أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Ahad, 1 Julai 2012

Islam DiLaksana Dunia Bahagia Akhirat Sentosa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Renungilah firman Allah dalam ayat 30 surah an-Nahlu : وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَ‌بُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرً‌ا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ‌ الْآخِرَ‌ةِ خَيْرٌ‌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ‌ الْمُتَّقِينَ Maksudnya : Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa Kini kita telah pun berada pada awal bulan Sya’aban di mana tidak berapa lama lagi kita akan sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan. Masa berlalu begitu pantas dengan keadaan umat manusia yang bermacam-macam samada mengambil manfaat dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah dengan menambah bekalan akhirat atau menambah bebanan dosa maksiat. Setiap diri manusia sentiasa inginkan kebahagiaan walau pun usaha ke arah mencapainya tidak sama di mana ada yang bersungguh-sungguh berusaha memenuhi syarat dan cara untuk mencapai kebahagiaan hidup dunia seterusnya akhirat. Ada pula yang hanya berangan-angan sahaja untuk mencapai kebahagiaan sedangkan tindak tanduknya tidak lebih daripada menempah kesengsaraan hidup dunia dan akhirat. Abdullah ibnu Abbas pernah menyatakan 7 tanda atau petunjuk kita mendapat kebahagiaan dunia yang menjadi gambaran awal untuk turut mengecapi kebahagiaan di akhirat nanti. [1] Memiliki hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT, baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah akan memudahkan semua amalan serta kegiatan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Perkara ke-[2] antara petunjuk mendapat kebahagiaan dunia ialah memiliki pasangan hidup iaitu suami yang soleh atau isteri yang solehah. Islam daripada awal lagi menyeru umatnya supaya menjadikan agama sebagai pilihan terbaik ketika mahu memilih pasangan hidup. Seorang salafussolleh iaitu Abdullah ibnu Mubarak pernah menyatakan sekiranya kita memilih pasangan hidup berdasarkan keturunan semata-mata maka ia seumpama yahudi yang begitu berbangga dengan bangsa, sekiranya memilih pasangan berdasarkan kecantikan maka ia seperti Kristian manakala pemilihan pasangan berdasarkan harta seumpama Majusi. Berapa ramai pasangan yang asalnya baik menjadi rosak akibat salah pilih pasangan sehingga yang sentiasa menjaga solat mula mengabaikannya, yang menutup aurat mula membukanya. Oleh itu letaklah agama sebagai syarat utama pemilihan pasangan hidup agar kita dan keturunan kita mampu membina mahligai rumahtangga yang bahagia di dunia dan akhirat. قال الرسول : أَ لاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يُكْنَزُ ؟ المَرْأَةُ الصَّالِحَةُ الَّتِى ِإذَا نَظَرَ ِإليَهْاَ سَرَّتْهُ، وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ - رواه أبو داود والحاكم Maksudnya : Sukakah engkau aku beritahu tentang apakah simpanan yang paling baik?. Iaitu isteri yang solehah yang apabila engkau melihat kepadanya hati menjadi senang, apabila dia disuruh lalu dia menurutinya dan apabila suami tiada di rumah dia tetap menjaga kesetiaan terhadap suami Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Anfal: وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّـهَ عِندَهُ أَجْرٌ‌ عَظِيمٌ Maksudnya : Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[3] pula ialah memiliki anak soleh. Mahu memiliki anak soleh bukan senang kerana ia memerlukan kesungguhan dan pematauan yang berterusan. Jadilah kita sebagai ibu bapa yang pandai mendidik anak dengan mengisi keperluan zahir dan batin bukan hanya tahu ‘menternak’ anak dengan hanya memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal sahaja tanpa menghirau aspek rohani. Seorang ulama’ iaitu Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad menggariskan 5 panduan dalam kaedah mendidik anak serta mengekalkan disiplinnya. [1] Menunjukkan contoh teladan iaitu mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan. [2] Memastikan disiplin anak dengan cara kebiasaannya. Pujangga Arab berkata, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasa. Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak adalah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat menjadikan perbuatan itu adat kebiasaannya. [3] Menggunakan nasihat dan bimbingan. Bukan sekadar ibu bapa perlu menasihatkan anak, malah ibu bapa wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak mereka. [4] Pendidikan berterusan dengan pemerhatian serta pengawasan ibu bapa. Apabila anak meningkat remaja, ibu bapa perlu mengawasi anak daripada berbuat perkara yang menyalahi agama. [5] Disiplinkan anak dengan denda dan hukuman. Ia bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiah dalam kehidupan seharian. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 119 surah at-Taubah: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar Petunjuk kebahagiaan dunia yang ke-[4] persekitaran yang merangsang untuk iman kita. Kita disuruh supaya bersahabat dengan orang yang dapat memberi kebaikan dan sering menasihati kepada perkara makruf serta menegah daripada kemungkaran. Pihak kerajaan pula wajib mewujudkan suasana yang menggalakkan rakyat untuk menjadi hamba Allah yang taat bukan menambah program maksiat yang merosakkan akhlak rakyat sehingga penagihan dadah terus bertambah, penzinaan dan pelbagai masalah jenayah terus bercambah. Kebahagian dunia turut dicapai dengan memiliki perkara ke-[5] iaitu harta yang halal. Ingatlah amaran nabi bagaimana walau pun sedikit daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka api neraka lebih layak membakarnya. Saban tahun kita diingatkan tentang Isra’ Mikraj termasuk balasan orang yang terlibat dengan riba yang menyebabkan perut mereka membesar sehingga tak dapat bergerak. Kita melihat system riba semakin subur termasuk dalam pinjaman pengajian PTPTN dan pegawai kerajaan. Negara juga masih banyak bergantung kepada sumber haram seperti judi dan arak yang mana cukai keduanya bagi tempoh 4 tahun dari 2006-2011 menjangkau RM 24.4 bilion. Dengan dasar kerajaan yang liberal, Malaysia kini membawa imej pengeksport industri judi terkenal di dunia bila akhbar NST 5 Jun lalu melaporkan syarikat Malaysia iaitu Genting Malaysia Bhd kini sedang berusaha untuk mendapat kelulusan mengembangkan pelaburan kasino perjudian sehingga ke New York, Amerika Syarikat. Ini belum bercakap berkenaan isu rasuah dan pecah amanah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujaadalah: …. يَرْ‌فَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَ‌جَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ‌ Maksudnya : …supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan Kebahagiaan dunia yang ke-[6] dicapai dengan memiliki semangat memahami dan mendalami ilmu agama. Beruntunglah orang yang sentiasa berusaha dalam meningkatkan ilmu akhirat tanpa mengira usia dan kerjaya. Bagaimana kita mahu menambah bekalan akhirat dan menjauhi api neraka Allah tanpa ilmu mengenainya. Kita tidak mahu lagi mendengar anak-anak yang telah akil baligh tak tahu mengucap 2 kalimah syahadah, bakal pengantin yang tak tahu solat, orang tua tak tahu halal haram dan pelbagai penyakit buta agama yang lain. Wujudkan dalam rumahtangga dan suasana sekitar dengan budaya ilmu. Jangan hanya mengejar kejayaan cemerlang dalam ilmu dunia sedangkan ilmu agama tercorot di belakang. Jangan hanya tahu menjawab soalan temuduga ketika minta kerja dan naik pangkat dunia sahaja sedangkan soalan mungkar nakir dalam lubang kubur tak pernah difikirkan Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[7] bila dianugerahkan dengan umur yang diberkati Allah. Antara 4 tanda memilki keberkatan umur ialah [1] suka bersedekah kerana ia merupakan perisai daripada api neraka. [2] Selalu menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan dalam kehidupan seharian. Manusia yang mahu bahagia sentiasa suka memberi nasihat dan suka juga mendengar nasihat [3] sentiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa ketika mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Kita melihat suasana perderhakaan terhadap ibubapa semakin parah dalam masyarakat seolah-olah begitu banyak terpengaruh dengan budaya hidup masyarakat barat yang tersasar daripada agama [4] Memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Kesibukan dengan urusan dunia tidak memandulkan sifat kasih sayang terhadap saudara seagama. Oleh itu rafakkan doa kepada Allah agar pembunuhan terhadap rakyat sendiri di Syria dihentikan. Kita turut meminta tindakan tegas daripada kerajaan untuk segera berusaha dalam menghentikan penghapusan etnik Ronghiya di Myanmar di mana ramai anak gadis Islam dirogol, mayat dicincang kemudian dicampak dalam rumah yang dibakar, menangkap seterusnya menembak mati seluruh isi rumah di mana 1 300 dilaporkan terbunuh manakala 3000 yang lain cedera tanpa mendapat rawatan yang disekat. Kita juga berdoa kepada Allah agar kemenangan tokoh gerakan Islam di Mesir segera diumum dan diiktiraf ketika musuh Islam berhempas pulas untuk menafikan kemenangan ini. Musuh Islam terutama zionis yahudi Israel begitu gerun dengan keputusan pilihanraya Presiden Mesir ini yang bakal mencorak masa depan Negara haram yahudi samada diteruskan atau dihapuskan. Yakinlah kita bahawa cahaya Islam tidak mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha jahat dilakukan oleh musuh. Kebangkitan Islam tidak mampu disekat dengan pelbagai kekuatan material yang digunakan. Di Mana bumi dipijak disitu Islam dijunjung. Takkan hilang Islam di dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal: إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَ‌ةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُ‌ونَ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Isra' Mikraj DiHayati Sistem Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ : سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Umat yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya sentiasa menerima apa sahaja yang berlaku sekalipun di luar jangkauan pemikiran manusia tanpa banyak soal dan pertikaian tetapi bagi manusia yang lebih banyak menggunakan akal yang lemah dan terbatas kemampuannya sentiasa mencari alasan untuk menolak kebenaran ini. Kita sebagai umat yang beriman kepada nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul pilihan Allah yang memiliki mukjizat sepastinya dapat menerima sepenuh hati tanpa perasaan syak terhadap peristiwa hebat yang berlaku pada malam Isra’ Mikraj sedangkan manusia yang sentiasa melihat nabi Muhammad s.a.w tidak lebih sebagai manusia biasa dengan memisahkannya daripada mukjizat anugerah Allah sentiasa menolak sebarang yang berlaku ke atas tubuh nabi di luar jangkauan akal mereka. Keimanan terhadap peristiwa Isra’ Mikraj banyak mengajar kita tentang erti keimanan sebenar kepada Allah dan rasulNya yang bukan terhasil daripada akal yang mengikut hawa nafsu sebaliknya melalui ilmu yang disuluh dengan cahaya wahyu Allah. Budaya menerima dan menolak sesuatu perkara samada benar atau salah berdasarkan logik akal semata-mata semakin subur dalam masyarakat umat Islam sendiri sehingga pertikaian terhadap system al-Quran, hadis nabi dan ajaran agama berlaku silih berganti. Akhirnya timbul umat Islam yang mempertikaikan hukum Hudud, kewajipan menutup aurat, larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pengharaman riba dan sebagainya. Perkara ini wajib diubati supaya ia tidak semakin membarah dalam merosakkan aqidah dan pengamalan syariat oleh umat Islam. Sesuai dengan tawaran antara susu dan arak kepada nabi pada malam Isra’ Mikraj di mana bila nabi memilih susu lalu dikatakan kepada baginda : “ Engkau telah dianugerahi fitrah. Jika engkau memilih arak nescaya engkau menyesatkan umatmu sendiri”. Pemilihan Islam yang suci berbanding kehidupan yang dimabukkan dengan hawa nafsu mengajar kita supaya sentiasa melawan sebarang pemikiran dan cara hidup yang bercanggah daripada Islam untuk Berjaya di dunia dan akhirat Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut: اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. Bulan Rejab dikenali sebagai bulan solat memandangkan kewajipan solat diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj secara langsung daripada Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril. Melihat kepada kewajipan solat yang begitu istimewa maka kita yakin bahawa solat mempunyai banyak nilai dalam member kebaikan kepada umat Islam. Di antara nilai solat itu adalah [1] solat mendidik Muslim menyucikan dirinya dari sifat buruk. [2], solat mendidik kesatuan dan perpaduan ummah. Ini kerana setiap Muslim menunaikan solat akan menghadap ke arah satu qiblat yang sama, iaitu Baitullah al-Haram. Kesatuan dan perpaduan ini akan mewujudkan perasaan saling memahami dan saling melengkapi antara sesama Muslim. [3], solat mendidik Muslim supaya memiliki disiplin waktu. Setiap Muslim yang menunaikan solat akan selalu memerhati dan menunggu masuknya waktu solat, sekali gus akan berusaha menunaikannya tepat pada waktunya, di samping menundukkan nafsunya untuk tidak tenggelam dalam kesibukan duniawi. [4], solat mendidik setiap Muslim kepentingan tertib atau susunan organisasi. Solat berjemaah yang didirikan menuntut susunan jemaah yang berbaris lurus di belakang imam dengan memastikan tiadanya celah kosong antara setiap jemaah di kanan kirinya di samping menyedarkan umat Islam perlunya tertib organisasi di dalam segala lapangan hidup ummah. [5], solat mendidik Muslim terhadap ketaatan kepada pemimpin. Mengikuti imam dalam setiap gerakan rukun solat, dengan tidak mendahuluinya walau sesaat pun, menunjukkan adanya ketaatan dan komitmen yang tulus dari makmum, serta menjauhkan diri daripada keingkaran terhadap perintahnya, selama mana perintah itu tidak menjurus ke arah maksiat. [6], solat mendidik Muslim memiliki sifat keberanian menegur dan memperingatkan pemimpin. Jika imam terlupa dalam sesuatu rukun solat, maka makmum berkewajipan untuk memperingatkan dan menegur imamnya dengan membaca Subhanallah. Hal ini menunjukkan kewajipan rakyat untuk memperingatkan pemimpinnya jika melakukan kesalahan atau kesilapan dalam kepimpinannya atau tidak menunaikan hak kepada rakyatnya. [7], solat menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim. Dalam solat berjemaah, pengisian saf atau barisan solat tidak didasarkan pada status sosial, pangkat kedudukan atau darjat seseorang, walau pun pada saf yang paling hadapan. Gambaran ini menunjukkan adanya persamaan hak tanpa mengambil kira kedudukan mahu pun tua umurnya, bukan saja di dalam solat jemaah, bahkan dalam arena kehidupan ummah. [8], solat mendidik umatnya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mendirikan solat secara istiqamah memberikan kesan kesihatan yang menyeluruh. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila adanya kajian sains yang menunjukkan bagaimana solat yang sempurna mampu menajamkan otak, memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh, gerakan jantung lebih teratur, orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang, ubat mati pucuk kalangan lelaki dan masalah kelamin kaum wanita serta seribu macam lagi kebaikan. Oleh itu pastikan diri, keluarga dan masyarakat kita sentiasa menjaga solat untuk kebaikan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 81 surah al-Isra’: وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا Maksudnya : Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap" Melihat kepada kelebihan solat maka begitulah juga ibadat-ibadat khusus yang lain mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita sebagai umat Islam wajib mencari kekuatan daripada ibadat khusus yang telah disyariatkan oleh Allah dan jangan mencari alasan untuk mengabaikannya. Kita tidak mahu suara sumbang yang mengatakan boleh meninggalkan solat untuk tujuan menaikkan nama Negara dengan bersukan tidak berulang kembali. Oleh itu kita mahu pemimpin kita dan Negara umat Islam yang lain yang bakal menyertai Sukan Olimpik 2012 di London bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos ini yang jatuh pada bulan Ramadhan menjaga hak atlit beragama Islam untuk menjaga ibadat puasa. Musuh Islam telah tahu bahawa tarikh itu adalah musim puasa tetapi sukan itu tetap diteruskan maka menjadi tanggungjawab pemimpin samada menjaga ibadat atau membiarkan musuh menghina kita yang lebih mendewakan sukan dengan mengenepikan kewajipan agama. Jawapan pihak bertanggungjawab dalam sukan ini amat menyedihkan dengan mengatakan terpulang kepada atlet berkenaan sama ada mahu meneruskan puasa mereka apabila beraksi di pentas Olimpik nanti walaupun beliau secara peribadi menganggap bersukan juga satu perjuangan dan ada ketikanya ibadat itu dibolehkan untuk digantikan pada waktu lain Jika umat Islam semacam ini semakin ramai maka lambat lagi saat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah untuk datang. Kita pernah menyaksikan tentera Islam tetap berpuasa ketika peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan sehingga datangnya kemenangan yang besar Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ : فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Dunia turut memberi perhatian penting terhadap pilihanraya Presiden Mesir pusingan kedua antara tokoh gerakan Islam dengan kebangsaan pada 16 dan 17 Jun iaitu esok dan lusa di mana keputusannya diramal dapat memberi kesan besar terhadap penjajahan zionis yahudi di Israel samada dapat dihenti atau diteruskan. Mimbar Jumaat hari ini turut mengutuk penerusan kepada pembunuhan kejam terhadap rakyat sendiri di Syria dan terbaru terhadap saudara seagama Ronghiya di Myanmar. Kampung mereka diserang, kedai dirompak, makanan dirampas, saudara seagama dibunuh. Difahamkan sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu. Jangan biarkan telinga menjadi pekak, mata menjadi buta dek asyik berbincang tentang bolasepak Piala Eropah sehingga masalah umat Islam tidak dipedulikan. Semoga semangat yang difahami daripada Isra’ Mikraj ini dapat kita laksanakan di bumi nyata dalam mengembalikan kehebatan dan keagungan Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ