أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 28 Oktober 2010

Jahiliah DiJadikan Ubat Bala Allah Semakin Merebak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Fathu :
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi ganjaran kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.
Kini kita sudah berada di penghujung bulan Zulkaedah yang pernah mencatat beberapa peristiwa besar dan bersejarah antaranya telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy. Mereka merasa begitu gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun kedatangan mereka ke Mekah bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh yang membawa kepada berlangsungnya Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah. Ketika kaum muslimin sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Melalui Perjanjian Hudaibiah inilah walau pun dari segi zahir ramai melihat tidak menguntungkan Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ia menjadi pemangkin sehingga terjadinya Pembukaan Kota Mekah beberapa tahun selepas itu akibat perlanggaran terhadap perjanjian oleh kuffar. Ini jauh berbeza dengan perjanjian yang ditandatangani oleh segelintir pemimpin umat Islam dengan kuffar hari ini yang dipermainkan oleh musuh sesuka hati sebagaimana yang berlaku di bumi Palestin akibat hilang rasa gerun musuh kepada umat Islam

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Peristiwa besar yang lain yang pernah berlaku pada bulan Zulkaedah ialah Peperangan Bani Quraizah yang meletus sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah. Rasulullah s.a.w yang baru pulang daripada Peperangan Ahzab didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyeru supaya nabi mesti segera memerangi yahudi Bani Quraizah lalu baginda bersama dengan 3 ribu orang tentera terus menuju ke tempat tersebut di mana yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam sehingga musuh akhirnya menyerah diri. Akibat kejahatan yahudi Bani Quraizah itu yang bukan sahaja mengkhianati janji dengan bersekongkol bersama tentera Ahzab kuffar tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu maka kaum lelaki dijatuhkan hukuman bunuh manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam. Pertolongan Allah datang bila umat patuh dan taat serta cintakan Allah dan rasulNya

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 140 surah an-Nisa’ :
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Ertinya: Dan Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur’an bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua golongan munafik dan golongan kafir dalam Neraka Jahanam.
Pada hari ini hilangnya perasaan gerun dalam hati kuffar terhadap umat Islam kerana kebanyakan umat Islam sendiri terkena penyakit “al-Wahnu” iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu takut kepada mati. Apa yang lebih malang bila umat Islam sendiri samada sedar atau tidak sedar mempersendakan agama mereka sendiri senada dengan kuffar. Ketika seluruh umat Islam yang cintakan Islam dan nabi Muhammad s.a.w bangkit mengutuk terhadap pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalui kartunnya, seorang ahli parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya, ‘Fitna’, Tentera Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya, Salman Rushdi menghina Nabi dan al-Quran melalui tulisannya, pelampau Kristian yang mengoyak dan membakar al-Quran di Eropah tiba-tiba kita dikejutkan dengan penghinaan terhadap Islam dan nabi Muhammad s.a.w dalam Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu di mana kebanyakan yang terlibat sebagai peganjur adalah beragama Islam. Pertunjukan bukan sahaja tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan nama nabi Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis, belahan buah dada, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara terangan dan menamakannya sebagai Islam. Penganjur seolah-olah meghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh Allah demi menjaga hati musuh Islam. Oleh itu sempena berada pada hari Jumaat yang mulia dalam masjid yang mulia kita wajib bangun mengecam tindakan jahat dan tidak bertamadun ini serta mendesak agar mereka yang terlibat segera memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam dan bertaubat kepada Allah.
Mereka sepatutnya takut kepada Allah dan azabnya yang begitu dahsyat disamping malu kepada masyarakat barat sendiri yang mula merasai bagaimana pakaian seksi dan menjolok mata boleh menyebabkan masalah kerosakan akhlak. Kita dapat baca berita terbaru di mana ada sebuah Bandar persisiran pantai di Itali akan menyaman sehingga RM 2000 kepada mereka yang memakai skirt pendek atau menjolok mata sedangkan kita di sini lebih menggalakkan lagi pemakaian yang bertelanjang sehingga maruah diri lebih murah daripada besi buruk dan bangkai
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Ketika masalah jenayah dan akhlak semakin teruk dan buruk tiba-tiba pemimpin mengistiharkan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam dengan menambah kelab malam dan zon hiburan serta melonggar syarat hiburan demi mengaut keuntungan daripada kehancuran akhlak. Tindakan bacul dan tindakan tidak bertamadun ini dilihat bukan untuk menyelesaikan masalah sebaliknya menempah lebih banyak bala Allah, menyiram cuka di tempat luka. Pemimpin seolah-olah tidak menemui cara terbaik dalam menjana ekonomi melainkan dengan cara jahiliah termasuk menggadai maruah rakyat. Jika baru-baru ini pemimpin begitu sibuk membicarakan bagaimana cara menangani masalah pembuangan bayi sehingga terbinanya sekolah hamil dan lawatan ke Belgium bagi mencari formula untuk ubati penyakit yang semakin membarah tetapi kini dibuka pula tempat maksiat yang menjadi tempat membiak anak luar nikah. Tindakan terkutuk ini seperti mahu melahirkan rakyat yang hanyut dengan hiburan sehingga tidak lagi menghirau masalah penyelewengan dalam negara. Rakyat dibutakan mata, dipekakkan telinga dengan hiburan supaya tidak lagi menghirau bagaimana negara menanggung hutang yang semakin banyak dengan nisbah setiap rakyat terpaksa menanggung 14 ribu seorang hutang akibat penyelewengan dan pembaziran disamping kerugian akibat rasuah RM 10 bilion setahun. Pemimpin sepatutnya takut kepada Allah dan azabNya terutama bila berlakunya tsunami terbaru dan letupan Gunung Merapi di Indonesia. Pemimpin yang sebenar ialah orang membina akhlak umat bukan merosakkannya. Bila nafsu serakah dijadikan tuhan dan wahyu Allah diketepikan maka tunggulah kehancuran dan kehinaan di dunia dan akhirat. Ingatlah suatu peringatan daripada nabi s.a.w :
أَنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ لآدَمَ: إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكَ أَنْ تُبْعَثَ مِنْ ذُرِّيَّتِكَ بَعْثًا إِلَى النَّارِ ، فَيَقُوْلُ: يَا رَبِّ مِنْ كَمْ؟ فَيَقُوْلُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُمِائَةٌ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُوْنَ, وَ وَاحِدٌ فيِ الجَنَّةِ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah swt berfirman kepada nabi Adam a.s : Sesungguhnya Allah akan membangkitkan zuriat kamu dengan sekumpulan akan dimasukkan ke neraka, maka berkata nabi Adam : Wahai Tuhanku, berapa ramai jumlah mereka. Firman Allah : dari setiap seribu orang, seramai 999 akan ke neraka dan hanya seorang ke syurga. ( Riwayat Ahmad & At-Tabrani dengan sanad yang baik)
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 15 Oktober 2010

Islam Jamin Bahagia, Jahiliah Bawa Derita

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah
Satu demi satu tanda Qiamat samada kecil atau besar berlaku silih berganti di depan mata kita yang memberi peringatan jelas tentang betapa hampirnya dunia ini pada saat kehancuran. Dunia semakin celaru dengan pelbagai fitnah dan keadaan yang kacau bilau seolah tiada penghujungnya. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari qiamat wajib mengambil semua ini sebagai peringatan penting bagi bersiap diri sebelum melalui dua alam pembalasan iaitu alam kubur atau barzakh dan alam akhirat yang tiada padanya peluang lagi untuk beramal soleh sebaliknya ia merupakan tempat pembalasan berdasarkan keimanan dan amal ibadat kita. Ingatlah kita kepada jawapan Sayyidina Uthman bin ‘Affan bila ditanya tentang sebab beliau menangis hingga basah janggutnya ketika berdiri di suatu tanah perkuburan lalu katanya: Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: “Kuburan adalah awal kehidupan akhirat. Jika seseorang selamat daripadanya, maka kehidupan akhirat setelahnya menjadi lebih mudah. Dan jika dia tidak selamat daripada seksa kubur, maka akhirat setelahnya lebih mengerikan lagi penderitaan api neraka yang akan dirasainya.” HR Ahmad dan Tirmidzi

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Ketika berseronok mengumpul harta kemewahan dunia maka jangan lupa pada saat kematian kita yang bakal menjelma bila-bila masa sahaja. Oleh itu kita disunatkan untuk menziarahi kubur bagi memastikan hati kita tidak lalai daripada menambah bekalan akhirat dengan amal ibadat disamping menjauhi maksiat dalam kehidupan seharian. Ingatlah kita kepada suatu pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada para sahabatnya, diantaranya beliau berkata: Jika kalian melalui tanah perkuburan, panggillah ahli kubur jika engkau boleh memanggil. Lihatlah, betapa bersempitnya rumah-rumah mereka. Tanyakanlah kepada orang-orang kaya masih tersisakah kekayaan mereka? Tanyakan pula kepada orang-orang miskin masih tersisakah kemiskinan mereka? Tanyakanlah tentang lidah-lidah petah berbicara, sepasang mata yang pernah melihat indahnya pemandangan dunia?. Tanyakan pula tentang kulit-kulit lembut dan wajah-wajah yang cantik jelita, juga tubuh-tubuh yang halus mulus, apa yang diperbuat oleh ulat-ulat di balik kapan-kapan mereka? lidah itu telah hancur, wajah yang cantik jelita itu telah dirobek-robek ulat, anggota badan mereka telah terpisah berserakan. Lalu di mana pelayan-pelayan mereka yang setia? Di mana timbunan harta dan deretan pangkat mereka? Di mana rumah-rumah gedong mereka yang banyak dan menjulang tinggi? Di mana kebun-kebun mereka yang rendang dan subur? Di mana pakaian-pakaian mereka yang indah-indah dan sangat mahal? Di mana kenderaan-kenderaan mewah kesukaan mereka? Di mana kolam renang dan telaga peribadi mereka? Bukankah mereka kini berada di tempat yang sangat sunyi? Bukankah siang dan malam bagi mereka sama saja? Bukankah mereka berada dalam kegelapan? Mereka telah terputus dengan amal mereka. Mereka telah berpisah dengan orang-orang yang mereka cintai, harta dan segenap keluarganya. Kerana itu, wahai orang yang tak lama lagi akan tinggal di kuburan! Kenapa engkau terpedaya dengan dunia? Renungkanlah orang-orang yang telah pergi meninggalkan kita. Mereka amat berharap untuk dapat kembali ke dunia. Agar dapat menghimpun amal sebanyak-banyaknya. Tetapi, itu semua tidak mungkin terjadi kerana mereka telah dikuburkan. Sebelum datang saat kematian kita maka perbanyakkanlah bertaubat dan memohon kebahagiaan hidup dunia dan akhirat
قَالَ الرَّسُوْلُ: لَوْ كَانَ لابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَ بْتَغَى ثَاِلثًا وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلا التُّرَابُ وَ يَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ
Maksudnya : Seandainya anak Adam mempunyai 2 lembah harta tentu dia masih menginginkan lembah harta yang ketiga. Sedangkan benda sebenar memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah kuburnya dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat – HR imam Bukhari dan Muslim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyedari bahawa kehidupan dunia ini berkait dengan kehidupan akhirat maka marilah kita sama-sama memastikan setiap system kehidupan kita samada ibadat khusus, ekonomi, sosial, politik mestilah bertepatan dengan Islam agar kita dimuliakan oleh Allah dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa setiap nikmat samada harta, takhta, anak, rumah, makan minum, kesihatan dan selainnya akan ditanya oleh Allah. Hanya golongan yang bertaqwa dalam setiap tindakan mereka sahaja yang bakal menikmati pula nikmat Syurga di akhirat sana. Oleh itu ketika melihat kepada pelbagai bala Allah yang berlaku samada kerosakan akhlak mahu pun jenayah yang terus meningkat maka punca yang paling besar ialah akibat kefahaman dan penghayatan terhadap agama semakin terhakis sehingga dosa pahala dijadikan mainan, hidup mati dianggap kebiasaan, Syurga neraka hanya benda khayalan. Sebab itulah pengajian agama hanya dipandang remeh-temeh dan perkara sampingan sahaja tidak sebagaimana ilmu dunia yang lain. Petang ini sekali lagi Belanjawan Negara akan dibentangkan di parlimen di mana sebagaimana biasa pengajian agama, pemerkasaan system Islam, pembangunan insan hanya perkara kecil yang tidak perlu diambil perhatian yang sewajarnya. Akhirnya kita dapat saksikan bagaimana pembangunan kebendaan runtuh satu demi satu akibat sifat kemanusiaan yang gagal dibina dengan meluasnya pecah amanah, rasuah, curi, rompakan, pembunuhan dan pelbagai jenayah yang lain. Malangnya ketika kerosakan akhlak yang telah parah pihak kerajaan masih berdegil memberi lesen untuk persembahan artis ‘gay’ Adam Lambert malam tadi di stadium Putra Bukit Jalil yang bakal menggalakkan lagi budaya hubungan sejenis ketika pemimpin bagaikan jaguh walau pun terus terkial-kial mencari bukti bagi menuduh seseorang yang pernah menjadi orang penting dalam negara terlibat dengan liwat. Kita mengutuk tindakan yang dianggap menyiram cuka ditempat luka iaitu menambah lagi bala Allah. Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada sahabat-sahabat kita yang turun padang menyatakan bantahan terhadap pertunjukan terkutuk ini walau pun terpaksa berdepan dengan kawalan FRU.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Akibat kegagalan membina sifat kemanusiaan yang tunduk patuh kepada ajaran Islam maka kita dapat lihat kos untuk berubat adalah jauh lebih tinggi daripada kos membina. Pada tahun 2006 kerajaan Malaysia membelanjakan RM 1,274,490 ( RM 1.27 juta ) sehari bagi menampung perbelanjaan penghuni-penghuni di penjara di seluruh negara iaitu sebanyak RM 465,188,850 ( RM 465 juta ) setahun wang rakyat digunakan untuk menampung perbelanjaan banduan di penjara. Manakala kos untuk penagih dadah di pusat serenti pula, kerajaan terpaksa membelanjakan RM500,000 sehari iaitu RM 182,500,000 ( RM 182 juta ) setahun. Ini diambil kira dengan adanya 28 pusat serenti di seluruh negara yang menempatkan sekitar 10,000 pelatih bagi satu-satu masa dengan jumlah tanggungan untuk seorang penagih yang dirawat di pusat serenti sebanyak RM50 setiap hari. Akibat kerajaan kedekut untuk membantu pusat pengajian agama, memperkasakan sistem Islam, memperbanyakkan aktiviti kefahaman Islam maka duit rakyat lebih banyak dihabiskan untuk berubat rakyat yang rosak. Kos untuk tangani jenayah dadah, penyakit AIDS, anak luar nikah dan jenayah lain semakin meningkat dari tahun ke tahun selagi Islam diketepikan. Tanyalah diri kita samada kita mahu terus berada di bawah pemerintahan pemimpin yang lebih suka menyuap banduan penjara daripada pelajar agama, lebih bermurah hati memberi makan percuma kepada penghuni pusat serenti daripada anak-anak kita yang belajar universiti. Jarang kita dengar banduan dikejar kerana gagal bayar kos perbelanjaan dalam penjara tetapi ramai graduan universiti dikejar bagaikan pesalah kerana gagal membayar hutang belajar. Yakinlah kita bahawa jahiliah membawa kita kepada kehinaan dan penderitaan dunia akhirat. Hanya Islam yang menyelamatkan umat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 8 surah at-Takathur :
ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Maksudnya : kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang keni’matan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 6 Oktober 2010

Maqasid Syar'iyyah DiJulang Umat Gemilang

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :
وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa
Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah SWT jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka. Begitu juga hukum kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh Terdapat 5 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini yang dinamakan Maqasid Syar’iyyah iaitu [1] memelihara agama, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara akal dan [5] memelihara harta

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan
Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Begitu juga dengan masalah Islamophobia iaitu sikap benci kepada Islam atas pelbagai alasan yang tidak munasabah yang bukan sahaja melanda negara Eropah malah merebak ke negara kita sendiri. Kadang-kadang sikap benci Islam itu timbul akibat kesalahan umat Islam sendiri yang memperlekehkan Islam dan sistemnya disamping akhlak dan sikap buruk yang ada pada segelintir umat Islam yang dipandang oleh orang bukan Islam sebagai ajaran Islam. Bak pesan Sayyidina Ali : Kenalilah muslim melalui Islam, jangan kenali Islam melalui muslim. Begitu juga kata pujangga : Keindahan Islam itu terlindung disebalik keburukan umat Islam sendiri yang tidak mengamalkan cara hidup Islam
Ketika bumi Eropah digegarkan dengan tindakan membakar, mengoyak al-Quran ditambah lagi dengan tindakan bacul kerajaan Denmark yang tetap berdegil untuk membenarkan buku yang melakar karikatur yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang dibantah sejak beberapa tahun lalu untuk dijual mulai semalam, maka di negara kita timbulnya suatu laporan polis terhadap satu klip video oleh seorang Paderi bernama Benjamin di Sarawak yang mencaci nabi Muhammad s.a.w sebagai orang tua yang bernafsu terhadap kanak-kanak apabila salah seorang daripada isteri baginda berusia enam tahun disamping mendakwa dosa umat Islam akan diampunkan jika umat Islam dapat mengucup batu Hajarul Aswad yang berbentuk seperti alat kelamin wanita.
Tidak ketinggalan untuk kita mengambil perhatian terhadap keputusan Mahkamah di India semalam memutuskan tapak Masjid Babri seluas 25 hektar perlu dipecahkan, dengan masyarakat Islam mendapat kawalan satu pertiga dan dua kumpulan Hindu diberi bakinya. Penduduk Islam tetap berpegang bahawa perkarangan di Ayodhya sebagai tapak Masjid Babri yang dibina pada kurun ke-16 yang diruntuhkan oleh pelampau Hindu pada tahun 1996 yang menyaksikan lebih 2000 terkorban ketika mempertahankannya sementara penduduk Hindu mendakwanya sebagai tempat kelahiran dewa Rama. Perebutan tanah masjid ini memberi pengajaran besar kepada kita dalam mempertahankan Masjid Aqsa, Palestin yang cuba dirobohkan oleh Yahudi dengan alasan di bina atas kuil milik mereka

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 195 surah al-Baqarah :
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya : Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan termasuk terhadap bayi yang tidak berdosa semakin serius. Begitu juga masalah membunuh diri yang turut menghantui dunia dengan nisbah satu kes bunuh diri yang berlaku dalam setiap 40 saat di seluruh dunia di mana ia bukan hanya dilakukan oleh golongan jahil malah melarat kepada golongan profesional seperti doktor dan peguam selain pegawai polis dan pemilik hotel. Cara bunuh diri pula biasanya golongan wanita dengan cara meminum ubat dengan dos berlebihan, minum racun dan peluntur. Bagi lelaki pula, kebiasaannya memilih cara menggantung diri atau menembak diri sendiri. Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000 mati bunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap pelakunya seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu
Melihat kepada pelbagai bala Allah yang berlaku di depan mata termasuk tergugatnya Aqidah, terancamnya nyawa manusia, rosaknya keturunan dengan merebaknya zina dan anak zina, rosak akal dengan mabuk arak atau dadah serta rompakan dan kecurian di mana-mana maka tiada ubat paling mujarab kecuali kembali kepada Islam. Pastikan segala ibadat wajib dilaksanakan dengan penuh kualiti sebagai perisai diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dan jenayah seumpama solat kita biar ada ruh yang mampu mencegah daripada melakukan kemungkaran bukan hanya sekadar menunai perintah wajib sahaja. Pastikan al-Quran bergerak dalam diri dan system kehidupan bukan setakat tergantung di dinding sebagai perhiasan dan tersimpan di dalam almari sebagai koleksi sahaja. Contohilah bagaimana bergerak dan hidupnya al-Quran pada zaman nabi, para sahabat dan pemimpin Islam sebelum ini yang mendatangkan kegemilangan dalam mentadbir dunia dengan agama. Selagi hukum Allah diketepikan maka semakin banyak dan parah bala Allah yang turun silih berganti. Islamlah nescaya kita bahagia di dunia dan akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ