أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 25 Jun 2009

Islam DiSanjung Umat Bertamadun

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Rom :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Kita sebagai umat yang beriman wajib mengakui bahawa setiap bencana yang berlaku di atas muka bumi ini merupakan ujian Allah bagi menguji tahap keimanan umat manusia atau pun pembalasan daripada Allah bagi menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada umat manusia yang selama ini sering melakukan penderhakaan terhadap Allah disamping amaran bagi segelintir manusia yang merosakkan bumi Allah tanpa memikirkan keselamatan orang lain supaya segera menghentikannya. Hari ini dunia sedang bercakap tentang serangan penyakit selsema babi yang membimbangkan sehingga mengganggu industri pelancongan di mana menurut laporan, tempahan menginap di hotel telah mengalami penurunan penempahan sebanyak 10 peratus. Malah, penularan wabak ini turut menghempap kepada sektor makanan dan pengangkutan. Di seluruh dunia, jumlah kes jangkitan selsema babi sehingga kini sudah menjangkiti 53,110 orang di 99 negara dan membunuh 232 nyawa. Manakala dalam negara pula mencatat jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 91 kes iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan dengan peningkatan mendadak 400 peratus dalam masa seminggu disamping 4 buah sekolah ditutup. Semua ini mengajar umat manusia untuk mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah yang tidak mampu disekat oleh manusia. Malangnya walau pun kes selsema babi semakin meningkat namun industri penternakan babi terus dipertahankan seolah-olah dunia sudah dibeli oleh kapitalis penternak babi tidak sebagaimana menangani masalah selsema burung, lembu gila, penyakit kuku dan mulut yang kebanyakannya diambil tindakan segera dengan membunuh binatang tersebut. Bila manusia lebih rela membela penyakit maka masalah makin parah dan penderitaan makin bertambah. Demi menjaga keuntungan setengah pihak maka rakyat dibiarkan menderita. Oleh itu di dalam berdepan dengan serangan penyakit yang merbahaya ini kita meminta agar kerajaan menghapuskan segala punca penyakit ini disamping kita mesti memperbanyakkan solat hajat dan berdoa agar dihindarkan daripada musibah ini

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Mimbar Jumaat hari ini juga mengajak seluruh umat Islam yang bermaruah untuk sama-sama mengutuk dan mengecam laporan jahat dan biadap yang dikeluarkan oleh International Crisis Group (ICG) yang beribu pejabat di Belgium yang menuduh sekolah pondok telah dijadikan tempat melahirkan pemberontak di Selatan Thai berikutan kumpulan pemisah menggunakan pondok untuk merekrut dan melatih remaja Muslim. Ketika umat Islam dibunuh dengan kejam termasuk ditembak ketika sedang solat berjemaah di dalam masjid, masih ada lagi musuh Islam yang cuba menimbulkan sikap anti-Islam. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, kita mendesak agar pemimpin negara memainkan peranan penting dalam menekan kerajaan Thailand supaya menarik balik 30 ribu tentera di Selatan Thailand disamping menamatkan perintah darurat yang memberikan kuasa kepada pihak tentera untuk menahan penduduk yang majoritinya Islam tanpa sebarang dakwaan. Kita tidak mahu isu saudara seagama dibunuh sesuka hati dibiarkan begitu sahaja sehingga kita berasa kecewa apabila Parlimen menolak untuk membincangkannya baru-baru ini

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah ,
قَالَ الرَّسُوْلُ  : لاتَقُوْمَ السَّاعّةُ حَتَّى يَكُوْنَ الوَلَدُ غَيْظًا وَالمَطَرُ قَيْظًا وَيفِيْضَ اللِّئَامِ فَيْضًا وَيَغِيْضَ الكِرَامِ غَيْضًا وَيَجْتَرِئ َالصَّغِيْرُ عَلَى الكَبِيْرِ وَاللَّئِيْمِ عَلَى الكَرِيْمِ - رواه الطبراني فى الأوسط
Maksudnya : Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik
Kita telah beberapa hari berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang gambaran dunia dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada diri nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang yang terlalu tua iaitu dunia ini terlalu hampir dengan saat kehancurannya yang dipanggil Qiamat. Pelbagai tanda Qiamat samada kecil dan besar telah berlaku di zaman kita ini termasuk cuaca yang begitu panas dan merbahaya di samping masalah sosial dan jenayah yang begitu teruk bermula dalam keluarga, masyarakat kampung sehinggalah negara. Masalah dadah yang semakin runcing sehingga hampir setiap rumah ada yang terlibat dengan jenayah ini sehingga bukan sedikit wang rakyat dihabiskan untuk mengubati penyakit yang telah parah ini. Bila pusat serenti bukan sahaja penuh malah tidak lagi mampu menampung penagih tegar ditambah dengan beberapa rusuhan yang terbaru di mana 500 orang penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor sehingga ada pelatih yang lari dan berapa banyak harta awam musnah. Ini antara gambaran bila manusia kosong hatinya daripada makanan rohani akibat negara diserang dengan hiburan melampau dan kehidupan yang jauh daripada panduan agama. Oleh itu system pendidikan agama bermula daripada keluarga, sekolah, pusat pengajian tinggi dan seterusnya apabila telah bekerja wajib diperkasakan supaya hati rohani rakyat tidak mati. Kita begitu bimbang apabila system pendidikan negara hari ini lebih menekan kepada keduniaan dari segi teori dan praktikal dengan menjadikan pendidikan agama hanya pelengkap jadual sahaja. Akhirnya dari segi kecemerlangan akademik, universiti negara kita jatuh tercorot berbanding Universiti Chulalongkon, Thailand apatah lagi universiti Singapura dan Indonesia. Begitu juga pendidikan peringkat rendah yang turut menjunam prestasinya sehingga hanya tinggi sedikit daripada Papua New Guinea. Ke mana sebenarnya arah tuju pendidikan negara yang nampaknya gagal dari segi dunia apatah lagi agama. Jangan asyik memuja Bahasa Inggeris sehingga gejala liberalisasi beragama, sekularisme yang menimpa umat Islam adalah majoriti daripada kelompok yang pro kepada pendidikan ala Inggeris dan pendidikan berteraskan bahasa berkenaan sedangkan bahasa Melayu telah lama dipakejkan dengan nilai Islam sejajar juga dengan perkembangan tulisan jawi yang menggantikan tulisan Pallava Sanskrit. Berubahlah kepada Islam agar dunia hebat, akhirat dapat.

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Bulan Rejab dijadikan Bulan Sembahyang oleh Kerajaan Kelantan semenjak beberapa tahun yang lepas bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa peri pentingnya solat dalam mencapai kecemerlangan dunia akhirat. Oleh itu betapa pentingnya peranan sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar sekolah, universiti dan pegawai serta pekerja yang sentiasa menjaga solat 5 waktu. Kita menyokong usaha Kerajaan Kelantan yang berusaha memastikan antara syarat penerimaan bekerja dan kenaikan pangkat menjadikan solat sebagai antara syarat kelayakannya disamping cuba meminda perundangan bagi membolehkan rakyat yang meninggal solat boleh dijatuhkan hukuman berat. Kita juga mendesak agar kerajaan pusat menjadikan program seperti Biro Tatanegara (BTN) untuk melahirkan pegawai dan pekerja yang jaga solat, jauhi rasuah dan amalan buruk yang lain tidak sebagaimana sebelum ini yang diguna untuk memuja pemimpin dan meniup semangat perlkauman sempit yang bertujuan menjaga kedudukan pemimpin. Begitu juga modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mesti dikemaskan dari sudut pengisian agama dan pengambilan hendaklah kepada remaja bermasalah seperti masalah disiplin di sekolah, tinggal solat, rempit dan sebagainya tidak sebagaimana hari ini di mana kadang-kadang pengisian agama diganti dengan tarian dan sebagainya. Jangan biarkan wang negara dibazirkan untuk merosakkan lagi rakyat sebaliknya gunakanlah untuk mengisi rohani rakyat yang gersang daripada agama.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut :
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 11 Jun 2009

Islam DiPerkasa Umat Terbela

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 45 dan 46 surah al-Anfal :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah. Jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan. Dan sabarlah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar
Kekuatan umat Islam berpaksikan kekuatan aqidah, pengamalan terhadap segala kewajipan syarak, pelaksanaan terhadap seluruh sistem Islam dalam kehidupan dan juga kesatuan pemikiran dan gerak kerja dalam memperjuang serta mempertahankan Islam disamping rapatnya ikatan ukhwah tali persaudaraan antara umat Islam. Umat Islam mesti bersatu umpama susunan batu bata yang tersusun rapi yang mampu menjadikan suatu binaan itu kukuh dan teguh. Perpecahan di kalangan umat Islam akibat daripada segolongan taat mengikut kehendak wahyu Allah dan sebahagian lagi lebih seronok menjadi hamba nafsu telah membuka peluang kepada musuh Islam dalam melakukan keganasan dan kezaliman terhadap umat Islam. Penyakit terlalu cintakan kehidupan dunia sehingga mengabaikan persiapan hidup akhirat ditambah lagi dengan perasaan takut untuk mati turut melahirkan umat Islam yang lebih suka berbicara tentang kemewahan dunia dan hiburan melalaikan daripada berfikir bagaimana cara untuk mewujudkan suatu masyarakat yang tunduk patuh kepada seluruh ajaran Islam bermula daripada keluarga sehingga dalam pemerintahan negara dan bagaimana cara untuk menyelamatkan mangsa korban keganasan kuffar durjana yang tidak berhati perut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 42 :
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).
Perjuangan dalam memperjuang dan mempertahankan kesucian Islam bukanlah melalui jalan yang mudah, kemenangan yang senang tetapi ia memerlukan pengorbanan yang tinggi serta melalui pelbagai ujian, cabaran, halangan dari segenap sudut. Malangnya di negara kita yang dianugerahkan nikmat keamanan dan kemudahan namun terlalu ramai umat Islam yang meninggalkan solat apatah lagi datang berduyun-duyun ke masjid atau surau untuk berjemaah dalam merapatkan lagi tali perhubungan antara hamba dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Sedangkan ramai saudara seagama di beberapa buah negara yang lain terpaksa berdepan dengan peluru dan bom kuffar semata-mata mahu pergi ke masjid. Antara kekejaman yang terbaru ialah apa yang telah berlaku di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand di mana 12 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak malam Isnin 8 Jun yang baru lalu manakala 11 lagi cedera parah. Cara pembunuhan kejam itu dilaksanakan menunjukkan kumpulan tersebut adalah profesional dan terlatih. Sejak peristiwa pembunuhan di Masjid Kerisek dan Tak Bai tahun 2004, sudah 3500 umat Islam mati dibunuh, iaitu purata hampir dua orang setiap hari sehingga hari ini. Sudah sampai waktunya negara umat Islam untuk menubuhkan sebuah pasukan pertahanan Islam dikalangan negara OIC untuk mempertahankan dan membela umat Islam dimana sahaja mereka berada, sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah-Khalifah Islam dalam era pemerintahan Khilafah Islamiyah. Negara-negara Islam, khususnya OIC mesti segera menubuhkan Dana Pembangunan Selatan Thai untuk membantu menggiatkan pembangunan insan dan kebendaan di kawasan tersebut sesuai dengan kekayaan yang dimiliki oleh kebanyakan negara umat Islam. Jangan biarkan saudara seagama meraung kesakitan sedangkan kita hanyut dalam hiburan. Jangan biarkan saudara seagama mati bergelimpangan sedangkan kita hanya menjadi penonton yang tiada perasaan belas kasihan. Bukan tergolong dalam golongan beriman, mereka yang tidak menghiraukan penderitaan saudara seagama yang lain

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
Kuffar durjana juga menggunakan serangan pemikiran dalam memesongkan aqidah dan cara hidup umat Islam agar mereka terus dapat menjajah dan menjahanamkan umat Islam. Oleh itu kita mendesak kerajaan agar memperkasakan lagi pendidikan Islam di semua peringkat. Jangan asyik bercakap tentang kepentingan bahasa Inggeris sedangkan agama diabaikan sehingga lahirnya lebih ramai umat Islam yang tidak kenal apa itu Islam malah yang lebih parah bila benci terhadap agama mereka sendiri. Kita bimbang dengan cadangan untuk mengurangkan mata pelajaran teras peringkat SPM di mana yang bakal menjadi mangsa ialah pendidikan Islam. Umat Islam mesti diberi kesedaran sejak dari kecil terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi tentang cara hidup Islam kerana agama bukan untuk dunia sahaja malah untuk menambah bekalan akhirat. Jika ilmu dunia dikira penting dan diberi kursus dari masa ke semasa apatah lagi ilmu agama. Betapa malangnya apabila ilmu agama semakin sedikit dipelajari apabila semakin tinggi tahap pengajian terutama di bidang yang bukan berkaitan pengajian Islam sedangkan ilmu agama begitu banyak dan luas yang tiada batas penamatnya. Sikap memandang rendah terhadap kepentingan ilmu agama kerana merasakan ia tidak mendatangkan pendapatan lumayan menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada agama. Akhirnya cara hidup dan berfikir umat Islam seperti orang kafir hanya berkisar tentang dunia tanpa mempedulikan lagi tentang hari akhirat yang merupakan tempat kembalinya kita. Rasuah dan pecah amanah menjadi budaya sehingga banyak bangunan baru runtuh termasuk stadium. Zina, arak dan dadah menjadi amalan sehingga rosaknya keturunan dan meningkatnya jenayah. Manusia menjadi binatang bahkan lebih teruk

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam surah Al ‘Imran ayat 19:
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya: Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya
Kepentingan ilmu agama juga untuk menepis ajaran sesat termasuk Islam Liberal yang dapat dikatakan bahawa pokok pemikirannya merujuk kepada 5 perkara iaitu [1] Sekularisasi dan sekularisme di mana persoalan agama, ketaatan dan kemaksiatan, dianggap sebagai hak individu, hak asasi mereka. Sekiranya mereka tidak melaksanakan tuntutan agama atau melakukan pelanggaran hukum hakam agama, maka orang lain tidak berhak menegur dan menasihatinya. [2] Plurisme Agama; menganggap semua agama adalah sama, benar, sahih yang menuju kepada tuhan yang sama. Golongan ini menghalalkan murtad dengan meletakkan agama Islam setaraf dan sama dengan lain-lain agama sedangkan Nabi saw pernah bersabda:
الإِسْلاَمُ يَعْلُوْ وَ لاَ يُعْلَى عَلَيْهِ). رواه البيهقي(
Maksudnya: “Agama Islam itu tinggi dan tiada ada yang lebih tinggi daripadanya”
[3] Al-Qur’an edisi Kritis; di mana di Indonesia, ada pihak-pihak mempertikaikan mushaf al-Quran ‘Uthmani dengan dakwaan sesat bahawa al-Quran yang ada pada tangan kita sekarang tidak serupa dengan zaman nabi Muhamamd s.a.w. Ditambah pula terdapat juga pihak-pihak yang menolak hadith. [4] Hermeneutika; di mana terpengaruh dengan metod orientalis dengan mengguna kaedah mentafsirkan Bible kepada al-Quran. Sedangkan dalam disiplin pengajian tafsir, telah terdapat kaedah di mana seseorang yang ingin menafsirkan Quran perlu terlebih dahulu mempunyai syarat-syarat kelayakan. Tindakan ini menyebabkan di Indonesia wujudnya puak menghalalkan hubungan sesama jenis homoseks, lesbian dengan alasan meraikan kehendak naluri dilahirkan suka sesama jenis. [5] Feminisme di mana menuntut persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Perbezaan hukum di antara jantina dianggap sebagai tidak adil. Timbulnya desakan supaya poligami tidak sah, perkahwinan berbeza agama sah termasuk antara muslimah dan bukan Islam, masa ‘iddah tidak hanya untuk wanita sahaja, isteri boleh menjatuhkan talak, bahagian pesaka anak lelaki dan perempuan adalah sama. Oleh itu kita wajib menghapuskan Islam Liberal termasuk mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan seperti Sisters In Islam yang terlibat dengan ajaran sesat Islam Liberal. Cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ