أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Rabu, 29 April 2009

Bahaya Kejar Kuasa Engkar Agama

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi
Kita wajib sedar bagaimana peranan besar yang telah dimainkan oleh ulama’ pejuang kemerdekaan negara yang telah membolehkan kedudukan Islam di Malaysia bukan seperti Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat. Ia berbeza dengan Islam di Malaysia yang telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh perlembagaan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya”. Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka. Fasal (4) menyebut undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam. Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain. Bagaimanapun itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4) iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam. Dalam bab lain, kebebasan hak asasi manusia juga dijamin oleh Perlembagaan di bawah Bahagian Dua. Namun ia tertakluk pula kepada syarat-syarat tertentu seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.
Akhir-akhbir ini sentiasa ada usaha yang benci kepada Islam yang cuba merobek dan menggugat keistmewaan ini dengan pelbagai usaha disamping ada juga pihak samada sedar atau tidak bertindak bacul dalam menghina Islam seperti kes 7 pensyarah dan kakitangan UniKL cawangan Kulim telah digantung tugas mereka kerana menegur aktiviti pelajar yang mengiktiraf negara haram Israel dan menggayakan pakaian sami yang boleh merosakkan aqidah Islam.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 51 surah a--Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim
Umat Islam yang bermaruah tidak sekali-kali akan mengkhianati Islam dan umatnya. Islam membenarkan kita bekerjasama dengan orang bukan Islam termasuk dalam mengurus negara dalam perkara yang tidak melanggar batas syariat Islam. Namun dalam masa yang sama Islam mengharamkan kita memberi wala’ atau ketaatan yang menyebabkan kemuliaan Islam digadaikan satu demi satu kepada orang bukan Islam terutama golongan pelampau agama yang terus berusaha dalam menjadikan negara kita sebagaimana Indonesia di mana Islam sama taraf dengan agama-agama lain sehingga murtad tidak dikira kesalahan. Betapa malangnya apabila kita mempunyai pemimpin yang sanggup menggadai bahasa, bangsa malah agama kerana gilakan kuasa. Demokrasi menjadi agama bukannya salah suatu jalan untuk meninggikan syariat Islam. Kuasa menjadi matlamat utama sehingga perintah Allah dilanggar sedikit demi sedikit bukannya jawatan dijadikan amanah dalam melaksana dan memperkasakan lagi sistem Islam dalam negara. Kita merasa marah dengan keputusan kabinet yang biadap dan menghina Islam yang menyatakan bahawa status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain. Kabinet membuat keputusan itu pada 23 April lalu sebagai langkah untuk menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang dilaporkan baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.Tindakan kabinet itu amat bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa antara pihak mahkamah dan eksekutif.“Ini kerana tindakan tersebut secara jelas telah menggambarkan usaha dari pihak eksekutif untuk campur tangan dalam perkara yang melibatkan bidang kuasa kehakiman, sedangkan pihak kehakiman sepatutnya bebas dalam mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh apa yang diputuskan kerajaan.
“Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.
“Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga.
“Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,”
Melalui mimbar Jumaat yang mulia ini, kita sebagai umat Islam yang bermaruah bangun membantah sekeras-kerasnya tindakan kabinet yang “membuat keputusan secara tidak berhemah dan tergopoh-gapah memandangkan kes itu masih dibicara melalui proses mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Perak”. Sehubungan itu, kita mendesak kabinet menarik balik keputuan yang telah ditetapkan demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan keutuhan kuasa pihak mahkamah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ ……...(متفق عليه)
Maksudnya : Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi…….
Apabila menyoroti pendapat para ulama dalam masalah penjagaan anak apabila salah seorang daripada ibubapa memeluk Islam adalah sebagaimana berikut
[1] Menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu/bapa yang tidak Islam kerana hadhonah adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang tidak Islam ke atas orang beriman
Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki bukan Islam kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang bukan Islam .Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang bukan Islam sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti.
[2] Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; hak penjagaan (hadhonah) harus diberikan kepada ibu yang masih belum Islam sehingga anak mencapai tujuh tahun. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;
a) Kekufuran ibu itu bukan kerana murtad (yakni ia adalah asal tidak Islam)
b) Tidak dibimbangi ia akan menjejaskan agama anak tersebut ( iaitu islamnya).
c) Tidak dibimbangi ia akan memberi makan makanan yang haram kepada anak
Jika ada kebimbangan tersebut, maka hak penjagaan tidak harus diberikan kepada ibu yang tidak Islam itu atau ditarik balik jika hak itu telah diberikan.
Apa yang jelas ialah Islam tidaklah menghalang secara mutlak akan hak penjagaan ibu atau bapa non muslim terhadap anak apabila salah seorang dari mereka memeluk ajaran Islam , melainkan meletakkan syarat yang ketat demi menjamin agama dan kesejahteraan insaniah manusia itu sendiri .
Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:
وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 16 April 2009

Kemenangan DiRai Islam DiSanjungi

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 76 surah an-Nisa’:
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
Maksudnya : Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Toghut, oleh itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah
Kita masih berada dalam bulan Rabiul Akhir yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam. Antaranya berlakunya Peperangan Hittin pada bulan Rabiulakhir tahun 583 Hijrah bersamaan Julai tahun 1187 Masihi di mana tentera Islam di bawah pimpinan Solahuddin Al-Ayubi telah berkumpul bagi menyerang secara besar-besaran di persisiran pantai berhampiran dengan Tasik Tiberias, Palestin manakala tentera Salib pula berkumpul di sebelah Barat. Pasukan tentera perisik daripada angkatan tentera Islam telah berjaya mengikuti perjalanan tentera musuh dan tempat-tempat perkhemahan mereka. Lalu angkatan tentera Solahuddin al-Ayyubi membuat kepungan terhadap tentera Salib pada waktu malam sehinggalah terbit cahaya pagi di mana pada pagi tersebut memang ternyata berlaku peperangan yang sangat besar berhampiran dengan kampung Hittin di sebelah barat Tasik Tiberias dan di sebelah timur bandar Akko dan Haifa. Pada masa tersebut tentera Salib yang begitu ramai berjaya ditumpaskan kesemuanya di mana tentera Salib yang tinggal hanyalah seramai 150 orang sahaja yang kemudiannya mereka semua dijadikan tawanan termasuk pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin tentera Salib. Peperangan Hittin adalah merupakan mercu tanda kemenangan Islam yang sangat gemilang dalam sejarah Islam dan ia boleh dijadikan penyuntik semangat kepada pejuang Islam pada hari ini semua dalam membebaskan Masjid Aqsa daripada cengkaman zionis yahudi. Tiada erti perdamaian bagi zionis yahudi kerana mereka hanya mampu diusir daripada bumi wakaf milik umat Islam dengan semangat jihad yang tinggi dan menuntut kepada mengalirnya darah para syuhada’. Umat Islam silam memerdekakan bumi Palestin dengan darah mereka maka kita pada hari ini pun tiada jalan lain untuk mengembalikan semula bumi berkat milik umat Islam kecuali dengan darah jihad. Sahutlah panggilan jihad yang pernah dilaungkan oleh Rasulullah s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :
قال الرسول  : وَاعْلَمُوْا أِن َّالجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوْفِ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa Syurga itu di bawah bayangan libasan mata pedang

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peristiwa bersejarah kedua yang berlaku pada bulan Rabiul Akhir ialah permulaan kepada terdirinya Kerajaan Islam Umawiyah di Andalusia atau Sepanyol di mana selepas kerajaan Umawi mengalami kekalahan di Syam, pemerintah kerajaan Umawi pada masa itu iaitu Abdul Rahman Ad-Dakhil masih lagi sempat melarikan diri dari Syam menuju ke Mesir kemudian ke Morocco Jauh. Setelah itu beliau menyeberangi laut untuk pergi ke Andalusia di dalam perjalanan yang sangat menakjubkan. Abdul Rahman Ad-Dakhil mempunyai hubungan nasab keturunan yang sampai kepada Muawiyah bin Abi Sufian di mana nasab inilah merupakan sandaran beliau di dalam menentukan bahawa beliau berhak memegang teraju pemerintahan. Beliau dapat membentuk angkatan tentera yang kuat dengan bantuan beberapa kabilah Yaman yang berhijrah ke Andalusia sehinggalah beliau berjaya mengalahkan kabilah Mudhar yang berkuasa di Andalusia pada masa tersebut di dalam peperangan yang besar yang dinamakan Al-Musarrah pada tahun 138 Hijrah. Kejayaan ini membolehkan Abdul Rahman Ad-Dakhil memasuki Cordoba untuk memerintah Andalusia selama 34 hun di mana tahun-tahun ini merupakan tahun-tahun yang sangat agung bagi pemerintahan kerajaan Umawi di Andalusia atau Sepanyol. Hingga hari ini kesan kemajuan tamadun Islam yang pernah dibangunkan oleh kerajaan Islam terus dapat dilihat walau pun pihak kerajaan Sepanyol cuba menghapuskan tanda-tanda yang boleh membangkitkan ruh Islam dalam bangunan-bangunan tinggalan sejarah itu. Berdirinya kerajaan Islam di Andalusia membolehkan Islam tersebar luas di bumi Eropah yang ketika itu masih ketinggalan dalam banyak sudut. Islam menukar wajah Eropah daripada gelap jahiliah kepada cahaya iman, zalimnya sistem manusia kepada adilnya sistem Islam. Peristiwa ini mengajar kita bagaimana umat Islam mesti bersungguh dalam menyebar sistem Islam walau terpaksa merantau meninggalkan tanahair tercinta kerana Islam bukan hanya terbatas kepada negara tertentu malah Islam didatangkan untuk seluruh dunia sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri bukan untuk bangsa arab sahaja tetapi untuk sekalian umat manusia.
Firman Allah dalam ayat 107 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah an-Nasr :
إِذَا جَآءَ نَصْرُ اللهِ وَالفَتْحُ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُوْنَ فِى دِيْنِ اللهِ أَفْوَاجًا فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya : Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Amat menerima taubat.
Perjuangan Islam menempuhi pelbagai ujian dan keputusan. Ia melalui pasang surut, menang kalah yang menjadi sunnah perjuangan. Umat Islam diajar supaya bersyukur bila menyambut kemenangan dan bersabar bila diuji dengan kekalahan kerana kedua-duanya bagi umat Islam bakal menerima ganjaran besar di akhirat nanti. Tiada istilah menang jadi arang, kalah jadi abu bagi pejuang yang memperjuangkan Islam kerana perjuangan Islam adalah perjuangan yang suci tuntutan agama bukannya perjuangan yang berlandaskan hawa nafsu. Melalui surah an-Nasr yang dibaca tadi memberi banyak pengajaran penting kepada kita dalam menyambut kemenangan Islam. Kita diajar bahawa sesuatu kemenangan itu adalah anugerah Allah di mana kita hanya mampu berusaha dan mengatur pelbagai strategi tetapi yang menentukan kalah dan menang ialah Allah. Oleh itu jangan takabbur bila dianugerahkan kemenangan sebaliknya kita diminta agar banyakkan bertasbih menyucikan Allah daripada sebarang sifat kekurangan serta banyak memuji Allah di atas bantuan yang diberikan sepanjang memperjuangkan Islam. Semasa berjuang hati kita tidak boleh lalai daripada mengingati Allah, begitulah juga apabila dianugerahkan kemenangan maka jangan sesekali kita lupa kepada Allah. Kita turut diminta agak memperbanyakkan istighfar memohon keampunan Allah bila meraih kemenangan kerana sepanjang berjuang sudah pasti adanya salah silap yang kita lakukan samada kepada Allah seperti perasaan putus asa setelah begitu kuat berjuang tetapi belum diberikan kemenangan atau kesilapan kita sesama manusia melalui kata-kata mahu pun perbuatan. Betapa indahnya ajaran dan adab mulia yang dianjurkan oleh Islam sehingga Islam dilihat sebagai agama perpaduan dan kasih sayang bukannya agama yang menganjurkan perpecahan dan permusuhan

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Tugas yang paling besar apabila dianugerahkan kemenangan ialah mengisi kemenangan dengan Islam. Tunjukkan kepada dunia bagaimana cantik dan adilnya sistem Islam terutama ketika dunia sedang mencari suatu sistem yang terbaik dalam menangani masalah ekonomi, sosial yang semakin parah. Pemimpin mesti menunjukkan bagaimana Islam memerangi rasuah, pecah amanah sehingga kepercayaan orang bukan Islam terhadap pemimpin Islam semakin bertambah. Hidupkanlah al-Quran dalam kehidupan seharian sehingga orang bukan Islam turut terbuka hati mereka untuk mengkaji apa keistimewaan al-Quran. Buangkanlah benteng yang memisahkan Islam daripada orang bukan Islam melalui pengamalan kita terhadap isi al-Quran. Dunia Eropah menyaksikan betapa ramai penduduknya memeluk Islam selepas tragedi 11 September apabila mereka mula mengkaji Islam dan al-Quran. Islam untuk semua bukan untuk sesuatu bangsa tertentu sahaja. Sejarah pernah menyaksikan bagaimana orang Kristian meminta pertolongan daripada tentera Islam daripada penindasan pemimpin mereka sehingga menjadi salah suatu faktor kepada pembukaan Turki. Begitu juga penduduk di suatu negeri hujung negara China pernah meminta Khilafah Islamiah Turki untuk menghantar wakil bagi menjadi pemimpin negara mereka kerana mahu membebaskan diri daripada kezaliman dan yakin dengan keadilan pemimpin serta sistem Islam. Sejarah ini boleh berulang sekiranya kita mampu menunjukkan contoh terbaik kepada orang bukan Islam tentang keadilan Islam. Rasa takut dan gerun orang bukan Islam terhadap Islam akan berkurangan malah hilang bila contoh ini mampu kita sebar luaskan. Inilah indahnya bila ia dilaksana di atas bumi nyata. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ