أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 30 Disember 2010

Bahaya Islam DiBenci Jahiliah DiCari

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ
Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.
Tahun 2010 bakal melabuh tirainya dengan seluruh dunia bakal menyambut ketibaan tahun baru Masihi 2011 mulai esok. Pelbagai upacara disiarkan melalui akhbar, radio dan tv sempena sambutan tahun baru Masihi yang jauh lebih meriah termasuk bagi umat Islam sendiri berbanding sambutan tahun baru 1432H pada 3 minggu lepas. Keadaan sambutan dan pengisian yang jauh berbeza bagaikan ada jurang pemisah yang begitu jauh antara kedua-dua kalendar sedangkan keduanya berasaskan peredaran masa yang sepastinya diatur oleh Allah iaitu kalendar Masihi berdasarkan peredaran matahari manakala tawim hijrah pula berdasarkan peredaran bulan. Begitu juga kedua-dua kalendar ini dikaitkan dengan 2 orang rasul Ulul ‘Azmi iaitu kalendar Masihi berdasarkan tahun kelahiran nabi Isa a.s manakala taqwim Hijrah berdasarkan hijrah nabi Muhammad s.a.w. Malangnya ketika menyambut tahun baru Masihi ajaran dan teladan yang pernah disampaikan oleh nabi Isa a.s ditolak ketepi sebaliknya syaitan dipuja, hawa nafsu dijadikan raja yang menyebabkan sebarang sambutan tahun baru Masihi dipenuhi dengan program maksiat yang dihampar dengan permaidani merah oleh pemimpin sendiri. Program yang menambahkan lagi masalah sosial ini bagaikan pil khayal yang digunakan oleh pemimpin supaya rakyat lupa kepada masalah jenayah yang meningkat, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan, rasuah, pecah amanah dan seribu keburukan yang lain yang melanda negara. Pasukan keselamatan pula setia berkhidmat dalam memastikan kelancaran program menderhaka kepada Allah berbanding menggunakan kekerasan dalam menyuraikan sebarang perhimpunan rakyat yang bangkit menegur kezaliman pemimpin. Teguran dan cadangan agar sambutan tahun baru diubah kepada perkara yang lebih berfaedah tidak dihirau kecuali datangnya bala besar daripada Allah seperti Tsunami dan banjir besar sebelum ini. Bila pemimpin ditegur tidak diendah, dinasihat ditolak mentah-mentah maka tiada cara lain kecuali pemimpin itu sendiri yang mesti ditukar dan diubah kepada pemimpin yang bertaqwa kepada Allah untuk mencapai negara berkat bukan lagi penyubur maksiat yang menempah laknat

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Bertukarnya tahun maka semakin meningkat juga usia kita yang mengingatkan kita tentang semakin hampirnya kita pada saat kematian. Keadaan bumi juga semakin uzur dan tenat bagaikan tidak tertanggung dengan maksiat manusia dalam melakukan kerosakan atas permukaannya. Gempa bumi, tanah runtuh, tsunami, ribut, banjir besar, salji lebat yang menimpa dunia hari ini antara petanda besar bahawa kita sudah kesuntukan masa untuk berehat daripada taubat, terus melengahkan amal ibadat, menangguh masa untuk menambah bekalan akhirat. Orang yang bijak ialah yang sentiasa beramal bagi kebahagiaan hidup sesudah mati manakala orang bodoh ialah yang terus berseronok dengan maksiat tetapi berangan-angan untuk masuk Syurga. Tahun baru bukan tahun untuk memulakan angan-angan panjang sebaliknya menuntut perubahan pada cara berfikir, cara bergerak ke arah yang lebih baik bukan berundur ke belakang kepada cara hidup yang lebih buruk. Rebutlah peluang sebelum ia hilang, gunalah waktu sebelum ia berlalu. Gunalah peluang masa sihat sebelum sakit, masa senang sebelum susah, masa kaya sebelum papa, masa lapang sebelum kesuntukan masa dan masa hidup sebelum datangnya saat kematian. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :
قال االرسول  : بَاِدُرْوا بِالأعْمَاِل سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُوْنَ إِلا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفْنِدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوِ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوِ السَّاعَة َفَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
Maksudnya : Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui 7 perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya [1] kefakiran yang melalaikan [2] kekayaan yang menyebabkan kezaliman [3] sakit yang merosakkan badan [4] usia tua yang menggagapkan percakapan [5] kematian yang melenyapkan segala sesuatu [6] munculnya dajjal maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang ditunggu-tunggu atau [7] tibanya hari qiamat maka hari qiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Berlalunya tahun 2010 dengan pelbagai berita dan peristiwa sama ada suka atau duka, gembira atau kecewa, bahagia atau derita. Negara kita sendiri dihujani dengan pelbagai kisah tersendiri seperti pembuangan bayi, pembunuhan, kemalangan maut, pelbagai jenayah, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya. Kegagalan dalam membina Ketuanan Islam dalam cara hidup menyebabkan umat Islam sendiri meragui tentang kehebatan dan keadilan sistem Islam. Akhirnya apa sahaja yang datang atas nama Islam dilihat sebagai lemah dan mundur sedangkan apa sahaja yang datang daripada barat dilihat sebagai hebat dan maju walau pun jelas merosakkan dan berbahaya. Ini disebabkan kecetekan ilmu akibat ilmu agama diketepikan sehingga umat Islam terkial-kial mencari sistem yang bercanggah dengan Islam dalam menangani masalah negara. Apa yang mereka dapat ialah kegagalan demi kegagalan, kerugian demi kerugian, kemusnahan demi kemusnahan tetapi semuanya tidak dihirau asalkan sistem Islam terus diketepikan. Islam yang terbukti telah berjaya membina tamadun kebendaan dan kemanusiaan yang hebat ditolak mentah-mentah manakala tamadun barat yang lebih berjaya hanya dari segi kebendaan semata-mata diterima bulat-bulat tanpa sanggahan. Ingatlah suatu peringatan daripada Sayyidina Umar al-Khottab : “Kekuatan, kemuliaan dan keagungan Islam akan terhakis satu demi satu jika masih terdapat di kalangan umat Islam, orang Islam yang tidak kenal apa erti jahiliah”.
Contohnya bila bercakap tentang masalah pembuangan bayi maka cara pendidikan seks ala barat yang menghalalkan zina diterima sedangkan pendidikan Islam diketepikan. Apatah lagi masalah hukum Islam yang lain
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebelum melabuh tirai 2010 maka kaca tv, corong radio dan dada akhbar menyiarkan masalah ramai pelajar IPT yang terus gagal membayar hutang pengajian. Inilah antara perkara besar yang pernah disuarakan puluhan tahun lalu apabila kerajaan mahu menswastakan sistem pendidikan maka akan lahirnya manusia berhutang di mana pusat pendidikan tidak lagi menjadi tempat melahirkan manusia yang sedia berkhidmat tanpa rasa terikat dengan bebanan hutang sebaliknya menjadi tempat memproses robot-robot yang hidup mengikut kehendak pasaran semasa untuk bekerja siang malam untuk menjelaskan hutang. Malah kita turut dikejutkan dengan pendedahan adanya pelajar universiti yang terlibat dengan kerja haram dan tidak bermaruah iaitu sebagai pelacur yang dibimbangi alasannya untuk membayar hutang pengajian selain hidup mewah tanpa mengira halal dan haram. inilah natijahnya sistem pendidikan negara yang berorientasikan kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambil berat ajaran agama yang menyebabkan fenomena pelacuran ini akan berterusan. Peraturan universiti lebih banyak menyekat mahasiswa daripada berpolitik berbanding menangani masalah sosial di universiti yang kadang-kadang menjadi pusat pergaulan bebas yang berlesen
Negara juga dikejutkan dengan pengakuan seorang gay berbangsa Melayu dan beragama Islam yang begitu berani mengaku beliau adalah gay. Beliau juga meminta agar budaya homoseks, lesbian perlu diberi hak sama rata seperti manusia biasa di mana ia disokong oleh golongan berpengaruh dalam negara sedangkan golongan penerus amalan laknat kaum nabi Luth ini ialah golongan berpenyakit parah yang telah lari dari fitrah kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah swt. Ini susulan daripada sikap lunak pemimpin negara yang menjemput artis gay dan membenarkan filem gay untuk ditayangkan di samping suburnya pusat perniagaan gay. Kita bimbang budaya kaum nabi Luth semakin subur dalam negara jika ia tidak dibanteras secara bijak dan bersungguh. Tidak cukup lagikah dengan bala berbentuk penyakit Aids, siplis dan penyakit kelamin yang lain. Jangan ulangi kutukan Allah terhadap kaum nabi Luth yang dihancurkan dengan dibutakan mata lalu diterbalik bumi ditambah turunnya azab dari langit sehingga dapat dilihat kesannya sehingga hari ini di Laut Mati, Jordan. Cegah sebelum parah, sekat sebelum melarat, bertindak sebelum merebak.
Firman Allah dalam ayat 80-84 surah al-A’raaf :
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوهُمْ مِنْ قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا ۖ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya : Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri". Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 17 Disember 2010

Hijrah Daulatkan Ketuanan Islam

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Ertinya: Dan berkatalah rasul:“Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
Kini hampir 2 minggu kita sama-sama menyambut kedatangan tahun baru 1432 Hijrah yang mengetuk hati kita bahawa dengan berlalunya tahun lama dan datangnya tahun baru bererti umur kita semakin meningkat bersama hampirnya kita kepada saat kematian. Jadikanlah perubahan ini untuk kita sama-sama menambahkan lagi bekalan akhirat kita yang pasti bakal dilalui samada kita sudah bersedia atau terus leka dengan mainan dunia. Ketika menyambut tahun baru hijrah maka kita akan terasa bagaimana perbezaan ketara antara perasaan umat Islam, sendiri ketika menyambutnya berbanding kedatangan tahun baru Masihi yang bakal hadir 2 minggu lagi. Ramai umat Islam sendiri lebih bergembira dan bermegah dengan kalendar masihi dalam penggunaan dan sambutannya berbanding taqwim hijrah yang semakin dipinggirkan. Perbezaan sambutan dan penggunaan ini jelas membuktikan bagaimana umat Islam hari ini masih gagal menghayati erti hijrah yang sebenar. Kita masih dijajah pemikiran dan cara hidup yang ditanamkan oleh penjajah walau pun mereka telah lama kembali ke tanahair mereka. Kita sering bertanya mengapa hijrah nabi berjaya membina Negara berdaulat sedangkan hijrah kita bukan sahaja kehilangan kuasa malah semakin melarat. Mengapa hijrah nabi berjaya meraih mulia dan bahagia sedangkan hijrah kita semakin hina dan merana dalam tanahair sendiri. Jawapannya ringkas dan mudah tetapi jika kita terus mengamalkan slogan nafsu serakah didahulukan, hasutan syaitan diutamakan maka ia menjadi susah dan payah untuk dilaksanakan. Hijrah nabi menegakkan system al-Quran, hijrah kita menjauhi dan meminggirkan cara hidup Islam. Nabi dan para sahabat sanggup meninggalkan tanahair, keluarga tercinta, harta kekayaan untuk berhijrah bagi membina negara merdeka sedangkan ramai umat Islam hari ini bermati-matian mempertahankan system penjajah asalkan system Islam tidak dilaksanakan demi menjaga takhta, mengumpul harta dan seronok menjadi hamba abdi kepada dunia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (quraisy) memikirkan sedaya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu atau pun mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya
Ketika bercakap tentang hijrah nabi maka ia bukan suatu usaha mudah kerana di sana sepastinya tersusun suatu perancangan yang rapi dan kemas. Hijrah juga bukan sekadar melepas diri daripada seksaan dan penderitaan tetapi apa yang lebih penting ialah membina daulah yang melaksanakan seluruh system al-Quran. Jika sekadar untuk melepaskan seksaan kafir Quraisy sudah cukup berhijrah ke Habsyah yang bukan sahaja diberikan perlindungan malah Raja Najjasyi turut menawarkan untuk dilaksanakan system al-Quran tetapi masih di bawah keizinannya sedangkan Islam hanya berada di bawah kuasa mutlak Allah bukan boleh dikawal oleh mana-mana pemimpin. Cabaran hijrah turut memberi peringatan kepada kita yang mengaku berjuang Islam bahawa perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini bukan dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menagih tumpahnya darah, Islam bukan dijanjikan dengan kemenangan mudah sebaliknya terpaksa menenpuh pelbagai cabaran yang payah, Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang senang sebaliknya menuntut kepada pelbagai bentuk pengorbanan hatta nyawa yang melayang. Nabi dan para sahabat serta pejuang Islam sebelum ini diberikan kejayaan gemilang kerana sentiasa bertanya apakah lagi yang mesti dikorbankan untuk perjuangan Islam sedangkan ramai umat Islam pada hari ini lebih banyak bertanya apakah habuan yang dapat diraih jika berjuang untuk Islam.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ - رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Ciri-ciri orang Islam dan orang berhijrah yang sebenar jelas diterangkan oleh nabi cuma yang menjadi masalahnya samada kita telah melaksanakannya dalam kehidupan seharian atau sebaliknya. Kita mulakan dengan diri kita sendiri kemudian ahli keluarga kita seterusnya masyarakat sekampung kemudian negeri diikuti Negara dalam pelaksaan cara hidup Islam. Kita mahu berjaya sebagaimana nabi tetapi bagaimana dengan penjagaan terhadap kewajipan agama terutama solat 5 waktu, penutupan aurat, pergaulan antara lelaki dan perempuan adakah telah sempurna. Kita bercakap tentang kejayaan ekonomi nabi termasuk penghapusan system riba yang dipelopori oleh yahudi sedangkan semakin ramai umat Islam hari ini kembali kepada system riba malah yang lebih malang apabila pemimpin sanggup mengupah yahudi sebagai penasihat. Malah pakar ekonomi dunia akur tentang kehebatan wang dinar dan emas yang diperkenalkan oleh nabi dalam menjamin keadilan namun umat Islam sendiri terus sangsi dan was-was untuk kembali kepada matawang yang dianjurkan oleh Islam dan lebih suka menjadi mangsa penindasan kepada kapitalis penghisap darah. Kita memuji kehebatan nabi menangani masalah sosial seperti zina dan kecurian tetapi tidak yakin untuk menjadikan hukum Islam sebagai ubat mujarrab dalam mengubatinya. Contohnya keadaan kecuriaan yang semakin parah yang menyebabkan masyarakat lebih suka mengambil tindakan sendiri sehingga timbulnya pencuri yang putus tangan ketika menceroboh rumah, ada pencuri yang mati akibat dibelasah dan sebagainya. Begitu juga masalah zina dan pembuangan bayi yang terus menghantui Negara namun cara barat digunakan termasuk memperkenalkan pelajar seks di sekolah mulai tahun depan. Maruah anak dan cucu kita bakal digadai dengan suatu pelajaran yang lebih menekankan cara berzina yang selamat daripada AIDS dan mengandung bukannya mencegah zina itu sendiri. Waspada sebelum kena, beringat sebelum terjerat, cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 108 surah at-Taubah :
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya : Sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar taqwa sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri dan Allah mencintai mereka yang bersih
Hijrah juga mengajar kita tentang peranan masjid yang cukup hebat kesannya bila ia diperkasakan. Manusia yang dilahirkan daripada tempat yang menekankan hubungan antara hamba dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia mampu menjamin keamanan dan keadilan dalam sesebuah masyarakat seterusnya Negara. Contohnya bila lahirnya pemimpin yang taqwa maka tidak akan berlaku masalah pecah amanah dan pembaziran sehingga merugikan begitu banyak harta rakyat sebaliknya kekayaan Negara dinikmati bersama. Kita sudah bosan mendengar alasan lapuk dan memualkan setiap kali kenaikan harga minyak, gas, elektrik dan harga barangan yang lain maka dikatakan untuk menjimat subsidi sedangkan wang subsidi dilesapkan entah ke mana. Rakyat terutama di Selangor turut kecewa bila nikmat air percuma cuba dinafikan oleh pemimpin Negara dengan alasan kurang cerdik. Tambah lagi dengan penguatkuasaan saman termasuk saman ekor yang bukan untuk menangani masalah kemalangan jalanraya sebaliknya merompak wang rakyat secara terancang terutama dilantik syarikat tertentu untuk memungut saman yang sepastinya ada yang mengaut keuntungan atas penderitaan rakyat jelata. Akhirnya semua swasta dibimbangi selepas ini adanya mahkamah swasta, penjara swasta dan sebagainya. Yakinlah kita bahawa negara bankrap bukan disebabkan subsidi sebaliknya pembaziran dan pecah amanah dalam menguruskan Negara oleh golongan yang berpegang kepada slogan rakyat didahulukan untuk menderita, pemimpin diutamakan untuk dikayakan. Begitu juga masalah ketuanan Melayu yang terus hangat dibicara di dada akhbar dan di kaca tv di mana laungan ini berasaskan bangsa semata-mata pernah dilaungkan oleh kafir Quraisy sehingga sanggup untuk membunuh nabi kerana Islam dianggap sebagai penggugat pengaruh dan pangkat mereka selama ini. Kafir Quraisy merasa tertekan apabila dakwah Islam dapat diterima oleh semua bangsa tanpa terbatas kepada bangsa Arab sahaja. Begitulah apa yang berlaku pada hari ini apabila pemimpin yang gagal memperkasakan system Islam sehingga bangsa mereka sendiri diketepikan seperti royalti minyak terhadap Kelantan, menghancurkan akhlak orang Melayu dengan program hiburan melampau ditambah dengan pengistiharan Malaysia sebagai Hab Hiburan Malam, tanah-tanah orang Melayu yang digadai, bahasa Melayu yang dimadulkan, kuasa Melayu yang dikurangkan, raja Melayu yang diketepikan dan banyak lagi pengkhianatan yang lain. Ingatlah bahawa Melayu berdaulat adalah melayu yang memartabatkan Islam, melayu berjaya ialah melayu yang memperkasakan system Islam, melayu mulia ialah melayu yang menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Islamlah nescaya kita selamat dan mulia di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ