أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Sabtu, 26 April 2014

Hudud DiLaksana Keberkatan Hidup DiRasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 49 surah al-Maidah : وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ Maksudnya : Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Islam merupakan agama yang menjadi system hidup yang banyak menekankan berkaitan keadilan dalam mengatur kehidupan sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri dan juga makhluk sejagat. Sistem Islam yang sempurna yang meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terhad kepada ibadat khusus seperti solat, puasa, haji sahaja malah merangkumi aspek sosial, politik, perundangan, ekonomi dan sebagainya. Amat beruntung bagi umat Islam yang mampu melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan seharian. Dalam masa yang sama amat rugi manusia yang lebih rela bertuhankan hawa nafsu sehingga mengenepikan perintah dan larangan Allah. Umat yang tunduk patuh kepada panduan al-Quran dan sunnah pasti Berjaya dunia dan akhirat manakala manusia yang merasa dirinya lebih hebat daripada Allah dan Rasul pasti hina dan terseksa dunia akhirat. Hamba Allah sanggup mengorbankan keinginan nafsu demi memenuhi tuntutan wahyu sedangkan hamba Syaitan sanggup melawan Allah demi memuaskan kehendak hawa nafsu. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 135 surah an-Nisa’ : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan Pada hari ini kita banyak bercakap berkaitan isu Aqidah termasuk masalah murtad dan tidak ketinggalan umat Islam yang terlibat dengan ajaran sesat seperti rasul Melayu, Tuhan Harun dan sebagainya. Begitu juga masalah zina di mana bulan lepas Timbalan Menteri Dalam Negeri melaporkan di Parlimen bagaimana hampir 90 peratus kes jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur 16 tahun dengan majoriti membabitkan orang Melayu untuk tahun 2012 dan 2013. Itu belum dikira dengan puluhan ribu anak luar nikah dan sentiasa penuhnya pusat pemulihan. Begitu juga kes pembunuhan, rompakan bersenjata, ragut dan seribu macam kes jenayah yang berlaku bagaikan tidak mahu surut. Umat Islam sentiasa ditekan berkaitan dosa pahala, halam haram, Syurga Neraka dan kehidupan dunia ini tidak berakhir setakat lubang kubur malah akan dihisab serta menerima pembalasan di akhirat nanti. Oleh itu dalam menghukumkan pesalah mestilah mengikut hukuman yang telah ditetapkan oleh agama bukannya mengikut hawa nafsu kerana kita bukan pencipta manusia sebaliknya kita hanya manusia yang lemah yang diciptakan oleh Allah yang wajib menguruskan dunia berdasarkan agama bukannya menguruskan agama mengikut hawa nafsu yang tamakkan dunia. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah : وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Akhir-akhir ini hampir setiap hari media massa melaporkan berkenaan isu hukum Hudud samada menyokong atau menentang. Secara asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada 3 iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan hukumannya. Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina, mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad. Bagaimanapun, perlu difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut setiap kesalahan jenayah. Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan. Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Jika ada keraguan, kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir. Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau keraguan.” Perkara biasa bila orang Islam menyokong hudud, luar biasa bila orang kafir sokong hudud dan amat luar biasa bila orang Islam sendiri tolak hudud. Alasan orang kafir banyak berkisar tentang hudud bercanggah dengan perlembagaan Negara sedangkan orang Islam sendiri lebih berani tolak Hudud antara alasan terbaru agak tidak adil apabila pencuri Islam dikerat tangan sedangkan pencuri kafir hanya dipenjara sahaja. Orang ini sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan biadap jika mahu makan sup tangan datanglah ke Kelantan. Malah alasan Perdana Menteri bahawa banyak halangan dari sudut teknikal dan kefahaman menyebabkan hudud tidak dapat dilaksana sedangkan usaha dalam mengurang atau menghilangkan halangan itu serta memberi kefahaman kepada rakyat tidak dijalankan secara serius. Apa yang lebih malang rakyat disaji dengan perkara yang membangkitkan nafsu untuk berzina dan sebagainya. Lebih malang lagi sekiranya hudud ditakuti kerana bimbang cukai arak dan judi yang menjadi antara pendapatan terbesar Negara akan terjejas. Begitu juga rompakan terhadap wang rakyat akan tersekat dengan pelaksanaan hudud. Dengan kata mudah hanya penzina, pencuri, perompak, peminum arak yang takut kepada hudud. Mengapa kita yang tidak terlibat dengan perkara jenayah ini perlu takut kepada Hudud. Hanya iman kepada keadilan hukum Allah yang mampu memberi jawapan samada kita mahu atau tidak kepada Hudud Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 94-95 surah al-Kahfi : قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ﴿٩٤﴾ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا Maksudnya : Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94) Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh Setiap kali berada pada hari atau malam Jumaat maka kita disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi. Dalam surah ini banyak dikisahkan tentang beberapa kisah teladan sebagai rujukan dan ikutan sepanjang zaman. Antaranya berkenaan penduduk sebuah kampung yang mem inta pertolongan Raja Zulqarnain yang beriman dan adil yang menguasai Timur dan Barat daripada serangan Yakjuj dan Makjuj. Apabila penduduk ini mahu membayar kharaj atau cukai bagi membina kota atau benteng daripada ancaman kaum yang jahat itu namun ditolak oleh Raja Zulqarnain atas alasan baginda hanya mahu pertolongan dalam bentuk tenaga manusia sahaja bukannya kewangan kerana telah memiliki kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah. Inilah antara contoh keadilan pemimpin Islam yang memberi khidmat dengan saksama sehingga harta kekayaan Negara bukan setakat berpusing di kalangan orang kaya dan kroni sahaja malah dirasai oleh seluruh rakyat jelata. Malah pemimpin Islam banyak bergantung kepada hasil bumi yang dikurniakan oleh Allah seperti pertanian, minyak, emas dan lain-lain, zakat daripada umat Islam manakala orang bukan Islam dikenakan jizyah untuk menjaga keselamatan dan kharaj atau cukai yang tidak diwajibkan mengikut syarak untuk memberi khidmat kepada orang bukan Islam. Pernah berlaku dalam sejarah apabila Abu Ubaidah yang dilantik oleh Khalifah Umar al-Khottab sebagai Gabenor membatalkan kutipan jizyah daripada orang bukan Islam di wilayahnya atas alasan tidak mampu memberi jaminan keselamatan sehingga orang bukan Islam terkejut dengan keadilan Islam yang tidak pernah merasai semasa berada di bawah kerajaan Kristian Rom. Ini membawa kepada ramai yang memeluk Islam bila melihat keindahan Islam Oleh itu kita minta agar bebanan cukai GST yang bakal dilaksanakan tahun hadapan tidak menambah penderitaan yang sedia ditanggung oleh rakyat miskin dan sederhana. Begitu juga kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack esok ke Negara ini tidak menjadi suatu tekanan kepada pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang merupakan penjajahan baru terhadap Negara. Penderitaan berganda kepada rakyat terus bertambah dengan sikap boros dalam belanja seperti cadangan untuk membawa masuk pasangan Panda dari China yang menelan RM 25 juta dan juga projek pembinaan Menara Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion sedangkan keperluan tidak seberapa dan kesan negatif yang lebih banyak. Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah menyatakan antara punca kehancuran sebuah Negara akibat projek mewah yang membazir yang menyebabkan kadar cukai dinaikkan sehingga membebankan rakyat bagi memenuhi nafsu serakah pemimpin. Ingat sebelum kena, sekat sebelum melarat. Jadilah rakyat yang peka bukannya manusia yang boleh ditipu sepanjang masa. Jadilah rakyat bermaklumat bukan ibarat katak di bawah tempurung بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sabtu, 19 April 2014

Kepimpinan Islam DiLaksana Keadilan Hidup DiRasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Fussilat : إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَ‌بُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُ‌وا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Manusia dipilih oleh Allah sebagai makhluk paling mulia di muka bumi ini menggalas amanah dan tanggungjawab getir iaitu beribadah kepada Allah serta memakmurkan dunia ini berasaskan agama. Justeru, tidak hairanlah setiap manusia memiliki matlamat dalam meneruskan kelangsungan hidup di dunia. Al-Quran sebagai kitab panduan dan pedoman utama dalam membimbing umat manusia agar tidak melakukan kerosakan atas muka bumi akibat daripada menjadikan keseronokan dunia sebagai matlamat hidup. Nabi s.a.w menyarankan kepada kita agar sentiasa menyebut beberapa kalimah berharga terutama pada waktu pagi dan petang serta menghayatinya dalam kehidupan seharian agar kita tidak tergelincir daripada matlamat asal tujuan kita diciptakan serta tidak lupa bahawa kita semua bakal kembali kepada Allah untuk menerima pembalasan di akhirat nanti عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ :يَا أَبَا سَعِيدٍ، مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ - رواه مسلم Maksudnya : Sesiapa Redha Allah adalah Tuhan, Islam sebagai agama dan nabi Muhammad s.a.w adalah nabi maka dia pasti akan dianugerahkan dengan Syurga Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 12 surah Muhammad : إِنَّ اللَّـهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ‌ مَثْوًى لَّهُمْ Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. Al-Quran telah menjelaskan tentang matlamat dan cara hidup yang berbeza antara orang Islam dengan orang kafir. Matlamat hidup umat yang beriman ialah sebagai hamba yang tunduk patuh beribadat kepada Allah dengan melaksanakan kewajipan agama serta menjauhi segala larangan dalam setiap aspek kehidupan manakala orang kafir hanya menjadi keseronokan dunia sebagaimana binatang tanpa hala tuju yang jelas. Umat Islam diatur dengan ibadat khusus yang teratur seperti solat 5 waktu, puasa disamping ibadat umum yang lain termasuk kerja dalam mencari nafkah, makan minum dan selainnya mesti berpaksi kepada agama dari segi halal haram, dosa pahala. Manakala orang kafir hidup mengikut hawa nafsu sebagaimana binatang sehingga keseronokan menjadi matlamat hidup tanpa sekatan agama. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Kahfi : الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ‌ عِندَ رَ‌بِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ‌ أَمَلًا Maksudnya : Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Matlamat umat beriman juga untuk mencari keredhaan Allah bagi memastikan kehidupan dunia dengan segala nikmat Allah dapat menghasilkan pahala sebagai bekalan akhirat kerana begitu yakin bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara sahaja di mana setiap diri kita pasti mati akan dihisab di akhirat nanti. Setiap amalan di dunia diyakini akan dibalas samada Syurga atau Neraka sehingga mendatangkan sikap begitu cermat dalam mengatur kehidupan agar selari dengan kehendak agama. Malah segala nikmat Allah samada sedikit atau banyak sentiasa disyukuri, begitu juga musibah yang menimpa sentiasa dihadapi dengan penuh sabar kerana ia merupakan aturan Allah dalam menguji keimanan. Manakala bagi orang kafir dunia ini adalah segala-galanya di mana jika tidak dapat mengecap nikmat duniawi samada takhta, harta dan sebagainya bererti kehidupan mereka tidak berguna lagi dan sia-sia sehingga ramai yang sanggup membunuh diri apabila gagal dalam pelajaran, pekerjaan, rumahtangga kerana cara itu dianggap jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Bagi orang kafir mati adalah pengakhir segala-galanya tanpa berfikir tentang balasan akhirat yang sepastinya ada walau pun mereka tidak percaya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 44 surah Ibrahim : وَأَنذِرِ‌ النَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ الْعَذَابُ فَيَقُولُ الَّذِينَ ظَلَمُوا رَ‌بَّنَا أَخِّرْ‌نَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِ‌يبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّ‌سُلَ ۗ أَوَلَمْ تَكُونُوا أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍ Maksudnya : Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan? Matlamat hidup umat beriman ialah memastikan dunia ditadbir dengan adil mengikut acuan agama kerana setiap kita bakal disoal tentang amanah yang dipertanggungjawab di dunia ini. Manakala orang kafir suka melakukan kerosakan di muka bumi dengan menaburkan pelbagai fitnah dan kejahatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada ummah sejagat asalkan dapat takhta dan harta yang diidamkan. Islam mengajar umatnya bahawa kuasa adalah amanah bukannya suatu anugerah agar ia tidak disalahguna oleh manusia yang rakus. Kita ingat bagaimana ucapan sulung Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik sebagai Khalifah : “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, bantulah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Dasar yang dikehendaki oleh Islam begitu jauh berbeza daripada dasar kebanyakan pemimpin dunia yang terpengaruh dengan pemikiran Machiavelli bahawa pemimpin yang mahu kekal berkuasa hanya perlu berbuat baik termasuk membantu rakyat sekiranya ada keuntungan politik di mana bantuan perlu ditarik jika tidak ada keuntungan politik. Malah pemimpin yang seribu kali berbuat zalim kepada rakyat hanya perlu sekali dua sahaja berbuat baik kepada rakyatnya dengan kebaikan itu diperbesarkan oleh tukang ampu melalui media yang ada sehingga kemarahan rakyat dapat dipadamkan dengan sedikit bantuan yang dihulurkan. Politik kebendaan ini menyuburkan sikap munafik dan politik binatang di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang papa kedana Ini tidak terlepas dalam Negara kita termasuk yang terbaru dengan lulusnya system cukai GST di Parlimen yang pasti akan menambah bebanan kepada golongan sederhana dan miskin. Negara kita bukan sahaja belum dapat menyaingi Negara yang melaksanakan GST seperti Singapura yang pendapatan per kapita rakyatnya yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia malah sikap boros dan pecah amanah serta rasuah dalam Negara kita jauh lebih teruk sehingga mendedahkan Negara kepada muflis. Penderitaan rakyat tidak mampu ditutup dengan bantuan yang sedikit seperti BR1M dan sebagainya kerana ia ibarat gula-gula daripada rompakan yang begitu tingggi daripada hasil mahsul Negara. Cuma atas kita samada sedar atau terus rela untuk ditipu sepanjang masa. Jadilah mukmin yang sebenar yang tidak mudah dijual beli dan ditipu berkali-kali قال الرسول: لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ – رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Seorang mukmin tidak akan disengat dari lubang yang sama 2 kali Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Pegangan Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara turut menyaksikan banyak berlakunya keganasan dan peperangan terutama terhadap umat Islam akibat rakus membina empayar kuasa dan ekonomi tanpa belas kasihan. Kita mengutuk pembunuhan yang berlaku terhadap saudara seagama kita bangsa Ronghiya di Myamnmar dan Afrika Tengah atas dasar pembunuhan etnik dan agama. Begitu juga pembunuhan yang terus berlaku di Selatan Thailand. Tidak kita lupa kepada kezaliman pemimpin Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa. Begitu juga bertambahnya sekatan dan pembunuhan kepada umat Islam di bumi Palestin terutama di Gazza oleh pembunuh utama dunia yahudi Israel. Begitu juga kerakusan manusia gila kuasa dan dahagakan darah di Mesir dan banyak Negara lain di dunia yang menjadikan pejuang Islam sebagai sasaran utama. Ia antara sunnatullah kepada pejuang Islam di mana kita bakal berdepan dengan pelbagai ujian dalam meninggikan kalimah Allah termasuk penjara, dibuang negeri atau dibunuh. Biar bermandi darah kita tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun Islam tetap dipertahankan. Kita terlalu yakin bahawa gugur syahidnya pejuang Islam bukan mengakhiri perjuangan Islam malah akan melahirkan lebih ramai lagi pemuda-pemuda yang berebut-rebut untuk gugur syahid. Benarlah janji Allah melalui ayat 23 surah al-Ahzab : مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِ‌جَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ‌ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا Maksudnya : Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sistem Islam DiJulang Bala Allah DiHalang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 155 - 156 surah al-Baqarah : وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَ‌اتِ ۗ وَبَشِّرِ‌ الصَّابِرِ‌ينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَ‌اجِعُونَ ﴿١٥٦﴾ أُولَـٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّ‌بِّهِمْ وَرَ‌حْمَةٌ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ Maksudnya : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. Dunia ini menjadi tempat buat kita semua untuk diuji keimanan dan ketaatan kita kepada Allah. Di dalam ujian itu, sudah tentu ada yang rebah dan leka, terlupa pada tujuan dan matlamat asal diciptakannya ke dunia. Begitu pun, Allah SWT tidak pernah mengabaikan hamba-hambaNya yang tersasar dari jalan yang lurus. Sentiasa ada waktu dan kesempatan yang diberikan buat hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada petunjuk-Nya. Peluang itu dinamakan sebagai taubat. Setiap diri kita diuji dengan pelbagai cara dan rupa bergantung kepada tahap keimanan kita di mana manusia yang kufur derhaka kepada Allah maka musibah merupakan balasan terhadap diri mereka. Manusia yang berdosa maka musibah sebagai penghapus dosa manakala bagi hamba Allah yang taat patuh kepada Allah maka musibah sebagai cara untuk mengangkat martabat kepada kedudukan yang lebih mulia di sisi Allah. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 123 surah Hud : وَلِلَّـهِ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ وَإِلَيْهِ يُرْ‌جَعُ الْأَمْرُ‌ كُلُّهُ فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ۚ وَمَا رَ‌بُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ Maksudnya : Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan Negara kita ditimpa dengan pelbagai musibah dalam tempoh yang singkat termasuk kehilangan kapal terbang MH370 yang terus menjadi tanda tanya hingga hari ini walau pun Perdana Menteri telah mengisytiharkan bahawa ia berakhir di Lautan Hindi. Dalam kesempatan berada pada yang Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga ujian ini dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran serta banyak mengingati Allah. Sesungguhnya hamba yang bersabar akan diberi ganjaran yang lebih besar. Banyakkan berdoa sebagaimana yang diajar oleh nabi s.a.w اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها Maksudnya :“Ya Allah! berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan apa yang lebih baik” Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Peristiwa yang menyayat hati ini banyak meninggalkan pengajaran yang berguna kepada kita dan yang paling besar ialah pergantungan kita kepada Allah dalam apa jua keadaan di mana teknologi manusia mempunyai pelbagai kelemahan yang tidak mampu melawan kekuasaan dan kehendak Allah. Kehilangan yang penuh misteri ini turut memerlukan kepakaran ahli agama dalam merungkaikan beberapa perkara termasuk solat ghaib yang disarankan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan agar ia tidak dibuat lagi hingga bukti yang kukuh ditemui. Begitu juga pandangan Majlis Fatwa berkenaan mangsa yang beragama Islam bergelar syahid akhirat hendaklah diambil perhatian oleh kerajaan dan pengurusan MAS sendiri dalam mengislamkan pengurusan dan cara kerja dalam syarikat penerbangan itu antaranya pengharaman arak, pakaian menutup aurat kepada pramugari dan kakitangan serta contohi penerbangan Brunei yang membaca doa sebelum penerbangan dan semasa mendarat. Kita tidak mahu kerugian demi kerugian syarikat MAS yang menelan begitu banyak duit rakyat ditambah dengan musibah ini akibat penderhakaan kepada Allah Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Peristiwa ini juga mengingatkan kita tentang hari kematian kita yang pasti akan datang. Kita sebenarnya sedang menunggu giliran samada bersedia atau tidak untuk berdepan dengan ajal kematian. Misteri kehilangan yang agak jauh berbeza antara laluan sebenar ke China tetapi mengalih arah haluan sehingga ke Lautan Hindi menggambarkan ini adalah kekuasaan dan kehendak Allah yang mengetahui segala perkara yang ghaib termasuk di mana tempat sebenar kita akan dimatikan Firman Allah dalam ayat 34 surah Luqman : إِنَّ اللَّـهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْ‌حَامِ ۖ وَمَا تَدْرِ‌ي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِ‌ي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْ‌ضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ‌ ﴿٣٤﴾ Maksudnya : Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 9-11 surah Hud : وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَ‌حْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ‌ ﴿٩﴾ وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّ‌اءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِ‌حٌ فَخُورٌ‌ ﴿١٠﴾ إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُ‌وا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَأَجْرٌ‌ كَبِيرٌ‌ ﴿١١ Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar. Kebanyakan daripada jenis ibadah khusus yang kita lakukan akan disertakan dengan kalimah takbir Allahu Akbar yang bermaksud Allah Maha Besar. Antaranya solat, ibadah umrah dan haji, korban, azan dan iqamat, takbir hari raya dan macam-macam lagi. Tujuannya agar kita sebagai hamba sentiasa ingat akan kebesaran Allah dan tidak merasa ego, sombong, angkuh, bongkak dan takabbur. Namun, ramai manusia tetap juga sombong dengan ilmu dan kepakarannya. Maka kali ini Allah tunjukkan sedikit daripada kekuasanNYA yang Maha Luas. Allah tarik nikmat hujan, Allah berikan kemarau dan Allah selindungkan MH370. Di mana kepakarannya? Di mana teknologinya? Di mana kemodenannya? Hinggakan kita tidak mampu untuk menurunkan hujan walau setitik! Hinggakan kita tidak mampu menjernihkan udara yang kita hirup walau sedikit! Malangnya manusia masih belum sedar di mana Allah turunkan sahaja hujan maka ia dianggap sebagai kejayaan pembenihan awan. Allah tarik sedikit jerebu maka manusia kembali menganggap ia hanya fanomena alam bukannya antara peringatan Allah. Oleh itu mimbar Jumaat pada hari ini ingin menyatakan rasa kecewa kepada pemimpin dan mereka yang terlibat dalam menganjurkan konsert Muzik liar yang menyebabkan 6 kematian akibat dadah di Bukit Jalil ketika Negara sedang ditimpa musibah yang bertindih. Konsert yang disajikan dengan arak, dadah dan seks bebas jelas mendatangkan kemurkaan Allah yang sepastinya tidak akan diturunkan kepada pelakunya sahaja malah menyeluruh kepada seluruh rakyat jelata. Begitu juga dengan penganjuran beberapa lagi konsert maksiat walau pun setengahnya telah dibatalkan atas alasan menghormati mangsa MH370 bukannya kerana takut kepada Allah. Adakah Negara perlu ditimpa dengan banyak bala lagi barulah pesta maksiat dihentikan. Jangan alasan untuk menarik lebih ramai pelancong maka kita halalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Jangan kerana ingin mengaut keuntungan sedikit kita jemput pelbagai bala Allah yang pasti mendatangkan kerugiaan yang berlipat ganda dunia akhirat. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 58 surah al-A’araf : وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini juga marilah kita sama-sama mengambil berat tentang pembunuhan yang berlaku terhadap saudara seagama kita bangsa Ronghiya di Myamnmar sehingga diminta agar tidak ditulis bangsa dalam sebarang dokumen bagi mengelakkan ditindas. Begitu juga pembunuhan yang terus berlaku di Selatan Thailand. Tidak kita lupa kepada kezaliman pemimpin Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa. Begitu juga bertambahnya sekatan dan pembunuhan kepada umat Islam di bumi Palestin terutama di Gazza oleh pembunuh utama dunia yahudi Israel. Mimbar Jumaat hari ini turut mengajak pemimpin, seluruh rakyat dan dunia agar sama-sama mengutuk hukuman bunuh terhadap 529 ahli Ikhwanul Muslimin di Mesir dalam perbincaraan yang begitu pantas di mana ia tidak lebih daripada menambahkan lagi pembunuhan terancang selepas pembunuhan terhadap ribuan terhadap penunjuk perasaan tahun lepas. Ia antara sunnatullah kepada pejuang Islam di mana kita bakal berdepan dengan pelbagai ujian dalam meninggikan kalimah Allah termasuk penjara, dibuang negeri atau dibunuh. Kita nyatakan kepada dunia bahawa pejuang Islam tidak pernah takut kepada sebarang tindakan kejam kerana mati syahid merupakan cita-cita tertinggi kami. Kita terlalu yakin bahawa gugur syahidnya pejuang Islam bukan mengakhiri perjuangan Islam malah akan melahirkan lebih ramai lagi pemuda-pemuda yang berebut-rebut untuk gugur syahid. Benarlah janji Allah melalui ayat 23 surah al-Ahzab : مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِ‌جَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ‌ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا Maksudnya : Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Ilmu Agama Didalami Anti Hadis DiJauhi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 11 surah ar’Ra’adu : لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ‌ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ‌ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُ‌وا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَ‌ادَ اللَّـهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَ‌دَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ Maksudnya : Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya Suasana panas dengan cuaca dan isu terus berlaku dalam Negara sehingga ia mengundang rasa bimbang bagi kita umat yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Penghinaan terhadap Islam berbentuk serangan fizikal seperti pembuangan daging atau najis binatang terhadap masjid, bentuk penulisan terutama melalui laman sosial Facebook dan lain-lain. Atas alasan kebebasan berfikir dan bersuara maka manusia cuba melontar pemikiran mereka tanpa disiplin ilmu dan melanggar batas syarak sehingga boleh menjejaskan aqidah mereka. Golongan ini seolah-olah memerintah agar agama mengikut kehendak nafsu serakah mereka bukannya mahu tundukkan nafsu mengikut acuan agama. 3 hari lepas Negara dikejutkan dengan pembuangan mashaf al-Quran yang berselerak atas lantai masjid sehingga ke tandas di Terengganu yang kemudiannya didapati perbuatan tidak bertamadun ini dilakukan oleh seorang yang sakit mental. Ia sepatutnya memberi peringatan supaya kita jangan hanya marah bila mashaf al-Quran dihina tetapi turut tanyakan diri kita berapa banyak kita membuka lembaran al-Quran untuk dibaca dalam sehari serta turut marah kepada golongan yang menghina hokum al-Quran. Begitu juga kesungguhan pihak Kristian yang terus menuntut penggunaan kalimah Allah yang ditangguhkan keputusan rayuan di Mahkamah semalam sepatutnya mengetuk hati kita tentang berapa banyak kalimah Allah yang kita ucapkan dalam sehari serta bagaimana dengan kepatuhan kita dalam mengikuti arahan Allah dan menjauhi larangan Allah dalam kehidupan seharian yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kita wajib yakin bahawa Allah akan membantu kita apabila kita melaksanakan segala suruhanNya serta menjauhi laranganNya Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Ketika melihat kepada keperitan hidup yang sedang ditanggung disebabkan kenaikan kos sara hidup dan cuaca kemarau maka renungilah suatu hadis nabi yang diriwayatakan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar RA ….وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا…. Maksudnya : …Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T… Oleh itu musibah yang berlaku hendaklah menyedarkan kita tentang betapa banyaknya nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita termasuk air. Manusia jarang merasakan sesuatu itu nikmat kecuali apabila ia ditarik oleh Allah. Jagalah halal haram bukan sahaja dari jenis makanan seperti babi dan arak malah cara penyembelihan seperti kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa hanya 20 peratus ayam disembelih dijamin. Begitu juga kesedaran tentang kewajipan zakat dan jauhkan daripada sumber haram seperti rasuah, pecah amanah, riba dan cara lain yang diharamkan oleh Islam. Antara saranan agama apabila berlakunya kemarau ialah solat sunat Istisqa’ minta hujan di mana beberapa buah negeri telah melaksanakannya dan kita sendiri di Kelantan baru mengadakannya pagi tadi. Perbanyakkan istighfar dan bertaubat memohon keampunan Allah kerana istighfar itu sendiri antara amalan terbaik untuk mendatangkan rezeki daripada Allah Firman Allah S.W.T dalam ayat 10-12 surah Nuh : فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُ‌وا رَ‌بَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارً‌ا ﴿١٠﴾ يُرْ‌سِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَ‌ارً‌ا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارً‌ا Maksudnya: Maka aku (nabi Nuh) berkata : Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Akan dikirimkan oleh Allah kepada kamu awan yang menurunkan hujan lebat. Diberikan oleh Allah S.W.T kepada kamu kekayaan harta dan anak-anak serta diadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 31surah Ali ‘Imran : قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ‌ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ‌ رَّ‌حِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani Setelah hampir 20 tahun tenggelam tiba-tiba golongan anti Hadis termasuk Kasim Ahmad timbul kembali dan wajib dibanteras agar tidak merosakkan aqidah umat Islam. Sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku ‘Ultraman The Ultra Power’ atas alasan mengandungi unsur-unsur mungkin memudaratkan ketenteraman awam maka buku yang menyesatkan umat Islam wajib diharamkan. Antara kesesatan yang tersebar ialah dari 12 perkara yang menurut Kasim Ahmad bagaimana hadis bercanggah dengan Al-Quran iaitu; [1] Mendakwa Al-Quran menegaskan bahawa rujukan kaum muslimin hanya satu sahaja ialah kitab Al-Quran. Namun hadis menegaskan ada 2 sumber rujukan utama iaitu Al-Quran dan as-Sunnah atau al-Hadis. [2] Mendakwa Al-Quran menyebutkan 5 sahaja rukun iman, sedangkan hadis menyebut 6 iaitu dengan menambah Qadha dan Qadar. [3] Mendakwa Al-Quran mengajar syahadah hanya Lailaha-Illallah, tetapi hadis menambah Muhammadur-Rasulullah. Tambahan tersebut menurut Kasim bercanggah dengan ayat yang memerintahkan agar jangan menyekutukan Allah dengan sesiapapun. عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ Maksudnya : “Islam dibangun di atas lima (rukun): Syahadat Laa ilaaha illa Allah dan (syahadat) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadhan”. [5] Mendakwa Al-Quran melarang mendewa-dewakan manusia. Namun hadis memerintahkan agar mendewakan Nabi Muhammad iaitu dengan berselawat kepadanya ketika membuka dan menutup doa dan juga apabila mendengar namanya disebut. Sedangkan al-Quran dengan jelas menyebut suruhan berselawat kepada nabi melalui ayat 56 surah al-Ahzab : إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا Maksudnya : Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya [6] Mendakwa Al-Quran menerangkan bahawa Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi tidak memiliki kuasa syafaat, namun hadis menjelaskan bahawa Nabi Muhammad mempunyai kuasa syafaat. [7] Mendakwa Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad tidak diberi mukjizat melainkan Al-Quran. Namun hadis menceritakan bermacam-macam mukjizat Nabi Muhammad selain al-Quran. [8] Mendakwa menurut al-Quran, Nabi Isa telah wafat. Namun hadis menjelaskan bahawa baginda tidak mati dan akan turun di akhir zaman untuk membunuh Dajjal. [9] Mendakwa Al-Quran tidak menetapkan sebarang hukuman bagi orang murtad. Namun hadis menetapkan bahawa orang yang murtad hendaklah dibunuh. [10] Mendakwa Al-Quran menetapkan hukuman ke atas orang berzina hanya sebatan sahaja, namun hadis menambah satu lagi hukuman iaitu rejam. [11] Mendakwa Al-Quran memerintahkan manusia menggunakan akal dan fikiran. Namun hadis pula melarangnya di mana Rasulullah SAW pernah berkata “Sesiapa mentafsir al-Quran mengikut fikirannya, biarlah ia menghuni neraka”. [12] Mendakwa Al-Quran mengajar kebebasan beragama iaitu terdapat ayat menyebutkan لاإكراه فى الدين “Tiada paksaan di dalam agama”. Namun hadis menetapkan orang yang murtad dihukum bunuh. Hukum ini menurut Kasim berasal dari Taurat Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Malah apa yang lebih sesat apabila Kasim Ahmad terpengaruh dengan penafsiran al-Quran Dr Rashad Khalifah yang menafsir al-Quran berdasarkan Kod 19 antaranya menolak ayat al-Quran itu sendiri iaitu 2 ayat yang terakhir surah at-Taubah yang didakwa oleh Kasim Ahmad sebagai mencemari al-Quran yakni menurut beliau ayat tersebut sebenarnya bukanlah ayat al Quran tetapi ditambah oleh para Sahabat nabi di mana ayat 128-129 surah at-Taubah itu: لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ Maksudnya : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): “Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy Yang Besar.” Menyedari betapa sesatnya golongan anti hadis maka marilah kita sama-sama menambahkan ilmu agama dengan cara berguru bukan setakat berguru dengan internet agar aqidah kita kukuh dan tidak terpengaruh dengan pelbagai ajaran sesat. Kita juga meminta agar kerajaan bertegas dalam menyekat ajaran sesat ini kerana sikap lunak dan berlembut akan membuka lebih banyak ruang untuk orang jahil lain untuk mempertikaikan hukum Islam seperti usaha jahat dalam menghalalkan murtad, zina, homeseks, lesbian, dedah aurat dan sebagainya. Sekat sebelum melarat, tegah sebelum membarah, cegah sebelum bercambah. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tarbiah Islam DiPerkasa Negara Aman Sejahtera

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim : ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa di mana kita wajib mengambil berat pendidikan anak-anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT. Pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa. Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan melaksanakan nilai keislaman dalam kehidupan keluarga maka mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan cara hidup Islam. Satu hal yang amat penting dan wajar diberi perhatian kepada ibubapa hari ini ialah mesti mengetahui cabaran yang menghalang anak-anak mereka taat kepada Allah SWT. Didikan ibubapa di rumah masih tidak menjamin anaknya menjadi taat kepada Allah SWT. Memang benar ibu bapa ada memberi didikan agama pada anak-anak mereka tetapi adakah didikan itu mencukupi dan diberi secara menyeluruh? Hari ini, rangkaian televisyen, internet, bahan bacaan dan lain-lain sumber maklumat kebanyakannya tidak menjurus kepada ketaatan. Adakah ini punca terjadi peningkatan perbuatan negatif oleh generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Orang tua, guru atau pelajar itu sendiri? Persoalan ini telah menjadi isu kepada kita hari ini. Ibubapa hari ini begitu gelisah dengan keadaan semasa anak-anak mereka. Anak-anak mereka berpeleseran tanpa hala tujuan. Suka hiburan daripada buat kerja sekolah ataupun menolong kedua ibu bapa. Lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga sendiri. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 17-19 surah Luqman : يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ‌ بِالْمَعْرُ‌وفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ‌ وَاصْبِرْ‌ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ‌ ﴿١٧﴾ وَلَا تُصَعِّرْ‌ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْ‌ضِ مَرَ‌حًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ‌ ﴿١٨﴾ وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ‌ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ‌ ﴿١٩﴾ Maksudnya : "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". Fakta sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca daripada gagalnya penerapan nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris. Oleh itu Al-Quran dan hadis nabi s.a.w banyak memberi panduan berharga dalam masalah pendidikan ke arah membina generasi yang berjaya menguruskan dunia berasaskan agama sehingga bahagia dunia akhirat. Tokoh ilmuan Islam Imam Al-Ghazali telah mengupas begitu terperinci dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dengan mengemukakan 5 aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: [1] Qudwah iaitu contoh ikutan, [2] Mulahazah wa mutaba’ah iaitu pemerhatian dan meniru , [3] i’tiyad iaitu kelaziman atau kebiasaan, [4] Al-thawab wa al iqab iaitu ganjaran dan hukuman dan [5] nasihat sebagai penyelesaian. Imam al-Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu menjadi ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya. Kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan untuk melakukan suatu yang buruk samada percakapan atau perbuatan maka sukarlah untuk dibentuk semula kepada perkara yang baik. Dalam menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik bila melakukan sesuatu yang baik atau memberi hukuman bila melakukan kesalahan. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya adalah “mendidik jiwa dengan jiwa.” Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang di hadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari contoh yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan Di dalam kitab Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya: “…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Anfal : وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّـهَ عِندَهُ أَجْرٌ‌ عَظِيمٌ Maksudnya : Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. Kegagalan dalam mendidik anak-anak merupakan suatu kerugian yang besar yang tidak mampu ditebus dengan harta dan pangkat. Oleh itu masalah ini jangan dipandang ringan terutama ketika pelbagai cara digunakan oleh musuh Islam dalam merosakkan Aqidah sehingga ada yang murtad, menjauhkan umat Islam daripada syariat sehingga masalah tinggal solat, dedah aurat, zina dianggap biasa membawa kepada runtuhnya akhlak. Hilangnya rasa peka dan bertanggungjawab dalam perkara ini menyebabkan ia semakin membarah dan melarat sehingga bukan sahaja menimbulkan masalah dalam keluarga malah memberi kesan kepada masyarakat seterusnya Negara. Kita mengambil contoh menghalalkan budaya barat seperti sambutan Hari Kekasih tiap kali 14 Februari meningkat masalah pergaulan bebas yang membawa kepada zina seterusnya pembuangan bayi. Malah sikap membiarkan pemakaian mendedah aurat seterusnya pergaulan bebas sehingga masalah zina dan rogol bukan sahaja menular kepada pelajar sekolah menengah malah melarat kepada sekolah rendah. Bayangkan apa yang bakal terjadi pada masa akan datang jika perkara buruk ini tidak disekat dan dicegah. Masalah kegagalan umat Islam untuk membawa contoh terbaik turut menjadi faktor kepada semakin jauhnya orang bukan Islam kepada Islam. Pada hari ini kita melihat sikap membiarkan perbalahan kaum dan agama bakal merosakkan keamanan negara. Kita begitu kecewa apabila ada pihak tertentu yang membuat perkara buruk seperti tawaran menampar seseorang, menyiram darah atas gambar orang dibenci atas nama Islam yang boleh menambahkan rasa benci dan salah faham orang bukan Islam kepada Islam. Begitu juga budaya bersumpah dengan al-Quran jika sebelum ini heboh dalam masalah liwat kini melarat kepada masalah bolasepak. Umat Islam terus mundur jika al-Quran hanya diguna untuk bersumpah bukan untuk dibaca seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Ingatlah bahawa budaya suka bersumpah adalah sikap orang munafik sebagaimana firman Allah dalam ayat 2 surah al-Munafiqun : اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ Maksudnya : Mereka (golongan munafiq) menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia juga kita mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama kita di beberapa negara yang lain termasuk jiran kita Thailand, Myanmar yang terus dibunuh, rumah dibakar dan pelbagai kekejaman lagi. Tidak ketinggalan untuk terus memberi bantuan termasuk doa kepada perjuangan umat Islam dalam membebaskan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Seterusnya menghentikan kezaliman di bumi Syria, Mesir dan beberapa Negara yang lain. Kita tidak mahu menjadi umat yang hanyut dengan hiburan melampau, berseronok dengan kemewahan dunia sehingga melupakan penderitaan saudara seagama yang lain. Hentikan melakukan kerosakan dan penderhakaan atas muka bumi Allah agar bala Allah dapat dijauhkan. Tidak cukup lagilah dengan bala Allah berbentuk jenayah bunuh, rompak, banjir besar kini kebakaran hutan dan kemarau sehingga air kering. Manusia yang berakal sentiasa mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Sedangkan manusia yang hatinya mati hanya menunggu saat kehancuran barulah mahu menyesal diri بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islam DiLaksana Negara Sejahtera

لسلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 152 - 153 surah al-Baqarah : فَاذْكُرُ‌ونِي أَذْكُرْ‌كُمْ وَاشْكُرُ‌وا لِي وَلَا تَكْفُرُ‌ونِ ﴿١٥٢﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ‌ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِ‌ينَ ﴿١٥٣﴾ Maksudnya : Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi syariatKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar Seruan taqwa kepada Allah sentiasa berkumandang dalam mengingatkan kita semua agar tidak tergelincir daripada landasan yang telah ditetapkan oleh Allah samada dari sudut Aqidah, Syariat, Mua’malat dan akhlak. Melalui ibadat khusus umpama solat 5 waktu paling kurang kita akan mengucap secara berulangkali kalimah “Allahu Akbar” yang bererti Allah Maha Besar. Antara hikmat sebutan yang diulang-ulang ini bagi memastikan ia benar-benar meresap ke dalam sanubari kita bahawa hanya Allah sahaja yang Maha Besar sedangkan makhluk yang lain serba kekurangan dan kelemahan yang tidak mampu mendatangkan sebarang manfaat atau mudharat kepada kita. Bila perasaan takut kepada Allah hilang maka kita pasti akan takut sesama makhluk. Ucapan kalimah “Allahu Akbar” secara berulangkali juga mendidik jiwa kita supaya sentiasa mengingati Allah bukan sahaja dalam solat malah di luar solat kerana hanya dengan mengingati Allah sahaja hati kita menjadi tenang serta dapat mencegah kita daripada melakukan penderhakaan maksiat terhadap Allah samada dalam keadaan terang-terangan atau sembunyi. Firman Allah dalam ayat 28 surah ar-Ra’adu : الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ‌ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ‌ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ﴿٢٨﴾ Maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 212 surah al-Baqarah : زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُ‌وا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُ‌ونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا ۘ وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَاللَّـهُ يَرْ‌زُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ‌ حِسَابٍ Maksudnya : Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira Bila kita semua telah menjadi umat Islam yang sentiasa menjaga solat maka sepatutnya telah terhakis daripada diri kita sikap terlalu membesarkan kehidupan dunia dengan mengecilkan masalah bekalan akhirat. Apabila dunia menjadi matlamat sehingga persiapan untuk menuju ke akhirat tempat balasan Syurga dan Neraka dipandang remeh temeh menyebabkan kita menjadi umat yang rugi dan menyesal yang tidak berguna lagi. Sebelum kita hanyut lebih jauh maka tanyalah diri kita tentang tujuan utama kita dilahirkan di dunia ini. Jika sekadar untuk makan maka binatang pun makan juga. Jika untuk sekadar mencari rezeki maka binatang pun pandai cari rezeki seumpama burung yang terbang jauh pada pagi hari dengan perut yang kosong tetapi bila pulang petang penuh dengan makanan. Oleh itu ingatlah kembali tujuan kita lahir ke dunia untuk beribadat sebagai hamba Allah. Renungi kepada maksud suatu hadis hasan sohih yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi di mana Dunia ini hanya untuk 4 jenis manusia. [1], orang yang Allah SWT beri rezeki dalam bentuk harta dan ilmu pengetahuan, kemudian dia bertakwa kepada Tuhan, merapatkan hubungan tali kekeluargaan dan tahu hak Allah SWT dalam apa yang dimilikinya, itu adalah tingkatan manusia yang paling utama. [2], orang yang diberi Allah SWT ilmu pengetahuan tetapi tidak diberi harta, dan dia menyimpan niat yang benar, dan dia berkata: Jika saya mempunyai harta, saya lakukan kebaikan seperti yang dilakukan oleh si fulan. Disebabkan niatnya yang benar itu, dia diberi pahala yang sama banyak dengan pahala orang yang dijadikan contoh olehnya. [3], orang yang diberi harta oleh Allah SWT tetapi tidak diberi ilmu pengetahuan, kemudian dia menggunakan hartanya untuk perkara yang tidak diketahuinya, dan dia tidak pula bertakwa kepada Tuhannya, dan dia tidak suka merapatkan hubungan tali kekeluargaan, bahkan dia juga tidak tahu hak Allah SWT dalam apa yang dimilikinya, orang begini berada dalam kedudukan paling buruk. [4], orang yang tidak diberi harta atau ilmu pengetahuan, dan dia berkata: Andai kata saya mempunyai harta, saya melakukan perkara buruk macam si fulan. Disebabkan niat buruknya itu, dia diberi dosa yang sama banyak dengan dosa orang yang dijadikan contoh.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Selain disuruh sentiasa menyebut dan mengingati Allah maka kita juga dituntut supaya banyak berselawat kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w dan mengikuti jejak langkah baginda dalam setiap aspek kehidupan. Amalan selawat dan ingat kepada nabi bukan hanya bermusim seperti pada bulan Rabiul Awwal sahaja malah sepanjang masa. Imam al-Ghazali pernah mengingatkan kita supaya tidak tergolong dalam golongan yang tertipu dengan amalan yang kecil sehingga mengabaikan kewajipan yang lebih besar seumpama umat yang hanya rasa cukup sekadar berselawat kepada nabi tetapi begitu benci kepada sunnah nabi terutama yang tidak sesuai dengan selera hawa nafsunya. Ketika berbicara tentang sunnah nabi maka kita terpanggil untuk sama-sama berusaha terutama melalui doa agar pasangan rakyat Malaysia yang sedang ditahan di Sweden atas alasan memukul tangan anak mereka kerana tak mahu solat supaya dapat dibebaskan segera. Peristiwa ini sebenarnya turut mengetuk hati ibubapa di Negara ini tentang berapa ramai yang sanggup pukul anak secara hikmat kerana tidak solat berbanding perkara duniawi yang lain. Begitu juga isu murid yang didenda makan rumput kerana tidak menyiapkan kerja sekolah mendedahkan beberapa kelemahan samada dari segi tindakan yang dikira melampau mahu pun hak warga pendidik yang agak tertekan bila guru bagaikan tiada ruang untuk membela diri apabila berdepan dengan sebarang tindak balas termasuk saman daripada ibubapa. Kita tidak mahu selepas ini sekolah hanya menjadi tempat belajar semata-mata bukan lagi tempat untuk mendidik akibat kekangan terhadap guru. Ambillah cara pendidikan yang telah digariskan oleh Islam dalam melahirkan guru yang baik dalam melahirkan generasi yang cemerlang dunia akhirat. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru : وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُ‌جُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَ‌بِّهِ ۖ وَالَّذِي خَبُثَ لَا يَخْرُ‌جُ إِلَّا نَكِدًا ۚ كَذَٰلِكَ نُصَرِّ‌فُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُ‌ونَ Maksudnya : Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur. Jika ajaran guru banyak mencorakkan cara berfikir dan bertindak pelajarnya begitu juga hal keadaan pemimpin banyak mempengaruhi cara kehidupan rakyat jelata. Oleh itu Islam sentiasa memandang berat berkaitan kepimpinan Negara agar corak pemerintahan dan arah tuju selari dengan kehendak Islam. Ketika kita mahu meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan nabi Muhammad s.a.w maka kita jangan lupa bahawa pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah menyaksikan bagaimana tarikh kewafatan nabi s.a.w. Kewafatan nabi s.a.w telah menyaksikan bagaimana cabaran kepada aqidah umat Islam pada masa itu begitu kuat sehingga ada yang kembali murtad. Sayyidina Abu Bakar bersama Sayyidina Umar segera menyelesaikan masalah perlantikan khalifah bertujuan untuk memastikan urusan umat Islam dan Negara dapat diselesaikan dengan segera. Kepimpinan berdasarkan Islam dapat memastikan masalah Aqidah, syariat, mua’amalat dan akhlak dalam Negara dapat dijaga. Sedangkan kepimpinan yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup akan menyebabkan masalah Aqidah semakin goyah, syariat Islam dipersenda seperti kes guru muallaf yang dipecat kerana tidak mahu buka tudung ke sekolah, artis yang dipersenda kerana bertudung, ada syarikat yang tidak membenarkan pekerja Islam solat dan sebagainya. Itu tidak dikira dengan kes jenayah yang terus meningkat. Masalah kos sara hidup yang semakin tinggi rentetan daripada kenaikan harga barang kerana pemimpin mengamalkan 4B iaitu boros, bazir, bocor dan berhutang dalam mengurus harta Negara. Akhirnya lahir golongan kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Sudahlah subsidi ditarik satu demi satu diikuti dengan cukai yang menghisap darah rakyat. Ibnu Khaldun telah mengingatkan bagaimana adanya 2 buah kerajaan yang Berjaya dan gagal iaitu [1] kerajaan yang mengenakan cukai yang rendah tetapi mampu memberi kebajikan yang tinggi kepada rakyat kerana amanah dan cermat dalam mengurus harta Negara sehingga Negara maju dan Berjaya. [2] Kerajaan yang mengenakan cukai yang tinggi tetapi kebajikan terhadap rakyat diabaikan akibat wang Negara dihabiskan untuk kemewahan pemimpin dan projek mega yang tidak bermanfaat yang akhirnya Negara ini akan hancur dan musnah. Perkara ini dibimbangi akan berlaku pada Negara kita jika terus suka ditipu. Oleh itu sedarlah kita daripada mimpi kerana amukan kenaikan harga barang sedang berlaku setiap hari. Sedar sebelum semuanya tergadai, bangkit sebelum kita semakin tersepit. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْ

Cinta Nabi Muhammad s.a.w Subur Umat Makmur

لسلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Rahmat daripada kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aqidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan aqidah, Baginda s.a.w membimbing umat manusia kepada mentauhidkan Allah setelah masyarakat kehilangan arah sehingga meluasnya penyembahan berhala dan selainnya. Kemudian dalam soal syariat atau hukum-hakam agama maka ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda a.a.w sama ada melalui teori dan amali. Begitu juga dengan akhlak ditunjukkan melalui kehidupan seharian dan nasihat yang berkesan sehingga keindahan akhlak nabi Muhammad s.a.w berjaya menarik ramai manusia yang selama ini tenggelam dalam arus kerakusan hawa nafsu kepada adab Islam yang murni. Kejayaan sesuatu kepimpinan keluarga, masyarakat, negeri dan seterusnya negara bergantung kepada sejauh mana kita mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib menghayati kisah hidup para sahabat nabi yang bukan sahaja bersungguh-sungguh mengikut cara hidup nabi dari segi pemakaian, pemakanan, membina keluarga bahagia, mengurus masyarakat dan Negara malah sanggup diseksa dan mati demi mempertahankan nabi Muhammad s.a.w. Pengorbanan suci ini lahir daripada rasa kasih dan cinta kepada nabi Muhammad s.a.w yang tidak berbelah bahagi. Tak kenal maka tak cinta serta tidak melahirkan rasa bertanggungjawab dan peka terhadap isu yang berkaitan dengan nabi Muhammad قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran : قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Perasaan kasih dan cinta yang tinggi kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w tidak mampu terhasil melainkan melalui ilmu. Oleh itu betapa pentingnya system pendidikan Negara dirangka dalam melahirkan rakyat yang benar-benar mengenali seterusnya mencintai dan meneladani cara hidup nabi Muhammad s.a.w yang lengkap. Begitu juga suasana di rumah dan sekitar mesti menjadi perangsang kepada minat mendalam dalam diri anak-anak untuk mengenal nabi Muhammad s.a.w dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan. Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini, marilah kita sama-sama menghitung diri tentang tahap kecintaan kita kepada nabi Muhammad s.a.w dan apakah usaha berterusan yang kita lakukan dalam menyuburkan rasa cinta kepada baginda. Berapa banyak kitab atau buku yang berkaitan kisah nabi Muhammad s.a.w berbanding novel, komik, majalah hiburan yang ada di rumah kita. Kita perlu mengambil perhatian sewajarnya berkenaan suatu Kaji selidik yang dilakukan oleh Adecco Malaysia menunjukkan 12 peratus kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun di Malaysia mahu menjadi pelakon apabila dewasa sebagai pilihan utama kerana ingin mencipta nama dalam industri hiburan. Cara hidup dan pendedahan yang begitu meluas berkaitan cara hidup artis telah membuatkan anak-anak mudah terpengaruh dan menganggap bahawa cara hidup ini merupakan pilihan terbaik. Ibarat peribahasa “Melentur buluh biar dari rebungnya”. Oleh itu pendidikan anak-anak diperingkat bawah umur 12 tahun perlu dijaga dan dikawal kerana peringkat usia ini mereka mudah terpengaruh samada perkara baik atau buruk dari segi pemakaian, pergaulan, pemakanan, cara bercakap dan sebagainya. Banyak kisah bagaimana hebatnya nabi Muhammad s.a.w dalam mendidik golongan kanak-kanak dan remaja dari segi adab kehidupan sehingga pendidikan ini melekat dan disuburkan lagi kepada orang lain. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 128-129 surah at-Taubah : لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩﴾ Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang agong." Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini juga marilah kita perbanyakkan untuk berselawat kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم) Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan kebendaan yang tidak kekal sifatnya maka Rasulullah s.a.w adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan ruh umatnya agar berjaya di dunia dan akhirat. Hidup dan mati baginda sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk umatnya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan. Kasih sayang yang tinggi pada umatnya tergambar dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata : Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca ayat 36 surah Ibrahim: رَ‌بِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرً‌ا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ‌ رَّ‌حِيمٌ Maksudnya : Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118 : إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ‌ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Maksudnya : Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada nabi Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui nabi Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau. Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Menyedari betapa kasihnya nabi kepada kita sebagai umatnya maka wajib meningkat lagi rasa cinta dan kasih kita kepada baginda dengan bersungguh melaksanakan sunnah nabi dalam setiap aspek kehidupan. Bermula daripada pemimpin yang wajib menanamkan rasa bertanggungjawab kepada rakyat jelata sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh nabi bukannya membiarkan amalan rasuah, pecah amanah dan pembaziran dalam menguruskan harta rakyat kemudian dihisap darah rakyat dengan kenaikan harga minyak, barangan keperluan, tol, tarif elektrik, cukai dan sebagainya. Pastikan cadangan dan tindakan yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam disisihkan serta perkasakan pelaksaan syariat Islam dalam Negara dalam meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah dunia akhirat. Begitu juga ibubapa bertanggungjawab dalam melahirkan zuriat yang cintakan Allah dan rasulNya agar masalah kerosakan akhlak dan jenayah rumahtangga dapat diatasi. Sunnah nabi dilaksana umat mulia. Sirah nabi dihayati umat diberkati Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru : وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya) بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْ