أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 22 April 2010

Musuh DiTatang Islam DiTentang

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tidak lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara sanggup menggunakan khidmat nasihat syarikat yang mempunyai kaitan dengan zionis yahudi pembunuh kejam dunia sehingga musuh dijadikan kawan manakala saudara seagama dijadikan sasaran serangan serta keadaan keselamatan negara terdedah kepada musuh Islam

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 51 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim
Peperangan Mu’tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Pada hari ini kita begitu marah dan kecewa apabila pemimpin negara begitu bangga dapat berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama seterusnya sanggup bersekongkol degan negara anti Islam dalam menyokong Israel dan dalam masa yang sama menekan negara umat Islam seperti menghentikan eksport petroleum bertapis kepada Iran selaras dengan seruan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mendesak dunia agar menghentikan eksport bahan tersebut ke Iran bagi menghentikan negara itu daripada meneruskan projek nukleurnya. Ini mungkin antara kesan mendengar nasihat APCO pro zionis Yahudi. Kita perlu sedar bahawa setelah setahun Obama bekerja, akhirnya satu pasukan pemikir yang ditubuhkan, pada Mei tahun lalu menghasilkan satu dasar baru untuk AS berdepan dengan negara Islam khasnya dan umat Islam amnya. Pasukan yang diberi nama Global Engagement Directorate (GED) itu ditugaskan melakukan diplomasi bagi tujuan keamanan nasional. Sejak dibentuk, pasukan itu tidak hanya mengubah makna memerangi keganasan, tetapi juga mengatur bagaimana cara AS melakukan perniagaan dan pelaburan di negara Islam. Apa yang penting ialah Islam dan umatnya mesti diperangi habis-habisan tetapi caranya sahaja berbeza agar umat Islam tidak bangkit menentang terhadap penjajahan cara lembut
Jika Rasulullah s.a.w dan banyak pemimpin Islam zaman silam sanggup hantar tentera walau pun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini pemimpin sanggup mengkhianati umat Islam sedunia dengan menjemput pembunuh dan pengganas dunia Tony Blair untuk memijak bumi Malaysia esok 24 April. Ini mungkin kesan nasihat APCO-zionis yahudi yang dibayar RM 77 juta yang menyebabkan pemimpin seperti melupakan jenayah Tony Blair yang bersekongkol dengan Bush dalam pencerobohan terhadap Iraq pada tahun 2003 yang menyaksikan lebih daripada 1 juta orang mati, hampir 5 juta orang kehilangan tempat tinggal iaitu 2.7 juta melarat dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah. Sanggupkah kita membiarkan pemimpin bersekongkol dengan pembunuh, penjajah, pengganas atau kita bangkit menentang tindakan bacul ini dengan memastikan mereka kembali bertaubat atau tidak lagi dipilih daripada menjadi pemimpin pada waktu terdekat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 168 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu
Pemimpin Negara bagaikan baru sedar bahawa arak dan judi itu haram sehingga mula melaungkan perkara ini. Apa yang paling besar dosa ialah golongan yang melulus dan member lesen kepada benda haram ini di mana pemimpin sentiasa berbangga dengan kadar cukai yang dikutip daripada arak dan judi semakin meningkat. Apa yang lebih malang hasil cukai judi terutamanya turut digunakan untuk pendidikan. Jika zaman Khalifah Islam dahulu kita dapat membaca banyak tulisan ulama’ yang menyatakan gaji dari Kerajaan adalah syubhat kerana dicampur dengan cukai yang tidak munasabah maka pada hari ini kita bimbang jika hasil haram digunakan untuk untuk membayar gaji kakitangan awam menyebabkan bukan lagi syubhat malah haram bekerja dengan kerajaan yang tidak sensitif masalah halal haram. Ini juga mungkin mempengaruhi akhlak rakyat yang semakin jauh daripada agama sehingga berlaku banyak jenayah termasuk buang bayi. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini bukan hanya berlaku di bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007, membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36 peratus. Ingatlah makanan haram merosakkan akhlak manusia dan diakhirat pula bakal dibakar dalam api neraka yang dahsyat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Bila benci maka setiap perkara yang membabitkan musuh akan diperangi habis-habisan. Sejak kebelakangan ini, projek-projek pembinaan menara azan dan masjid di kebanyakan negara Eropah, termasuk Switzerland, Perancis, Itali, Austria, Greek, Jerman dan Slovenia mengundang bantahan daripada penduduk tempatan. Begitu juga pengharaman Burqa dan purdah termasuk yang terbaru di Perancis atas alasan merendahkan martabat perempuan dan mengancam keselamatan. Sebenarnya musuh Islam begitu risau dan bimbang dengan kebangkitan Islam terutama peningkatan yang begitu ketara dari kalangan rakyat Eropah yang memeluk Islam setiap hari terutama selepas serangan 11 September. Dunia perlu sedar bahawa tanpa Islam dan pengutusan nabi Muhammad s.aw nescaya masyarakat dunia tidak merasai kecantikan berpakaian sebagaimana hari ini. Islam yang mementingkan kecantikan termasuk pakaian terutama pada ketika mendirikan solat, hari Jumaat, hari raya dan sebagainya telah menjadikan manusia berlumba-lumba memakai pakaian cantik. Pernah berlaku dalam sejarah Afrika, kapitalis Kristian begitu marah kepada pendakwah Kristian yang hanya berjaya mengkristiankan rakyat Afrika sedangkan jualan pakaian tidak laku kerana mengekalkan pemakaian cara lama sedangkan kawasan Afrika yang dikuasai Islam melahirkan rakyat yang berpakaian cantik yang memajukan perniagaan pakaian. Pakaian yang cantik semestinya yang menutup aurat dan mengikut sunnah nabi. Kita berasa gembira apabila Mahkamah Tumpat semalam membebaskan 5 pelajar Pondok Gelang Mas daripada kesalahan memakai serban ketika menunggang motosikal di mana keputusan ini mengiktiraf kebebasan beragama dan peruntukan yang sedia ada dalam undang-undang jalanraya. Keputusan ini juga menyuntik kembali semangat untuk memakai serban di dalam menghidupkkan sunnah nabi disamping secara tidak langsung ia juga boleh membantu dalam mengurangkan gejala Mat Rempit dan pemanduan laju yang membahayakan kerana dengan memakai serban pemandunya akan memandu cara berakhlak dan perlahan. Islamlah nescaya selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 1 April 2010

Jahiliah DiPilih Rakyat Merintih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah
Kita telah melalui alam ruh dan alam rahim ibu di mana tiada gangguan syaitan dan hawa nafsu di situ sebaliknya telah berlangsungnya perjanjian untuk taat beribadat kepada Allah dengan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan Pencipta manakala kita hanya hambaNya yang serba kekurangan. Kini kita berada pada alam dunia yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan ujian terhadap keimanan serta ketaatan kita kepada Allah sepanjang masa dan tempat. Syaitan mengotakan janjinya kepada Allah untuk memastikan umat manusia dapat dipesongkan aqidahnya, dirosakkan akhlaknya, dilalaikan kehidupannya. Oleh itu sebelum dijemput untuk pergi ke alam barzakh dan alam akhirat akhirat untuk ditimbang dan dibalas segala amalan kita di dunia maka persiapkanlah diri kita sentiasa dengan bekalan akhirat. Jadikanlah kita anak akhirat yang dipermudahkan oleh Allah untuk mengerjakan amalan ahli Syurga bagi mendapat kehidupan senang di akhirat. Jangan terpedaya dengan hasutan hawa nafsu dan syaitan yang menyebabkan kita tergolongan dalam golongan anak dunia yang dipermudahkan oleh Allah untuk beramal dengan amalan ahli neraka sehingga bakal menderita di akhirat sana. Hayatilah pesanan Salafussoleh bahawa biarlah kita berpenat dengan amal ibadat di dunia asalkan kita mampu berehat dalam Syurga Allah di akhirat berbanding lebih banyak berehat di dunia sehingga penat diseksa di akhirat nanti. Letihnya beramal ibadat akan segera hilang sedangkan balasan pahalanya terus kekal bagi meraih Syurga Allah berbeza dengan seronok melakukan maksiat hanya sekejap sedangkan dosanya terus kekal untuk dibalas dengan panasnya api neraka Allah. Tepuklah dada tanyalah iman kita samada jalan Syurga yang kita lalui atau sebaliknya

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 51 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim
Syurga dikelilingi dengan perkara yang dibenci oleh hawa nafsu sedangkan neraka dikelilingi dengan perkara yang diingini oleh hawa nafsu. Keimanan kita sentiasa dicuba dan diuji bagi memastikan siapa yang benar-benar beriman dan siapa pula yang berdusta. Umat Islam diuji dengan pelbagai serangan daripada musuh Islam samada secara keras melalui peperangan atau cara lembut melalui tawaran harta dan takhta serta serangan pemikiran yang membahayakan. Contohnya peperangan yang diuji terhadap saudara seagama di bumi Iraq, Kashmir, Afghanistan, Selatan Filiphina, selatan Thailand, Palestin dan sebagainya. Ketika kita menghulurkan bantuan yang termampu kepada saudara seagama terutama di Palestin dalam berdepan dengan perancangan jahat zionis yahudi untuk meruntuhkan Masjiq Aqsa bagi dibina kuil Haikal Sulaiman disamping perluasaan tanah jajahan di bumi Palestin sedangkan pemimpin Negara boleh duduk semeja mendapatkan nasihat daripada syarikat pro zionis yahudi sehingga nasib Negara berada dalam tangan musuh yang dibenci. Tindakan menjadikan musuh sebagai kawan mengundang bahaya semata-mata mahu menjaga harta dan takhta sehingga kepentingan agama dan Negara diketepikan. Kita turut menyokong bantahan terhadap pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca-Cola yang bakal mendirikan kilangnya atas tanah yang dibeli daripada Tabung Haji di Nilai, Negeri Sembilan yang bukan sahaja mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan. Malaysia yang merupakan negara ke-8 pengguna gula tertinggi di dunia malah syarikat Cola-Cola sememangnya jelas penyumbang utama kepada keganasan zionis yahudi di Palestin disamping mencabuli hak asasi manusia dan alam sekitar di beberapa buah negara sebelum ini. Kita turut menuntut agar Kementerian Kesihatan mengambil langkah segera dalam menangani kes adanya ubat vaksin untuk kanak-kanak bawah 12 bulan yang dicemari vaksin babi sebagaimana yang dilaporkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Peringatan kepada kaki rokok pula bahawa satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok. Oleh itu jagalah makan minum kita supaya halal dan baik untuk kesihatan...... Firman Allah dalam ayat 168 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Apabila nafsu serakah didahulukan manakala petunjuk al-Quran dilletak di belakang maka rosak binasa negara. Bermula dengan nilai aqidah yang dipandang lebih murah daripada besi buruk, akhlak dilihat tidak penting untuk dijaga. Kita mesti membangkitkan rasa bertanggungjawab dalam kes penjagaan 3 anak muallaf bernama Muhammad Riduan bin Abdullah yang terpaksa diserahkan kepada isterinya yang bukan Islam di mana rayuannya ditolak semalam. Bagi peguam dan hakim Islam yang pakar dalam bidang ini wajib berusaha dalam menangani masalah ini manakala doa kita mesti sentiasa dirafakkan ke hadrat Allah agar menetapkan iman Muhammad Riduan dan anak-anaknya. Ketika kita masih terkejut dengan laporan jumlah anak luar nikah berbangsa Melayu yang melebihi 17 ribu untuk tahun lepas sahaja dengan anggaran daripada tahun 2000 lagi setiap 17 minit seorang bayi luar nikah dilahirkan iaitu 83 sehari. Itu jumllah yang didaftarkan bagaimana pula dengan jumlah yang tidak didaftar, dibuang, dibunuh dengan kejam. Masalah sosial semakin teruk dengan bertambahnya lesen judi bagi menampung ekonomi Negara yang semakin tenat termasuk judi sukan yang dihentikan sekejap dan sedang dipertimbangkan untuk dilulus semula. Lebih dahsyat lagi dengan laporan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia sebanyak lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras setahun. Pemimpin patut malu dengan kenyataan tegas Menteri di Brunei bila dicadangkan agar Brunei menyediakan zon khas jual beli arak bagi pelancong bukan Islam lalu dijawab bahawa Brunei tidak sanggup menerima laknat Allah yang bukan sahaja mengena peminum arak malah seluruh rakyatnya. Pelancong yang ingin minum arak minumlah di negara mereka malah boleh mandi arak tanpa dilarang asalkan bukan di Brunei. Sekiranya diluluskan zon bebas arak maka lepas ini diminta pula zon bebas judi, zon bebas zina dan bermacam penyakit sosial yang lain. Pemimpin diberi pilihan samada mahu mengikut Islam untuk menangani masalah yang ada atau pun terus menggunakan sistem jahiliah yang bakal merosakkan negara. Rakyat pula diberi peluang samada terus memilih pemimpin yang menolak Islam atau bersama memperjuangkan sistem Islam dalam kehidupan. Islamlah nesacaya kita maju di dunia dan bahagia di akhirat
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ