kisah yang dibentangkan kepada kita tentang kehidupan nabi Muhammad s.a.w yang susah namun kemiskinan nabi bukan membawa kepada kehinaan sebaliknya dilihat oleh pemimpin dunia sebagai suatu kehebatan dan pengorbanan yang begitu mulia dalam membela nasib manusia

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Antara kisah tentang nabi Muhammad s.a.w yang hidup jauh daripada kemewahan bertujuan mendidik umatnya agar tidak hanyut dengan nikmat dunia yang sementara serta banyak berkorban untuk Islam disamping menyuburkan sifat mengambil berat tentang penderitaan orang lain. Imam Bukhari meriwayat daripada saudara Ummul Mukminin Juwairiyah bt Harith semasa baginda wafat tidak meninggalkan walau pun satu dirham. Baginda juga tidak meninggalkan seorang hamba lelaki atau perempuan. Baginda sekadar meninggalkan seekor keldai, sehelai pakaian perang dan sebidang tanah kecil yang kemudiaannya disedekahkan.
Imam Ahmad riwayat daripada Abdullah bin Abbas tentang kisah Sayyidina Umar al-Khottab semasa beliau menziarahi nabi di mana kata Umar : Aku pun duduk dan aku lihat bekas tikar pada tubuh nabi Muhammad s.a.w. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung..lalu aku pun terus menangis. Nabi Muhammad s.a.w terus bertanya : Wahai Ibnu Khottab. Mengapa engkau menangis? Aku menjawab : mengapa tidak ya Rasulullah! Aku ternampak bekas tikar kasar ditubuhmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan Maharaja Rom dan Parsi yang hidup dalam kelazatan sedangkan engkau adalah nabi hidup seperti ini. Lalu nabi terus bersabda : Wahai Ibnu Khottab, apakah engkau tidak redha bahawa bagi kita adalah akhirat dan bagi mereka hanya dunia?
Imam Thobrani pula meriwayatkan daripada Sahl b Saad : Pada suatu hari nabi sakit dan pada masa itu baginda mempunyai wang emas sebanyak tujuh dinar lalu diberikannya kepada Siti Aisyah supaya diberikan kpd Sayyidina Ali untuk disedekahkan. Baginda kemudiannya pengsan beberapa kali dan setiap kali sedar baginda menyoal Siti Aisyah mengenai wangh emas itu sehingga akhirnya wang emas itu diserahkan kepada Sayyidina Ali lalu disedekahkan
Begitu juga Imam Tirmizi meriwayat daripada Siti Aisyah bahawa keluarga nabi Muhammad s.a.w tidak pernah kenyang memakan roti gandum dua hari berturut-turut sehingga baginda wafat
Imam Tirmizi meriwayat daripada Anas b Malik bahawa tidak pernah nabi Muhammad s.a.w makan di atas meja dan tidak pernah baginda makan roti halus iaitu daripada jenis tepung yang baik sehinggalah baginda wafat
Imam Tirmizi meriwayat daripada Siti Aisyah : Nabi menjahit sendiri kasut dan baju baginda yang koyak
Cara hidup dan pemerintahan nabi diteruskan oleh para sahabat dan pejuang Islam selepas mereka sehingga mereka bukan menjadi hamba yang hina sebaliknya berjaya menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi yang tenggelam dalam kemewahan dunia dan jauh daripada cahaya agama

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Ahzab :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata
Bila kita melihat peristiwa kejatuhan seorang demi seorang pemimpin dalam jarak masa yang begitu dekat bermula di Tunisia diikuti Mesir kini melarat ke Libya yang menyaksikan ribuan rakyat dibunuh kejam dan ada masjid yang ditembak disamping kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan pemimpin melalui jalanraya di Algeria, Bahrain, Yaman dan beberapa buah negara lagi akibat kegagalan pemimpin menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh dalam kepimpinan. Kebanyakan mereka jatuh akibat membina kekayaan atas penderitaan rakyat. Kita dapat perhati 3 jenis pemimpin biasanya memegang tampuk pemerintahan iaitu jenis pertama daripada kalangan orang kaya sebelum menjadi pemimpin dan terus kaya selepas dilantik menjadi pemimpin. Pemimpin jenis ini ada yang amanah dan ramai juga yang tidak jujur ketika melaksanakan amanah kepimpinan. Jenis kedua ialah pemimpin yang miskin sebelum menjadi pemimpin sebaliknya menjadi orang kaya baru selepas berada di atas takhta kepimpinan sesebuah negara. Pemimpin jenis inilah yang ramai menjadi pemimpin pada hari ini yang sedang dijatuhkan dengan cara yang hina oleh rakyat yang sudah tahan dengan kezalimannya. Manakala jenis ketiga pula ialah pemimpin yang kaya sebelum memimpin dan menjadi miskin selepas dilantik kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan dan amanah rakyat sehingga kekayaannya turut disumbangkan kepada rakyat. Pemimpin jenis ini semakin jarang dan payah untuk ditemui.
Manakala dari segi corak pemerintahan pula Ibnu Khaldun membahagikan kepimpinan kepada 3 jenis iaitu yang pertama pemimpin yang menggunakan hukum rimba iaitu yang kuat menguasai yang lemah. Yang kedua ialah pemimpin yang menggunakan sistem perundangan dan perlembagaan yang dicipta sendiri oleh manusia dengan mengenepikan hukuman Allah di mana kepimpinan jenis ini pada permulaannya memang baik dan mampu mentadbir dengan teratur. Tetapi lama kelamaan sistem yang diguna pakai mula dirobek satu persatu tanpa menghirau lagi erti kemanusiaan dan ketaatan kepada sistem yang dicipta itu. Akhirnya mereka mula menggunakan semula hukum rimba yang bertopengkan sistem perundangan yang dilaksana selama ini. Kepimpinan jenis ketiga ialah yang menggunakan sistem Islam berdasarkan wahyu Allah dalam mentadbir dunia demi mencapai kebahagian dunia akhirat. Inilah kepimpinan yang dirindui dan ditunggu-tunggu kedatangannya. Oleh itu, ikutlah panduan yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dalam memilih pemimpin agar kita bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِك الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 17 Februari 2011

Nabi Muhammad s.a.w DiIkuti Sistem Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 6 surah as-Soff:
وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُبِينٌ
Maksudnya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
Kita masih berada dalam bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang juga pernah menyifatkan bahawa baginda adalah Ibnu az-Zabihain iaitu anak kepada dua bapa yang disembelih memandangkan nabi yang berketurunan Arab dari salsilah nabi Ismail di mana kita semua telah maklum bagaimana nabi Ismail a.s telah disembelih oleh ayahandanya nabi Ibrahim a.s kerana arahan wahyu melalui mimpi benar. Akhirnya Allah menggantikan nabi Ismail a.s dengan kibas dan terselamatlah baginda daripada mati disembelih. Kemudian bapa kedua yang hampir disembelih ialah bapa kandung nabi sendiri iaitu Abdullah bin Abdul Muttolib akibat Abdul Muttolib mahu menunaikan nazarnya sehingga akhirnya Abdullah ditukar dengan 100 ekor unta sebagai gantian. Berita kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman turut disebut dalam kitab Taurat dan Injil sehingga betapa ramai yahudi berpindah ke Madinah semata-mata mahu menunggu saat kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai bintang tersendiri yang terpancar terang pada hari kelahiran baginda. Begitulah dalam kitab Bible walau pun telah banyak diubah namun tidak mampu menyembunyikan kelahiran nabi Muhammad s.a.w dengan beberapa ciri antaranya kejayaan baginda membuka kota Mekah bersama 10 ribu umat Islam. Perkara yang sama tercatat dalam kita agama Hindu dan Budha. Itulah antara kehebatan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak termasuk mereka yang memusuhi nabi sedangkan bukti dan dalil begitu jelas terbentang

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ketika menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai cara dan program maka tanyalah diri kita samada kita benar-benar kenal dan cinta pada nabi Muhammad s.a.w atau hanya sebagai adat dan perayaan tahunan sahaja. Berapa banyak sunnah nabi yang telah kita berjaya laksanakan dalam kehidupan seharian atau hanya pandai menyebut dan mendengar sahaja walau pun puluhan tahun kita menyambut Maulidurrasul. Ingatlah kita tentang beberapa kisah yang menceritakan bagaimana hebatnya rasa kasih dan cinta para sahabat kepada nabi seperti diriwayatkan bagaimana beberapa hari Nabi SAW tidak terlihat oleh pembantunya, Tsauban. Ketika dia nampak Nabi SAW datang, maka Tsauban pun berkata: “Saya rindu kepadamu, wahai Rasulullah.” Kemudian Tsauban menangis, lalu Nabi SAW berkata kepadanya: “Apakah hanya ini engkau menangis?” Tsauban mengatakan: “Tidak, wahai Rasulullah, akan tetapi saya teringat tempat engkau di syurga sedangkan saya membayangkan tempat saya amatlah mengerikan.” Maka Nabi SAW berkata: “Wahai Tsauban, orang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya.” Begitulah hebatnya sahabat Nabi SAW yang menyatakan rasa cinta mereka terhadap Nabi SAW sangat tinggi.
Begitu juga jawapan Anas bin Malik terhadap pertanyaan Siti Fatimah anak perempuan nabi setelah beliau selesai mengebumikan jasad nabi yang mulia bahawa beliau seolah-olah hilang ingatan ketika menguruskan jenazah nabi di mana jika beliau berada dalam keadaan sedar nescaya beliau tidak akan sanggup menanam jasad nabi dengan tangannya. Begitu juga ada sahabat yang meminta agar matanya dibutakan supaya pandangannya yang terakhir di dunia ini ialah wajah nabi kerana itulah pandangan yang begitu besar nikmatnya berbanding nikmat Allah yang lain. Semoga sambutan Maulidurrasul yang kita buat tidak berlalu begitu sahaja dengan berlalunya sesuatu program sebaliknya semakin menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w seterusnya membangkitkan semangat untuk melaksanakan sunnah nabi ketika ramai yang membencinya kerana dijanjikan dengan pahala seratus orang mati syahid. Marilah kita doakan semoga nama kita ditulis sebagai umat yang cintakan nabi dan dibangkitkan bersama rasul agong di akhirat nanti. Kenalilah nabi Muhammad s.a.w secara lebih dekat untuk mencintainya, kajilah sirah kehidupan nabi untuk mencontohinya, nyatakan kepada dunia bahawa kita berasa bangga kerana cinta kepada nabi dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 92 surah Yunus :
فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ
Maksudnya: "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".
Nabi Muhammad s.a.w tidak sekali-kali bercakap mengikut hawa nafsu sebaliknya berdasarkan wahyu daripada Allah. Ketika menyoroti banyak hadis termasuk hadis tentang lalat yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Abu Hurairah di mana maksud sabda nabi : Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman salah seorang daripada kamu maka celuplah dan kemudian buanglah ia kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit. Kebenaran hadis ini dibuktikan oleh sains yang ratusan tahun membuat kajian sehingga mengakui bahawa lalat merupakan serangga yang mempunyai kuman yang begitu banyak namun larva lalat mampu menghasilkan ubat penawar untuk membunuh kuman-kuman.
Begitulah Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang sepastinya bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah badan Fir’aun yang diselamatkan daripada tenggelam dalam Laut Merah di mana setelah dibuat beberapa kajian termasuk oleh saintis Perancis atas arahan kerajaannya terbukti salah satu mumia di Mesir merupakan Fir’aun zaman nabi Musa a.s. Begitu juga denga hentakan tongkat nabi Musa diakui oleh ahli kaji bumi menyebabkan dunia senget sedikit dan bumi merekah sehingga air boleh mengalir ke tempat yang begitu jauh.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada sekalian alam dengan membawa seribu macam perubahan ke arah kebaikan seluruh makhluk yang melata antaranya mengubah cara pemerintahan yang zalim kepada keadilan Islam. Semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 dengan kejatuhan kota Istanbul.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh para sahabat dan pejuang Islam sebelum kita dalam merealisaikan janji kemenangan yang dijanjikan oleh nabi kerana mereka begitu cinta dan yakin kepada nabi. Sebaliknya pada hari ini betapa ramai umat Islam sendiri yang sudah tidak kenal siapakah nabi apatah lagi melaksanakan system Islam yang dibawa oleh nabi. Pejuang dulu berjuang dengan penuh yakin terhadap janji kemenangan daripada Allah dan rasulNya sedangkan kebanyakan umat Islam pada hari ini lebih ramai yang tertipu dengan janji manis sesama manusia sehingga sanggup mengenepikan janji benar dan amaran daripada Allah dan rasulNya. Akhirnya mereka hanyut dalam hiburan melampau dan janji manis yang jarang ditepati sehingga sanggup memilih pemimpin kaki rasuah, pecah amanah, kaki maksiat dan pelbagai kerosakan akhlak yang lain. Kemarahan rakyat tidak ke mana kerana hanyut dalam bunyian muzik yang mengasyikkan walau pun terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak dan barangan ditambah saman ekor yang zalim. Ketika pemimpin melaungkan supaya rakyat berjimat cermat sedangkan pemimpin banyak mana harta rakyat dibazirkan tetapi semua itu tidak dipeduli ibarat kata pepatah arab jahatnya pemimpin kerana majority rakyat jahat yang menyokongnya. Oleh itu kembalilah mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk memilih pemimpin. Islamlah nescara kita selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ