أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 19 September 2024

Khutbah Jumaat : Syariat Nabi Muhammad s.a.w DiLaksana Sijil Halal DiPerkasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada seluruh alam. Hadirnya bersama misi dan visi yang besar iaitu yang pertama memastikan umat manusia yang tenggelam dalam cara hidup jahiliah terutama syirik menyembah berhala kepada kembali MengEsakan Allah, membersihkan kepercayaan khurafat dan tahyul kepada memandu akal berlandaskan wahyu . Misi kedua membentuk akhlak mulia daripada mengikut hawa nafsu, bersikap kebinatangan seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup dan berbunuhan kepada akhlak yang mulia. Misi dakwah Rasulullah Saw. yang ketiga adalah membawa rahmat kepada sekalian alam. Turunnya wahyu al-Quran. menegakkan hujjah untuk umat manusia dalam menjelaskan kepada kita mana jalan ke Syurga Allah dan mana jalan yang mengheret manusia ke Neraka Allah. Jalannya sudah terang benderang di mana Allah menciptakan kita dan memberikan panduan yang jelas. Sesungguhnya pengutusan Nabi s.a.w merupakan kasih sayang Allah kepada umat manusia agar mereka mampu memilih jalan terbaik untuk berjaya Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini marilah kita sama-sama bermuhasabah menghitung diri berkaitan sejauh mana rasa cinta dan kasih kita kepada nabi Muhammad s.a.w, sejauh manakah kesungguhan kita dalam mengamalkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Antara amalan yang sepatutnya kita laksanakan sebagai bukti cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w : [1] Memperbanyakkan membaca al-Quran kerana ia merupakan mukjizat terbesar Rasulullah SAW. [2] Memperbanyakkan selawat أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً – رواه الترمذي Maksudnya: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” [3] Mendalami sirah Nabi bersama ahli keluarga di mana kita wajib mengajarkan kepada anak-anak tentang kisah perjuangan, cabaran dan kejayaan Rasulullah s.a.w dan para sahabat agar anak-anak terus bersemangat untuk mewarisi perjuangan Baginda. [4] Mewarisi dan menyambung perjuangan Rasulullah di mana Sunnah terbesar yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah mendirikan negara Islam. Oleh itu, kita mesti bertekad dan bersungguh-sungguh menyambung kerja dakwah Rasulullah agar Islam terus kuat dan kukuh. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 88 surah al-Maidah: وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٨٨﴾ Maksudnya : Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. Antara ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w ialah dengan memperbanyakkan ibadat, zikrullah, doa dan menjauhi maksiat. Punca doa ditolak antaranya akibat terlibat dengan perkara yang haram samada sumber dapatan atau makanan itu sendiri yang haram . Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam al-Ghazali menjelaskan ada 3 alasan mengapa kita wajib menjauhkan diri dari memakan makanan yang haram dan syubhat: [1] Takut pada neraka Jahannam قال النبي : لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ ، النَّارُ أَوْلَى بِهِ – رواه أحمد Maksudnya : Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dari yang haram, neraka lebih baik untuknya. [2] orang yang memakan makanan haram dan syubhat tidak pantas beribadah, sebab ibadah yang dikerjakannya ditolak Allah SWT. Hanya orang-orang yang bersih dan suci yang berhak beribadah kepada-Nya. [3] orang yang makan barang haram dan syubhat, maka ia terhalang untuk melakukan kebaikan, meskipun ia melakukan kebaikan, namun perbuatannya ditolak Allah SWT. Semua yang dilakukannya hanyalah kepayahan, kesedihan, dan mengisi waktu luang belaka saja, tidak lebih daripada itu. Umat wajib mengambil berat tentang hukum halal haram samada pada makan minum itu sendiri dan sumber dapatan untuk berkat dunia dan selamat di akhirat أَرْبَعٌ إِذَا كُنَّ فِيكَ، فَلاَ عَلَيْكَ مَا فَاتَكَ مِنَ الدُّنْيَا: حِفْظُ أَمَانَةٍ، وَصِدْقُ حَدِيثٍ، وَحُسْنُ خَلِيقَةٍ، وَعِفَّةٌ فِى طُعْمة – رواه أحمد Maksudnya : Ada 4 perkara apabila keempatnya ada pada dirimu, maka segala urusan dunia yang luput darimu tidak akan membahayakanmu : menjaga amanah, berkata benar, akhlak baik dan menjaga urusan makanan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, قال النبي : لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ أَمِنْ حَلَالٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ – رواه البخاري Maksudnya : Sungguh akan datang kepada manusia suatu zaman, yang saat itu seseorang tidak peduli lagi dari mana dia mendapatkan harta, apakah dari jalan halal ataukah yang haram. KIta umat Islam wajib memastikan sebarang produk yang gagal mempamerkan logo halal yang boleh menimbulkan keraguan adalah wajar dijauhi. Ini selaras dengan sabda Rasulullah yang menyebutkan: دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ – رواه الترمذي “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.” Al-Imam Ibn Rajab menjelaskan bahawa jiwa orang beriman berupaya untuk merasai keraguan atau syubhat sesuatu perkara. “Dan adapun perkara yang syubhat itu boleh diketahui oleh hati melalui perasan tidak tenteram.” Sekiranya kita berasa tidak tenteram dengan sesuatu produk atau restoran, maka tinggalkanlah produk atau restoran tersebut. Ini kerana menjaga makan ini juga adalah sebahagian dari urusan agama juga. Ini kerana Allah mengaitkan makanan yang halal dengan urusan ibadah. Kata al-Imam Ahmad: “Tidakkah kamu ketahui bahawa urusan makanan ini adalah sebahagian dari agama. Dalam al-Quran, Allah menyebut urusan makanan dahulu sebelum amal soleh”. Berhati-hati dalam menyuapkan makanan yang menjadi darah daging kita. Seorang Tabi’i yang masyhur Yusuf ibn Asbat pernah memberikan perumpamaan yang menarik berkenaan penjagaan makanan ini. Kata beliau: “Sekiranya seorang pemuda sibuk beribadah, maka Iblis akan berkata: “Cuba perhatikan apa yang dia makan? Sekiranya dia makan dari makanan yang jahat (kotor), maka tidak perlu kita ganggu dia. Biarlah dia beribadah (dan dalam badannya penuh dengan makanan kotor), kerana makanan yang kotor itu telah memadai buat kita.” Sidang Jumaat yang berbahagia, Firman Allah dalam ayat 188 surah al-Baqarah: ﴿وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ﴾ Maksudnya : “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” Rasulullah SAW juga bersabda berkait dengan bahaya rasuah: الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِيْ النَّارِ- رواه الطبراني Maksudnya : “Penerima rasuah dan pemberi rasuah kedua-duanya ke neraka.” Kita dapat lihat syariat yang menyeluruh hanya dapat dilaksanakan oleh nabi Muhammad s.a.w apabila berjaya mendirikan Daulah Islamiah di Madinah selepas peristiwa Hijraturrasul. Antaranya pengharaman arak, judi, riba dan rasuah. Oleh itu antara kewajipan pemimpin yang diberikan amanah untuk menjaga negeri atau negara wajib mencontohi nabi s.a.w dalam melaksanakan syariat Islam. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Antara sifat yang mesti ada dalam diri umat yang kasih kepada Allah dan rasulNya ialah : [1] Cinta kepada Allah dan rasulNya sehingga sanggup mati demi mempertahankan agar Allah tidak dicela dan nabi Muhammad s.a.w tidak dicela قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia Sifat ke-[2] sentiasa kasih dan berlemah lembut dengan saudara seagama serta sentiasa mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama di negara lain terutama yang sedang berdepan dengan pembunuhan dan peperangan termasuk di bumi Palestin Sifat ke-[3] bertegas terhadap orang kafir yang memusuhi Islam. Namun Islam tidak memaksa orang kafir untuk memeluk Islam. Sifat ke-[4] sentiasa bersungguh-sungguh dalam menegakkan system Islam yang menyeluruh atas muka bumi ini. Sifat ke-[5] umat yang cintakan Allah dan rasulNya ialah tidak takut dan tidak mudah putus asa apabila dicela dan dimaki kerana mahu memperkasakan Islam sehingga dituduh sebagai pengganas, pelampau dan sebagainya. Kita mesti ingat bahawa nabi Muhammad s.a.w yang merupakan rasul pilihan Allah lebih teruk dilempar cacian dan makian daripada musuh Islam termasuk dituduh pemecah belah umat, tukang sihir, orang gila, pembawa ajaran sesat dan sebagainya Yakinlah kita bahawa kita berjuang bukan untuk mencari pujian manusia, bukan mencari pangkat dan harta dunia sebaliknya kita mencari keredhaan Allah walau pun manusia membenci. Islamlah nescaya kita berjaya dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 64 surah Ali ‘Imran: وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ ﴿٧١﴾ Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ