أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 8 Mei 2014

Hudud DiHormati Masalah Umat DiUbati

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah : إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa Kini kita berada di awal bulan Rejab yang merupakan salah suatu daripada bulan yang dihormati. Para ulama’ bersepakat bahawa dinamakan bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram sebagai bulan-bulan haram kerana diharamkan dalamnya peperangan dan kezaliman. Ia merupakan antara bulan-bulan mulia dalam Islam malah diagungkan oleh bangsa Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari menyatakan bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada ketika dahulu sering kali menukar bulan-bulan haram ini tanpa mengikut tertib asalnya. Mereka akan mendahulukan atau melewatkan bulan-bulan haram ini dengan bulan-bulan biasa seperti melewatkan bulan Rejab ke bulan Sya’ban. Perkara ini dilakukan supaya mereka boleh berperang sewaktu bulan-bulan haram. Apabila datangnya Islam, Nabi SAW telah meletakkan kembali susunan dan tertib asal bulan-bulan Islam seperti yang kita ketahui pada masa kini. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah: لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚوَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّـهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ﴿٤٢﴾ Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). Keberadaan kita pada bulan Rejab turut mengetuk hati kita untuk mengambil pengajaran berharga daripada peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin Daulah Islamiah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kezaliman musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Ini jauh berbeza pada zaman kita bila nyawa umat Islam tidak dibela Kita menyokong penuh sikap kerajaan Brunei yang bertegas melaksanakan Hudud walau di kecam oleh barat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atas alasan kejam sedangkan musuh Islam membutakan mata terhadap pembunuhan kejam terhadap umat Islam di Syria, Afrika Tengah, Ronghiya, Palestin dan sebagainya. Barat cuba bercakap tentang keadilan dan moral sedangkan undang-undang mereka menyaksikan kegagalan sehingga penjara tidak dapat menampung pesalah, kadar jenayah, bunuh diri dan pengguguran yang tinggi malah gaya hidup bebas yang mengakibatkan AIDS dan penghapusan generasi akan datang. Kita turut bimbang kehancuran barat menular ke Negara kita apabila Malaysia menjadi tempat terdapatnya epidemik AIDS yang ke-5 paling pesat merebak di rantau Asia Timur dan Pasifik dengan kadar semasa jangkitan HIV berganda setiap 3 tahun. Statistik ini menunjukkan purata 17 orang yang diuji positif bagi virus HIV setiap hari. Timbalan Menteri Kesihatan dalam suatu kenyataan memberitahu bahawa kadar penghidap HIV/AIDS dalam kalangan golongan muda berusia antara 20 hingga 30 tahun kini amat membimbangkan kerana mencecah sehingga 78.8 peratus di mana kegiatan seks rambang dalam kalangan golongan itu juga dikesan menjadi penyumbang utama jangkitan HIV/AIDS mengatasi penggunaan jarum suntikan penagih dadah. Kerajaan terpaksa menghabiskan sebanyak RM185 juta setahun untuk rawatan penyakit itu dan RM26 juta daripadanya dikhaskan untuk kempen dan program pencegahan termasuk mengedarkan kondom percuma untuk pekerja seks serta jarum suntikan percuma untuk penagih dadah Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah : الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٢﴾ Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya 100 kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. Kita tidak mahu perancangan jahat musuh Islam yang terus mahu menjajah Negara umat Islam dengan 2 cara iaitu penyebaran seks bebas dan perkara memabukkan termasuk arak dan dadah akan menghancurkan Negara kita. Oleh itu kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat wajib berganding bahu dalam memastikan pelaksanaan hukum Hudud dapat dijayakan. Jika dalam Perang Tabuk, golongan munafik begitu kuat memainkan peranan dalam memecahbelahkan kesatuan tentera Islam pada permulaan, semasa dan selepas daripada peperangan maka kita tidak mahu umat Islam sendiri menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Hudud dalam Negara dengan pelbagai alasan yang diada-adakan. Jika di Brunei, Sultan sendiri berperanan besar dalam menjayakan hukum Hudud malangnya di Negara kita pemimpin tertinggi menyuruh pemimpin peringkat negeri untuk mencari jalan melaksanakannya. Itu pun di Terengganu dari awal lagi ditolak daripada dibahaskan di dewan Undangan Negeri. Kita yakin tujuan sebenar undang-undang jenayah Islam ialah sebagai pendidikan dan pencegahan bukannya berbentuk tindakan balas dendam atau semata-mata tindakan kepada penjenayah. Ia bertujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diganggu dan diceroboh. Media cuba memburukkan Hudud termasuk dalam masalah rogol sedangkan cara pembuktian kes rogol tidak memerlukan 4 saksi bahkan segala qarinah adalah diterima selama mana ianya diyakini. Malah kes rogol di dalam undang-undang Sivil, si mangsa rogol tidak mendapat pembelaan sedangkan undang-undang Islam di mana mangsa rogol akan mendapat pampasan yang dikenali sebagai diyat al-budh'i sebaik sahaja si perogol didapati bersalah. Manakala mangsa rogol dalam undang-undang Sivil hanya mendapat malu tanpa mendapat apa-apa pampasan terus. Malah kita pernah menyaksikan kes rogol kanak-kanak dibebaskan oleh mahkamah Sivil begitu sahaja apabila pihak peguambela dapat menimbulkan keraguan dalam penghukuman. Begitu juga bila kes kemalangan bas begitu menjadi-jadi akhir-akhir ini yang memberi ingatan agar kembali kepada hukum Islam bagi mengingatkan pemandu bahawa hukuman keras bakal diterima akibat kelalaian mereka dan mangsa kemalangan pula akan mendapat pampasan daripada penghukuman tidak sebagaimana hari ini bila keluarga mangsa terutama yang melibatkan kematian hanya mampu bersedih sedangkan duit denda adalah milik Negara. Malangnya pemuja undang-undang penjajah terus seronok dengan kegagalan mereka tanpa memberi ruang kepada hukuman Allah untuk dilaksanakan. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Namlu : قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ ﴿٣٤﴾ Maksudnya : Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. Jika kedatangan penjajah sebelum ini menyaksikan bagaimana undang-undang Islam, adat Melayu dan adat bukan Islam yang dilaksanakan dalam Negara dihapuskan maka kita bimbang jika kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama 2 minggu lepas ke Negara ini menjadi suatu tekanan kepada pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang merupakan penjajahan baru terhadap Negara dalam ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Penjajahan baru ini bakal menjerut leher rakyat terutama golongan miskin dan sederhana terutama dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan yang bakal menyaksikan biasanya 30 peratus sahaja barangan kena cukai meningkat kepada 90 peratus bakal dikenakan. Negara kita bakal menjadi Negara cukai bagi memenuhi nafsu serakah pemimpin yang terus berseronok dengan projek mewah dan membazir serta masalah rasuah dan pecah amanah dalam mengurus wang rakyat terus berlangsung tanpa sekatan serius. Kebocoran wang Negara dianggarkan mencecah RM40 bilion setahun sedangkan hasil kutipan GST setahun dikatakan hanya RM6 bilion sebagaimana alasan penjimatan RM2 bilion setahun dengan pengurangan subsidi petrol sebelum ini. Cara kejam ini tidak akan menyelesaikan masalah malah meluaskan lagi beza antara golongan papa dan kaya yang bakal meningkatkan masalah sosial, jenayah. Sedangkan Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan amalan menderma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk membina hidup mereka. Bahkan, Allah mewajibkan umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf. Matlamat utama ekonomi Islam ialah memastikan kekayaan Negara tidak berlegar di kalangan golongan pemimpin, orang kaya dan kroni sahaja malah dapat dirasai oleh semua peringkat masyarakat sehingga timbul rasa kasih-sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu antara satu sama lain Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru : ……. كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ……. Maksudnya : ..... Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu… بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ