أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Jumaat, 22 Julai 2011

Berqiblatkan Islam Membina Generasi Gemilang


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Kini kita berada pada minggu ketiga bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dan Kristian dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri.



Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali ‘Imran :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran, lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.

Kejahilan terhadap agama sendiri merupakan antara punca terbesar kepada berlakunya kehilangan identiti umat Islam terutama aqidah dan akhlak. Kita begitu bimbang bila masalah murtad terutama di Sabah kebanyakannya akibat salah faham terhadap ajaran Islam di mana mereka hanya terikut-ikut dengan Islam bawaan datuk nenek mereka yang sekadar mengucap 2 kalimah syahadah sahaja tetapi bila diajar tentang solat, puasa dan cara hidup Islam yang lain menyebabkan mereka menganggap Islam ini adalah ajaran baru dan susah lalu mereka memohon untuk keluar daripada Islam beramai-ramai. Lebih menggerunkan apabila adanya laporan bahawa pihak Kristian mempunyai maklumat yang begitu lengkap berkenaan lokasi dan pecahan etnik di seluruh Sabah untuk mengembangkan Kristian ketika umat Islam terkial-kial dengan masalah tersendiri. Kegagalan dalam membina identiti muslim sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan hadis nabi juga menyebabkan ramai umat Islam terperangkap pada sarang labah-labah ciptaan Yahudi dan Kristian atau singkatannya SPIDER. Senjata musuh Islam dalam menghancurkan umat Islam antaranya [1] Sex dengan menggalakkan hubungan bebas sehingga meluasnya penzinaan. Yahudi berkata dalam protokol mereka : “ Kita mesti bekerja untuk merosakkan akhlak di setiap tempat. Dengan itu penguasaan kita akan mudah dicapai. Kita akan terus membentangkan teori hubungan seks sejelas-jelasnya supaya tidak ada suatu pun yang dianggap suci pada pandangan pemuda. Hasilnya ialah memuaskan hawa nafsu seks adalah matlamat mereka. Ketika itu akan runtuhlah akhlak mereka”. Begitu juga kata pemimpin penjajah Kristian : “ Gelas arak dan pelacur amat berperanan dalam menghancurkan umat Muhammad lebih daripada apa yang dilakukan oleh seribu meriam. Oleh itu tenggelamkan mereka ke dalam cintakan kebendaan dan syahwat”. Pemimpin lebih berminat untuk mengembang mata pelajaran seks ala barat iaitu zina tidak salah asalkan jangan mengandung sedangkan pintu zina terus terbuka luas. Pemimpin hanya berminat untuk berubat penyakit yang telah parah daripada menyekat punca penyakit.



Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ

Maksudnya : Dan sekiranya kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Senjata musuh Islam seterusnya ialah [2] Politic dengan menjadikan kuasa untuk mengaut  keuntungan bukan sebagai suatu amanah di mana akhirnya kekayaan negara dibahagi sesama kroni sedangkan rakyat jelata dihimpit kenaikan harga barang dan bebanan hidup yang menyusahkan. [3] Ideology yang bertentangan dengan Islam disebarkan termasuk atas nama Islam seperti Islam Liberal sehingga akal menjadi rujukan utama yang menyebabkan segala sistem Islam yang bercanggah dengan hawa nafsu ditolak sebaliknya sistem barat walau pun jelas zalim dan merbahaya diagung-agungkan . Musuh juga memastikan senjata berbentuk [4] Drug dengan memastikan umat Islam dihancurkan dengan bahan memabukkan terutama dadah dan arak. Apabila tengkorak hidup memenuhi negara maka penjajahan kuffar terus berlangsung tanpa tentangan. Ibarat kata Syair : ‘Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap maka lenyap pulalah bangsa itu’. Senjata ke-[5] Education dengan memastikan penjajahan terhadap sistem pendidikan lebih berkiblatkan barat dan kurangkan pengajian agama. Pemerkasaan ilmu agama samada di sekolah mahu pun universiti masih lagi gagal dilaksanakan sehingga masalah buta al-Quran dan buta agama terus meningkat. Apa yang lebih malang apabila adanya negara umat Islam yang tunduk pada kehendak yahudi agar dibuang bab jihad dan kejahatan yahudi dalam sukatan pengajian sedangkan di Israel sendiri bermula daripada pra sekolah hinggalah peringkat tinggi ditanam sikap membenci umat Islam dan cara memerangi Islam. Seterusnya senjata berbentuk [6] Rock dengan menghanyutkan umat Islam dengan hiburan melalaikan sehingga jauh daripada petunjuk Allah. Minggu ini kita disajikan dengan 2 keadaan berbeza iaitu jika kerajaan Kedah melaksanakan undang-undang melarang umat Islam daripada memasuki pusat hiburan sepanjang Ramadhan manakala kerajaan Melaka pula memanjang waktu berhibur sehingga jam 3 pagi. Kita bimbang di Melaka bukan sahaja akan bertambah sekolah mengandung malah terpaksa pula dibuka kolej dan universiti mengandung akibat tindakan yang tidak bertamadun atas alasan untuk menarik pelancong akhirnya menambah jumlah pelacur. Tidak terlepas pandang untuk kita mengutuk tangan-tangan ghaib yang cuba mempertikaikan pengharaman judi di Kelantan apabila ada kes yang dibawa di mahkamah dalam masalah ini.



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Setelah faham dan sedar tentang perancangan jahat musuh Islam yang tidak pernah serik daripada menghancurkan Islam dan umatnya maka kita wajib berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melawannya. Jangan biarkan hati kita menjafi keras sehingga mudah dikuasai oleh hawa nafsu dan syaitan. Antara tanda hati keras ialah [1] Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan terutama melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan kewajipan ditetapkan itu seperti tidak serius menunaikan solat atau berasa berat melaksanakan ibadah sunnah. [2] Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran. Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk dan lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. [3] Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat. Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. [4] Kurang mengagungkan Allah sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa. [5] Tidak belajar dengan ayat kauniah iaitu tidak terpengaruh dengan peristiwa yang dapat memberi pengajaran seperti kematian, sakit atau bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai peringatan berharga.

Firman Allah dalam ayat 2-3 surah al-Anfal :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّـهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٢﴾الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (2)Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 23 Jun 2011

Ikut Wahyu Berjaya Turut Nafsu Binasa

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram boleh dikatakan bulan memperteguhkan aqidah sebelum tibanya bulan penuh ibadah iaitu Ramadhan di mana ibadah menjadi suatu sia-sia tanpa aqidah yang benar sempurna. Aqidah yang kukuh akan menyelamatkan kita daripada perbuatan syirik samada pada ibadah khusus, sosial, ekonomi, politik dan seluruh sistem hidup. Peristiwa Isra’ Mikraj turut menekankan tentang kepentingan menjaga hati daripada mati sehingga segala tawaran Syurga Allah dipandang sepi manakala peringatan azab neraka Allah tidak membawa apa-apa erti. Seorang Ulama’ hebat Syeikh Ibrahim Adham pernah menukilkan 10 tanda manusia hati mati iaitu [1] Mengaku kenal Allah s.w.t tetapi tidak menunaikan hak-hakNya [2] Mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menunaikan Sunnah baginda [3] Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum- hukum di dalamnya [4] Memakan nikmat- nikmat Allah s.w.t tetapi tidak mensyukuri atas pemberiannya [5] Mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya [6] Mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya [7] Mengaku adanya seksa neraka tetapi tidak berusaha untuk menjahinya [8] Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya [9] Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetepi lupa akan keaiban diri sendiri [10] Menghantar dan menguburkan jenazah saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya
Firman Allah dalam ayat 88 dan 89 surah as-Syua’ra’ :
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ .إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Maksudnya : "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Bulan Rejab dikenali sebagai bulan solat memandangkan kewajipan solat diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj secara langsung daripada Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril. Peristiwa Isra’ Mikraj turut mengetuk hati kita tentang betapa besarnya peranan masjid yang bukan sahaja disebut nama Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Aqsa, Palestin tetapi turut dikisahkan bagaimana nabi Muhammad s.a.w menjadi imam solat kepada nabi-nabi yang lain. Ini semua memberitahu dengan jelas kepada kita betapa pentingnya masjid untuk dihidupkan bukan sahaja untuk solat berjemaah, pengajian ilmu malah program manfaat yang lain sehingga usaha musuh Islam dalam memisahkan umat Islam terutama golongan remaja daripada masjid dapat ditangani, buta agama dapat dibasmi, jenayah yang meningkat akibat rosaknya hati dan akhlak dapat diubati. Betapa malangnya apabila solat yang merupakan tiang agama dan amalan pertama yang bakal ditanya ketika manusia berada di padang Mahsyar nanti dianggap perkara remeh temeh dan meninggalkannya dianggap biasa. Sudah tibanya orang yang meninggal solat dikira sebagai penjenayah yang mesti diambil tindakan keras kerana cara nasihat sudah tidak diambil hirau. Akibat meninggal solat maka melarat kepada kerosakan akhlak dan perbuatan jenayah yang lain malah antara punca perceraian juga menunjukkan akibat mengabaikan solat 5 waktu.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 70 surah al-An’am :
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
Maksudnya : Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)
Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj maka manusia terbahagi kepada 3 peringkat dari segi keimanan mereka iaitu yang pertama golongan kufur semakin kufur akibat mereka melihat nabi sebagai manusia biasa dan apa yang diceritakan tidak masuk akal, golongan kedua yang telah beriman kembali murtad akibat hanya menggunakan akal untuk menolak kebenaran cerita nabi sehingga lupa bahawa yang menceritakan peristiwa hebat itu adalah seorang nabi yang tidak pernah bercakap mengikut hawa nafsu manakala golongan yang paling hebat keimanan mereka umpama Sayyidina Abu Bakar yang semakin bertambah keyakinan kerana melihat yang menceritakan perkara ini ialah seorang rasul yang wajib bersifat benar. Begitulah juga keadaan yang menimpa umat Islam pada hari ini apabila membicarakan tentang aqidah dan syariat Islam di mana golongan yang menjadikan akal sebagai rujukan utama nescaya akan memandang undang-udang Islam sebagai lambang kezaliman seperti mempertikaikan 4 saksi dalam masalah kesalahan zina dan tuduhan zina, potong tangan terhadap pencuri dan sebagainya. Golongan ini sebaliknya mengagungkan undang-undang manusia walau pun jelas menjatuhkan maruah malah begitu zalim seperti sebatan yang mencederakan pesalah bukan mendidik dan mencegah sebagaimana hukum Islam. Malah mimbar Jumaat hari ini mengutuk kebiadapan penghinaan kartun dalam Utusan Malaysia yang menggambarkan Islam tidak memberi keadilan kepada mangsa rogol. Kita juga merasa begitu bimbang apabila isu murtad kembali bergema apabila menteri menjawab dalam parlimen Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010 di mana 168 diluluskan walau pun selepas itu pelbagai alasan diberikan samada yang diluluskan bukan murtad tetapi disahkan tidak Islam sejak awal lagi dan terbaru alasan kesilapan nama seperti nama orang Islam sehingga ditulis beragama Islam tetapi apabila dirujuk semula maka ditukar status kepada bukan Islam. Apa yang lebih penting ialah marilah kita bersama bermula daripada pemimpin hingga rakyat di bawah supaya menjaga aqidah kita dan keluarga disamping berusaha menjaga golongan muallaf dengan kebajikan dan didikan yang berterusan agar mereka terus kekal dalam Islam. Pemimpin wajib menggubal undang-undang murtad bagi menangani jenayah aqidah ini

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika menyingkap lawatan nabi Muhammad s.a.w melihat nikmat Syurga dan seksa Neraka maka ia menambahkan lagi keyakinan kita tentang balasan Allah terhadap ahli ibadat dan ahli maksiat. Janji dan amaran Allah bukan perkara main-main atau khayalan. Oleh itu pastikan bekalan akhirat kita semakin bertambah, taubat kita semakin banyak agar kita dapat menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman tentang balasan akhirat disamping menjadi ahli ibadat yang istiqamah dalam mengerjakan amalan soleh disamping bersungguh-sunguh dalam menjauhi maksiat. Nasihat Sayyidina Ali : Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.
Firman Allah dalam ayat 108 yang berbunyi:
وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً
Maksudnya : Dan orang-orang Mukmin itu hanya berkata: Maha suci Tuhan kami, sesungguhnya janji-janji Tuhan kami pasti akan terjadi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 2 Jun 2011

Rakyat Bijak, Pemimpin Hebat Wujudkan Negara Berkat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.
Kita baru menyambut kedatangan bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga suatu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan menjadi wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh yang mengajar kita tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Malangnya apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini di mana sudah tidak dihormati lagi sehingga musuh boleh membunuh, membakar, menembak, mengebom umat Islam sesuka hati di tanahair sendiri. Dulu musuh tunduk kepada kemuliaan Islam dan umatnya tetapi kini akibat umat Islam meninggalkan Islam maka musuh menjadikan umat Islam sebagai bahan mainan. Umat Islam menjadi lemah dan hina walaupun memiliki jumlah penganut yang begitu ramai tetapi tidak lebih daripada buih air banjir akibat terkena 2 penyakit bahaya iaitu terlalu cinta kepada dunia dan sangat takut kepada kematian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا ، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ- رواه مسلم
Maksudnya : Islam mula tersebar dalam keadaan asing dan ia kembali dipandang asing sebagaimana ianya bermula. Maka beruntunglah bagi orang-orang yang dipandang asing kerana mempertahankan Islam
Siri penghinaan dan penjajahan terhadap umat Islam terus berlangsung silih berganti di mana antara yang sedang heboh diperkatakan berkenaan permainan video yang menghina nama Allah dan Ka’bah, penghinaan melalui tulisan, gambar di internet akibat kesilapan Islam sendiri yang kebanyakannya meninggalkan cara hidup Islam. Apa yang lebih malang apabila umat Islam sendiri membuka jalan untuk Islam dihina seperti isu liwat, video seks yang menunjukkan kepada dunia betapa buruknya perangai umat Islam yang begitu seronok dengan budaya fitnah yang menjaja maruah. Bila ada individu atau kelompok dengan jelas memperlecehkan ajaran Islam, Allah, al-Quran dan nabi Muhammad s.a.w maka dengan nada lembut orang mengatakan itu adalah kebebasan berpendapat dan kepelbagaian menafsir ilmu agama. Namun apabila ada individu atau masyarakat Muslim mengajak umat Islam untuk istiqamah mengamalkan ajaran Islam maka tindakannya dituduh keras dan tidak berhikmah. Apa saja yang dicatatkan dalam akhbar, TV, radio,internet dengan mudah orang mempercayainya dan dianggap lambang kemajuan. Tetapi apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an belum tentu dipercayai dan diyakini kebenarannya, walaupun mengaku sebagai Muslim dan apa yang lebih dahsyat apabila ada tanggapan bahawa belajar al-Qur’an melahirkan seseorang menjadi pengganas. Sebilangan besar umat Islam lebih yakin dan bangga dengan sistem hidup ciptaan manusia berbanding system Islam yang dianggap zalim dan ketinggalan zaman. Ketika seorang Yahudi atau agama lain memanjangkan janggutnya maka orang akan mengatakan dia menjalankan ajaran agamanya. Namun jika seorang Muslim memelihara janggutnya, dengan mudah orang menuduhnya pengganas yang dicurigai khususnya ketika berada di tempat-tempat umum seperti hotel dan sebagainya. Ketika seorang paderi perempuan memakai pakaian yang menutup kepala dan tubuhnya, orang akan mengatakan bahawa dia sedang menjalankan ajaran agamanya. Namun apabila wanita Muslimah menutup auratnya dengan jilbab atau hijab maka orang akan menuduh mereka terkebelakang dan tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden. Bila wanita Barat tinggal di rumah dan tidak bekerja kerana menjaga rumah dan mendidik anaknya maka orang akan memujinya kerana dia rela berkorban dan tidak bekerja demi kepentingan rumah tangga dan keluarganya. Namun bila wanita Muslimah tingal di rumah menjaga harta suaminya, mendidik anaknya maka orang akan menuduhnya diri perempuan itu dijajah dan harus dimerdekakan daripada penguasaan dan penindasan kaum lelaki. Setiap mahasiswi Barat bebas ke kampus dengan memakai pakaian yang disukainya, dengan alasan itu adalah hak asasi mereka dan kebebasan. Namun bila wanita Muslimah ke kampus atau ke tempat kerja dengan memakai pakaian menutup aurat maka orang akan menuduhnya berfikiran sempit dan tidak sesuai dengan peraturan kampus atau tempat kerja mereka. Inilah antara contoh Islam dipandang asing termasuk oleh umat Islam sendiri. Ingatlah bahawa kita dimuliakan oleh Allah dengan Islam maka selagimana kita mencari kemulian menggunakan cara jahiliah maka selama itulah kita akan dihina oleh Allah

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
Berbalik kita kepada perbincangan berkenaan Perang Tabuk di mana Rasulullah s.a.w telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Rasulullah s.a.w juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu. Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Golongan kemenangan ini menjadi begitu mudah untuk keluar berjihad dan mengorbankan harta benda untuk perjuangan Islam kerana mencontohi kepimpinan Rasulullah s.a.w yang banyak berkorban. Sedangkan umat Islam pada hari ini takut untuk berjihad kerana pemimpin mereka sendiri lebih suka menghalakan senjata kepada rakyat berbanding musuh kuffar. Umat Islam sendiri sayang kepada harta benda akibat pemimpin sendiri yang lebih seronok membina kekayaan atas penderitaan rakyat. Kita begitu rindu untuk memiliki pemimpin yang mencontohi kepimpinan nabi yang mendahulukan kesenangan rakyat. Kita begitu berharap untuk memiliki pemimpin sebaik Sayyidina Abu Bakar yang sentiasa mengeluh bimbang sekiranya masih ada walau pun seekor kambing yang tersepit di hujung negara akibat beliau tidak sempat membantunya. Kita ingin memiliki pemimpin sehebat Sayyidina Umar al-Khottab yang pernah mengungkap sekiranya rakyat lapar maka aku ingin menjadi orang pertama yang merasai lapar itu dan sekiranya rakyat telah kenyang biarlah aku orang terakhir yang merasainya. Kita inginkan pemimpin seadil Umar bin Abdul Aziz yang sentiasa menekankan sekiranya pemimpin hidup dalam kemewahan maka rakyat terus menderita dalam kemiskinan sebaliknya sekiranya pemimpin sanggup membuang segala kekayaan maka rakyat pasti merasai nikmat kekayaan. Kita juga ingin lahirkan lebih ramai Ulama’ yang berperanan besar dalam kerja amar makruf nahi mungkar sebagaimana kehebatan Sultan Ulama’ Izzuddin Abdul Salam yang bangkit menentang khalifah yang ingin menaikkan cukai terhadap rakyat atas alasan untuk membeli senjata bagi melawan tentera Kristian. Beliau sebaliknya meminta agar bermula daripada khalifah, menteri dan pegawai kerajaan terlebih dahulu menjual segala barang yang mewah untuk menampung kekurangan kewangan negara kemudian jika masih tidak mencukupi barulah rakyat boleh dikenakan kenaikan cukai. Semuanya payah untuk kita temui pada hari ini di mana pemimpin sentiasa membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak dan terkini tarif elektrik yang sepastinya akan disusuli dengan kenaikan harga barangan. Pemimpin akan terus memperkudakan akhbar, TV, radio dalam memperbodohkan rakyat bagi menghalalkan tindakan mereka bagi mengurangkan kemarahan rakyat. Pembaziran dengan rasuah dan pecah amanah terus subur disamping perut kroni terus membucit ketika poket rakyat semakin kempis. Sekiranya rakyat terus rela untuk diperbodohkan dengan alasan memual dan meloyakan setiap kali kenaikan harga barangan maka selagi itulah kezaliman dan penindasan akan berlaku. Sesungguhnya seseorang yang benar-benar beriman tidak akan disengat di tempat yang sama lebih daripada sekali. Oleh itu jadilah orang yang benar-benar beriman yang bijak dan pandai memilih pemimpin yang mampu membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 188 surah al-A’araf :
قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya : Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Isnin, 16 Mei 2011

Sistem Islam Terabai Maruah Tergadai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 77 surah Ali ‘Imran :
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih
Masa berlalu semakin cepat dan pantas sebagai peringatan besar kepada kita semua bahawa dunia kini berada dipenghujung usianya iaitu semakin hampir kepada berlakunya Qiamat yang dahsyat. Semakin hampir kita dengan saat kehancuran dunia maka semakin banyak cubaan dan fitnah terhadap keimanan dan agama kita. Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan yang begitu banyak kepada kita agar tidak terheret dan ditenggelamkan oleh fitnah akhir zaman dengan berpegang kemas kepada al-Quran dan sunnah nabi. Akibat fitnah yang begitu dahsyat terhadap keimanan sehingga digambar oleh nabi bagaimana ada orang yang beriman pada pagi harinya tetapi kufur pada petangnya, ada yang pada petangnya beriman tetapi menjadi kufur pada pagi keesokannya akibat daripada menjual agama dengan harga yang terlalu murah. Dunia menjadi matlamat hidup sehingga akhirat dipinggirkan, nafsu menjadi pedoman sehingga wahyu Allah diketepikan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Masyarakat negara kita dibentangkan dengan beberapa isu besar melalui media massa sama ada tv, radio, akhbar dan internet dengan menggunakan kaedah pemesongan pemikiran sehingga yang jahat dilihat baik, yang zalim dianggap adil, yang rosak didakwa berguna, yang hak dihukum batil, yang benar dipandang dusta. Apa yang lebih malang apabila hukum agama dipermainkan sesuka hati termasuk dalam sumpah laknat jika sebelum ini dalam tuduhan liwat, kini dalam tuduhan zina. Budaya suka bersumpah laknat dibiarkan berlaku sedangkan dalam perundangan Islam jelas masalah ini mesti diselesaikan di mahkamah sama ada yang dituduh jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hudud atau yang menuduh boleh dikenakan hukum Qazaf jika berdusta. Jika budaya sumpah laknat dibiarkan berleluasa akhirnya menyebabkan hilangnya fungsi mahkamah kerana semua masalah akan diselesaikan melalui sumpah sahaja. Apa yang lebih menakutkan apabila perbuatan ini akan menyebabkan turun laknat yang begitu dahsyat daripada Allah.
قال الرسول  : الْكَبَائِرِ: الِإشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ و قَتْلُ النَّفْسِ وَالْيَمِينُ الْغَمُوس
Maksudnya: “Dosa besar itu adalah, syirik kepada Allah, derhaka ibu bapa, membunuh dan sumpah yang dusta.”
Ibn Hajar Al-‘Asqalani menghuraikan sumpah daripada pendusta merupakan salah satu daripada dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam ‘Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat’, sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Oleh itu dalam menghadapi berita fitnah dan tidak jelas maka ikutilah nasihat ulama’ besar iaitu Abu Laith al-Samarqandiy melalui 6 cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik
Penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan melampau juga membawa kehancuran kepada masyarakat seperti isu seks yang dibicara secara terbuka bukan sahaja menjatuhkan maruah sebelum dibicara malah merosakkan minda terutama remaja yang ingin tahu dan mencuba benda yang negatif. Oleh itu mimbar Jumaat hari ini mengutuk tindakan tidak bermoral dan melanggar batas agama yang dilakukan oleh pengamal media yang tidak amanah ini. Jika pada zaman nabi tugas jahat ini dimainkan oleh penyair-penyair maka pada hari ini ia diteruskan oleh wartawan yang tidak beretika kerana menurut perintah orang atasan yang mementingkan harta dan takhta.
Begitu juga dengan tiupan api perkauman sempit bagi menggambarkan suasana keamanan negara yang semakin tergugat sedangkan yang tergugat oleh pangkat golongan yang menindas rakyat. Amaran Allah akan berlakunya penindasan bila kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpin dan kroni sahaja tidak dipeduli sedangkan setiap kali harga barang naik dengan alasan menjimatkan subsidi negara diterima dengan dada yang lapang sedangkan betapa banyak kekayaan negara hancur akibat rasuah, pecah amanah dan pembaziran. Betapa malangnya apabila amaran nabi agar tidak memilih pemimpin yang tidak berkelayakan seperti zalim dan tidak amanah akan menyebabkan berlakunya huru hara tidak dihirau sedangkan alasan lapuk seperti kenaikan harga gula bagi mendidik rakyat supaya tidak terlalu banyak menggunakan gula bagi menjamin kesihatan boleh diterima bulat-bulat. Jahiliah hanya akan berterusan apabila kejahilan rakyat disuburkan tetapi bila rakyat semakin berilmu serta bijak berfikir maka jahiliah yang zalim semakin lemah dan bakal menyembam tanah bila-bila masa sahaja. Kita akan dirikan keadilan dan kehebatan Islam di atas runtuhan jahiliah tersebut

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita juga merasa kecewa bila isu agama seperti isu Kristian mahu dijadikan agama rasmi negara dimainkan cuba dijadikan senjata dalam menjaga takhta dan harta sesetengah golongan. Kita akui bagaimana licik dan bersungguhnya Kristian dalam menyebarkan agamanya di negara ini namun untuk memainkan isu yang berunsur fitnah itu bukan menyelesaikan masalah bahkan ia semakin teruk. Pemimpin sepatutnya lebih bersungguh dalam menangani masalah murtad dan kerosakan akhlak akibat hiburan dan cara hidup yahudi dan Kristian yang semakin subur dalam kehidupan seharian umat Islam bermula cara berpakaian, pergaulan bahkan pemikiran. Ini ditambah lagi dengan pengekalan perundangan penjajah dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Rakyat perlu sedar siapa yang bertanggungjawab dalam mengurangkan jumlah bilangan ahli parlimen yang beragama Islam, siapa yang menjadi dalang dalam melemahkan pusat pengajian agama, mahkamah syariah yang semakin dipertikaikan termasuk hukum qazaf yang sedia ada diketepikan, kedudukan mufti yang tidak berkuasa. Sepatutnya Islam yang diiktiraf oleh perlembagaan negara diperkasakan dengan memberi ruang kepada sistem Islam untuk dilaksanakan bukan semakin dimandulkan peranannya. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ