أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 14 April 2011

Cara Hidup Islam Subur Umat Makmur

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tiada lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara sanggup menggunakan khidmat nasihat syarikat APCO yang mempunyai kaitan dengan zionis yahudi pembunuh kejam dunia sehingga musuh dijadikan kawan manakala saudara seagama dijadikan sasaran serangan serta keadaan keselamatan negara terdedah kepada musuh Islam

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
Peperangan Mu’tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Jika Rasulullah s.a.w dan banyak pemimpin Islam zaman silam sanggup menghantar tentera walau pun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini ramai pemimpin umat Islam sendiri sanggup bersekongkol dengan penjenayah dan pengganas dunia iaitu Amerika Syarikat dan zionis yahudi dalam menjajah dan membunuh umat Islam seperti di Palestin, Iraq dan terbaru di Libya. Kita lihat Libya bakal menjadi Iraq kedua di mana atas alasan mahu menggulingkan pemimpin berkuku besi maka musuh Islam melakukan serangan dan akhirnya ia dijajah dengan pemimpin boneka dijadikan sandaran. Inilah antara amaran nabi Muhammad s.a.w apabila sesebuah negara tidak melaksanakan sistem Islam dan memilih pemimpin yang jahat maka negara tersebut akan dijajah oleh penjajah yang jauh lebih jahat dan kejam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 10 surah al-Buruj :
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah [untuk memesong dan memporak - perandakan] orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).
Peperangan Mu’tah juga menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti. Pemilihan sebagai pemimpin mesti berlandaskan syarak bukannya hawa nafsu dan rasuah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat antaranya ialah mesti sanggup berkorban bukan sahaja harta benda malah jiwa raga dalam mempertahan dan menjulang sistem Islam bukan memilih pemimpin yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan merompak hasil mahsul negara. Memilih pemimpin yang sanggup menjaga maruah dan nyawa rakyat jelata bukannya pemimpin yang membiarkan budaya fitnah dan pelanggaran maruah seperti isu liwat dan video seks yang meletakkan maruah umat Islam lebih murah daripada besi buruk tanpa ada usaha dalam menyekat perbuatan terkutuk ini demi mengejar dan menjaga harta dan takhta. Memilih pemimpin yang menjadikan Allah sebagai Penguasa yang paling berkuasa sehingga tunduk patuh terhadap segala sistemNya bukannya pemimpin yang hanya melaungkan hak asasi manusia sedangkan hak Allah dilanggar sesuka hati. Bijak memilih pemimpin bawa bahagia, salah memilih pemimpin bawa derita. Ia bukan perkara kecil tetapi bakal ditanya di akhirat kelak

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kesungguhan dan kecekalan nabi Muhammad s.a.w dan pejuang Islam dalam menjaga dan mengembangkan dakwah Islam sehingga sanggup gugur syahid di medan perjuangan wajib diteruskan barulah kita dianugerahkan dengan kemuliaan di dunia dan akhirat. Tugas menyebarkan Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang mudah sebaliknya menuntut kepada penat dan lelah, tidak dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah ke tanah. Kita sepatutnya merasa malu dengan gerakan Kristian contohnya yang begitu bersungguh dalam menyebar luas ajaran mereka termasuk melalui tekanan politik yang membolehkan mereka mengedar Bible berbahasa Melayu. Bagaimana pula dengan usaha kita dalam mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin luntur disamping dakwah kepada orang bukan Islam agar mereka sama-sama merasai nikmat iman dan Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak menentang sistem Islam. Ketika menyoroti sejarah bagaimana umat Islam di China yang mampu mempertahankan agama walau pun ratusan tahun berada di bawah cengkaman komunis antaranya dengan menjaga solat berjemaah sehingga ada masjid bilangan jemaah solat Jumaatnya menjangkau 30 ribu orang manakala hari raya 200 ribu orang. Kita di negara ini wajib merasa gerun dan bimbang sekiranya semakin ramai umat Islam sendiri semakin jahil dan menjauhi cara hidup Islam apatah lagi bilangan orang bukan Islam yang membenci Islam semakin bertambah. Sesungguhnya seseorang itu akan membenci dan memusuhi apa yang dia tidak ketahui. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengorak langkah dengan serius dan bersungguh dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup dalam setiap aspek kehidupan sehingga Islam dilihat sebagai satu-satunya cara dalam menangani pelbagai masalah masyarakat dan negara. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 17 Mac 2011

Peringatan Allah DiSisih Umat Merintih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 40 surah al-‘Ankabut:
فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾
Maksudnya : Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri
Al-Quran merupakan mukjizat terbesar dan berkekalan yang dianugerahkan oleh Allah kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada sekalian alam bukan terbatas kepada bangsa dan negara tertentu sahaja. Seluruh isi kandungan al-Quran yang menjelaskan berkaitan aqidah, hukum-hakam syariat, adab-adab, sistem kehidupan, balasan akhirat tidak ketinggalan banyak kisah pengajaran sebagai pedoman kita semua. Allah menjelaskan dalam al-Quran bagaimana aman bahagianya golongan yang bertaqwa dan mengikut ajaran Islam yang dibawa oleh nabi-nabi dan dalam masa yang sama betapa banyak bangsa dan negara yang dihancurkan akibat mengengkari ajaran nabi yang diutuskan kepada mereka walau pun teknologi dan kemajuan yang dicapai begitu hebat. Ada golongan yang dihancurkan dengan petir, banjir besar, dilipatkan bumi, ditukar kepada rupa binatang dan sebagainya. Ada yang dihancurkan sehingga tidak lagi dapat dikesan dan ada yang terus dapat dilihat kesan sehingga hari ini melalui pembangunan yang ditinggalkan atau kesan kehancuran seperti tasik Qarun dan Laut Mati. Sebagai umat yang beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita wajib mengambil iktibar daripada semua yang berlaku bukannya menjadi manusia yang mati hatinya sehingga kisah-kisah pengajaran daripada al-Quran hanya dianggap kisah dongeng dan sekadar cerita klasik sahaja.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 97-99 surah al-A’araf :
أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّـهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّـهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩٩﴾
Maksudnya : Patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi
Ketika dunia hangat membincangkan tentang pergolakan dalam menjatuhkan pemimpin kuku besi satu demi satu di kebanyakan negara Arab dan Afrika tiba-tiba berlakunya suatu gempa bumi dan tsunami yang begitu dahsyat di sebuah negara maju iaitu Jepun yang telah mengorbankan lebih 13 ribu nyawa disamping kehancuran yang teruk ditambah lagi dengan merebaknya kesan radiasi akibat beberapa loji nuklear Jepun yang turut musnah sehingga turut merebak ke negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Eropah. Kemusnahan loji nuklear Jepun ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pemimpin negara dalam mengkaji semula rancangan untuk membina loji neuklear di negara ini dan juga kelulusan untuk sebuah Syarikat Australia untuk membina Pusat Pemprosesan Tanah Jarang [rare earth] yang terbesar di dunia dengan nilai RM 700 juta di Pahang. Jangan dek kerana keuntungan yang sedikit nyawa rakyat dikorbankan.
Ketika menyoroti sejarah berlakunya gempa bumi ini semenjak dari dahulu hingga kini di mana ada di kalangan ulama’ yang menyatakan bahawa gempa bumi pertama berlaku di atas muka bumi ini ialah setelah Qabil bertindak kejam membunuh saudaranya Habil akibat perasaan hasad dengki. Apabila pembunuhan pertama ini berlaku akibat perang saudara telah menyebabkan bumi terlalu marah sehingga berlakunya gempa bumi. Gempa bumi turut berlaku pada zaman nabi Muhammad s.a.w di mana nabi telah membaca doa tertentu sehingga bukit yang di atasnya pernah disemadikan beberapa orang nabi, para orang mati syahid telah berhenti daripada bergegar. Begitu juga gempa bumi yang pernah berlaku semasa pemerintahan Sayyidina Umar al-Khottab di mana setelah berkata sesuatu kepada bukit itu lalu ia berhenti daripada bergegar. Malah jika kita baca sebuah kitab tentang peristiwa gempa bumi yang telah ditulis oleh seorang ulama’ terkenal iaitu imam Jalaluddin as-Sayuti maka kita dapati beliau telah mendahului ilmuan barat dalam menulis banyak peristiwa gempa bumi yang telah berlaku sejak dahulu hingga kepada zamannya. Peristiwa gempa bumi merupakan merupakan peringatan dan amaran daripada Allah ketika manusia melakukan kerosakan, terlibat dengan kemungkaran dan ia juga merupakan antara tanda-tanda Qiamat sebagaimana suatu peringatan dari nabi yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ
Maksudnya : Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita juga mestilah merenung kepada setiap apa yang berlaku disekeliling kita agar kita tidak menjadi agen yang menjemput bala yang dahsyat daripada Allah. Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Sayyidina Ali:
قال الرسول  : إِذَا فَعَلَتْ أُمَّتِي خَمْسَ عَشَرَةَ خَصْلَةً حَلَّ ِبهَا البَلاءُ , قِيْلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا كَانَ المَغْنَمُ دُوَلا وَالأمَانَةُ مَغْنَمًا وَالزَّكَاةُمَغْرَمًا وَأَطَاعَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ وَبَرَّ صَدِيْقَهُ وَجَفَا أَبَاهُ وَارْتَفَعَتِ الأصْوَاتُ فِى المَسَاجِدِ وَكَانَ زَعِيْمُ القَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ وَشُرِبَتِ الخُمُوْرُ وَلُبِسَ الحَرِيْرُ وَاتُّخَذَتِ القِيَانُ وَالمَعَاِزفُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأمَّةِ أَوَّلَهَا فَلْيَرْتَقِبُوْا عِنْدَ ذلِكَ رِيْحًا حَمْرَاءَ أَوْ خَسْفًا أَوْ مَسْخًا
Maksudnya : ” Apabila umatku telah membuat 15 perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda :[1]Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar di kalangan golongan tertentu sahaja [2]Apabila amanah dijadikan suatu sumber dalam mengaut keuntungan [3] Zakat dijadikan hutang [4] Suami menurut sahaja kehendak isteri [5] Anak derhaka terhadap ibunya [6] Anak terlalu mementingkan kawannya [7] Anak juga menjauhkan diri daripada bapanya [8]Suara sudah ditinggikan dalam masjid [9]Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka ialah orang yang paling hina di antara mereka [10] Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya [11]Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat [12] Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki [13] Para artis disanjung tinggi [14] Muzik banyak dimainkan [15] Generasi akhir umat ini melaknat generasi pertama (para sahabat)
Maka pada ketika itu mereka bakal ditimpa oleh angin merah atau gempa bumi atau diubah keadaan mereka menjadi binatang

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ’Imran :
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang rugi
Ujian Allah berbentuk gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, gunung berapi merupakan suatu ujian yang besar namun begitu ada lagi ujian yang lebih hebat daripada itu iaitu apabila berlakunya penghinaan terhadap Islam, usaha dalam meruntuhkan aqidah umat Islam. Antara yang terbaru bila tersiarnya di internet isu adanya orang bukan Islam yang menghina azan dengan mengatakan bahawa laungan azan seperti laungan jual beli makanan. Begitu juga isu pertikaian pengharaman judi yang bukan sahaja merupakan amalan keji dalam Islam malah seluruh agama lain. Tidak ketinggalan isu kebenaran untuk menyebarkan Bible berbahasa Melayu yang menyaksikan ada yang menyokong dan ada yang menentang. Ia mesti dipandang sebagai kesungguhan pihak Kristian terutamanya dalam menyebarkan agamanya di negara kita. Bagaimana pula dengan usaha kita dalam mempertahankan aqidah ketika isu murtad terus melanda ditambah lagi dengan merebaknya fahaman Islam Liberal yang banyak mempertikaikan syariat Islam dan masalah Pluralisme agama yang menganggap semua agama di dunia, sama dan setaraf. Bagaimana pula dengan usaha dalam memperkemaskan ilmu Islam dalam diri seluruh umat Islam yang lebih ramai yang hanyut dengan hiburan melalaikan sehingga menganggap agama sebagai suatu yang tidak penting. Bila kejahilan melanda maka kekufuran lebih dekat dengan umat Islam. Wapada sebelum terkena, beringat sebelum terjerat, awas sebelum terbabas
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِك الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 24 Februari 2011

Kepimpinan nabi Muhammad s.a.w DiPilih Kebahagiaan DiRaih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 2 surah Muhammad :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۙ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ
Maksudnya : Dan orang-orang beriman dan mengerjakan amalan soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka,Allah akan menghapuskan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka
Manusia akan sentiasa bercakap tentang insan yang paling istimewa dalam kehidupannya sehingga tidak jemu-jemu memujinya. Bila sahaja disebut nama orang yang disayangi maka dia merasa begitu semangat untuk membicara tentangnya. Begitulah keadaan kita sebagai umat Islam yang cintakan nabi Muhammad s.a.w sentiasa berasa seronok dan gembira untuk menyebut nabi baginda dan mengetahui sirah perjalanannya. Umat yang benar-benar cinta kepada Allah dan rasulNya akan berasa bangga untuk memberitahu kepada dunia tentang kehebatan nabi Muhammad s.a.w yang berjaya mengubah keadaan dunia daripada kelam kufur kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam. Kita akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang merendah-rendahkan nabi Muhammad s.a.w sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada rasul mulia ini. Nabi Muhammad s.a.w menjadi ikutan utama kita dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kerana baginda bukan sekadar memberitahu sebaliknya baginda melaksanakannya untuk mudah ditiru oleh kita semua. Kita wajib bersyukur kepada Allah yang mengutuskan nabi Muhammad sa.w yang begitu banyak berjasa kepada kita, jasa nabi bukan sebarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar. Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:
أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya : Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya
Nabi Muhammad s.a.w telah ditarbiah sejak dari kecil dengan kesusahan demi kesusahan disamping menjauhi amalan syirik dan merosakkan akhlak walau pun berada disekeliling masyarakat jahiliah. Sesuai dengan keadaan nabi Muhammad s.a.w yang pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu maka baginda begitu mengambil berat tentang anak yatim serta sentiasa menggalakkan umat Islam supaya mengasihi anak yati disamping begitu murka terhadap sesiapa yang menzalimi anak yatim. Begitu juga dengan kehidupan nabi Muhammad s.a.w yang menjauhi kehidupan mewah bertujuan mendidik umatnya agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama. Kemiskinan yang dilalui oleh nabi bukannya disebabkan baginda pemalas kerana betapa banyak harta baginda yang dikorbankan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Nabi Muhammad s.a.w banyak kali menolak tawaran kemewahan samada daripada musuh Islam mahu pun permintaan daripada malaikat bertujuan menjaga keikhlasan umat Islam supaya memeluk Islam kerana Allah bukannya untuk mengejar kemewahan. Banyak kisah yang dibentangkan kepada kita tentang kehidupan nabi Muhammad s.a.w yang susah namun kemiskinan nabi bukan membawa kepada kehinaan sebaliknya dilihat oleh pemimpin dunia sebagai suatu kehebatan dan pengorbanan yang begitu mulia dalam membela nasib manusia

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Antara kisah tentang nabi Muhammad s.a.w yang hidup jauh daripada kemewahan bertujuan mendidik umatnya agar tidak hanyut dengan nikmat dunia yang sementara serta banyak berkorban untuk Islam disamping menyuburkan sifat mengambil berat tentang penderitaan orang lain. Imam Bukhari meriwayat daripada saudara Ummul Mukminin Juwairiyah bt Harith semasa baginda wafat tidak meninggalkan walau pun satu dirham. Baginda juga tidak meninggalkan seorang hamba lelaki atau perempuan. Baginda sekadar meninggalkan seekor keldai, sehelai pakaian perang dan sebidang tanah kecil yang kemudiaannya disedekahkan.
Imam Ahmad riwayat daripada Abdullah bin Abbas tentang kisah Sayyidina Umar al-Khottab semasa beliau menziarahi nabi di mana kata Umar : Aku pun duduk dan aku lihat bekas tikar pada tubuh nabi Muhammad s.a.w. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung..lalu aku pun terus menangis. Nabi Muhammad s.a.w terus bertanya : Wahai Ibnu Khottab. Mengapa engkau menangis? Aku menjawab : mengapa tidak ya Rasulullah! Aku ternampak bekas tikar kasar ditubuhmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan Maharaja Rom dan Parsi yang hidup dalam kelazatan sedangkan engkau adalah nabi hidup seperti ini. Lalu nabi terus bersabda : Wahai Ibnu Khottab, apakah engkau tidak redha bahawa bagi kita adalah akhirat dan bagi mereka hanya dunia?
Imam Thobrani pula meriwayatkan daripada Sahl b Saad : Pada suatu hari nabi sakit dan pada masa itu baginda mempunyai wang emas sebanyak tujuh dinar lalu diberikannya kepada Siti Aisyah supaya diberikan kpd Sayyidina Ali untuk disedekahkan. Baginda kemudiannya pengsan beberapa kali dan setiap kali sedar baginda menyoal Siti Aisyah mengenai wangh emas itu sehingga akhirnya wang emas itu diserahkan kepada Sayyidina Ali lalu disedekahkan
Begitu juga Imam Tirmizi meriwayat daripada Siti Aisyah bahawa keluarga nabi Muhammad s.a.w tidak pernah kenyang memakan roti gandum dua hari berturut-turut sehingga baginda wafat
Imam Tirmizi meriwayat daripada Anas b Malik bahawa tidak pernah nabi Muhammad s.a.w makan di atas meja dan tidak pernah baginda makan roti halus iaitu daripada jenis tepung yang baik sehinggalah baginda wafat
Imam Tirmizi meriwayat daripada Siti Aisyah : Nabi menjahit sendiri kasut dan baju baginda yang koyak
Cara hidup dan pemerintahan nabi diteruskan oleh para sahabat dan pejuang Islam selepas mereka sehingga mereka bukan menjadi hamba yang hina sebaliknya berjaya menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi yang tenggelam dalam kemewahan dunia dan jauh daripada cahaya agama

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Ahzab :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata
Bila kita melihat peristiwa kejatuhan seorang demi seorang pemimpin dalam jarak masa yang begitu dekat bermula di Tunisia diikuti Mesir kini melarat ke Libya yang menyaksikan ribuan rakyat dibunuh kejam dan ada masjid yang ditembak disamping kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan pemimpin melalui jalanraya di Algeria, Bahrain, Yaman dan beberapa buah negara lagi akibat kegagalan pemimpin menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh dalam kepimpinan. Kebanyakan mereka jatuh akibat membina kekayaan atas penderitaan rakyat. Kita dapat perhati 3 jenis pemimpin biasanya memegang tampuk pemerintahan iaitu jenis pertama daripada kalangan orang kaya sebelum menjadi pemimpin dan terus kaya selepas dilantik menjadi pemimpin. Pemimpin jenis ini ada yang amanah dan ramai juga yang tidak jujur ketika melaksanakan amanah kepimpinan. Jenis kedua ialah pemimpin yang miskin sebelum menjadi pemimpin sebaliknya menjadi orang kaya baru selepas berada di atas takhta kepimpinan sesebuah negara. Pemimpin jenis inilah yang ramai menjadi pemimpin pada hari ini yang sedang dijatuhkan dengan cara yang hina oleh rakyat yang sudah tahan dengan kezalimannya. Manakala jenis ketiga pula ialah pemimpin yang kaya sebelum memimpin dan menjadi miskin selepas dilantik kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan dan amanah rakyat sehingga kekayaannya turut disumbangkan kepada rakyat. Pemimpin jenis ini semakin jarang dan payah untuk ditemui.
Manakala dari segi corak pemerintahan pula Ibnu Khaldun membahagikan kepimpinan kepada 3 jenis iaitu yang pertama pemimpin yang menggunakan hukum rimba iaitu yang kuat menguasai yang lemah. Yang kedua ialah pemimpin yang menggunakan sistem perundangan dan perlembagaan yang dicipta sendiri oleh manusia dengan mengenepikan hukuman Allah di mana kepimpinan jenis ini pada permulaannya memang baik dan mampu mentadbir dengan teratur. Tetapi lama kelamaan sistem yang diguna pakai mula dirobek satu persatu tanpa menghirau lagi erti kemanusiaan dan ketaatan kepada sistem yang dicipta itu. Akhirnya mereka mula menggunakan semula hukum rimba yang bertopengkan sistem perundangan yang dilaksana selama ini. Kepimpinan jenis ketiga ialah yang menggunakan sistem Islam berdasarkan wahyu Allah dalam mentadbir dunia demi mencapai kebahagian dunia akhirat. Inilah kepimpinan yang dirindui dan ditunggu-tunggu kedatangannya. Oleh itu, ikutlah panduan yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dalam memilih pemimpin agar kita bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِك الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ