أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Selamat Datang

Khamis, 19 Mac 2009

Hidayah DiTerima Umat Sentosa

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat :
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalanganorang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata.
Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan kerana Islam itu sendiri tertegak di atas keyakinan yang pasti melalui ilmu yang disuluhi cahaya wahyu Allah. Kekuatan Islam yang berkembang dan mampu membina tamadun bersepadu antara kemanusiaan dan kebendaan adalah hasil daripada kekuatan ilmu bukannya berdasar kepada paksaan dan kejahilan. Islam yang merupakan agama fitrah adalah agama yang mampu dipeluk dan diamalkan oleh seluruh umat manusia tanpa mengira keadaan takhta dan harta, bangsa dan negara, usia dan budaya. Keadaan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan begitu benci kepada kejahatan telah menyebabkan hati mereka mudah tertarik kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Oleh itu manusia perlu kepada hidayah dalam meraih betapa manisnya nikmat iman dan Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ada ulama membahagikan hidayah kepada 5 peringkat iaitu :
Pertama : Hidayah al-Wijdan at-Tabie’i yang bererti petunjuk yang timbul daripada perasaan mengikut tabiat semenjak lahir ke dunia seperti lapar, dahaga, panas, sejuk, sakit dan lainnya. Sebagai contohnya bagaimana seorang anak kecil akan menangis untuk keselamatan dirinya di mana tangisan itu bertujuan meminta si ibu atau pengasuhnya supaya menguruskannya. Setelah mendapat layanan atau pengurusan yang secukupnya maka petunjuk daripada rasa puas dalam diri anak kecil itu menyuruh dia agar berhenti menangis. Hidayah peringkat ini belum membantu manusia daripada mengenal tentang hakikat Allah dan agama
Kedua : Hidayah al-Hawas iaitu petunjuk pancaindera yang lima iaitu mata, hidung, telinga, lidah dan kulit. Petunjuk yang terhasil daripada rangsangan pancaindera ini memang perlu bagi keselamatan diri manusia dalam menjauhi sesuatu yang membahayakan serta menimbulkan perasaan untuk mendekati sesuatu yang memberi manfaat kepada diri. Namun begitu petunjuk pancaindera ini tidak sentiasa benar kerana dalam banyak keadaan mata melihat barang yang lulus jadi bengkok, lidah tersalah merasa di mana sesuatu yang manis dirasanya pahit, hidung tersalah bau di mana sesuatu yang harum dirasa busuk dan selainnya. Kesimpulan daripada sini maka kita dapati bahawa petunjuk pancaindera tidak cukup dalam menjaga keselamatan manusia di mana kita semua memerlukan petunjuk yang lebih tinggi untuk mencapai keselamatan diri di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 190 surah Ali Imran :
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ
Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal
Ketiga : Hidayah al-’Aqal iaitu petunjuk berasaskan akal iaitu suatu alat yang dianugerahkan oleh Allah sebagai penimbang dan memikirkan sesuatu yang disampaikan oleh rangsangan pancaindera dan apa yang timbul daripada perasaan tabi’e. Setelah ditimbang dan difikirkan oleh akal maka manusia dapat bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat yang dirasakan dapat memberi kebahagiaan untuk dirinya. Tetapi setelah melihat apa yang berlaku di hadapan mata kita bagaimana petunjuk berasaskan akal semata-mata turut gagal untuk menggapai kebahagiaan yang sejati kerana tahap penggunaan akal adalah terbatas. Tindakan berasaskan akal semata-mata seringkali tersilap di mana sesuatu yang difikirkan baik tetapi menjadi sebaliknya. Oleh itu Allah telah menganugerahkan petunjuk yang lebih tinggi daripada petunjuk akal kepada mereka yang dikehendakiNya dalam mencapai jalan yang lurus untuk kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.
Keempat : Hidayah ad-Din iaitu petunjuk dari langit yang dinamakan agama yang bererti peraturan yang diturunkan oleh Allah untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia samada yang berbentuk individu atau masyarakat ramai. Melalui petunjuk agama maka seseorang itu dapat menguji dan memperbetulkan pendapat berasaskan akalnya menerusi pertimbangan neraca agama. Seseorang itu dapat tahu tentang kebenaran dan kebahagiaan yang mesti dicapai berasaskan kehendak agama bukannya semata-mata melalui pendapat akal semata-mata. Melalui petunjuk agama juga maka perjalanan hidup seseorang itu lebih terjamin dan terkawal. Namun begitu ramai juga golongan yang cerdik pandai dalam urusan agama yang tersalah langkah dan tersesat daripada petunjuk Allah yang sebenar. Ramai mereka yang faham agama turut tersesat jalan walau pun telah pun dianugerahkan dengan petunjuk agama. Perkara ini tetap berlaku kerana mereka tidak dianugerahkan hidayah yang paling tinggi. Mereka mungkin hanya mengetahui tentang agama melalui pembelajaran dan pembacaan sehingga menyentuh hati tetapi tidak mampu menggunakannya secara betul kerana masih belum diberi hidayah yang lebih tinggi.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kelima : Taufik yang merupakan hidayah yang paling tinggi iaitu pemberian petunjuk berserta dengan anugerah kemahuan dan kesanggupan dalam diri untuk berbuat segala sesuatu yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Apabila diri kita diberikan taufik maka bukan sahaja kita mengetahui tentang sesuatu itu yang baik untuk dikerjakan dan sesuatu buruk untuk ditinggalkan tetapi segala anggota kita turut diberi kekuatan untuk melaksanakan segala itu untuk mencapai keredhaan Allah. Taufik hanya terletak pada tangan Allah Yang Berkuasa sahaja tanpa mampu dimiliki oleh sebarang makhluk walau dia seorang rasul sebagaimana nabi kita Muhammad s.a.w sendiri tidak mampu memberi hidayah taufiq kepada bapa saudara kesayangannya Abu Tolib.
Firman Allah dalam ayat 56 surah al-Qosas:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya : Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hidayah taufik yang tertinggi ini mestilah kita raih dengan sentiasa mendalami ilmu agama dan doa kita kepada Allah. Kita juga mesti memperkasakan 3 dasar utama pendidikan berasaskan Islam iaitu dasar pendidikan pertama ialah sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam iaitu mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Dasar pendidikan kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat. Manakala dasar pendidikan ketiga yang mesti diterapkan ialah pengajaran kepada seluruh ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. Kita tidak mahu keadaan kerosakan akhlak di kalangan pelajar sekolah terus meningkat akibat sistem pendidikan negara lebih kepada mengejar dunia. Kita bimbang umpan musuh melalui 4S iaitu [1] Song (nyanyian yang melalaikan sehingga terjebak kepada pemujaan syaitan), [2] Seks bebas hingga lahir begitu ramai anak luar nikah, [3] Sport (sukan yang melekakan hingga ramai yang meninggal kewajipan agama), [4] Smooke iaitu amalan merokok yang akhirnya membawa kepada terjebak dengan najis dadah akan ditelan oleh umat Islam sehingga masalah bertambah parah. Aqidah umat Islam hari ini juga semakin parah apabila adanya dakwaan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menghadapi 2 masalah yang paling besar iaitu masalah tidak tahu perkara asas agama dan permintaan untuk murtad daripada Islam. Kita mesti bersatu dan bersungguh serta istiqamah dalam menangani masalah yang begitu kronik ini. Tiada masa untuk kita berehat kerana tugas kita semakin bertambah. Cegah sebelum parah, rawat sebelum terlewat, sekat sebelum merebak
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 5 Mac 2009

Rasulullah DiPertahan Umat Gemilang

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Ayat surah ar-Rom :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata
Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Ketika ada golongan yang anti Islam cuba memburuk-burukkan nabi Muhammad s.a.w supaya baginda dibenci dan Islam dijauhi di mana antara penghinaan yang terbaru apabila tv Israel menyiarkan bagaimana seorang yahudi dengan biadapnya mengatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w lebih hina daripada tapak kasutnya. Oleh itu ketika berada dalam bulan Rabiul Awwal ini maka kita mesti menggunakan sebaik mungkin dalam menyatakan kepada dunia bagaimana Nabi Muhammad s.a.w merupakan contoh ikutan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan manusia. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia, cara berdakwah yang lebih berkesan, cara bersosial yang lebih baik, cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.aw. Kehebatan dan keindahan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w dan Islam tidak mampu diterangkan secara tepat dan terangkan melainkan ianya dilaksanakan di atas bumi nyata

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
Kejayaan dan kemuliaan umat Islam bergantung kepada sejauh manakah kita mampu mencontohi cara hidup yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhamamd s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk berpakaian, berkeluarga, bersosial, berekonomi, memerintah dan sebagainya. Kegagalan umat Islam untuk kembali kepada ajaran dan system yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w menyebabkan kita berada dalam penuh kehinaan yang pelbagai masalah yang terus bertambah parah. Cara berpakaian dan pergaulan bebas umat Islam hari ini yang berqiblatkan barat telah meruntuhkan akhlak umat Islam. Umat Islam menukar ikutan dan idola hidup mereka dengan memuja artis dan manusia yang rosak akhlak daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan yang sebenar. Ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman musuh seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya akibat umat Islam sendiri terperangkap dalam semangat Assobiyyah yang dibencikan oleh Rasulullah s.a.w disamping memiliki pemimpin yang tidak amanah dan bencikan Islam. Rasulullah s.a.w telah menunjuk kepada dunia bagaimana ekonomi yang terbaik ialah ekonomi yang bersih daripada amalan riba dan pada hari ini terbukti bagaimana gagalnya ekonomi kapitalis sehingga banyak negara Asia dan Eropah turut melaksanakan system ekonomi Islam. Malah pakar ekonomi turut mengakui jika Malaysia kembali kepada dinar emas maka rizab negara akan bertambah dan bertahan bukannya sebagaimana hari ini yang semakin menguncup. Rasulullah s.a.w turut mendidik rakyat agar menjauhi perbuatan yang merosakkan rakyat seperti judi tetapi malangnya Malaysia semakin menggalakkan judi apabila Kementerian Kewangan telah meluluskan 10 cabutan 'special draw' (cabutan khas) pada tahun 2008 bagi mengutip lebih RM77 juta cukai untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan yang berbentuk sukan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan. Betapa hinanya bila negara ini dibiayai dengan wang judi yang merosakkan kaki judi dan pengguna wang judi termasuk orang Islam. Rasulullah s.a.w telah membawa datang perundangan yang terbaik dalam menangani pelbagai masalah termasuk kes jenayah tetapi malangnya hukum Islam pada hari ini bukan sahaja tidak dilaksana malah dihina oleh segolongan umat Islam sendiri sehingga keadaan jenayah dalam negara terus meningkat tanpa sekatan termasuk kes buli di sekolah kembali meningkat sehingga kepada pembunuhan

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 27-28 surah Az-Zumar :
وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksudnya : "Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa."
Rasululllah s.a.w lahir dalam masyarakat arab yang terkenal dengan ketinggian gaya bahasanya lalu wahyu al-Quran pun turun dalam bahasa Arab dalam mengalahkan penyair-penyair arab yang selama ini berbangga dengan kehebatan syair mereka. Turunnya al-Quran menggunakan bahasa arab turut mengajar kita bagaimana dalam menjayakan sesuatu kerja maka kita mesti menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran sebagaimana matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa Arab sebagai pengantar ialah untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab. Bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia. Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam daripada Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini. Oleh itu melalui mimbar Jumaat pada hari ini kita menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh pejuang bahasa termasuk himpunan 100 ribu esok di Kuala Lumpur dalam mendesak agar kerajaan menghapuskan pengajian Inggeris dalam Sains dan Matematik. Tidak cukup lagikah dengan pengkhianatan terhadap tulisan jawi sehingga lahirnya umat Islam yang bukan sahaja buta jawi malah turut buta al-Quran dan agama. Pengurangan kepada penggunaan bahasa Melayu merupakan suatu pengkhianatan terhadap bangsa dan agama. Ingatlah bagaimana usaha gigih ulama’ Nusantara silam yang berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mengembangkan Islam dan menyatukan rakyat terutama di Asia Tenggara. Bahasa melambang kehebatan bangsa. Ibnu Khaldun pernah menyatakan betapa bangsatnya suatu bangsa yang bergantung kepada bahasa penjajahnya untuk mencapai kemajuan

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ketika menyambut Maulidurrasul ini kita tidak lupa bagaimana adanya pihak yang selama ini sentiasa cuba untuk melunturkan pegangan umat Islam terhadap Islam dengan tuntutan dan tindakan yang melampau. Kita pernah berdepan dengan usaha dalam menghancurkan peranan Mahkamah Syariah, usaha dalam menghalalkan murtad termasuk kes Lina Joy. Pada hari ini isu penggunaan nama Allah dalam majalah Kristian kembali bergema sedangkan adanya penafian paderi sendiri yang menyatakan bahawa tidak pernah ada penggunaan Allah dalam Bible. Kita bimbang kesungguhan dalam meminta penggunaan nama Allah ini oleh Kristian akan mengaburkan lagi pegangan yang sebenar terhadap makna Allah yang sebenar mengikut ajaran Islam sedangkan kita jelas bagaimana makna Tuhan dalam Kristian jauh berbeza dengan Allah yang kita percaya iaitu Tuhan yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Kita tidak mahu akan terjadi beri betis mahu peha kerana sebelum ini banyak lagi permintaan Kristian antaranya dakwaan permintaan untuk memasukkan modul Kristian dalam Program Latihan Khidmat Negara walau pun khusus untuk orang bukan Islam tetapi bimbang terbias kepada pelajar Islam yang hari ini semakin ramai yang tidak faham Islam apatah lagi berpegang kepada ajaran Islam sehingga ada yang memohon untuk murtad secara terbuka. Bersatulah kita dalam mempertahan dan mengembangkan Islam walaupun terpaksa menggadaikan nyawa
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ