أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 28 Julai 2011

Taqwa DiTagih Kemuliaan DiRaih


السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 23-24 surah al-Jaathiah :
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّـهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّـهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ﴿٢٣وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ
Maksudnya : Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?. Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata
Kini kita berada pada penghujung bulan Sya’aban di mana beberapa hari lagi umat Islam bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak yang mempunyai pelbagai tawaran hebat dan kelebihan yang tiada tolok bandingnya daripada Allah antaranya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah, Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan, Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan, Pintu-pintu syurga dibuka luas manakala pintu-pintu neraka ditutup kemas. Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan dan pada setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka. Jangan biarkan hati kita mati sehingga tidak mempeduli tawaran Allah akibat hanyut dengan tawaran dunia. Sehubungan dengan itu sempena berada di ambang Ramadhan maka persiapkanlah diri kita dengan bertaubat kepada Allah atas segala dosa, berjanji kepada Allah untuk tidak lagi mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan serta bersungguh-sungguh untuk belajar hukum hakam agama terutama berkaitan puasa dan amalan terbaik sepanjang Ramadhan agar kedatangan Ramadhan disambut, tawaran hebat Allah direbut, taqwa dalam diri berjaya dipupuk

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali ‘Imran :
…….وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ…….
Maksudnya : .....Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…..
Antara matlamat utama kepada tarbiah Ramadhan ialah untuk melahirkan umat bertaqwa di mana antara makna Taqwa sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Mas’ud ialah  mentaati Allah dan tidak mengengkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupaiNya, bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya. Ibnu Abbas pula mengatakan Golongan bertaqwa ialah orang yang sentiasa mengambil berat tentang balasan Allah apabila meninggalkan sesuatu yang mereka tahu daripada petunjuk Allah serta begitu mengharapkan rahmat Allah pada membenarkan apa sahaja yang didatangkan daripada Allah. Manakala Al-Hassan mentakrifkan Golongan bertaqwa ialah mereka yang benar-benar takut pada apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atas mereka serta menunaikan apa yang diwajibkan ke atas mereka. Begitu Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengatakan Bukanlah taqwa itu hanya dengan berpuasa pada siang hari dan dengan bangun beribadat pada malam hari dan gabungan ibadat antara yang tersebut, tetapi takut Allah yang sebenar ialah meninggalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan menunaikan apa yang telah diwajibkan oleh Allah. Sesiapa yang diberi rezeki selepas daripada itu adalah baik maka selepas itu adalah lebih baik untuk yang terbaik.
Menyedari betapa pentingnya tarbiah Ramadhan dalam melahirkan umat bertaqwa kerana ia melibatkan aspek zahir dan batin iaitu selain menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan minum maka kita wajib menjaga pencaindera seperti mata, lidah, telinga dan lain-lain daripada maksiat. Apa yang lebih penting ialah hati kita mesti dibersihkan daripada segala sifat keji atau mazmumah seperti riya’, takabbur, hasad dengki dan sebagainya. Inilah yang diingatkan oleh seorang sahabat Nabi iaitu Jabir bin Abdullah dengan katanya: Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa
Amaran Rasulullah dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari :
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
            Tarbiah Ramadhan turut bertujuan untuk melemahkan hawa nafsu yang mengajak kepada kejahatan. Kegagalan dalam mengawal hawa nafsu menyebabkan banyak kerosakan berlaku dalam setiap peringkat. Akibat mengikut hawa nafsu menyebabkan pemimpin pecah amanah, pegawai kerajaan terlibat dengan rasuah, rakyat ketagih arak dan dadah serta tidak segan silu terlibat dengan penzinaan. Kita menyokong cadangan Majlis Perbandaran Kuantan yang melarang wanita Islam bekerja sebagai GRO mulai tahun depan ketika Malaysia sendiri belum lagi mampu membersih nama sebagai pengguna arak ke-10 tertinggi di dunia walau jumlah rakyatnya kurang dan Negara sempit berbanding Negara yang lain. Tiada usaha bersungguh dalam mengurangkan penggunaan arak dan pergantungan negara terhadap cukai arak.
            Apabila umat Islam sendiri bergelumang dengan dosa maka kita dijauhkan daripada rahmat dan keberkatan hidup. Inilah antara punca yang paling besar yang menyebabkan orang bukan Islam tidak tertarik kepada keindahan Islam. Apa yang lebih malang apabila umat Islam sendiri bukan sahaja mengabaikan kewajipan agama malah memburuk-burukkan sistem Islam yang bercanggah dengan hawa. nafsu mereka. Keadaan ini amat berbeza dengan masyarakat barat yang semakin menerima Islam walau pun dituduh sebagai agama yang mencetus keganasan. Paderi-paderi Kristian di barat melahirkan rasa bimbang dengan jumlah penganut Kristian yang semakin kurang mengunjungi gereja pada hujung minggu malah ramai golongan paderi sendiri yang memeluk Islam. Suara supaya dilaksanakan undang-undang syariah di negara barat termasuk melalui lidah orang bukan Islam begitu kuat kedengaran di tengah-tengah kebencian yang ditanamkan oleh golongan anti Islam. Kemuncak kepada kebencian terhadap Islam yang terbaru ialah peristiwa pengeboman oleh pelampau Kristian di Oslo, Norway pada 22 Julai lalu yang mengorbankan 93 nyawa atas alasan mahu membangkitkan api permusuhan terhadap sesiapa sahaja yang memberi layanan baik terhadap umat Islam.
            Semoga kehadiran Ramadhan kali ini akan menambahkan lagi ketaawaan kita kepada Allah disamping membangkitkan semangat jihad dalam melaksanakan sistem Islam dalam setiap aspek kehidupan. Jauhilah maksiat dosa yang bukan sahaja dijanjikan dengan azab pedih di akhirat malah antara sebab kepada kurangnya rezeki sebagaimana maksud sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim "Sesungguhnya seorang hamba itu diharamkan rezeki untuknya disebabkan dosa yang dilakukannya." Perbanyakkanlah istigfar memohon keampunan Allah setiap masa dan tempat, ketika sihat dan sakit, kaya dan papa, tua dan muda, sibuk dan lapang agar di dunia kita mampu meraih banyak anugerah Allah apatah lagi bila berada di akhirat nanti.
Firman Allah dalam ayat 10-12 surah Nuh :
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya : "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 22 Julai 2011

Berqiblatkan Islam Membina Generasi Gemilang


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Kini kita berada pada minggu ketiga bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dan Kristian dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri.



Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali ‘Imran :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran, lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.

Kejahilan terhadap agama sendiri merupakan antara punca terbesar kepada berlakunya kehilangan identiti umat Islam terutama aqidah dan akhlak. Kita begitu bimbang bila masalah murtad terutama di Sabah kebanyakannya akibat salah faham terhadap ajaran Islam di mana mereka hanya terikut-ikut dengan Islam bawaan datuk nenek mereka yang sekadar mengucap 2 kalimah syahadah sahaja tetapi bila diajar tentang solat, puasa dan cara hidup Islam yang lain menyebabkan mereka menganggap Islam ini adalah ajaran baru dan susah lalu mereka memohon untuk keluar daripada Islam beramai-ramai. Lebih menggerunkan apabila adanya laporan bahawa pihak Kristian mempunyai maklumat yang begitu lengkap berkenaan lokasi dan pecahan etnik di seluruh Sabah untuk mengembangkan Kristian ketika umat Islam terkial-kial dengan masalah tersendiri. Kegagalan dalam membina identiti muslim sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan hadis nabi juga menyebabkan ramai umat Islam terperangkap pada sarang labah-labah ciptaan Yahudi dan Kristian atau singkatannya SPIDER. Senjata musuh Islam dalam menghancurkan umat Islam antaranya [1] Sex dengan menggalakkan hubungan bebas sehingga meluasnya penzinaan. Yahudi berkata dalam protokol mereka : “ Kita mesti bekerja untuk merosakkan akhlak di setiap tempat. Dengan itu penguasaan kita akan mudah dicapai. Kita akan terus membentangkan teori hubungan seks sejelas-jelasnya supaya tidak ada suatu pun yang dianggap suci pada pandangan pemuda. Hasilnya ialah memuaskan hawa nafsu seks adalah matlamat mereka. Ketika itu akan runtuhlah akhlak mereka”. Begitu juga kata pemimpin penjajah Kristian : “ Gelas arak dan pelacur amat berperanan dalam menghancurkan umat Muhammad lebih daripada apa yang dilakukan oleh seribu meriam. Oleh itu tenggelamkan mereka ke dalam cintakan kebendaan dan syahwat”. Pemimpin lebih berminat untuk mengembang mata pelajaran seks ala barat iaitu zina tidak salah asalkan jangan mengandung sedangkan pintu zina terus terbuka luas. Pemimpin hanya berminat untuk berubat penyakit yang telah parah daripada menyekat punca penyakit.



Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ

Maksudnya : Dan sekiranya kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Senjata musuh Islam seterusnya ialah [2] Politic dengan menjadikan kuasa untuk mengaut  keuntungan bukan sebagai suatu amanah di mana akhirnya kekayaan negara dibahagi sesama kroni sedangkan rakyat jelata dihimpit kenaikan harga barang dan bebanan hidup yang menyusahkan. [3] Ideology yang bertentangan dengan Islam disebarkan termasuk atas nama Islam seperti Islam Liberal sehingga akal menjadi rujukan utama yang menyebabkan segala sistem Islam yang bercanggah dengan hawa nafsu ditolak sebaliknya sistem barat walau pun jelas zalim dan merbahaya diagung-agungkan . Musuh juga memastikan senjata berbentuk [4] Drug dengan memastikan umat Islam dihancurkan dengan bahan memabukkan terutama dadah dan arak. Apabila tengkorak hidup memenuhi negara maka penjajahan kuffar terus berlangsung tanpa tentangan. Ibarat kata Syair : ‘Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap maka lenyap pulalah bangsa itu’. Senjata ke-[5] Education dengan memastikan penjajahan terhadap sistem pendidikan lebih berkiblatkan barat dan kurangkan pengajian agama. Pemerkasaan ilmu agama samada di sekolah mahu pun universiti masih lagi gagal dilaksanakan sehingga masalah buta al-Quran dan buta agama terus meningkat. Apa yang lebih malang apabila adanya negara umat Islam yang tunduk pada kehendak yahudi agar dibuang bab jihad dan kejahatan yahudi dalam sukatan pengajian sedangkan di Israel sendiri bermula daripada pra sekolah hinggalah peringkat tinggi ditanam sikap membenci umat Islam dan cara memerangi Islam. Seterusnya senjata berbentuk [6] Rock dengan menghanyutkan umat Islam dengan hiburan melalaikan sehingga jauh daripada petunjuk Allah. Minggu ini kita disajikan dengan 2 keadaan berbeza iaitu jika kerajaan Kedah melaksanakan undang-undang melarang umat Islam daripada memasuki pusat hiburan sepanjang Ramadhan manakala kerajaan Melaka pula memanjang waktu berhibur sehingga jam 3 pagi. Kita bimbang di Melaka bukan sahaja akan bertambah sekolah mengandung malah terpaksa pula dibuka kolej dan universiti mengandung akibat tindakan yang tidak bertamadun atas alasan untuk menarik pelancong akhirnya menambah jumlah pelacur. Tidak terlepas pandang untuk kita mengutuk tangan-tangan ghaib yang cuba mempertikaikan pengharaman judi di Kelantan apabila ada kes yang dibawa di mahkamah dalam masalah ini.



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Setelah faham dan sedar tentang perancangan jahat musuh Islam yang tidak pernah serik daripada menghancurkan Islam dan umatnya maka kita wajib berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melawannya. Jangan biarkan hati kita menjafi keras sehingga mudah dikuasai oleh hawa nafsu dan syaitan. Antara tanda hati keras ialah [1] Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan terutama melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan kewajipan ditetapkan itu seperti tidak serius menunaikan solat atau berasa berat melaksanakan ibadah sunnah. [2] Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran. Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk dan lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. [3] Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat. Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. [4] Kurang mengagungkan Allah sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa. [5] Tidak belajar dengan ayat kauniah iaitu tidak terpengaruh dengan peristiwa yang dapat memberi pengajaran seperti kematian, sakit atau bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai peringatan berharga.

Firman Allah dalam ayat 2-3 surah al-Anfal :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّـهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٢الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (2)Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ